SEHARI sebelum ke Singapura, Lufya menerima panggilan dari Marsha untuk mengajaknya bertemu. Lufya mengambil keputusan menerima permintaan Marsha untuk bertemu dengannya di Berjaya Times Square mall. Kesungguhan Marsha mengajaknya ketika itu membuatkan Lufya tidak sampai hati untuk menolak permintaan itu, biarpun Lufya sebenarnya sibuk dengan kerjanya. Marsha berjanji untuk menunggu Lufya di J.Co Donuts & coffee iaitu salah satu kafe yang ada di pusat membeli belah itu.
“Ya Allah! Dapat juga aku lepak dengan kau sekejap,” luah Marsha. Dia bangun lalu memeluk tubuh Lufya yang baru tiba itu.
Lufya tersenyum ikhlas mendengar luahan yang kedengaran jujur pada pendengarannya. Dia membalas pelukan Marsha itu.
“Aku minta maaf sebab lambat. Aku sibuk sangat. Esok aku kena pergi Singapura pulak,” kata Lufya.
Mereka berdua meleraikan pelukan masing-masing. Marsha kelihatan teruja mendengar ayat terakhir Lufya itu.
“Kau nak pergi Singapura? Buat apa kat sana?” tanya Marsha. Dia kembali melabuhkan punggungnya di kerusinya tadi.
Lufya mengangguk sambil menghenyak punggungnya lembut.
“Ada fashion show kat situ,” jawab Lufya. Bibirnya menguntum senyuman manis untuk sahabatnya itu.
Marsha mengangguk tanda faham.
“Bestnya. Kalaulah aku boleh jadi macam kau,” kata Marsha mula berangan.
Lufya tergelak mendengar kata-kata berbaur cemburu itu.
“Tak payahlah. Tak seronokpun jadi model ni,” kata Lufya sambil membayangkan keadaan dirinya yang terikat dengan kontrak.
“Apa pula tak seronok. Seronoklah dapat jalan-jalan kat luar Negara. Kospun percuma,” balas Marsha sambil menceber bibir. Cemburu!
“Kalau aku dah habis kontrak, kau gantilah tempat aku,” seloroh Lufya.
Marsha menjungkit bibirnya. “Tak nak aku. Karang terikat dengan kontrak satu hal,”
“Tahu takpe. Kau tak tau lagi azabnya macam mana. Kau tak boleh nak lancarkan design sendiri. Jadual pemakanan ketat. Nak makan sedap sikitpun tak boleh. Aku penat tahu,” kata Lufya meluah apa yang dirasakannya ketika itu.
“Kahwin boleh tak?” tanya Marsha sambil mengangkat keningnya memandang Lufya.
Lufya ketawa mendengar pertanyaan itu.
“Boleh je. Tiada siapa yang halang,” kata Lufya menjawab.
“Oh!” Marsha angguk kepala.
“Eh! Kau nak makan apa? Minum?” Marsha memandang wajah Lufya.
“Kopi je lah. Aku dah makan dengan staff aku kat pejabat,” jawab Lufya jujur.
“Bagus sangat. Jimat duit aku,” kata Marsha separuh mengusik.
Lufya ketawa lagi. Marsha memang tidak pernah berubah. Kedekut!
“Luf,” panggil Marsha sambil merenung Lufya. Jejari Lufya yang berada di atas meja itu dicapainya.
Berkerut dahi Lufya melihat Marsha yang kelihatan sedih dan wajahnya suram. “Kenapa ni Mar?”
“Aku nak minta tolong sikit kat kau,” kata Marsha seakan meminta simpati.
Lufya bertambah hairan dengan tingkah laku Marsha itu,
“Tolong apa ni Mar. Kau buat aku takutlah,” kata Lufya sedikit resah.
Genggaman tangan Marsha yang erat tu menandakan yang Marsha bernar-benar dalam kesusahan.
“Cuba cerita masalah kau,” kata Lufya lagi bila Marsha terus-terusan merenung wajahnya.
Marsha menunduk seketika.
“Aku tak tahu kalau kau masih nak tolong aku lepas apa yang dah jadi antara kita kat kampung dulu,” kata Marsha menambahkan lagi tanda tanya di benak Lufya.
“Apa ni Mar? Semua yang dah jadi sebelum ni, aku dah lupakan. Kan aku dah anggap yang aku dengan abang Riez takde jodoh,” kata Lufya lagi.
“Betul ni?” Marsha menatap mata Lufya.
Lufya mengangguk laju tanda mengiakan.
“Kau rasa, kau boleh tolong aku?” tanya Marsha lagi.
“Kau tak cakap, macam mana aku tahu yang aku boleh tolong atau tak,” kata Lufya lagi.
Marsha mengeluh perlahan.
“Aku minta tolong dengan kau, sebab aku tahu, kau je yang boleh tolong aku pasal ni,” kata Marsha menambahkan lagi teka teki yang bermain di kepala Lufya.
“Apa dia Mar? Cakaplah,” gesa Lufya, tidak mahu terus dilanda dengan teka teki.
“Aku sayang sangat kat Ziqri, tapi… aku tak boleh nak bagi dia zuriat,” kata Marsha meluahkan isi hatinya.
Lufya mula berdebar bila mendengar luahan itu. Dia mendekatkan kepalanya ke arah Marsha sambil memandang sekeliling mereka.
“Maksud kau, mandul?” tanya Lufya separuh berbisik.
Marsha mengangguk lambat-lambat. Gila! Kenapa nak mengaku mandul! Jerit Marsha sendiri di dalam hatinya. Tapi kalau itu caranya, dia terpaksa meneruskan lakonannya.
“Ya Allah!” Lufya menekup mulutnya tanda tidak percaya. Riak wajahnya berubah kepada simpati. Simpati dengan nasib Marsha itu.
“Kau aku buat tolong apa Mar? Carikan doktor yang terbaik, atau nak aku tolong kau bayar dana perubatan? Cakap je, aku cuba tolong mana yang aku mampu,” kata Lufya sambil membalas genggaman tangan Marsha dengan niat mahu memberi harapan dan juga menyalurkan kekuatan untuk Marsha.
“Aku tak nak semua tu Luf. Mandul ni takde ubatnya,” kata Marsha.
“Takkanlah….” Lufya menatap wajah Marsha yang suram itu.
Marsha mengangguk perlahan. “Betul Luf,”
Lufya diam sambil menggigit bibirnya. Mindanya berputar cuba mencari sesuatu tapi gagal.
“Apa yang aku boleh tolong kau Mar?” tanya Lufya lembut.
Marsha menatap wajah Lufya dengan penuh harapan. “Kahwin dengan Ziq.”
Genggaman tangan Lufya terlepas serta merta. Wajah Lufya berubah kaget.
“Mar, kau dah gila ke Mar?” soal Lufya dengan nada meninggi.
“Aku tak gila Luf. Aku serius dan ak….”
“Aku tak pernah terfikir untuk kahwin dengan suami orang, Mar. Inikan pula suami kau,” kata Lufya tegas memintas ayat Marsha itu.
“Luf… kau kata kau nak tolong. Dengan siapa lagi aku nak minta tolong kalau bukan dengan kau Luf,” rayu Marsha sambil merapatkan kedua tapak tangannya.
Lufya berdecit perlahan. Tidak pernah terlintas difikirannya yang perkara sebegitu akan terjadi. Satu permintaan yang tidak pernah Lufya bayangkan dan itu permintaan rakan karibnya sendiri.
“Mar, aku minta maaf, tapi aku tak boleh. Aku bukan perampas suami orang,” kata Lufya tegas. Dia menghadiahkan pandangan kesal pada Marsha.
Marsha mengeluh kecewa.
“Sampai hati kau Luf. Aku harap kau seorang je dalam hal ni. Sebab aku tau kau sayangkan aku. Sayangkan persahabatan kita. Tapi….”
“Ini bukan soal persahabatan Mar. Tapi soal masa depan. Masa depan kita semua!” Tegas Lufya lagi.
“Luf, aku janji yang kau cuma perlu tolong aku untuk lahirkan anak Ziq. Itu je,” kata Marsha penuh harapan.
Lufya mendengus kasar.
“Kalau betul nak anak, ambillah anak angkat,” kata Lufya lagi memberi cadangan.
Marsha mengeleng perlahan.
“Kalau Ziq nak, dah lama kami ambil Luf. Tapi Ziq nak anak sendiri. Bukan anak angkat,” kata Marsha merayu.
Lufya mengetap bibirnya kuat. Dia tidak bersedia untuk perkara sebegitu. Dia sendiri tidak pernah terfikir untuk berumahtangga, inikan pula melahirkan anak. Masih banyak yang perlu dia buktikan pada keluarga dan juga orang kampungnya.
“Aku tak tahulah nak kata apa Mar. Benda ni bukan mainan. Ini melibatkan masa depan aku,” kata Lufya.
Mati kutu dia dibuatnya.
“Tolong fikirkan benda ni Luf. Kau je kawan aku yang sudi tolong aku,” pinta Marsha.
“Nanti aku fikirkan. Tapi aku tak janji,” kata Lufya seraya bangun dari duduknya.
“Aku balik dulu. Banyak benda aku nak kena selesaikan sebelum ke Singapura esok.” Lufya meminta diri untuk balik. Dia tidak betah untuk berlama di situ, setelah mendengar permintaan ‘gila’ Marsha itu.
“Jangan lupa fikirkan apa yang aku cakap Luf. Kau je yang aku ada.” Sekali lagi Marsha membuat muka kasihannya.
Lufya mengeluh perlahan. “Hmmm…”
Lufya meninggalkan tempat itu dengan perasaan yang bercapur baur. Permintaan Marsha itu baginya agak melampau. Mana ada isteri yang meminta perempuan lain menikahi suaminya hanya untuk melahirkan anak. Marsha, Marsha! Hilang akal ke? Dia ingat kilang memproses anak ke? Lufya tidak habis-habis merungut di dalam hatinya.
Share this novel