“AYAH minta maaf,”
Suara Hj Maliki menyapa pendengaran Lufya yang sibuk berbual dengan Puan Hazimah dan yang lain di ruang tamu itu membuatkan perbualan mereka terhenti. Serentak semua mata terarah pada Hj Maliki yang sudah menuju ke arah mereka.
Berkerut dahi Lufya. Hatinya tertanya melihat kehadiran Hj Maliki yang tiba-tiba menyertai mereka.
“Ayah,”
“Ayah minta maaf pada Lufya,” pinta Hj Maliki sambil menghenyak punggungnya di ruangan kosong yang berada di sebelah isterinya.
“Abang ni kenapa? Tiba-tiba datang minta maaf. Apa abang dah buat?” tanya Puan Hazimah kehairanan.
Lufya dan yang lain berpandangan seketika.
Hj Maliki memandang wajah Puan Hazimah kemudian beralih pada Lufya dan menantu-menantunya termasuk Lila dan Damya.
“Abang dah bua silap besar Imah. Lufya tak pernah salah. Abang yang salah,” luah Hj Maliki.
“Apa ayah merepek ni?” tanya Lufya lembut. Lufya beralih ke sebelah Hj Maliki. Tangannya dilingkarkan ke bahu ayahnya. Pandangannya ditujah ke wajah Hj Maliki.
“Hah? Kenapa bang?” tanya Puan Hazimah dengan nada tidak puas hati.
Sikap pelik yang ditunjukkan oleh suaminya itu mengundang tanda tanya.
“Abang terlalu percaya cakap orang kampung Imah. Lufya tak pernah buat semua tu,”
Lufya yang mula dapat menangkap maksud Hj Maliki itu tersenyum seketika.
“Ayah…” Lufya mula menyusun ayatnya. Wajah Hj Maliki dipandang penuh kasih sayang. “ Lufya dah lupakan semua tu. Lufya nampak ayah senyumpun dah cukup untuk Lufya,” sambung Lufya.
Hj Maliki merenung wajah Lufya sejenak. “Ayah minta maaf Lufya. Ayah tahu, selama ni Lufya dah banyak terseksa sebab ayah…”
“Shhh… apa yang jadi selama ni, bukan disebabkan ayah. Lufya dah redhapun. Ayah tak payah nak ingat lagi. Satu je Lufya nak ayah tahu. Lufya sayang semua orang,” kata Lufya sambil merebahkan kepalanya ke bahu Hj Maliki. Perasaan gembira menyusup masuk memenuhi ruangan hatinya.
“Amboi… bukan main melentok. Suami Lufya mana sampai nak melentok kat bahu ayah,” sergah Aeril tiba-tiba muncul dari Luar.
Lufya mencebik bibir. “Cemburulah tu!”
Aeril meluru ke arah mereka kemudian duduk di atas lantai sambil membelakangi Aina.
“Abang ngah takde masa nak cemburu. Abang dah ada Aina… kan sayang…” Meleret nada suara Aeril sambil melentokkan kepalanya ke riba Aina.
Merah padam muka Aina dengan kelakuan Aeril itu. “Abang…”
“Alaaa… kejap je. Nak bagi si Lufya ni bersemut kejap tengok kemanisan kita,” kata Aeril lagi tidak mengalah.
Lufya merengus perlahan. Kasihan pula tengok muka kakak iparnya yang sudah membahang menahan malu dengan kelakuan selamba Aeril itu.
“Tolonglah abang ngah. Tak sweet langsung!” kata Lufya pura-pura marah.
Gelagat mereka berdua hanya diperhatikan oleh yang lain dengan senyuman yang terukir di bibir masing-masing. Suasana itulah yang mereka mahukan.
“Mana Khalid?” tanya Hj Maliki sambil matanya memandang Sarina.
“Abang pergi pekan jap. Ada urusan, katanya,” jawab Sarina sopan.
“Budak-budak mana?” tanya Hj Maliki memandang kedua menantu perempuannya itu.
“Masing-masing sibuk dengan mainan, ayah. Yang kecil tu tidur,” jawab Sarina.
“Sibuk main kat bilik,” jawab Aina pula.
“Patutpun sunyi sepi. Kamu bertiga bila nak balik KL?” tanya Hj Maliki. Pandangannya menikam wajah Damya yang duduk di sebelah Lila, kemudian beralih pada Lufya yang berada di sampingnya.
“Esok ayah,”
“Esok, pak cik,”
“Tak nak bulan madu ke Luf?” usik Damya.
Lufya menjulingkan matanya mendengar usikan itu.
“Ye tak ye juga. Abang ngah boleh sponsor…” Aeril menayangkan riak nakalnya tanda mahu mengusik Lufya. “Tapi, kat sini je lah ye,” sambung Aeril sambil ketawa.
Lufya mencebik bibir. “Hmmm… nampak sangat kedekut,”
“Patutnya Lufya yang kena belanja tahu. Lufya yang banyak duit,” komen Aeril.
“Abang ngah nak apa?” tanya Lufya serius.
“Nak pergi London?” jawab Aeril selamba.
Lufya ketawa.
“Kak ngah dengar tu. Abang ngah nak pergi London…” Lufya tayang senyuman mengejek.
Aina hanya tersenyum dengan gelagat dua beradik itu.
Bunyi jeritan budak-budak mengganggu perbualan mereka.
“Mama!” Qira menjerit sambil berlari menuruni tangga dengan diikuti oleh Ikram.
Semua mata terarah pada dua beradik itu.
Bergaduh!
Sarina bangun dan melangkah cemas ke arah tangga untuk menegah dua beradik itu. “Jangan lari!”
Qira selamba melompat ke arah Sarina mengundang perasaan cemas di hati setiap pasang mata yang memerhati.
“Qira!” naik seoktaf suara Sarina kegeraman. Sempat tangannya menangkap tubuh gempal Qira itu.
“Allah, budak ni,” Puan Hazimah bangkit menuju ke arah mereka.
Lufya dan lain hanya memerhati sambil mengelengkan kepala masing-masing.
“Makin menjadi nakal budak-budak ni,” rungut Aeril bila Qhalif dengan Qaseh turut muncul di tangga teratas.
Aeril bangun dan menuju ke tangga melintasi Puan Hazimah dan Sarina yang sibuk memberi ceramah pada Qira dan Ikram.
“Turun perlahan-lahan Qaseh, Qalif. Jatuh, papa biar. Faham!” kata Aeril berbaur arahan dan bernada tegas.
“Baik pa,” sahut mereka serentak.
Lufya hanya geleng kepala sambil berpandangan dengan Damya yang sedang berkerut dahi.
“Aku bayangkan kalau kau ada anak…” kata Damya nakal sambil melirik Lila disebelahnya.
Lila ketawa dan Hj Maliki tersenyum.
“Mesti huru harakan?” usik Hj Maliki.
Lufya menghadiahkan jelingan. “Mana adalah ayah. Lufya ni baik tahu,”
Aina senyum. Damya dan Lila berpandangan sambil mencebik.
“Baik sangat! Sampai orang pijak kepalapun masih nak baik,” kata Lila selamba.
“Betul tu!” kata Damya menyokong kata-kata Lila.
Lufya menyengetkan bibirnya. Nampaknya Damya dan Lila sependapat.
“Dah mula dah budak-budak ni,” keluh Aina sebaik Aeril tiba dengan Qalif dan Qaseh.
Suasana yang tadinya senyap mula riuh rendah. Masing-masing memilih untuk melayan karenah budak-budak itu, termasuklah Lufya.
“FIKIR apa?” sapa Lufya lembut sebaik tiba di sebelah Ziqri.
Hatinya terpanggil untuk menyertai Ziqri, bila menyedari Ziqri sudah duduk di situ lebih dari dua jam.
Ziqri tersenyum sambil memandang Lufya yang sudah duduk.
“Tak fikir apa. Cuma… nak hayati keindahan alam ciptaan Allah,” jawab Ziqi.
Lufya tersenyum mendengar jawapan itu. Dia mengerling sekilas wajah Ziqri. “Mar tak call?”
Ziqri jeda sejenak. Dia mencuri pandang wajah Lufya yang sedang memandang ke hadapan mereka. Kelihatan tenang bersahaja. Bukankah itu tandanya Lufya tidak kisah tentang mereka.
“Boleh tak, kalau kita tak cakap pasal Mar,” pinta Ziqri lembut. Jejari Lufya diraihnya lembut.
“Hmmm… sebabnya?” Lufya jongket kening ke arah Ziqri.
“Sebab… abang akan rasa berdosa. Abang tak layak untuk Lufya,” kata Ziqri dengan nada kesal.
Berkerut dahi Lufya mendengarnya. “Kenapa pula macam tu? Abang tak buat salah apapun,”
Ziqri berdecit perlahan. Mindanya ligat memikirkan cara untuk meluahkan rasa hatinya ketika itu.
“Abang bukan lelaki yang sempurna Luf. Abang ni dah lama tersasar dari jalan sebenar…” Ziqri menggenggam jejari Lufya kemudian pandangannya dibuang jauh ke hadapan mereka.
Lufya diam memikirkan maksud kata-kata suaminya.
“Dalam sehari, Lufya berjaya buat abang kembali pada jalan yang Allah redhai,” sambung Ziqri lagi. Pandangannya di tujah ke wajah Lufya yang setia mendengar luahan hatinya.
Lufya tersenyum mendengar luahan hati Ziqri.
“Bukan Lufya abang… Lufya hanya menjalankan tanggungjawab Lufya sebagai hamba Allah. Ya, mungkin apa yang abang buat tu bermula saat abang bergelar suami Lufya, tapi… bukan kerana Luf. Semuanya atas izin Allah,”
Ziqri ketap bibir. Kematangan bicara Lufya, kelembutan suara Lufya dan kesopanan Lufya itu, membuatkan hatinya semakin terusik.
“Abang tak sangka yang Lufya sematang ini,” komen Ziqri.
“Lufya bukan muda lagi nak berperangai macam budak-budak,” kata Lufya membalas komen suaminya.
Ziqri tertawa kecil. Wajah Lufya dipandang sekilas dan jejari Lufya itu dielus lembut.
“Abang rasa, abang dah jatuh cinta,”
Lufya terdiam. Wajah Marsha memenuhi ruangan matanya. Laju dia mengelengkan kepalanya.
“Abang tak boleh jatuh cinta dengan Luf. Luf hadir dalam hidup kamu han…”
“Abang tak kisah tentang semua itu Luf. Keikhlasan dan kesanggupan Lufya untuk melakukan semua ini demi kami berdua, cukup untuk buat abang jatuh cinta pada Lufya. Kasih sayang dan semua kebaikan yang Luf tunjukkan dalam masa sehari ini, buat abang rasa dihormati dan dihargai. Jujur abang cakap, Mar tidak pernah melayan abang sebaik ini,”
Lufya terbungkam mendengar isi hati suaminya itu. Perlahan dia mencari wajah Ziqri sambil mengetap bibirnya kuat.
“Abang… berdosa membandingkan Mar dengan Luf…”
Ziqri beristighfar mendengar kata-kata lembut Lufya itu.
“Maaf. Abang tak sedar,” pinta Ziqri.
Lufya senyum dan mengangguk.
“Terima kasih Luf,” ucap Ziqri sambil lengannya dinaikkan ke bahu Lufya dan melingkari bahu Lufya.
Lufya senyum lagi. “Sama-sama,”
Seandainya keindahan itu tidak hilang dimamah masa, betapa bahagianya hati mereka dalam menjalani hari-hari yang mendatang. Tapi… kehidupan itu aka nada pasang surutnya. Di mana surut dan di mana pasangnya, mereka berdua tidak tahu.
Share this novel