Get the app for full experience
MARSHA mundar mandir di ruang tamu, menanti kehadiran Ziqri. Rasa tidak sabar untuk melepaskan segala rasa yang terbuku di hatinya ketika itu.
Bunyi kereta masuk, membuatkan Marsha terus menuju ke tingkap untuk memastikan itu adalah Ziqri.
“Huh! Akhirnya…” Marsha tersenyum kemenangan.
Dia kembali ke sofa, lalu melabuhkan punggungnya. Memujuk hati untuk sabar, bukanlah satu perkara mudah baginya. Ikutkan hati, mahu saja dia menyerbu Ziqri di hadapan pintu. Tapi, dia tidak mahu pertengkaran mereka menjadi buah mulut jiran-jiran mereka yang mengalahkan bawang. Bukan dia tidak tahu yang mereka berdua adalah salah satu bahan perbualan utama di kawasan perumahan itu.
Mendengar bunyi pintu dibuka, Marsha berpaling pada pintu. Pandangannya melekat pada pintu, menanti kehadiran Ziqri. Entah kenapa dia rasa semuanya terlalu lambat berlalu. Kalau boleh, dia mahu sekelip mata Ziqri berdiri dihadapannya menanti hukuman dan perhitungan darinya. Nampak sangat gila!
Dia seakan menganggap dirinya berkuasa dalam semua perkara melibatkan Ziqri dan Lufya. Kalau boleh satu dunia miliknya. Kedekut!
“Kenapa tiba-tiba terpekik, terlolong dalam telefon? Dah macam orang gila, I dengar,” tegur Ziqri sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di hadapan Marsha.
Marsha memandang Ziqri tajam. Bibirnya diherot ke tepi. Rasa marah, mencanak naik.
“Sepatutnya I yang tanya you. Siapa suruh you beli rumah untuk you dengan Luf? Tak bagitahu I pulak tu?”
Ziqri terkedu mendengar soalan yang diikuti dengan pandangan maut itu.
“Mana you tahu I beli rumah?” tanya Ziqri, dengan nada tidak senang.
“Tak payahlah you nak ambil tahu dari mana I tahu. I cuma nak tahu, kenapa you buat keputusan tak tanya I? I bukannya tunggul!” balas Marsha. Berang.
Ziqri mendengus kasar. Pandanan tajam menikam wajah Marsha, tapi Marsha langsung tidak terkesan. Apa lagi takut.
“You intip I ke?” soal Ziqri sinis.
Marsha berdecit.
“Hei, Ziqri Amsyar…” Marsha menuding wajah Ziqri dengan jari telunjuk kanannya.
Menyirap darah Ziqri melihat tindakan biadab Marsha terhadapnya itu.
“Turunkan jari you, Marsha!” kata Ziqri. Nadanya sengaja di tekan.
Marsha ketawa kuat. Sinis dan mengejek.
“Kalau I tak nak?” cabar Marsha.
“You jangan nak biadap dengan I. I suami you. Bukannya kawan you, yang you boleh buat suka hati!”
“Sikitpun I tak takutlah, Ziq. You ingat I ada masa nak mengintip you. Tuhan tu maha adillah. Sekali je dia tunjuk, musnah hidup you. Tahu?” kata Marsha. Sinis dan angkuh.
Ziqri menepis tangan Marsha kasar. Bibirnya dijongket dan kepalanya digelengkan perlahan.
“Bukan main angkuh lagi you, dengan I? I tak sangka perempuan yang dulunya lemah lembut. Pijak semutpun tak mati…” Ziqri mengetap giginya kuat. “Akhirnya tunjukkan belang dia pada I. Selama ni, I diam sebab I nak you berubah. Fikir sendiri kesilapan you, tapi… you dah berani tunjuk-tunjuk muka I pula?”
“You dengar sini baik-baik. Simpan dalam kepala you sampai bila-bila. Memang I beli rumah. Untuk I dengan Lufya. Sebab dia layak untuk semua tu,” kata Ziqri mengakui perkara itu.
Marsha terkesima sebentar. Kata-kata dan tindakan Ziqri itu berjaya membuatkan dia malu seketika. Dia memandang ke arah lain, dan cuba untuk mengawal riak wajahnya yang malu itu. Dia mula menyusun ayat untuk membalas kata-kata Ziqri.
“You jangan lupa, Ziqri. You kena ceraikan Lufya satu masa nanti,”
Ziqri mendengus tawa. “Cerai?”
Marsha memandang Ziqri sebal.
“Itu yang ada dalam perjanjian kita Ziqri. Nak I ulang balik ke?”
“You tak habis-habis dengan perjanjianlah, Mar. Boleh I tengok perjanjian tu? Ada I tandatangan ke?” tanya Ziqri sinis.
Marsha diam. Bibirnya digigit kuat.
“See… you sendiri tak tahu nak cakap apa kan?”
Marsha merengus kasar.
“You tahu kenapa you kahwin dengan Lufya, kan? Kenapa I izinkan you kahwin?”
“You tak izinkan. Tapi you yang buat keputusan ikut kepala you,” bidas Ziqri.
“Sama je!”
“Tak sama Mar… jauh beza antara izinkan dengan buat keputusan bagi pihak I,” bantah Ziqri. Tegas.
“Kalau macam tu, ceraikan dia!” kata Marsha berupa arahan.
“Ceraikan, Lufya?” Ziqri menjongket kening sinis.
“Ye!”
“Kalau I tak nak?”
“Jangan nak naikkan darah I, Ziqri!”
Ziqri ketawa.
“You yang sedang naikkan marah I, Mar. Apa niat you yang sebenar? Mula-mula, you suruh I kahwin dengan Lufya. Sekarang nak I cerai pulak? You dah hilang akal ke? Tak nampak, Lufya tengah mengandung? Ke you memang nak buat hidup dia sengsara?”
Marsha mengetap rahangnya kuat.
“Sekarang ni, I dah tak nak ambil kisah. Dia mengandung atau tidak, you tetap kena ceraikan dia,”
“You memang tak berhati perut, Mar,”
“Selagi dia beri ancaman pada I, I takkan teragak-agak nak singkirkan dia,”
“Suka hati youlah Mar. I malas nak cakap banyak. Satu je I nak ingatkan you. Jangan pandai-pandai nak ganggu Lufya,” kata Ziqri, lalu bangun dan meninggalkannya sendirian di ruang tamu itu.
Marsha merengus kasar. Kalau dengan Ziqri tak jalan, dia akan dapatkan Lufya.