Get the app for full experience
PERMINTAAN Ziqri untuk dia tinggal di rumah yang telah disediakan oleh suaminya itu, membuatkan Lufya terpaksa memindahkan sebahagiaan daripada pakaiannya ke rumah itu. Nasib baik jugalah, Damya sudi menghulurkan bantuannya.
“Jangan pula, mentang-mentang dah duduk dengan Ziq, kau lupakan aku. Rumah yang aku duduk tu rumah kau,” kata Damya berpesan.
Lufya tersengih mendengar pesanan itu. “Gila nak lupa. Kau je kawan aku yang setia ngan aku…”
Damya ceber bibir. “Haaa… yelah! Aku je setia. Habis Mar tu bukan kawan kau ke? Lagi parah! Sampai kau kahwin dengan suami dia, dibuatnya,” balas Damya pedas.
“Kau ni… janganlah nak mengata dia. Terasa aku tahu,” kata Lufya, dengan nada merajuk, sambil tapak tangannya ditekap ke dada kanan seolah-olah berkecil hati.
Damya menyengetkan bibirnya dan menayangkan riak mengejek. “Merajuk konon! Aku punya rajuk ni, ada… kau fikir? Takdekan?” Selamba dia menunjal bahu Lufya,
Lufya tersengih mendengar kata-kata Damya itu. “Aku gurau je lah,”
Damya merenung Lufya dengan muka sedih, membuatkan Lufya kehairanan.
“Luf… aku harap sangat… kau lupakan hasrat kau nak bahagiakan orang lain. Ada baiknya, kau carilah kebahagiaan kau. Aku tak mampu nak bayangkan, kalau satu masa nanti kau terluka lagi, Luf,” ucap Damya penuh harapan.
Lufya tersenyum mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Damya. “Kau kenal aku, kan?”
Damya mengeluh perlahan. Dia memerhatikan sekeliling rumah itu dan kembali memandang Lufya.
“Kadang-kadang, kita kena sakitkan hati orang lain untuk bahagia.”
Lufya terdiam. Dia kemudian menunduk seketika.
“Aku bahagia, kalau kamu semua bahagia,”
“Tapi kau sedang korbankan diri kau Luf. Kau tahu apa risiko yang bakal terjadi nanti?”
Lufya mengetap bibirnya dan memandang wajah Damya.
“Aku dah lama bersedia,”
Damya berdecit perlahan. Wajah Lufya ditenung sedalamnya. Dia percaya yang Lufya masih mengimpikan bahagia untuk mereka.
“Fight for yourself, Luf. Bukan untuk orang lain,”kata Damya sedikit tegas.
Lufya diam lagi.
“Ziqri sukakan kau. Dia sayangkan kau. Apa salahnya, kau pertahankan hubungan kamu ni. Biarlah apa nak jadi dengan Marsha, yang pennting hati dan perasaan kau,” kata Damya lembut.
“I can’t do that, Damya!” bantah Lufya tegas.
Damya mengeluh perlahan. “Sebab dia suami Marsha?” teka Damya.
“Itu salah satu sebab, dan kedua… aku tiada perasaan pada Ziqri. Apa yang aku buat sekarang ni, semuanya kerana tanggungjawab dan amanah. Aku dah janji pada Mar, yang aku tak mungkin jatuh cinta dengan Ziq.”
Lufya berhenti berkata dan meraup wajahnya seketika.
“Lagipun, kami baru sekejap kenal. Aku tak mungkin jadi pengkhianat!” tegasnya lagi.
Damya diam. Kerasnya, kepala Lufya mengalahkan batu. Haish! Minah ni. Aku sekeh karang, baru dia tahu apa itu bahagia.
“Geram pula aku dengan kau ni. Sia-sia je aku bercakap. Aku nak baliklah. Layan kau, buat aku sakit kepala. Sebelum tu, aku nak ingatkan kau… pasal cuti aku. Kau jangan nak buat-buat lupa pula…”
Lufya tersengih dan mengangguk.
“Okay Miss Damya,” kata Lufya mengusik.
Damya menyengetkan senyumannya.
“Bye…”
Pemergian Damya itu, dihantar dengan satu pandangan kosong. Kata-kata Damya berlegar di fikiranya.
‘Bahagia itu, impian setiap insan, dan kecewa serta terluka itu adalah mimpi ngeri. Memilih untuk bahagia atas penderitaan orang lain, bukanlah satu jalan yang bijak,’
Ya, Lufya mahukan kebahagian. Mahu mencinta dan dicinta seperti insan lain. Mahu dirinya disayangi, dibelai dan dimanja. Tapi itu hanyalah kemahuan semata-mata. Setiap kebahagiaan itu wujud penderitaan yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar manusia.