BAB 35

Romance Series 92840

TEPAT lima petang, kereta Lexus Lx Ziqri meluncur memasuki perkarangan rumahnya bersama Marsha.
Ziqri mengeluh perlahan bila kereta Marsha tiada di situ. Itu tandanya Marsha masih belum pulang lagi. Dia tertanya sendiri, ke mana sebenarnya destinasi Marsha setiap hari. Langsung tidak lekat di rumah.
Kunci rumah dikeluarkan dari kocek seluarnya dan dia mengatur langkah menuju ke pintu rumah.
“Hai…”
Belum sempat Ziqri memasukkan kunci itu, pintu rumah terbuka luas dan Marsha menjengukkan kepalanya bersama senyuman yang terukir di bibir. Berkerut dahi Ziqri. Sepantas kilat dia berpaling ke garaj kereta untuk memastikan penglihatannya tadi. Betullah kereta Marsha tiada di garaj.
“Kenapa? Tak percaya I balik seawal ni?” Marsha menjongket kening sambil tersenyum senget.
“Mana kereta you?” tanya Ziqri. Pandangannya tepat ke wajah Marsha.
Riak wajah Marsha berubah sebaik mendengar soalan itu.
“Err… Raisha pinjam,” kata Marsha memberi alasan. Dia melarikan wajahnya dari terus dipandang oleh Ziqri.
Ziqri hanya diam sambil menjongket keningnya. Kasut yang dipakainya itu, ditanggalkan sambil memerli Marsha, “baiknya hati you,”
“Mestilah. Kawan I kot,” balas Marsha tidak mahu mengalah.
“Kawan? Apa kata you minta dia duit belanja…” kata Ziqri lagi seakan menyindir. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dan membiarkan Marsha menutup pintu rumah itu.
Marsha terkulat-kulat mendengar kata-kata sindiran itu. Dia menutup pintu itu lambat-lambat sebelum melangkah mengekori Ziqri.
“You balik awal ni… you masak ke?” tanya Ziqri memerli lagi sebaik tiba di ruang tamu rumah. Tali lehernya itu dilonggarkan dan tubuhnya dihempas lembut ke sofa berangkai. Batang tubuhnya direbahkan ke sofa panjang itu.
Marsha diam. Dia lebih memikirkan sesuatu daripada melayan pertanyaan Ziqri itu. Dia duduk di sofa yang berada di hujung kepala Ziqri.
Ziqri memandang pada Marsha bila menyedari pertanyaannya tidak berjawab.
“Mar,” panggil Ziqri lagi.
Marsha tersentak. “Hah?” Pandangannya dihalakan ke arah Ziqri yang sedang memandangnya.
Terangkat kening Ziqri melihat tingkah laku Marsha itu.
“You fikir apa?” tanya Ziqri sambil tangan kanannya naik ke pelipis kepalanya.
“You tak bawa Luf pergi honeymoon ke Ziq?”
Ziqri mendengus tawa. Dia bangun dari pembaringannya dan menumpukan pandangannya pada Marsha. “Honeymoon? Keningnya dijongket sinis.
Berkerut dahi Marsha mendengar nada sinis itu.
“Yelah. Honeymoon macam kita dulu-dulu. Ke you dah tak tahu apa tu honeymoon?”
“I sibuk. You tak masak ke? I lapar,” kata Ziqri sambil mencapai alat kawalan tv itu.
Marsha tergelak. Ziqri saja buat tak tahu ke ataupun sedang memerli dirinya. “You perli I ke?”
Ziqri merengus perlahan. Pandangannya kembali menikam wajah Marsha.
“I serius Mar. I lapar. Nak makan!” kata Ziqri tegas.
“I tak masak. You tahu I tak reti masakkan. Nak makan sangat pergilah rumah Luf,” kata Marsha selamba tanpa rasa bersalah.
Ziqri mengeluh perlahan. Tanpa membalas kata-kata Marsha, Ziqri berdiri dan meninggalkan Marsha di situ.
“Nak ke mana pula tu?” tanya Marsha hairan. Pandangannya mengekori Ziqri yang sudah berada di tangga.
Langkah Ziqri terhenti di anak tangga pertama kemudian menoleh dengan pandangan mengejek. “Nak pergi rumah Luf. You yang minta I pergi sana kan?” Ziqri kembali mengatur langkah mendaki anak tangga itu.
Marsha merengus kasar bila mendengar jawapan yang diberikan oleh suaminya itu. Dia membentak geram. “Pergilah! Tak hairanpun,”
“Nak pergilah ni,” sahut Ziqri dari atas.
“Hish! Menyampah!”

LOCENG rumah itu ditekan oleh Ziqri sambil memberi salam.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumsalam,” balas satu suara sayup kedengaran sebelum pintu rumah itu di buka.
Ziqri sembunyi senyum. Suara Lufya!
Pintu rumah itu dibuka sederhana dan kepala Lufya terjengul keluar.
“Abang….” Lufya sedikit terkejut dengan kehadiran Ziqri.
Ziqri tersengih mendengar panggilan yang meniti di bibir Lufya.
“Abang ganggu Luf ke?” tanya Ziqri lembut.
“Takdelah. Luf baru habis solat. Masuklah,” ajak Lufya sambil membuka pintu itu lebih luas untuk memberi ruang pada Ziqri.
Ziqri teragak-agak untuk masuk. “Kawan Luf takde?”
Lufya tersenyum mendengar nada suara Ziqri yang resah.
“Damya keluar dengan budak-budak kat pejabat. Luf tak join,” jawab Lufya.
Ziqri mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam rumah.
“Mar mana?” tanya Lufya sambil menutup pintu rumah itu. Dia menghampiri Ziqri yang tercegat di tepinya. Tangan Ziqri dicapainya lalu disalam dan dicium seperti sebelum itu.
Ziqri tersenyum. Tubuh Lufya ditarik sehingga bersentuhan dengannya dan selamba dahi Lufya dikucup mesra.
Lufya tersenyum malu kemudian menjauhkan diri.
“Duduklah. Abang dah makan?” tanya Lufya sambil melangkah menuju ke ruang tamu.
Ziqri mengekori langkah Lufya itu sambil matanya ralit memerhati setiap isi rumah itu. Simple seperti orangnya.
“Tak… abang lapar ni,” Luah Ziqri. Langkahnya berhenti di tepi sofa dan dia berpusing ke hadapan sofa itu lalu duduk.
Lufya memandang Ziqri dengan wajah simpati.
“Abang nak makan apa? Luf masakkan,” tawar Lufya. Dia beralih ke sofa yang bersebelahan dengan tempat Ziqri duduk.
“Apa-apa je. Abang tak kisah. Asalkan Luf masak,” jawab Ziqri sambil menatap wajah Lufya. Sempat dia mencuit hidung Lufya membuatkan Lufya menepis laju tangan Ziqri itu.
“Kalau macam tu…” Lufya menayangkan riak wajah mengusik. “Luf masak batulah,”
Meletus ketawa Ziqri. “Batu?” Wajah Lufya dipandang sambil dia menyengetkan wajahnya.
“Haah, batu,” kata Lufya sambil menjongket keningnya nakal.
“Kejamnya nak bagi abang makan batu. Kalau macam tu, abang kahwin lagi satu. Nak?” Ziqri angkat keningnya nakal.
Lufya tergelak. Dia membalas pandangan Ziqri nakal. “Do I care…”
“Yeke… nak kahwin dengan Damyalah…”
Sekali lagi Lufya tergelak.
“Damya tak nak kata bang. Abang dah ada dua bini,”
“Kalau nak…” Nada Ziqri meleret nakal.
Lufya mencebik nakal. “Mar kejar abang dengan penyapu. Nak?” Lufya mengangkat kedua keningnya berkali-kali mengundang ketawa Ziqri.
“Luf?”
“Luf tak kisah. Abang bukan hak Luf tapi hak Mar,” kata Lufya sekaligus mengingatkan Ziqri keadaan sebenar mereka.
Perasaan itu ditepis jauh oleh Ziqri. Dia mahu menikmati masa bersama Lufya itu dengan sebaiknya. Hatinya tidak mampu menepis perasaan sayang yang mula memenuhi ruangan hatinya itu.
“Abang duduk dulu ye. Luf nak masak. Dah siap nanti, Luf panggil abang,” kata Lufya seraya bangun.
Ziqri mencapai tangan Lufya lalu menarik Lufya sehingga Lufya terduduk di atas ribanya.
“Abang!” bentak Lufya lembut. Pandangan mereka bersatu.
Zap! Bagaikan ada magnet yang memaksa mereka terus bertatapan. Jantung masing-masing mula berdegup laju. Hati Ziqri mula bergelora. Nalurinya yang satu itu terusik lagi. Wajahnya dibawa mendekati wajah Lufya namun Lufya laju menahan pergerakan Ziqri itu.
Lufya bingkas bangun setelah tersedar tentang sesuatu. Wajahnya membahang malu.
“Lufya nak masak.” Sekelip mata Lufya berdesup hilang ke dapur.
Ziqri mengeleng kepalanya sambil tersenyum. Hampir terbabas!
Dia suka melihat Lufya yang malu, tersenyum dan bercoletah. Kelembutan yang ditunjukkan oleh Lufya bukan dibuat-buat. Semuanya semulajadi. Mungkin terlalu awal untuk dia akui perasaan sayangnya tapi hatinya tidak pernah menipu.
‘Bagaimana dengan Marsha?’ Ziqri termenung sejenak.
‘Marsha yang memilih situasi itu. Ini yang Marsha mahukan dan ini juga pilihan yang dia bagi,’ Ziqri mengangguk yakin dengan kata hatinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience