Get the app for full experience
HILANG saja Marsha dari pandangan, semua memandang ke arah Lufya dengan pandangan sinis dan jijik. Seolah-olah Lufya sudah melakukan kesilapan besar. Satu persatu bangun dari kerusi mereka sambil melemparkan kata-kata berbaur hinaan.
“Baliklah wei! Buat apa duduk dengan betina yang dah rampas suami orang. Ingatkan gosip liar. Betul rupanya,”
“Tulah! Hish! Muka je lawa, tapi perampas. Tak malu ke ambil hak orang?”
“Entah lah… menyesal pulak datang hari ni,”
“Model memang suka rampas laki orang. Maklumlah… nak yang kaya je,”
Lufya kaku di tempatnya berdiri. Hanya pandangan kecewa mengekori setiap langkah tetamu-tetamunya yang mula beransur pergi.
“Ei… kamu nak pergi mana? Majlis tak habis lagi ni?” Zarina mula memainkan peranannya.
“Baliklah! Kami tak nak support penyondol laki orang,” jawab salah seorang dari mereka.
“Mana boleh dengar cerita dari sebelah pihak je. Kena dengar juga dari pihak Cik Lufya,” Damya cuba memujuk mereka.
Mendengar kata-kata Damya, masng-masing menayangkan cebikan menyampah.
“Nak dengar apa lagi? Dah terang-terang dia rampas laki orang. Yang kamu berdua nak bela sangat kenapa? Bukti dah ada,”
“Tapi…”
“Tiada tapi-tapi! Kami tak nak berurusan dengan perempuan macam ni!” tegas mereka semua.
Lufya diam membisu. Fikirannya kosong. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan ketika itu. Semuanya musnah begitu sahaja. Apa yang diharapkan tidak menjadi. Dia malu dengan kejadian itu. mendengar kata-kata mereka juga, buat hatinya terasa pedih. Dia meraup wajahnya kasar. Dia memandang sekelilingnya. Yang tinggal hanya dia dan rakan-rakannya. Terkilan! Kenapa manusia terlalu cepat menjatuhkan hukuman, sedangkan mereka tidak tahu kisah disebalik semua itu.
Dia berusaha untuk menenangkan dirinya sendiri. Air matanya yang hendak luruh, ditahan. Dia tidak tahu, sampai bila dia akan bertahan dengan semua ini.
“Lufya,”
Lufya mengangkat tangan, tanda tidak mahu mendengar apa-apa dari bibir kedua rakannya itu.
Damya dan Zarina memandang Lufya dengan perasaan penuh simpati.
“Kamu buatlah apa yang patut. Aku nak keluar,” kata Lufya. Nada suaranya bergetar, tanda dia sedang menahan tangisnya sendiri.
Perlahan dia bangun dan melangkah lemah untuk meninggalkan tempat itu. Peristiwa itu cukup memberi kesan untuk dirinya. Bukan hanya dirinya, tapi juga seluruh keluarganya.
“Allahuakbar!” seru Lufya sebak. Dadanya sakit mengenangkan apa yang telah berlaku atas dirinya. Belum sempat dia sampai ke pintu keluar, lututnya lemah. Kemampuannya untuk terus berdiri dan melangkah, hilang serta merta, membuatkan dia akhirnya jatuh melutut sambil kedua tapak tangannya melekap ke lantai untuk menahan dirinya dari terus jatuh.
“Ya Allah! Lufya!”
Zarina dan Damya bergegas mendapatkan Lufya.
Lufya mengetap bibirnya kuat. Dia mula mengalirkan air mata. Sebelum sempat Zarina dan Damya membantunya, dia cuba untuk bangun dan berdiri.
“Aku kena kuat! Aku harus berdiri. Bukannya jatuh macam ni,” getus hatinya.
Zarina dan Damya kaget melihat Lufya yang kembali berdiri dengan gahnya.
“Lufya?”
Lufya menoleh, sambil mengukir senyumannya.
“Allahuakbar, Lufya,” keluh Damya.
“Terima kasih,” ucap Lufya, lalu kembali membuka langkahnya untuk pergi.
“Kau nak ke mana Lufya?” tanya Zarina lembut.
“Cari ketenangan,”
“Jangan nak buat kerja gila, Lufya,” pesan Damya.
Lufya tergelak seketika. Dia memberhentikan langkahnya lalu memandang kepada mereka berdua.
“Aku tak gila lagi,” balasnya pendek.
Lufya meninggalkan mereka berdua di situ dengan penuh tanda tanya dan juga keresahan. Mereka takut, Lufya akan bertindak bodoh.
“Jangan risau… aku tak terfikir lagi nak bunuh diri,” kata Lufya ketika langkahnya tiba di pintu untuk keluar.
Mereka berpandangan lagi. Tetap risau!