“MASAK ape tu?”
Serentak sepasang tangan kekar melingkari pinggang Lufya membuatkan Lufya menjerit kecil. Ziqri menerjahnya di dapur.
“Abang!” bentak Lufya sambil meletakkan sudip itu ke dalam kuali.
“I miss you!” bisik Ziqri penuh makna.
Lufya diam sesaat. Wajahnya membahang bila mendengar bisikan itu.
“Abang, Luf tengah masak ni. Kang tak makan abang tahu,” bebel Lufya. Dia berusaha mengawal perasaannya yang mula bergelora.
“Hmmm… baiklah,” rajuk Ziqri sambil meleraikan pelukannya.
Lufya kaku mendengar rajuk Ziqri. Hatinya mula resah. Dia tidak suka bila ada yang kecil hati dengannya dan mengingatkan siapa Ziqri membuatkan hatinya semakin rasa serba salah. Laju dia memusingkan tubuhnya menghadap Ziqri yang sudah berpaling arah. Lengan Ziqri dicapai laju memaksa Ziqri kembali menghadapnya.
“Abang, bukan Luf tak nak layan abang… tapi abang kena makan dulu ye. Luf janji,” kata Lufya serba salah.
Wajah muram Ziqri berubah serta merta. “Janji?”
“Ye, abang…” balas Lufya.
Ziqri sembunyi senyum. “Kalau tak?”
“Luf janji abang…” kata Lufya lagi menabur janji. Dia memusingkan tubuhnya menghadap kuali panas itu.
Ziqri menghampirinya dan berdiri disampingnya. Haruman yang tercipta dari masakan itu mengundang seleranya.
“Macam sedap je. Apa ni?” tanya Ziqri sambil kepalanya dijengukkan ke dalam kuali.
“Sambal sotong. Abang makankan?” Lufya memandang Ziqri sekilas meminta kepastian.
“Makan. Sedap tu,” balas Ziqri. Dia membawa dirinya ke meja yang berada ditengah dapur itu lalu duduk dikerusi yang memang ada disitu. Telefonnya yang berada didalam kocek seluar itu, dikeluarkan.
“Abang tak balik rumah ke? Mar mana?” tanya Lufya tanpa memandang kepada Ziqri.
“Balik mandi je. Mar, biasalah. Sibuk dengan kawan-kawan dia,” jawab Ziqri malas.
Berkerut dahi Lufya mendengarnya. “Kawan-kawan? Siapa kawan Mar?” Lufya memandang Ziqri yang tekun dengan telefonnya.
“Hah? Entah.” Ziqri angkat bahu tanda tidak tahu.
Terjongket kening Lufya melihat reaksi yang diberikan oleh Ziqri itu.
“Abang tak ambil tahu ke?” tanya Lufya hairan. Dia memadam api di dapur itu lalu menuju ke rak penyimpanan pinggan mangkuk.
“Abang tak naklah ambil tahu. Kang gaduh je tak habi-habis. Abang malas nak gaduh-gaduh. Mar tu bukan reti nak kalah,” jawab Ziqri separuh meluah.
Lufya tergelak kecil. Sebiji mangkuk kaca dicapainya lalu kembali ke dapur gas.
“Abang kena ambil tahu. Tu tanggungjawab abang. Kalau ada apa-apa yang jadi kat Mar, abang yang kena bertanggungjawab tahu,” nasihat Lufya. Tangannya menyenduk sambal sotong itu ke dalam mangkuk yang berada di tangannya.
Ziqri berdecit perlahan.
“Bukan abang tak pernah ambil tahupun Luf. Tapi… tiap kali abang tanya, ada saja jawapannya. Jenuhlah nak gaduh,” luah Ziqri lagi. Telefonnya itu dimasukkan kembali dalam kocek seluarnya.
Lufya diam. Dia menumpukan perhatian pada kerjanya. Selesai saja memasukkan semuanya, Lufya menatang mangkuk itu menuju ke ruangan makan, meninggalkan Ziqri di situ.
Ziqri bangun mengekori langkah Lufya.
“Abang duduk dulu. Luf nak hidang jap,” arah Lufya lembut. Dia menghilang kembali ke dapur.
Ziqri akur. Kerusi itu ditarik lembut untuk dia duduk.
Tidak sampai seminit, Lufya muncul semula dengan semangkuk sayur tumis dan juga nasi. Semua itu diletakkan di hadapan Ziqri. Pantas tangannya mencapai pinggan yang tersedia disitu lalu menyendukkan nasi untuk Ziqri.
Kepantasan dan kecekapan yang ditunjukkan oleh Lufya itu mengagumkan Ziqri. Hatinya benar-benar jatuh cinta pada Lufya.
“Makanlah…” tegur Lufya sebaik pinggan itu ditolak perlahan ke hadapannya.
“Luf tak makan?” tanya Ziqri.
“Luf dah makan dengan Mar petang tadi,” jawab Lufya serba salah.
Berkerut dahi Ziqri. “Mar jumpa Luf?” Keningnya dijongket hairan.
Lufya angguk lambat-lambat.
“Kenapa?” tanya Ziqri ingin tahu.
“Borak-borak…”
“Itu je?” tanya Ziqri lagi tanda tidak puas hati.
Berkerut dahi Lufya.
“Itu je lah. Kami borak biasa je. Sama seperti sebelum ni…” jawab Lufya. Dia memandang hairan wajah Ziqri yang seakan memikirkan sesuatu.
“Mar ada bawa kereta?”
Lufya geleng. “Naik teksi katanya…”
Ziqri cebik bibir kemudian mengangguk perlahan.
“Makanlah. Kang sejuk, tak sedap,” kata Lufya lagi.
Ziqri mencapai sudu yang tersedia itu lalu memulakan suapan.
Pandangan pertama Ziqri pada masakan Lufya, “Superb!”
Lufya tayang sengihan. Dia membiarkan Ziqri meneruskan suapan demi suapan. Hatinya terus terpanggil untuk menemani lelaki itu di meja makan.
‘Marsha tidak pernah masakkah?’
Mahu ditanya tapi, Lufya membatalkan niatnya itu. Dia menepis niat itu jauh-jauh dari mindanya. Dia tidak berhak sama sekali untuk masuk campur urusan mereka berdua, barpun Ziqri suaminya. Itu adalah kehidupan peribadi mereka berdua.
BUNYI pintu dan suara Damya yang memanggil itu, membuatkan mereka berdua berpandangan.
“Ops… sorry!” Langkah Damya terhenti di pintu ruangan makan itu.
Lufya dan Ziqri hanya tersenyum melihat gelagat Damya itu.
“Maaflah, saya tumpang makan jap,” kata Ziqri memulakan kata-kata.
Damya tayang wajah keliru. “Makan?”
Lufya berdecit kemudian mengelengkan kepalanya melihat kekeiruan Damya.
“Ye Cik Damya. Makan! Kau dah makan? Kalau tak…”
“Dah! Aku ada bawa buah tangan dari Hakim untuk kau….” Pintas Damya sebaik menangkap maksud mereka berdua.
Berderau hati Ziqri mendengar nama Hakim, manakala Lufya sudah mendengus. Sempat dia dengan Ziqri berpandangan tanpa kata.
“Bukan aku dah bagitahu yang aku tak nak terima apa-apa dari lelaki?” soal Lufya. Wajahnya berubah serius.
Melihat wajah Lufya yang sudah berubah, Damya tersengih. Takutlah tu!
“Aku memang tak nak ambil, tapi dia gigih sumbat dalam beg plastic aku ni. Penat tahu nak bawa benda alah ni.” Serentak beg plastic yang dibawa oleh Damya itu diletakkan di atas meja makan sambil tersengih pada Ziqri.
“Buang!” tegas Lufya.
Terbeliak mata Damya mendengar perkataan ‘buang’ itu. “Kau biar betul nak buang? Sayang kot…”
“Kau rasa sayang, ambillah,” jawab Lufya tanpa rasa bersalah.
“Hish! Kau ni… tak baik tau,” tegah Damya.
“Aku ambil lagi tak baik Damya. Tak nampak ke laki aku kat sini. Kau nak malukan aku ke,” bebel Lufya mula geram.
Ziqri simpan senyum. Lufya, Lufya…
“Hmmm… yelah! Kemas semua barang ni masuk peti sejuk. Penat aku jalan dengan ‘the gang’. Patut kau beria nak tolak. Ada ‘shubend’ rupanya. Dah lah! Aku nak naik!” Selamba Damya meninggalkan Lufya di situ bersama Ziqri.
“Maaflah. Damya ni memang menyakitkan hati sikit,” Luah Lufya.
“Takpelah. Dah memang mulut dia macam tu. Nak buat macam mana…” balas Ziqri. Sisa makanan terakhirnya dihabiskan.
“By the way… Hakim tu siapa?”
Lufya jeda sejenak. Wajah Ziqri dipandang seketika.
“Kawan,”
“Kawan?”
“Haah! Kawanlah.”
“Oh!” Ziqri anggguk perlahan.
“Kenapa?” tanya Lufya hairan.
“Takde apa. Saja tanya…”
Lufya angguk tanda faham.
Lufya mengemas semua sisa makanan yang tertinggal di situ, sementara Ziqri hanya memerhati setiap pergerakan Lufya.
Hatinya sedikit tertanya, adakah mereka akan terus macam tu, ataupun…
“Huh!” keluhnya.
Menepis rasa yang semakin kuat beraja dihati mereka bukanlah satu perkara yang mudah. Tapi untuk terus menyemainya, bakal meranapkan hati mereka.
Lantas apa lagi pilihan yang mereka ada? Hanya persoalan yang akan mengekori langkah hidup mereka hingga menemui penghujung kisah itu.
Share this novel