BAB 129

Romance Series 93123

RIEZMAN merenung wajah Syikin yang kelihatan serba salah. Dia sengaja meminta Syikin untuk berjumpanya, kerana mahu menyelesaikan apa yang selama ini menjadi persoalan dan menjadi titik permulaan kebencian Syikin pada Lufya. Tudung labuh yang melitupi kepala Syikin bagaikan menambahkan lagi api kemarahan pada hati Riezman. Nama saja bertudung labuh, tapi hati busuk! Itulah kata-kata yang bermain di hati Riezman ketika itu.
“Tahu tak, apa bezanya Syikin dengan Lufya?” tanya Riezman dengan nada suara, yang sedikit tertekan.
Syikin mendengus, saat mendengar nama Lufya meniti di bibir abang sepupunya itu.
“Tiada nama lain ke nak sebut selain nama Lufya?” soal Syikin dengan nada sebal.
Riezman tertawa sinis. Pandangannya berubah sinis.
“Inilah bezanya. Nampak tak betapa besarnya beza kamu berdua. Darah yang sama tapi hati yang berbeza. Lufya tu… nampak je seksi, meletop sini sana… tapi hati nurani Lufya lebih baik dari kamu yang bertudung labuh mengalahkan ustazah,” kata Riezman sinis.
Syikin menelan air liurnya. Kelat. Dia tidak berani memandang Riezman, saat mendengar kata-kata lelaki itu.
“Lufya tak pernah sekalipun sakitkan hati abang, tapi abang yang sakiti dia. Bukan abang yang putuskan hubungan pertunangan kami, tapi Lufya. Sebab abang curang,”
“Kenapa abang nak bagitahu semua ni pada Syikin,”
“Untuk menjelaskan perkara sebenar. Memperbetulkan kembali anggapan Syikin pada Lufya,”
Syikin mendengus tawa. Wajah Riezman dipandang seketika.
“Untuk apa?”
“Untuk sebuah harga diri yang Syikin telah calarkan. Untuk Syikin fikir mana yang baik dan mana yang buruk. Sanggup Syikin tengok ahli keluarga Syikin dimalukan macam tu? Sepupu jenis apa Syikin ni?”
Syikin diam.
“Abang boleh ambil Syikin jadi isteri abang… tapi, bolehkah Syikin janji yang Syikin akan minta maaf dengan Lufya. Tarik balik kenyataan yang Syikin buat pada media. Minta maaf secara terbuka, sebagaimana Syikin dah malukan dia,”
Syikin tergamam mendengar kata-kata Riezman itu. Dalam diam, perasaan gembira menyelit di dalam hatinya.
“Kalau Syikin dah buat semua tu, call abang,” kata Riezman seraya bangun meninggalkan Syikin termangu-mangu di situ.
Syikin terus memandang pemergian Riezman dengan perasaan yang bercampur gaul. Menarik balik kenyataan itu, umpama memalukan dirinya sendiri. Meminta maaf secara terbuka menunjukkan dia pesalah sebenar. Tapi dia akan memiliki lelaki yang selama ini dia inginkan dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience