SUARA berbisik sesama sendiri kedengaran diruang tamu yang dipenuhi keluarga terdekat Lufya. Seperti yang dirancang, majlis nikah itu hanyalah kecil-kecilan sebagaimana yang dia mahukan.
“Luf, bakal suami kau dah sampai,” bisik Damya cuba untuk menarik perhatian Lufya.
Lufya tidak mengangkat wajahnya. Dia tidak rela wajahnya dijamah pandangan benci dan meluat ahli keluarganya yang hadir. Dia tahu, ramai yang sedang memandangnya penuh dengan perasaan meluat.
“Handsome juga suami dia. Entah, jantan mana lagi dia cekau buat laki.” Satu suara bernada sinis yang anat dikenali oleh Lufya. Siapa lagi kalau bukan Syikin.
“Entah-entah, teman tidur malam kot. Kenal kat kelab malam, pastu tinggal serumah.” Kemudian suara itu ketawa mengekek.
Damya yang mendengar ayat yang dikatakan oleh mereka itu membuang pandangan ke arah sekumpulan anak dara yang sedang memandang sinis ke arah Lufya. Damya menarik nafasnya lemah sambil menggenggam jejari Lufya.
“Tak payah nak ambil kisah,” kata Damya separuh berbisik.
Lufya tersenyum tawar. “Aku dah biasa semua tu,”
Damya angguk kepala. “Tak luakpun kalau kena kutuk. Satu masa nanti, diorang akan tahu siapa kau sebenar,”
Lufya angguk perlahan.
“Mar ada tak?” tanya Lufya berbisik.
Damya memerhati sekeliling kemudian geleng perlahan. “Takde,”
Lufya diam. Suara imam yang kedengaran itu, memaksa Lufya untuk membisu sejenak. Dia mahu memberi perhatian pada akad nikah yang bakal berlangsung itu.
Hj. Maliki menghulurkan tangannya dan Ziqri menyambutnya. Pandangan mereka berlaga.
Lufya hanya memandang dari jarak beberapa meter dengan hati yang berdebar.
“Ziqri Amsyar Bin Muhammad Hafiz.” Hj Maliki merenung jauh ke dalam mata Ziqri.
“Saya.” Ziqri menyahut tenang.
“Aku nikahkan dan kahwinkan dikau dengan puteriku, Lufya Adelia dengan mas kahwin seribu ringgit tunai?”
“Aku terima nikah dan kahwinnya Lufya Adelia dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai!”
“Sah?” Hj. Maliki memandang kedua saksi pernihakan yang dilantik itu.
“Sah.”
“Sah.”
“Alhamdulillah.” Hj Maliki melepaskan tangan Ziqri sambil meraup wajahnya.
Dengan sekali lafaz sahaja, Lufya sah bergelar isteri pada Ziqri Amsyar. Doa yang dipimpin oleh Hj Maliki itu mengundang rasa sayu dihati Lufya. Sejak dia balik ke kampung, dua hari lepas, wajah Hj Maliki tidak lekang dengan senyuman.
Keputusannya itu mengundang senyuman kebahagiaan di wajah kedua orang tuanya. Tapi bagaimana reaksi mereka sekiranya mereka mendapat tahu yang Ziqri adalah suami orang. Lebih parah lagi, suami rakan baiknnya sendiri. Rakannya yang cukup mereka kenali.
“Ziqri datang,” bisik Damya sekaligus menarik Lufya untuk kembali ke alam reality.
Lufya menarik nafas perlahan lalu mendongak memandang wajah Ziqri. Satu senyuman manis terukir khas untuk lelaki itu.
Ziqri terpanar sebaik pandangan mata mereka berlaga dan senyuman itu sungguh memukau hatinya. Dia tiba-tiba berdebar.
“Hai,” sapa Ziqri lembut separuh berbisik. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
Lufya senyum mendengar sapaan itu. “Hai juga,”
Damya mencebik bibir. “Menyampah!”
Lufya ketawa kecil sambil menyambut huluran itu lalu menunduk untuk mengucupnya lembut. Beberapa kelipan cahaya kelihatan dan bunyi kamera di petik silih berganti, memenuhi kawasan itu. Lufya melepaskan tangan Ziqri lalu mendongakkan wajahnya dan Ziqri memaut dagunya lembut.
Satu kucupan hangat singgah di dahi Lufya, dalam masa yang sama hati Lufya diserbu perasaan yang asing dan pelik. Apakah ia? Lufya mengabaikannya. Berakhirlah sudah sesi penyerahan mas kahwin. Beralih pula pada sesi bersalaman. Lufya menyalami keluarga Ziqri dan beralih pada Puan Hazimah dan Hj Maliki.
Hj Maliki memeluk erat tubuh Lufya diikuti satu kucupan hangat di dahi ana perempuannya itu. Perasaan marahnya seakan hilang sebaik sahaja Lufya sah menjadi isteri pada Ziqri. Dalam hatinya terselit seribu kekesalan, kerana menghukum Lufya sedemikian rupa.
Selesai sesi bersalaman, Lufya dan Ziqri masing-masing bangun dari kedudukannya untuk menuju ke pelamin kecil yang disediakan oleh Damya dan juga Lila. Semalaman mereka bertungkus lumus untuk menyediakan semua itu, biarpun Lufya berkali-kali menegah mereka.
“Finally, you’re married!” Aeril mendepakan tangannya meluru ke arah Lufya mahu memeluk Lufya.
Lufya tersenyum sumbing melihat gelagat Aeril itu. Dia tidak jadi untuk duduk tapi terus berdiri menunggu kedatangan Aeril. Khalid dan Lila menyusul dibelakangnya.
“Kahwin juga Lufya.” Tubuh Lufya selamat berada dalam pelukan tiga beradik itu. mereka bersyukur dengan apa yang Lufya mula kecapi.
“Terima kasih abang ngah, abang long, Lila…”
Mereka meleraikan pelukan dan merenung wajah Lufya nakal. Sempat Khalid mengintai wajah Ziqri.
“Take a good care for my sister,”
Ziqri senyum manis. “Insya’Allah. Wish me luck,”
“Kunci semua pintu bilik, untuk elak dia nangis sendiri. Dia ni pelik sikit. Suka berkurung dalam bilik, layan perasaan,” kata Aeril sambil mencuit hidung Lufya.
“Abang ngah!” rengek Lufya bila dijadikan bahan usikan.
“Tahniah kak,” ucap Lila sambil menggenggam jejari Lufya.
Lufya angguk dengan senyuman yang terukir di bibirnya. “Terima kasih. Doakan akak ye,”
“Akak sentiasa dalam doa Lila,” balas Lila lembut.
“Duduklah. Dah lah tu Lila. Pengantin nak bersanding ni. Sibuk je,” Aeril memimpin tangan Lufya untuk menyuruhnya duduk.
Lufya ketawa kecil bila Lila sudah menayangkan wajah menyampah.
Satu persatu tetamu yang hadir, datang menyalami Lufya dan Ziqri sehinggalah giliran Riezman.
“Tahniah!” ucap Riezman dengan wajah kecewa.
Lufya ketap bibir sambil mengerling Ziqri.
Menerima kerlingan dari Lufya itu membuatkan hati Ziqri segera meneka siapa lelaki itu.
“Terima kasih abang Riez. Terima kasih juga sebab sudi datang,” kata Lufya cuba untuk berlagak selamba. Satu senyuman hambar dihadiahkan pada Riezman.
Riezman beralih pada Ziqri.
“Tahniah bro! Moga bahagia,” kata Riezman dengan nada kecewa.
“Insya’Allah bro.” jawab Ziqri sambil menghadiahkan senyuman.
Suasana di majlis itu agak tenang dengan kehadiran keluarga yang dijemput.
“Hai Ziq!” Daniel muncul dengan sengihannya.
Ziqri menarik wajah masamnya. Semalam, dia mengajak Daniel untuk ikut sekali ke Terengganu sehari lebih awal. Tapi Daniel membantah dengan alasan anaknya demam.
“Mana anak bini kau. Kata nak datang dengan anak bini,” Tempelak Ziqri.
Daniel sengih lagi sambil matanya mengerling Lufya yang kelihatan tenang. Dia sedikit terkejut kerana isteri kedua Ziqri adalah perempuan yang mereka temui di restoran tempoh hari. Pandangannya kembali terarah ke wajah Ziqri. “Yana tengah alahanlah Ziq. Nak jalan jauh memang payahlah,”
“Kau datang seorang ke?” tanya Ziqri lagi sambil kepalanya meninjau ke pintu masuk rumah itu.
“Yelah! Dah kau yang tak nak ramai tahu. Penat gila drive jauh-jauh macam ni,” rungut Daniel.
“Kau dah makan, belum?” tanya Ziqri.
Daniel geleng kepala sambil mengerling Lufya. “Patutpun beria nak terima cadangan Mar,”
Ziqri tersengih mendengar gumam Daniel sambil matanya mengerling wajah Lufya sekilas. “Lufya, ini Daniel. Sepupu saya merangkap kawan baik saya,”
Daniel melayangkan senyuman pada Lufya dan Lufya membalasnya. “Hai, jumpa awak lagi kat sini. Tak sangka pula…”
Lufya mengangguk perlahan. Dia ingat wajah Daniel itu. “Hai juga. Terima kasih datang,”
“Sama-sama. Gila tak datang. Karang ada yang merajuk mengalahkan budak lima tahun,” kata Daniel sambil menjeling Ziqri.
Ziqri menjuihkan bibir. “Tahu takpe,” Ziqri membuang pandangan ke arah keluarganya yang sedang menjamu selera itu kemudian memandang Daniel. “Kau tunggu apa kat sini? Pergilah makan. Ada Zakri dengan Zakir tu tengah makan,”
“Kau dah makan? Ke nak makan beradab?” Daniel memandang Lufya.
Lufya bangun dari kerusinya lalu memandang Ziqri. “Awak pergilah temankan dia makan. Saya nak jumpa sepupu saya.” Lufya memuncungkan mulutnya pada sekumpulan gadis yang sibuk berbual sesekali menjeling ke arah mereka.
Ziqri senyum dan turut bangun.
“Jomlah makan. Sejak bila kau jadi manja macam ni sampai nak kena berteman makan,” ajak Ziqri sambil memerli Daniel.
Daniel cebik bibir. “Ni bukan rumah kau, tapi rumah isteri ke…”
Ziqri menarik bahu Daniel membuatkan kata-kata Daniel terhenti dan dahinya berkerut bila Ziqri merapatkan tubuhnya seraya berkata. “Kau cakap bebaik sikit Dany. Tiada satupun keluarga Luf tahu yang aku dah kahwin tahu,”
Daniel terdiam. Dia memandang tepat ke wajah Ziqri. “Seriuslah…”
“Kau ingat aku ada masa nak main-main…” balas Ziqri sambil menjauhkan tubuhnya lalu meninggalkan Daniel. Langkahnya di bawa ke meja yang menempatkan pelbagai jenis hidangan.
“Baru sampai Dany?” sapa Tuan Hafiz, ketika Daniel melintasi Tuan Hafiz dan Puan Kirana.
“Ye Pak long,” jawab Daniel dengan penuh bersopan.
Tuan Hafiz angguk kepala. “Pergilah makan. Boleh kita balik sekali nanti,”
Daniel angguk kepala. Dia menghampiri Ziqri yang sudah menyenduk makanan.
“AKU syak yang si Lufya ni ‘terbabas’ dengan suami dia. Tu yang nikah mengejut. Kecil-kecilan pula tu. Orang lain semua nak majlis kahwin besar-besaran,” kata satu suara sumbang yang amat dikenali oleh Lufya. Suara itu hadir dari sekolompok anak dara pingitan yang cukup dikenali oleh Lufya. Langkahnya terhenti di belakang kumpulan itu.
Lufya menghela nafas panjang sebelum menerjah mereka berlima.
“Tak habis lagi ke isu ‘terbabas’ dengan ‘terlanjur’ korang?” Suara Lufya itu membuatkan mereka berlima menoleh ke arah Lufya.
Berubah air muka Syikin bila melihat Lufya berdiri betul-betul di belakang mereka.
“Tak betul ke?” Syikin kemudian mencebik bibir.
“Aku tak kahwin-kahwin korang kutuk. Sekarang dalam majlis akupun, korang masih nak kutuk aku? Sampai bila korang nak cakap bukan-bukan pasal aku ni?” tanya Lufya tenang.
Mereka berpandangan seketika. “Sampai kami puas hati,”
Lufya memandang wajah Syikin yang jelas tidak puas hati padanya. “Kalau benci sangat kat aku, lain kali tak payah datang,”
“Eleh! Kau ingat aku nak sangat ke datang rumah kau ni? Tengok muka kau tu pun, buat aku rasa jijik tahu.” Syikin menayangkan riak wajah menyampah.
Bahu Lufya disentuh dari belakang membuatkan Lufya menoleh. Damya!
“Alah! Tak payah nak berlagak baik kalau mulut macam longkang. Muka je cantik tapi mulut mengalahkan jamban belakang rumah!” Selamba Damya menuturkan ayat itu pada Syikin.
Kawan-kawan Syikin yang lain menekup mulut masing-masing kerana tercuit dengan serangan Damya itu.
Syikin merengus kasar. “Kau siapa?”
Damya angkat bahu. “Kau rasa?” Damya menghadiahkan senyuman sinis sambil menjongket kening sebelahnya.
Syikin bangun sambil menarik begnya. Satu jelingan tajam dihadiahkan pada Lufya dan Damya namun Damya dan Lufya hanya memandangnya tanpa rasa tergugat.
“Jom balik!” Ajak Syikin sedikit kasar.
“Eloklah balik. Daripada menyemak je kat sini,” kata Damya lagi.
Lufya memandang Damya kemudian mengelengkan kepalanya tanda meminta Damya untuk menghentikan sikap tidak profesionalnya itu.
Damya mengalah, tapi pandangan matanya masih tidak melepaskan kelibat Syikin dan kawan-kawannya. Bukan dia tidak dengar apa yang mereka bualkan sejak awal majlis. Sibuk mengutuk Lufya. Yang menghairankan, Lufya seakan tidak terkesan langsung mendengar kata-kata mereka itu.
“Tak payahlah kau nak maki hamun diorang. Bukannya kau dapat apapun,” tegah Lufya lalu melangkah mahu menyertai keluarga Ziqri.
Damya mengekori langkah Lufya.
“Kahwin juga si Lufya. Pandai dia memancing kat KL.” Kata-kata berbaur sindiran yang terbit dari bibir salah seorang ibu saudara Lufya.
Lufya mengabaikannya dan terus melangkah bagaikan ayat itu tidak pernah didengarnya.
Damya menggenggam tangannya sendiri. Mahu sahaja dia mengeluarkan ayatnya untuk membela Lufya, tapi dia tahu Lufya tak akan mengizinkan perkara itu terjadi.
“Umi, abah,” Panggil Lufya dengan penuh kelembutan sambil mengambil tempat di hadapan ahli keluarga Ziqri. “Dah makan?”
Puan Kirana dan Tuan Hafiz tersenyum mengangguk.
“Alhamdulillah, sudah Lufya. Sedap makanan yang keluarga Lufya sediakan,” puji Puan Kirana.
Lufya senyum lagi. “Lepas ni nak balik juga ke? Tak nak bermalam?”
“Tak dapatlah Lufya. Umi kerja esok. Abah pula ada mesyuarat,” Jawab Puan Kirana mewakili suaminya juga.
“Yang lain?” Lufya memandang wajah adik beradik Ziqri silih berganti sehinggalah Ziana.
Masing-masing berpandangan dengan senyuman yang terukir di bibir.
“Zie ada shooting malam esok. Lepas tu nak prepare persiapan untuk pergi New York nanti,” jawab Ziana dengan senyuman.
Berkerut dahi Lufya. “Bila nak pergi New York?”
“Akhir bulan ni,” jawab Ziana lagi. Dia tayang sengihannya.
“Erk! Samalah kita. Zie under fashion designer mana?” tanya Lufya sedikit teruja. Selama ini, dia mengenali Ziana dengan lakonannya tapi dia tidak pernah tahu yang Ziana juga adalah model.
“Really? Kenapa tak pernah nampak Lufya, ye?” Riak dan wajah Ziana berubah teruja.
“Tu namanya belum jodoh kamu berdua nak berjumpa,” celah Tuan Hafiz mengundang ketawa kecil dari bibir mereka semua.
“Abang Zakri tak nak bermalam?” Pandangan Lufya beralih pada Zakri.
“Er… bukan tak nak, tapi kak Syura dengan anak-anak ada kat rumah tu. Tengah sarat tu, abang tak beranilah nak tinggal lama-lama,” jawab Zakri serba salah.
Lufya senyum kemudian angguk kepala lambat-lambat. “Oh! Takpe. Luf faham,”
“Zizi dengan Zakir?”
Zizi dengan Zakir berpandangan kemudian tersengih.
“Maaflah, kak Luf. Zizi ada kerja esok.” Zizi menayangkan giginya.
“Samalah. Esok kena fly pergi Hong kong,” jawab Zakir pula.
Lufya angguk kepala lagi. Nampaknya, tiada satupun ahli keluarga Ziqri yang akan bermalam di situ. Kalau saja ada, Lufya sanggup menempah rumah tumpangan yang berdekatan untuk keselesaan mereka. Maklum sajalah, rumah keluarganya itu, bukanlah besar manapun.
Dari jauh, Ziqri dan Daniel melihat kemesraan yang terjalin antara keluarganya dan juga Lufya. Bagaikan ada tarikan disitu. Melihat cara Lufya memandang mereka, cara Lufya berbicara.
Jauh sungguh perbezaan mereka! Ayat itu hanya bergema difikiran Ziqri.
Share this novel