BAB 13

Romance Series 92840

DUA minggu selepas Lufya balik dari kampung, harinya berjalan seperti biasa. Dia berlakon seolah-olah tiada perkara yang berlaku terhadapnya. Bukan sekali dua, Damya menanyakan tentang wajahnya yang sembab ketika tiba dari kampung, tapi dia memilih untuk berdiam diri. Dia belum bersedia untuk menerima pandangan dari Damya. Takut hatinya tidak kuat untuk mendengar cadangan Damya.
Bangun sahaja dari tidur, Lufya mencapai telefon pintarnya untuk melihat kalau ada perkara yang penting perlu dilakukan di awal pagi.
“Tiga missed call?” Berkerut dahi Lufya melihat nombor yang tidak dikenali itu.
“Tengah malam pula tu. Siapa call tengah-tengah malam ni. Macam penting je,” bisik Lufya.
Dia cuba mengingat nombor itu tapi gagal. “Isk! Nanti aku call baliklah,”
Lufya mencampakkan telefon itu ke sisinya lalu bangun dan menuju ke bilik air. Sempat tangannya mencapai tuala mandinya itu. Hatinya mula resah memikirkan panggilan yang tidak dikenali itu. Wajah kedua orang tuanya silih berganti memenuhi fikirannya. Dia risau kalau ada sesuatu yang berlaku pada mereka.
Selesai mandi, Lufya terus menunaikan solat subuhnya dan bersiap untuk ke pejabat. Petang nanti dia mahu mengadakan mesyuarat untuk berbincang dengan pekerjanya.
“Kau dah siap?” Damya menjengukkan kepalanya tanpa mengetuk pintu bilik Lufya.
“Dah. Eh! Tolong aku check nombor yang missed call aku semalam. Takde namalah. Risau pula aku kalau ibu ke ayah yang call.” Kata Lufya tanpa memandang Damya.
Berkerut dahi Damya. Dia melangkah masuk ke bilik Lufya sambil matanya meliar mencari telefon Lufya. Akhirnya pandangan Damya terkunci pada telefon Lufya yang berada di atas tilam. “Takde nama?”
“Hmmm….” Balas Lufya ringkas. Tangannya merapikan rambutnya untuk kali terakhir sebelum dia memberi tumpuan sepenuhnya pada perbualan antara dia dan Damya.
Damya menggodek telefon Lufya sambil melabuhkan punggungnya di atas tilam itu. Matanya tertumpu pada nombor itu. dahinya berkerut-kerut cuba mengingati nombor itu tapi gagal.
“Siapa yang rajin sangat call kau tengah malam ni?” Damya berkata separuh bertanya kehairanan.
Lufya memusingkan tubuhnya menghadap Damya sambil tangannya mencapai beg tangan di tepi meja solek itu. “Kalau aku tahu, aku tak minta kau tolong check,”
Damya tayang sengihan. “Kau nak aku call nombor tu balik ke, atau…”
“Terpulang pada kau nak call atau tak. Yang aku tau, tolong double confirm siapa. Itu je,” kata Lufya sambil melangkah ke arahnya dan merampas telefonnya itu lembut.
“Okay bos,” kata Damya seraya bangun dan membuka langkah ke arah pintu.
Lufya memasukkan telefonnya itu ke dalam beg tangannya, lalu mengekori langkah Damya.
“Kau dah sedia nak pergi Singapore, next week?” tanya Damya sambil melangkah menuruni anak tangga itu.
Lufya yang baru menutup pintu biliknya itu memandang Damya dengan kerutan. “Mestilah!”
“Ingatkan kau dah lupa,” kata Damya sambil menoleh ke belakang.
Lufya herot bibirnya ke tepi dan keningnya dijungkit sambil memandang Damya yang sudah sampai di anak tangga terakhir. “Kenapa aku nak lupa pula?”
“Kebelakangan ini, aku tengok kau banyak termenung. Risau juga aku,” kata Damya sambil memacu langkah menuju ke sofa yang menempatkan barang-barangnya yang hendak dibawa ke pejabat.
Lufya tergelak kecil. Dia tahu Damya memerhatikannya.
“Takdelah. Aku okay je. Cuma aku rindu family aku,” kata Lufya berdalih. Sebaik langkahnya tiba di anak tangga terakhir, Lufya terus menuju ke pintu keluar rumah itu.
Damya yang sudah mencapai semua barang-barang dan begnya hanya mengangguk perlahan.
“Baguslah kalau okay. Kau dengan parents kau dah okay kan?” tanya Damya. Dia memandang tepat ke arah Lufya.
Lufya angguk sekali.
“Alhamdulillah. Akhirnya berbaik juga kau dengan keluarga kau. Tak sia-sia aku doakan kau,” kata Damya sambil mengatur langkah menghampiri Lufya.
Lufya melakar senyuman kelat. Tangannya membuka rak kasut itu dan mencapai wedges hitam kegemarannya. Dalam diam, hatinya merintih. “Aku tak baik lagi dengan ayah!”
Setelah memastikan semua sudah tertutup rapi, mereka berangkat ke pejabat bersama seperti selalu. Damya mengerling wajah Lufya yang kelihatan suram itu. Mahu bertanya, tapi risau dimarah. Dia tahu sangat sikap Lufya bila dalam keadaan begitu.
“Kau nak sarapan?” tanya Damya memecah kesunyian antara mereka.
“Tak nak lah. Tapi… singgahlah belikan untuk diorang yang kat pejabat tu. Kesian pula. Stok berlambak datang. Sampai takde masa nak makan,” kata Lufya, mengingati pekerja-pekerjanya di Beauty And Health by Luf.
Damya angguk perlahan. “Nak beli apa untuk diorang?”
“Tanyalah dalam group. Takkan tu pun kau nak tanya aku. Mana aku tahu diorang nak makan apa,” balas Lufya sambil mencari telefonnya di dalam beg. “Ingat ahli nujum ke!”
Damya tersengih mendengar kata-kata Lufya itu. Tangan kanannya mencari telefon pintarnya di dalam kocek seluar.
Melihat tangan Damya hanya sebelah memegang stering kereta, Lufya berdecit perlahan. Satu pandangan tajam dihadiahkan kepada Damya.
“Memandu, jangan pakai phone. Kau tunggulah sampai kat restoran nanti, baru cari telefon. Boleh eksiden, tau tak,” bebel Lufya membuatkan tindakan Damya terhenti.
Damya mencebik bibir. “Alah, biasa dah kot,”
“Biasa tu lah yang kita kena jaga Damya. Nyawa tak jual kat pasar malam,” kata Lufya lagi membebel.
“Hmmm… okay bos!” Damya akur dengan kata-kata Lufya itu. “Terlalu berdisiplin!”
Kereta yang dipandu oleh Damya itu akhirnya berhenti dihadapan sebuah restoran mamak yang agak terkenal di Kuala Lumpur. Rata-rata pengunjung restoran itu memuji kesedapan makanan di situ.
Damya keluar sambil memandang Lufya meminta kepastian. “Betul kau tak nak apa-apa?”
Lufya mengelengkan kepalanya sambil matanya tertumpu pada laman Instagramnya. “Tak,”
Damya terus masuk ke dalam restoran itu meninggalkan Lufya sendirian di situ.
Lufya menatal instagramnya itu untuk mencari info-info yang menarik. Tapi hampa. Yang ada cumalah iklan perniagaan. Dia akhirnya menekan menu untuk kembali ke menu utama. Ingatannya kembali kepada nombor asing yang menghubungnya semalam.
Laju jejarinya menekan menu ‘Missed called’ untuk melihat kembali nombor itu. “Telefon balik atau biar?”
Akhirnya Lufya menekan menu ‘call’ dan lambat-lambat menekapkan telefon itu ke telinganya.
Sesaat…Dua saat…Tiga saat…
“Hello,” Lufya terkedu mendengar suara lelaki di hujung talian. “Siapa?”
“Hello, boleh saya tahu ni siapa?” tanya Lufya lembut. Mindanya terus berputar mengingati suara itu.
“Saya Ziqri. Awak Lufyakan? Ini telefon Mar. Saya tolong jawab, sebab Mar masih tidur,” Lufya menarik nafas lega mendengar nama Marsha disebut oleh lelaki itu.
“Oh yeke! Maaflah ganggu. Semalam Mar ada call, tapi saya dah tidur. Kirim salam kat dia ye,” kata Lufya berkira-kira untuk mematikan talian.
“Wait… Did Mar call you last night?” soal Ziqri meminta kepastian.
Berkerut dahi Lufya. Pekak ke lelaki ni? Lufya bertanya sendiri. Sepi sejenak.
“Miss Lufya?”
“Er… ye. Mar call saya semalam, tapi tak dapat nak jawab,” kata Lufya. Sekali lagi dia menjelaskan perkara sebenar.
Ziqri mengangguk, tapi dahinya berkerut. Marsha yang masih lena diulit mimpi dipandang sejenak. “Apa sebenarnya tujuan Marsha? Takkan dia nak aku dengan Lufya kahwin,”
“Oh! Okay. Nanti saya bagitau Mar. Thank’s for inform me about that call,” kata Ziqri lalu mematikan talian itu tanpa menunggu balasan dari Lufya.
Berkerut dahi Lufya. Apa yang jadi? Dia membiarkan persoalan itu di kepalanya. Dia tidak mahu mencampuri urusan orang yang tidak berkaitan dengannya. Bunyi pintu kereta yang dibuka, menandakan yang Damya sudah tiba.
“Kau kenapa?” Tanya Damya kehairanan melihat dahi Lufya yang berkerut-kerut.
“Takde apalah. Pasal nombor tadi tu, tak payahlah kau check. Aku dah tau siapa,” kata Lufya menjawab.
“Siapa?” tanya Damya memandang Lufya.
“Marsha,” Berkerut dahi Damya mendengar jawapan Lufya.
“Dia nak apa?” tanya Damya lagi.
Lufya mengangkat bahunya. “Entah,”
Damya hanya menjungkit bibir sambil mengherot bibir tanda tidak mahu masuk campur urusan kedua sahabat lama itu. Dalam diam, hatinya tidak senang dengan berita yang satu itu. Bukan dia tidak suka Lufya berbaik dengan Marsha, tapi dia dapat merasakan ada perkara yang tidak baik bakal terjadi sekiranya Lufya terus melayan Marsha.
Walau bagaimana, dia hanya pembantu peribadi Lufya. Dia tiada hak untuk masuk campur urusan Lufya. Cuma sebagai kawan, dia tidak mahu melihat Lufya disakiti lagi. Dia yakin, Marsha pasti ada niat yang tidak baik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience