BUNYI deringan telefon Ziqri ketika jarum menunjukkan angka empat pagi itu, mengejutkan Ziqri dari lena. Dia menggeliat malas sebelum tangannya mencapai telefon pintar miliknya yang berada di sisi katil. Lufya yang masih lena di kerling dengan senyuman di bibir. Sebaik melihat skrin telefon itu, senyuman Ziqri mati serta merta.
“Mar,” bibirnya bergerak menyebut nama Marsha.
Mimpi apa Marsha bangun seawal itu. Dia menyentuh ikon hijau dan menekapkan telefon itu ke telinganya.
“Ziqri!” seru Marsha di hujung talian.
“Assalamualaikum Mar. Awal you bangun,” kata Ziqri dengan suara perlahan. Dia tidak mahu Lufya terjaga.
“You perli I ke?” soal Marsha dengan nada yang menjengkelkan.
“Tak perli Mar. I cuma pelik je. Jarang sangat you bangun awal ni. Rindu I ke?” Ziqri berkata lagi.
Marsha mendengus kasar. Entah kenapa dia merasakan yang Ziqri seakan mengejeknya ketika itu.
“Bila you nak balik?” soal Marsha kasar.
Berkerut dahi Ziqri mendengar soalan bernada kasar itu. “You bangun awal sebab nak tanya I soalan ni ke?”
Marsha diam sesaat, kemudian berkata lagi. “Tak lah… tapi, I miss you,”
Terlepas ketawa kecil Ziqri mendengar luahan yang lama tidak didengar dari bibir Marsha itu.
“You mimpi apa Mar? Dah lama I tak dengar ayat tu keluar dari mulut you,”
Marsha berdecit perlahan. “I really mean it, Ziq,”
Ziqri diam. Kenapa selepas dia berkahwin dengan Lufya baru Marsha menyatakan itu. Adakah ini salah satu rancangan terbarunya? Ziqri mengeluh perlahan.
“Don’t tell me that you have another plan for us?”
“Ziq!”
“Mar, please! Not now! I penat!” tekan Ziqri.
Marsha mencebik bibir. “Penat konon! Penat apa? Bukannya majlis besar-besaranpun.”
“Mar,”
“Okay fine! Bagitahu I bila you dengan Luf balik kat sini,” kata Marsha lalu mematikan talian begitu sahaja tanpa salam mahupun ucapan selamat tinggal.
Ziqri mengeluh. Rambutnya yang berjuntai di dahi itu disauk ke belakang. Gerakan tubuh Lufya membuatkan mata Ziqri melekat ke wajah itu. Matanya melekat ke mata Lufya yang terpejam erat. Bulu matanya cukup cantik panjang dan melentik. Keningnya yang hitam dan tersusun rapi bagai dicukur. Hidungnya yang mancung bak seludang, dan bibirnya… merah merekah seperti mengenakan gincu, tapi sebenarnya semulajadi. Kulitnya selicin kulit bayi, dengan warna kulit yang putih melepak.
“Umi, Ziq dah jatuh cinta!”
Jarinya sengaja dijalarkan ke setiap inci wajah Lufya membuatkan Lufya bergerak dengan kerutan didahi. Matanya terbuka kejap, kemudian ditutup balik.
“Morning wifey!” Selamba Ziqri mencium dahi Lufya dan beralih ke bibir.
Membulat mata Lufya bila terasa ciuman hangat itu. wajah Ziqri dipandang penuh tanda tanya dan bila menyedari sesuatu, wajahnya membahang kerana malu diperlakukan sebegitu.
“Abang…” rengek Lufya. Selimut yang membaluti tubuhnya ditarik menutupi tubuhnya.
Ziqri tergelak kecil. Selimut yang menutupi wajah Lufya itu ditarik lembut.
Lufya mengeraskan tubuhnya bila terasa tarikan itu.
“Kenapa ni?” tanya Ziqri lembut menjengah pendengaran Lufya.
“Alah… janganlah…” tegah Lufya separuh merengek. Dia malu mengingatkan apa yang berlaku antara mereka semalam.
Ziqri tersenyum sendiri. Sikap malu yang ditunjukkan oleh Lufya itu menggamit nalurinya yang satu itu.
“Luf tahu tak… abang suka Luf malu-malu macam ni. Rasa macam nak ngap je,”
Mata Lufya terbuka luas mendengar ayat Ziqri itu. Laju selimut itu ditolak sambil kakinya dijatuhkan ke lantai. Tindakannya terhenti bila Ziqri menarik spontan tubuhnya itu ke dalam pelukan Ziqri.
“Abang…”
“Abang nak…”
“Tak nak lah…. Nak mandi….”
“Berdosa tolak ajakan suami…”
Lufya kaku mendengar ayat terakhir Ziqri itu. Bibirnya diketap kuat. Pandai sungguh lelaki itu mengenakannya.
Melihat Lufya kaku di situ, Ziqri sembunyi senyum. Tubuh Lufya diraih lembut dan penuh dengan kasih sayang. Wajah Lufya dipaut agar memandang ke arahnya.
Lufya dengan rela menatap mata lelaki itu.
“Luf cantik sangat…” bisik Ziqri seraya mengucup lembut dahi Lufya.
Lufya menggigit bibirnya kejap. Otaknya beku. Mindanya berhenti berfikir seketika.
Sekali lagi Lufya hanyut dalam dunia ciptaan Ziqri. Hatinya terusik dengan sesuatu perkara. Rasa bahagia semakin hadir, tapi sampai bila ia akan bertahan. Ataukah ia hanya kerana keinginan semata-mata? Lufya tiada jawapan itu. Yang jujur, dia rasa dihargai dan disayangi.
KALAU semalam, tercipta suasana baru buat Ziqri, sekali lagi subuh itu dia dapat satu suasana yang tidak akan mampu dia lupakan. Inilah suasana yang dia cari dalam rumahtangga dan Lufya berjaya membawa suasana itu masuk ke dalam rumahtangga mereka.
Permintaan Lufya untuk dia menjadi imam ketika solat subuh membuatkan hatinya diulit rasa terharu dan bersyukur. Dia menyangka Lufya sama sahaja seperti Marsha. tidak tahu apa itu solat. Ternyata dia tersilap membuat andaian. Siapa sangka Lufya yang berkerjaya sebagai model, berpakaian seksi dan boleh dikategorikan sebagai perempuan yang tidak cukup kain, tapi masih ingat untuk sujud pada pencipta.
Rasa malu menghuni dirinya saat itu. Sudah terlalu lama dia melupakan semua itu dan Lufya berjaya membawanya kembali ke jalan yang diinginkan. Nasib baik, dia masih mengingati setiap bacaan ketika solat. Kalau tidak, dia sendiri tidak tahu mana hendak dia letakkan mukanya itu.
Menyorok dalam almari kut!
Selepas bersarapan bersama keluarga Lufya, Ziqri tertarik untuk bersantai di bawah rimbunan pokok itu. Dia duduk di atas pangkin sambil merenung ke hadapan.
Dalam masa sehari semalam, banyak yang dia lalui. Bermula dari pernikahan, dan perkara-perkara manis yang membahagiakan hatinya. Dalam sehari Lufya membuatkan dia merasa dirinya berharga dan diperlukan. Dalam sehari, Lufya menghadirkan perasaan bahagia yang sudah lama tidak dirasainya. Terasa disayangi dan dimanja.
“Assalamualaikum.” Satu suara garau menyapa dia.
Ziqri menoleh. “Waalaikumsalam,”
Hj Maliki tersenyum sambil melangkah menghampirinya lalu duduk di sebelah Ziqri. Hatinya terpaut pada keperibadian Ziqri yang pandai membawa diri. Namun dalam hatinya ada kekesalan. Dalam masa yang sama dia malu kerana gagal mendidik Lufya.
“Ayah,”
Hj Maliki senyum lagi. “Terima kasih,”
Berkerut dahi Ziqri mendengar ucapan itu. Wajah ayah mertuanya itu dipandang sekilas. “Terima kasih? Kenapa?”
“Sebab sudi ambil Lufya jadi isteri kamu. Ayah tahu dia bukan ‘sempurna’ manapun,” kata Hj Maliki.
Ziqri diam. Dia cuba untuk mentafsir maksud kata-kata Hj Maliki itu namun gagal.
“Dia sempurna ayah. Lebih dari sempurna. Ziq sangat bersyukur,” kata Ziqri yakin.
Hj Maliki diam. Ternyata anak muda di sampingnya itu matang dalam berkata-kata. Dia amat bersyukur kalau Ziqri dapat menerima segala kekurangan Lufya ketika menyunting Lufya sebagai isterinya.
“Ayah tahu Ziq. Ayah cuma kesal. Ayah malu dengan apa yang dah jadi pada Lufya…” luah Hj Maliki dengan nada terkilan.
Siapa yang tidak terkilan, bila anak yang dijaga dan disayangi itu menjadi buah mulut orang kampung. Dia cuba untuk membuang semua yang didengarnya itu dari fikiran tapi dia tetap juga memikirkannya. Setiap ayat hinaan yang dilemparkan oleh orang kampung pada Lufya melekat kemas dalam ingatannya.
Berkerut dahi Ziqri mendengarnya. Teringat kembali kata-kata Lila tempoh hari. Dia terangguk sendiri. Tahulah dia apa yang dimaksudkan oleh Hj Maliki. Tubuhnya dipusingkan menghadap Hj Maliki.
“Ayah… Ziq tahu apa yang ayah maksudkan. Ni mesti ayah ingat cerita lama dulu kan?”
Hj Maliki memandang jauh ke hadapan, kemudian memandang Ziqri sekilas. Satu anggukan berat dihadiahkan untuk soalan itu. Lidahnya kelu dan rasa malu menggunung bila Ziqri bertanya tentang perkara itu. “Ayah gagal didik dia…”
Ziqri ketawa kecil. Ternyata Hj Maliki lebih percayakan mulut orang kampung berbanding anaknya sendiri.
“Lufya tak macam tu ayah. Semua tu, cuma fitnah. Dia perempuan yang tahu menjaga diri dan maruahnya. Ziqri jamin perkara tu,” kata Ziqri sambil memandang wajah Hj Maliki.
Hj Maliki terdiam. Waja Ziqri dipandangnya tanda meminta kepastian.
Menerima pandangan itu, Ziqri mengangguk dengan senyuman di bibirnya. Itulah tanggungjawabnya. Mempertahankan maruah isterinya yang pernah dipijak-pijak satu ketika dahulu.
“Ziq pernah dengar semua tu, tapi Ziq yakin yang dia tak buat dan selepas malam tadi, Ziq lebih yakin dan percaya. Lagipun, Lufya bukan perempuan yang senang bergaul dengan lelaki,” kata Ziqri panjang lebar.
“Maknanya Lufya masih…” Hj Maliki membiarkan ayatnya tergantung kerana dia yakin Ziqri memahami maksudnya.
Mereka berpandangan kemudian Ziqri tersenyum.
“Dia perempuan suci ayah. Suci sebagaimana yang lain. Mungkin dia terdedah sini sana, tapi maruahnya masih terjaga rapi,” kata Ziqri lagi.
Serentak perasaan bersalah hadir dalam jiwa lelaki setengah abad itu. Teringat kembali, bagaimana dia menghalau Lufya dan memperlakukan Lufya, seolah-olah Lufya tiada hak untuk mempertahankan dirinya. Dia menunduk malu. Malu! Selama ini tiada satupun penjelasan Lufya yang dia terima. Mata dan telinganya dibutakan dengan kata-kata nista orang kampung. Dia kesal!
Kalau dulu, dia memilih untuk mendengar penjelasan Lufya, pasti Lufya tidak akan menmbawa dirinya jauh dari mereka. Penyesalan yang bagaikan menghambat dirinya sendiri.
Tanpa berkata apa-apa Hj Maliki bangun meninggalkan Ziqri di situ. Wajah Lufya, tangisan Lufya memenuhi ruangan matanya. Dia mula kecewa dengan dirinya sendiri. Sepatutnya dia tidak mudah untuk dipengaruh. Sepatutnya dia lebih kenal siapa Lufya. Siapa sangka kehadiran Ziqri itu membawa kebenaran yang dia mahukan. Dia berterima kasih pada Ziqri.
Ziqri hanya tersenyum simpul bila Hj Maliki berlalu. Dia yakin yang Hj Maliki sedang menahan perasaannya. Mungkin malu?
Ziqri tidak ambil pusing. Dia meneruskan penghayatan yang teranggu sebentar tadi.
Share this novel