Get the app for full experience
WAJAH Damya terpacul, selepas Ziqri menunggu beberapa minit di hadapan pintu rumah itu.
“Lufya, ada?” tanya Ziqri. Kepalanya di jenguk ke dalam rumah.
Dia terpaksa ke rumah Damya, kerana Lufya tiada di apartment mereka. Dia tahu sangat sikap Lufya. Tak mungkin Lufya ke tempat lain.
“Luf, kat bilik. Dah tidur kot,” jawab Damya. Dia membuka pintu itu seluasnya untuk memberi ruang pada Ziqri.
“Terima kasih,” ucap Ziqri, sambil melangkah masuk.
“Pergilah. Luf perlukan kau,” kata Damya, tanda memberi izin.
Tanpa berfikir panjang, Ziqri mengatur langkah pantas menuju ke tangga dan terus mendaki untuk ke bilik Lufya. Pintu bilik Lufya itu di tolak perlahan.
Ya, Lufya sudah terlena, seperti yang dikatakan oleh Damya. Hatinya dipagut sayu. Kecewa dan terkilan merantai hati. Apatah lagi mengingatkan kata-kata Marsha beberapa jam yang lepas.
Perlahan dia berbaring di samping Lufya dan mengucup lembut dahi Lufya.
“Maafkan abang,” bisik Ziqri penuh kesal. Kesal kerana turut sama mengheret Lufya dalam perhubungan yang dirancang rapi oleh Marsha. Rasa bersalah menikam hatinya. Dapat dia rasakan kesakitan yang bakal menghantui hidup Lufya, seandainya Lufya mengetahui perkara sebenar.
Dia perlukan bantuan seseorang, untuk menunaikan kebahagiaan Lufya. Dia tekad.
RIAK wajah Damya jelas terkesima, mendengar setiap cerita yang disampaikan oleh Ziqri. Dia tergeleng perlahan. Ternyata apa yang bermain di fikirannya selama ini benar belaka. Wajah Ziqri dipandang sejenak. Terkilan rasa hatinya, bila sekali lagi Lufya diheret dalam satu perkara yang jelas melukakan hatinya sebagai seorang perempuan.
“Aku dah lama fikirkan benda ni. Aku dah halang, Luf…” Damya mengeluh perlahan. Wajahnya diraup kasar. “Aku tak rasa, Lufya boleh terima semua ni…”
“Aku tahu,” balas Ziqri.
Kedua mereka buntu.
“Dia dah banyak terluka. Dia dah banyak menderita. Aku nampak depan mata, macam mana dia cuba bunuh diri. Macam mana seksanya dia…” Damya menekup mulutnya. Mengingatkan detik penderitaan yang dialami oleh Lufya satu ketika dahulu, terasa bagaikan dia kembali pada detik itu. “Ya Allah! Encik tahu tak, dia sayang sangat pada Mar? Dia agungkan Mar. Dia sanggup terluka demi Mar… tapi…” menitis air mata Damya ketika itu.
Ziqri meraup kasar wajahnya. Kata-kata Damya lebih meyakinkan dia.
“Dia sanggup buat apa saja untuk Mar, En. Ziqri. Encik nampak sendirikan?” Damya memandang tepat ke wajah Ziqri. “Allahuakbar! Aku tak tahulah nak kata apa,” keluh Damya sebak.
“Mar, sanggup buat dia macam ni… Tolonglah En. Ziqri. Aku dah tak boleh nak terima kalau dia terluka kali kedua dengan orang yang sama. Dia sepatutnya bahagia. Bahagia dengan apa yang dia dah kecapi. Bukannya menderita…” sambung Damya lagi.
Ziqri membisu lagi. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Apa yang terlintas di fikirannya, ialah dia mahu mencari cara untuk menghentikan semua rancangan Marsha. Sebelum semuanya berlarutan, dan menjadi masalah yang lebih rumit.
“Lufya layak untuk bahagia!”