Get the app for full experience
ZIQRI menekan telefonnya berkali-kali. Cuba untuk menghubungi Lufya, tapi tiada jawapan. Hatinya risau memikirkan keadaan Lufya yang tidak sihat itu. Tambah lagi dengan berita yang disampaikan oleh Damya. Hatinya mendongkol geram. Baru semalam dia dengan Marsha bertekak mengenai perkara itu, dan hari ini, Marsha sudah melaksanakan rancangannya.
“Gila!” gumam Ziqri di dalam hati.
Jejarinya gigih menaip mesej untuk di hantar pada Lufya.
“Sayang kat mana?”
Setelah lima minit menunggu balasan, akhirnya Lufya memberi jawapan yang di inginkan.
“Our apartment,”
Ziqri menghela nafas lega, sebaik menerima jawapan itu.
Dia meninggalkan pejabatnya, untuk ke apartmentnya bersama Lufya. Dia tahu, Lufya sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Kalau tidak, masakan Lufya menghilang dari pejabat seperti yang dikatakan oleh Damya.
MASUK sahaja ke dalam rumah, pandangan Ziqri terkunci pada Lufya yang sedang lena di sofa berangkai itu. Bibirnya menguntum senyuman. Dia mengatur langkah perlahan menghampiri Lufya.
Hatiya lega sepenuhnya sebaik terpandang wajah Lufya. Dia berlutut di hadapan wajah Lufya. Wajah Lufya kelihatan sembab pada pandangannya.
‘Menangis sendiri lagi,’ bisik hatinya sambil mengelus rambut Lufya.
Berderau hatinya sebaik tersentuh kepala Lufya.
“Panas?” Ziqri meraba leher Lufya. “Panas juga. Ya Allah! Lufya demam,” getusnya perlahan.
Ziqri bingkas bangun dan berdiri tegak. Perlahan dia membongkokkan tubuhnya sambil tangan kirinya menyauk leher Lufya, manakala tangan kanannya pula menyauk lipatan lutut Lufya. Dengan sekali angkat saja, tubuh Lufya sudah berda di dalam dukungannya. Tubuh Lufya itu dibawa ke bilik tidur mereka, dengan penuh berhati-hati kerana tidak mahu Lufya terganggu.
Penghawa dingin itu dihidupkan dan dia terus menuju ke dapur. Dia perlu menyediakan air untuk mendemah dahi Lufya.
“ABANG, jangan tinggalkan Luf,” rengek Lufya di dalam lenanya.
Sepantas kilat, Ziqri memandang Lufya. Terkejut mendengar suara Lufya tiba-tiba tanpa amaran. Tangannya mencapai tuala yang diletakkan ke dahi Lufya, lalu menyentuh dahi Lufya. Panasnya sedikit berkurang. Besen kecil berisi air yang berada di atas meja itu, dicapai oleh Ziqri. Sekali lagi, dia membasahkan tuala kecil itu dan meletakkan kembali ke dahi Lufya.
“Sayang…” panggil Ziqri dengan lembut. Jejarinya mengusap kepala Lufya.
Tiada sahutan. Mata Lufya, masih lagi tertutup rapat.
“Abang… jangan tinggal Luf… isk… isk… Luf, nak abang…”
Pergerakan tangan Ziqri terhenti. Esakan Lufya jelas kedengaran di telinganya. Pandangannya melekat pada mata Lufya yang terpejam erat dan dia terkesima. Lufya menangis dalam tidur.
“Abang… isk…isk… “
Luruh hati Ziqri melihat keadaan Lufya. Dia yakin, Lufya tidak akan meluahkan perasaannya pada sesiapapun termasuk dia. Sebab itulah perkara itu terbawa-bawa dalam mimpinya. Ziqri mengetap bibirnya perlahan. Dia membaringkan tubuhnya di sebelah Lufya dan memeluk erat tubuh itu.
Dia mahu mengembalikan semangat Lufya yang semakin menghilang kerana angkara Marsha. Dia cukup terkilan dengan apa yang dilakukan oleh Marsha pada Lufya. Kejam dan tidak berhati perut. Nampak sangat yang Marsha hanya pentingkan perasaannya sendiri.