BAB 83

Romance Series 93123

LUFYA tergamam sebaik terpandang Ziqri yang sedang duduk menekur lantai di ruang tamu apartment mereka. Perlahan dia menghampiri Ziqri dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu tidak menyapanya seperti selalu. Hanya satu pandangan penuh makna yang tersirat menujah wajahnya dan yang pasti, wajah Ziqri tidak setenang seperti selalu.
“Abang,” ucap Lufya, sambil berdiri dihadapan Ziqri lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Ziqri memandang kosong huluran itu tanpa menyambut, kemudian pandangan itu beralih pada wajah Lufya dan berakhir di perut Lufya. Tindakan Ziqri membuatkan Lufya mula berdebar. Resah. Dia seakan dapat meneka apa yang akan berlaku.
Lufya cuba untuk tersenyum tapi janggal. Dia mengambil tempat di sebelah Ziqri lalu memaut lengan kekar lelaki itu.
“Abang, kenapa ni? Datang tak bagitahu. Salam tak bersambut?” tanya Lufya. Sengaja melunakkan nada suaranya.
Ziqri mengetap bibirnya. Wajah Lufya dikerling sekilas dan pautan Lufya di leraikan. Wajahnya di raup kasar.
Lufya menggigit bibirnya kuat.
“Abang dah makan? Nak minum apa? Luf ambilkan…” Lufya mencuba lagi.
Melihat tiada reaksi balas dari Ziqri, Lufya bangun untuk ke dapur, namun langkahnya terhenti saat Ziqri mencapai jemarinya.
“Luf, pregnant?”
Hampir tersekat nafas Lufya mendengar soalan itu. Kakinya bagai di paku ke lantai. Mahu bergerak ke hadapan, tapi kakinya terasa berat untuk melangkah, Dia sedar Ziqri sudah berdiri di belakangnya, namun dia tiada keberanian untuk menoleh. Bibbirnya diketap perlahan.
Ziqri melangkah ke hadapannya. “Abang tanya ni?”
“Err… tak. Ma…mana ada,” dalih Lufya, sedikit tergagap.
Ziqri mengeluh kasar. Pandangannya tidak berganjak dari terus memandang wajah Lufya yang kegelisahan.
Lufya menundukkan wajahnya. ‘Damya!’ Hatinya geram.
Bahu Lufya di sentuh perlahan, dan jejarinya memaut dagu Lufya memaksa Lufya untuk mendongak dan membalas pandangannya. Kalau bukan kerana Damya, sehingga kini dia tidak akan tahu mengenai perkara sebesar itu. Terkilan rasanya bila dia diberitahu perkara itu melalui telefon dan bukannya dari mulut Lufya sendiri.
“Luf, please… tell me the truth,” pinta Ziqri dengan wajah penuh harapan.
Lufya mengetap bibirnya. Kalau dia terus merahsiakan perkara itu, dia akan melukakan hati Ziqri. Dia mengangguk lambat-lambat.
Bibir Ziqri menguntum senyuman gembira, melihat anggukan itu. Tubuh Lufya ditarik ke dalam pelukannya. Bibirnya singgah di dahi Lufya berulang kali, membuatkan Lufya tersenyum.
Kegembiraan yang terpancar pada wajah itu membuatkan hati Lufya seakan terbuai. Dia sukakan reaksi yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” ucap Ziqri tanpa henti, membuatkan senyuman Lufya semakin lebar.
Ziqri meleraikan pelukannya dan menarik Lufya ke sofa itu lalu memaksa Lufya untuk duduk.
“Abang, Luf nak buatkan abang air…”
“Stay still!” arah Ziqri tegas, sambil duduk di samping Lufya dan lengannya memaut pinggang Lufya.
Lufya ketap bibir.
“Hari ni, abang nak denda Luf. Kenapa tak bagitahu abang sal ni? Sengaja nak buat abang kecik hati?” kata Ziqri, dengan pandangan penuh makna.
“Mana ada…” kata Lufya, berdalih.
“Habis tu? Kenapa kena Damya yang bagitahu abang?” Ziqri menjongket keningnya pada Lufya.
Lufya mengetap bibirnya. Dia menunduk seketika. Dia tidak tahu apa alasan yang patut diberikan pada lelaki itu. ‘Takkan nak bagitahu pasal perasaan? Hish! Baik diam je,’ getus hatinya.
“Lufya?” panggil Ziqri. Lembut menampar pendengarannya.
“Bukannya sengaja. Cuma… tak nak ganggu abang dengan Mar,” kata Lufya beralasan.
Ziqri menyandar ke sofa. Tubuh Lufya ditarik untuk menyandar ke lengannya. Ingatannya kembali pada janjinya tempoh hari.
“Abang minta maaf, kalau abang dah buat Luf kecil hati,”
“Taklah… Luf okay je,”
Sekali lagi Lufya menipu Ziqri. Kali ini bukan hanya Ziqri, tapi hatinya juga. ‘Luf, tak okay!’ jeritan itu hanya bergema di dalam hatinya sendiri. Untuk meluahkan, adalah satu perkara yang mustahil.
“Luf, tak marah abang?” tanya Ziqri lembut.
Lufya mengelengkan kepalanya. “Tak…”
“Kenapa, Luf?” soal Ziqri. Dia duduk mengiring untuk menghadap Lufya.
Terangkat kening Lufya mendengar soalan itu. “Kenapa? Kenapa, apa?”
Ziqri berdecit. “Luf, terlalu baik,”
Lufya terdiam. Bukannya terlalu baik. Cuma itu adalah sikapnya yang semulajadi.
Melihat reaksi Lufya, Ziqri tersenyum. Tangannya singgah ke perut Lufya dan mengusapnya lembut.
“Luf, tak alahan?” tanya Ziqri.
“Adalah juga. Cuma tak teruk sangat,” jawab Lufya. Tidak perlulah dia menerangkan apa yang dia alami selama kehamilan itu. Cukuplah setakat dia merasainya sendiri.
Ziqri merenung Lufya. Sikap memendam Lufya memberi kesan padanya. Wajah yang pucat itu merisaukan hatinya. Sekali lagi, tubuh Lufya ditarik ke dalam pelukannya.
Lufya membiarkan Ziqri memperlakukannya seperti itu. Dia sudah biasa dengan sikap Ziqri yang satu itu. Kerap memeluk dan menciumnya.
“Abang ni… kurang kasih sayang erkh? Asyik nak memeluk je?” usik Lufya.
Ziqri ketawa. Bibirnya singgah lagi ke dahi Lufya.
“Dengan Luf je…” balasnya pendek.
Lufya mencebik bibir. “Mar?”
“Tak sangat. Dengan Mar, asyik gaduh, bertekak. Kadang-kadang, abang rasa kami dah macam anjing dengan kucing,” jawab Ziqri, separuh mengeluh.
Lufya menarik bibirnya tersenyum. Kasihanpun ada. Tapi betulkah apa yang dinyatakan oleh Ziqri itu. Baru beberapa jam yang lepas, dia melihat mereka berpelukan mesra.
“Hmmm… selalu nampak peluk-peluk. Macam dah tak ada rumahpun ada,” perli Lufya. Sedikit cemburu.
“Ye?Selalu erkh? Mana Luf, tahu? Luf, intip abang ye?”
Riak wajah Lufya berubah. Tersedar yang dia tidak sepatutnya mempertikaikan perkara itu. Itu adalah hak mereka berdua. Lengan Ziqri itu ditolak lembut.
Berkerut dahi Ziqri. Kecil hati ke?
“Luf, nak buat air,” kata Lufya, seraya bangun. Dia meninggalkan Ziqri sendirian di situ.
Terkebil-kebil Ziqri melihat Lufya menghilang ke sebalik dinding. Satu keluhan kecil terbit di bibirnya.
‘Sepatutnya, tak perlu nak timbulkan isu Marsha kat sini,’ kata Ziqri di dalam hatinya.
Rasa bersalah memenuhi segenap ruang hatinya. Dia sedar, Lufya terlalu banyak memendam perasaannya sendiri. Sampai bila dia nak biarkan Lufya dalam keadaan seperti itu.

ZIQRI merenung Lufya, yang terlena di sampingnya. Terpancar keletihan pada wajah itu, mengundang simpati Ziqri. Wajahnya pucat, mengundang kerisauan pada hati Ziqri. Jari jemarinya naik ke kepala Lufya, dan mengelus lembut rambut Lufya yang hitam berkilat.
Tentang kehamilan Lufya, dia tidak menyalahkan Lufya kerana merahsiakannya. Pastinya Lufya tidak mahu masanya bersama Marsha terganggu.
Pergerakan Lufya, menghentikan tindakan Ziqri dari terus-terusan mengelus rambut Lufya.
“Abang…” panggil Lufya sebaik mencelikkan matanya.
Ziqri melorek senyuman untuk Lufya.
“Hmmm…” sahut Ziqri, ringkas.
“Kenapa tak tidur lagi ni? Dah lewat ni,” tegur Lufya. Suaranya sedikit serak. Dia turut bangun dengan riak wajah hairan.
“Abang tak boleh tidur,” jawab Ziqri, jujur.
Lufya berkerut dahi. “Kenapa? Abang ada masalah ke?”
Ziqri mengeluh perlahan. Tubuh Lufya diraihnya.
“Abang risaukan sayang,” kata Ziqri.
Lufya menjongket kening hairan, “Kenapa pulak? Lufya ada buat salah ke?” tanya Lufya hairan.
Ziqri mengeleng laju. “Nope,”
“So?”
“You’re too perfect, sayang. Abang rasa bersalah, tiap kali abang tinggalkan Luf, untuk kembali pada Mar,” akui Ziqri. Jujur.
Lufya diam. Dia memperbetulkan kedudukannya dan memandang Ziqri sekilas.
“Kesempurnaan pada hati, bukan pada Luf. Luf tak nak abang terus rasa bersalah. Mar tu tanggungjawab abang. Lufya hanya tempat persinggahan abang,” kata Lufya. Kata-kata itu memedihkan, tapi itulah hakikat yang perlu dia hadapi.
Ziqri tergamam dengan ayat terakhir Lufya.
“Luf, abang tak pernah terfikirpun sampai ke situ,”
“Itulah hakikat kehidupan kita, abang. Lufya datang sekadar untuk memenuhi impian abang. Itu sahaja. Luf, tak pernah terfikir untuk meminta lebih dari itu.” Lufya memandang tepat ke wajah Ziqri. “Cuma, beri Luf peluang untuk menunaikan tanggungjawab Luf sebagai ibu pada anak Luf. Lepas tu… terpulang pada abang dengan Mar,”
“Lufya…”
Lufya berbaring membelakangi Ziqri. Kata-kata itu menyakitkan hatinya sendiri. Bagai belati menikam jantungnya. Jujur, berdepan dengan Ziqri bagakan melenyapkan segala kekuatan yang sudah wujud di dalam dirinya.

ZIQRI tersedar dari lenanya, ketika menyedari Lufya tiada di sebelahnya. Dia mengangkat kepalanya sambil memandang ke kiri dan kanan. Kosong.
“Sayang…” panggilnya perlahan.
Tiada sahutan, memaksa Ziqri bangun. Dia mengeliat malas dan memulakan langkahnya. Langkahnya mendekati bilik air yang tidak bertutup rapat. Satu bunyi pelik dari bilik air mengundang perasaan ingin tahu.
“Lufya…” Pintu bilik itu di tolak perlahan.
Pandangan matanya terkunci pada Lufya yang sedang membongkokkan tubuhnya menghadap sinki. Bulat matanya melihat Lufya yang sedang muntah.
“Lufya, kenapa ni?” tanya Ziqri. Pantas dia masuk ke dalam bilik air dan menghampiri Lufya. Bahu Lufya disentuh lembut.
Lufya tidak menyahut mahupun memberi reaksi balas, tapi terus menunduk ke sinki, sambil membasuh mulutnya. Usai berkumur, Lufya menegakkan tubuhnya dan berpaling pada Ziqri dengan senyuman yang terlakar di bibir. Rasa malu bila Ziqri menyedari keadaannya seperti itu.
Melihat wajah pucat Lufya, Ziqri risau lagi.
“Pucatnya,” keluh Ziqri perlahan.
“Biasa dah ni,” jawab Lufya, lemah.
Ziqri memimpinnya kembali ke ruangan tidur dan mendudukkan Lufya ke katil. Dia mengambil tempat di hadapan Lufya.
Lufya menyandar lemah, di kepala katil. Tekaknya di gosok perlahan. Mual yang datang, cuba untuk ditahan. Dia tidak mahu Ziqri risaukan dirinya.
“Awal abang bangun,” tegur Lufya. Wajah Ziqri yang sedang kerisauan itu di pandang.
“Luf, selalu macam ni ke?” tanya Ziqri tanpa menghiraukan teguran itu.
Lufya diam. Pandangan mata mereka bertaut dan Lufya menunduk seketika.
“Lufya okay. Biasa je ni,” kata Lufya, mennjawab pertanyaan itu.
Ziqri mengeluh perlahan. “Ini yang abang risaukan. Lufya kat sini tengah menanggung semua. Tapi abang…” kata-kata Ziqri terhenti bila jari telunjuk Lufya singgah menegak di tengah-tengah bibir Ziqri.
“Shhh… trust me. I’m okay,” kata Lufya, meyakinkan Ziqri.
“Lufya… abang bukan tak percayakan Lufya. Tapi abang risau. Abang takut ada apa-apa jadi,” luah Ziqri. Nadanya jelas risaukan Lufya.
“Damya kan ada,” pujuk Lufya. Dia tidak mahu Ziqri terlalu risaukan dirinya.
“Damya tu kawan je. Bukannya tinggal dengan Luf,” kata Ziqri tidak yakin.
“Abang, Lufya boleh jaga diri Lufya,” kata Lufya lagi.
Ziqri mengeluh perlahan. Sikap Lufya menambahkan lagi rasa sayang di hatinya. Dia mula rasa terkilan dan kecewa. Terasa gagal sebagai suami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience