Get the app for full experience
LUFYA terduduk lesu, ketika Damya menunjukkan berita yang sedang menular di media sosial itu. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Kasar. Rasa kecewa menikam hatinya. Jantungnya bagaikan terjatuh, setelah mebaca berita itu.
“MODEL SUAM-SUAM KUKU, PEROSAK RUMAH TANGGA ORANG,”
Berita itu sangat kejam baginya. Baru berapa hari lepas dia kehilangan ayahnya kerana berita itu dan kini berita itu sedang hangat diperkatakan di media sosial. Lebih sakit lagi bila dia membaca komen-komen netizen yang seratus peratus menuding jari kepadanya.
Mana lagi kekuatan yang datang padanya. Patutlah dia terasa dirinya seakan menjadi perhatian manusia dari pagi tadi. Lebih teruk lagi, pandangan pekerjanya sendiri yang seakan jijik melihatnya.
“Kenapa semuanya datang serentak Damya?” tanya Lufya sebak.
Damya duduk di sebelah Lufya sambil cuba menenangkan Lufya.
“Sabar Lufya. Aku tahu kau kuat,”
“Aku tak kuat Damya. Aku dah penat,” luah Lufya sayu.
Damya menggosok belakang Lufya.
“Kita tahu apa yang berlakukan. Tak payah nak risau sangat,”
“Macam mana aku tak risau, Damya. Ibu aku dah buang aku. Dia tuduh aku bunuh ayah aku sebab benda ni. Aku dah penat nak hadap semua ni. Kalau dulu, ibu dengan arwah ayah aku je yang sisihkan aku… tapi sekarang, seluruh keluarga aku tak percayakan aku. Hati aku sakit sangat. Aku dah tak tahu nak kata apa,”
“Kau buat pc. Bagitahu perkara sebenar,” cadang Damya.
“Tak mungkin, Damya. Nanti Marsha kena kecam. Lagipun, siapa yang nak percaya isteri kedua. Tiada siapa!”
Kedengaran bunyi esakan Lufya. Menangisi nasibnya yang tidak pernah sempurna sebagaimana yang dia harapkan.
Damya mengeluh perlahan.
“Sampai bila kau nak jaga hati Marsha? Dia dah buat kau sampai macam ni kut. Takkan masih tak sedar lagi,”
“Dia kawan aku,”
Damya mendengus tawa.
“Dah jadi macam ni pun, kau masih nak anggap dia kawan?” soal Damya. Sungguh dia tidak puas hati dengan pengakuan ikhlas Lufya itu.
Lufya menunduk. Dia kehilangan kata-kata. Dia tahu yang Damya akan sentiasa mempertikaikan kata-katanya. Dia menghentikan tangisannya. Air mata yang mengalir dikesat perlahan. Dia perlu kuat dan tabah. Ya!
“Dahlah Damya. Buat masa ni… aku tak nak fikir sangat benda ni. Aku nak fokus dengan pelancaran produk baru,” kata Lufya. Dia cuba melorek senyumannya. Hambar.
Damya berdecit kasar.
“Kau memang takde perasaan erkh? Tak reti marah langsung?” soal Damya.
Lufya bangun dari sofa. Wajah Damya dipandang seketika.
“Marah tak pernah menyelesaikan masalah, Damya,”
“Tapi kau tak pernah cuba nak selesaikan masalah kau,”
“Tiada apa yang perlu aku selesaikan, selagi aku tak salah. Kebenaran tetap akan terungkap sama ada cepat atau lambat. Kau ni lebih sudu dari kuahlah. Biarlah nak jadi apapun. Aku juga yang nak menghadap,” kata Lufya. Dia meninggalkan Damya sendirian di situ.
Damya menggelengkan kepalanya. Pandangannya melekat pada telefon Lufya. Bibirnya diherot ke tepi. Penuh makna. Kalau Lufya tak buat, dia akan buat. Tekad!
Go damya