Get the app for full experience
KHABAR yang disampaikan oleh Ziqri, buat kedua orang tuanya itu jelas menggembirakan hati keduanya. Senyuman mereka lebar di pipi, menampakkan yang mereka turut bahagia dengan berita itu.
“Luf, kena makan makanan berkhasiat. Jaga diri baik-baik,” pesan Puan Kirana.
“Ziq kena selalu dengan Luf,” celah Tuan Hafiz.
“Orang mengandung ni, emosi tak stabil. Kena jaga elok-elok,” kata Zakri pula.
“Akhirnya tercapai juga hasrat angah nak ada anak sendiri.” Giliran Ziana menyampuk.
“Tahniah angah, Kak Lufya,” kata Zakir pula.
Zizi hanya ikut tersenyum dan mengiakan setiap kata-kata yang dilafazkan oleh ahli keluarganya itu, untuk Ziqri dan Lufya.
“Zizi, tak pernah nampak angah segembira ni. Zizi tumpang gembira,” luah Zizi.
Ziqri dan Lufya berpandangan senang hati. Penerimaan itu, memberi makna yang besar untuk mereka berdua.
“Alhamdulillah. Berkat doa kalian semua,” ujar Ziqri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman, bila terus-terusan mendapat kata-kata positif dan memberangsangkan dari keluarganya sendiri.
“Marsha tahu?” tanya Tuan Hafiz.
Lufya dan Ziqri berpandangan dan Ziqri mengangguk perlahan.
“Tahu, abah,”
“Baguslah kalau tahu. Sekurang-kurangnya dia faham keadaan Ziq,” kata Tuan Hafiz.
Ziqri diam.
Dia sendiri tidak tahu, sama ada Marsha akan memahami keadaannya ataupun tidak.
“Luf, nak makan apa-apa tak? Umi boleh masakkan,” cadang Puan Kirana.
“Tak payah susah-susah umi. Luf tak memilih makanan,” jawab Lufya lemut.
Puan Kirana melorek senyumannya. Dia beralih ke sebelah Lufya dan tangan Lufya dicapai lembut dan digenggam erat, tanda mengharapkan sesuatu darinya.
“Terima kasih, Lufya. Kalau bukan sebab Lufya, mungkin sampai sekarang, Ziqri takkan dengar berita gembira macam ni,” ucap Puan Kirana.
Lufya menunduk seketika dan kembali menatap wajah wanita setengah abad itu. Senyuman nipis terlukis di wajahnya.
“Tanggungjawab Lufya untuk bahagiakan abang. Selagi abang bergelar suami Lufya, Lufya akan usahakan apa yang abang mahu,” balas Lufya. Geggaman itu dieratkan.
Ziqri tersenyum mendengar kata-kata Lufya yang kedengaran jujur itu.
“Terima kasih banyak sayang…”
“Sama-sama umi. Doakan Luf…”
Semuanya mengukir senyuman gembira, bila mendengar kata-kata ikhlas Lufya.
“ZIQ, sayangkan Luf?” tanya Tuan Hafiz tiba-tiba ketika mereka masih berada di ruang tamu, bersama Zakri dan Zakir.
Tuan Hafiz mahu menyelami isi hati Ziqri yang sebenar. Biarpun dia tahu yang Ziqri kelihatannya bahagia bersama Lufya, tapi dia masih perlu mengambil tahu tentang anak lelakinya yang satu itu.
“Ziq, tak mampu nak cakap rasa sayang Ziq pada Lufya ayah,” jawab Ziqri, yakin.
“Sejauh mana Ziq? Kalau setakat sayang je tak guna,” kata Zakri mencelah.
Ziqri memandang wajah mereka satu persatu dan tersenyum bahagia.
“Mungkin cukup kalau Ziq katakan, yang Ziq bahagia bila dengan Luf. Rasa dihargai, dihormati… dan yang paling pentng, Lufya hormat keluarga Ziq,”
Mereka bertiga mengangguk. Apa yang dikatakan oleh Ziqri itu jelas terlihat pada pandangan mata mereka. Mereka tidak boleh menafikan perkara itu.
“Dia perempuan yang baik, Ziq,” puji Tuan Hafiz.
“Sangat baik abah. Kadang-kadang, Ziq rasa yang Ziq ni tak layak untuk dia,” ujar Ziqri.
“Alhamdulillah. Gembira kami dengar. Kesempurnaan Lufya itulah yang akan menyempurnakan Ziq,” ucap Tuan Hafiz.
Ziqri mengangguk perlahan.
“Kalau satu masa nanti, Ziq kena memilih antara Luf dengan Mar?” tanya Zakri.
Ziqri terdiam. Biarpun dia sudah ada jawapannya, tapi dia memilih untuk tidak berkongsi jawapan itu. biarlah mereka menilainya sendiri.
“Ziq tak tahu,” kata Ziqri berdalih.
“Angah kena pilih yang terbaik,” ujar Zakir.
Ziqri tersengih mendengarnya.
“InsyaAllah. Ziq tak berani nak komen apa-apa. Perjalanan masih panjang. Banyak lagi yang menanti kat depan,”
Mereka mengangguk tanda faham. Buat pilihan memanglah sukar. Apatah lagi melibatkan hati dan perasaan. Siapa saja yang berada di tempat Ziqri, akan memberi jawapan yang sama.