HARI yang di nanti oleh Lufya, akhirnya tiba. Hatinya berdebar, sepanjang lapan jam perjalanan menuju ke Terengganu. Selama lapan jam itu jugalah, perasaannya diulit pelbagai persoalan. Takut juga, kalau sampai di situ, dia di halau balik oleh keluarganya.
“Bertenang Lufya, ibu tak akan halau punya,” bisik Lufya sambil sesekali jejarinya diramas perlahan. Fikirannya menerawang, cuba untuk membayangkan perkara yang baik-baik, agar hatinya tenang, tapi hampa. Yang terbayang di ruangan matanya adalah wajah bengis mereka lima tahun lepas.
“Ish! Tak boleh jadi ni. Tolonglah positif!” Bentak Lufya sendiri.
Lufya cuba untuk menumpukan perhatian pada pemanduannya. Dia tidak mahu, ada perkara yang tidak diingini berlaku.
Akhirnya Toyota Rush yang dipandu oleh Lufya itu berhenti dihadapan sebuah rumah bertingkat. Sekumpulan kanak-kanak yang sedang berkejaran riang di hadapan rumah itu berhenti bermain dan memandang ke arah keretanya. Sebuah kereta Bmw, Honda Accord dan juga Proton preve berbaris cantik di tepi rumah itu menunjukkan yang abang-abang dan adiknya ada dirumah itu.
“Ibu!” Laungan seorang budak perempuan itu kedengaran memanggil ibunya.
Tidak lama selepas itu, muncul seorang perempuan yang berusia dalam lingkungan tiga puluhan. Wajahnya penuh dengan tanda tanya sehinggalah budak perempuan itu menunjukkan ke arah kereta Lufya. Dia dapat mengesan kerutan di dahi perempuan itu memaksa dirinya keluar dari dalam kereta.
Jantung Lufya semakin laju mengepam darah ke seluruh tubuhnya. Pandangan perempuan itu jelas penuh tanda tanya. Mahu tak tertanya, kalau dia tidak pernah memunculkan diri di hadapan mereka. Majlis kahwin merekapun, dia tidak dijemput. Mengingatkan perkara itu, air matanya terasa hendak jatuh, tapi dia laju mengerdipkan matanya. Dia mengatur langkah perlahan menghampiri mereka yang sedang memandang kehairanan ke arahnya sambil mengukir senyuman kekok.
“Ye cik. Cik cari siapa?” tanya perempuan itu dengan nada lembut.
Pedih hatinya mendengar pertanyaan itu. Rasa terkilan bila tidak dikenali oleh mereka. Kecewa menghuni jiwa, bila dia terlepas banyak perkara selama lima tahun ini.
“I…ibu ada?” tanya Lufya sedikit tergagap. Pandangannya berkaca.
Perempuan itu meneliti dirinya dari atas ke bawah, kemudian menekup mulutnya sedikit terkejut.
“Lufya?” tanya perempuan itu sambil memandang tepat ke wajah Lufya.
Lufya gigit bibir menahan sebak sambil mengangguk kepalanya.
“Ya Allah! Lufya? Ibu! Lufya balik bu!” Jerit perempuan itu sambil mencapai tangan Lufya dan menarik Lufya dalam pelukannya
“Lufya, kak Sarina ni. Isteri abang Khalid,” Suasana sebak menyelubungi mereka.
“Ya Allah! Lufya? Anak ibu dah balik?” Puan Hazimah meluru keluar ke arah mereka.
Air mata yang ditahan oleh Lufya, akhirnya jatuh juga. Tubuhnya dilepaskan oleh Sarina lalu diraih oleh Puan Hazimah.
“Ibu….” Rintih Lufya didalam pelukan Puan Hazimah.
“Lufya… ibu rindu Lufya. Ibu minta maaf. Ibu tak patut buat Lufya macam tu,” Pinta Puan Hazimah sambil menarik kepala Lufya dan mencium dahinya bertalu-talu.
Air mata Lufya berjuraian di pipinya. “Lufya minta maaf ibu,”
“Kak Lufya?” Dua suara serentak memanggil namanya membuatkan Lufya memandang ke arah suara itu. Lila dan seorang perempuan seusia dia, menerpa ke arah mereka.
“Lila,”
Tanpa amaran Lila memeluk Lufya.
“Kak Luf pergi mana? Bawa diri sampai lupa Lila. Akak tahu tak macam mana rindunya Lila kat akak.”
Lufya memejamkan matanya sambil mengucup dahi adik kesayangannya itu.
“Akak minta maaf Lila. Akak tahu, akak tak patut pergi tak bagitau Lila.”
Muncul Khalid dan Aeril membuatkan air mata Lufya semakin deras. Selama dia berada di Kuala Lumpur, Khalid dan Aerillah yang banyak bertanyakan keadaan dirinya. Biarpun berjauhan, tapi mereka masih lagi mengambil berat tentang dia.
“Abang long, abang ngah,”
Khalid dan Aeril tersenyum sambil melangkah ke arah mereka.
“Makin cantik cik model kita ni,” usik Khalid sambil mengusap kepala Lufya.
Lufya tertawa dalam tangisannya. Dia meleraikan pelukannya pada Lila, lalu merebahkan tubuhnya ke dalam pelukan Khalid. “Kalau tak cantik tu, bukan Lufya namanya,”
“Amboi! Sempat lagi masuk bakul angkat sendiri?” Perli Khalid sambil mengeratkan pelukannya. Betapa rindunya dia pada Lufya.
“Meh sini. Abang ngah rindu juga nak peluk Lufya,” kata Aeril sambil menarik tubuh Lufya dari Khalid.
Puan Hazimah, dan menantu-menantunya itu tersenyum bahagia melihat Lufya yang sedang berpelukan erat melepaskan kerinduan.
“Bawa balik calon suamu tak?” kata Khalid mengusik.
“Abang….” Meleret nada suara Lufya di situ.
“Imah, abang nak ke Surau.” Hj Maliki terpaku di pintu rumah sebaik pandangannya terkunci pada Lufya.
Lufya memandang Hj. Maliki sayu.
“Ayah,” panggil Lufya sambil mengatur langkah mahu menghampiri lelaki yang sudah berusia itu.
“Siapa ayah kau?” Kasar nada lontaran kata-kata Hj Maliki itu.
Lufya menggigit bibirnya kuat. “Ayah, Luf balik ni ayah,”
“Siapa suruh kau balik? Aku tak ade anak memalukan macam kau.” Serentak Hj Maliki mengenakan seliparnya, dan melangkah melintasi Lufya.
Lufya kaku di tempatnya berdiri. Perasaan gembira yang menyelubunginya tadi, beransur pergi digantikan dengan perasaan pedih. Untuk apa dia balik, kalau walinya itu tidak mahu melihat wajahnya. Perlukah dia mengemis untuk sebuah kemaafan. Kemaafan untuk perkara yang dia tidak pernah lakukan.
Dengan lemah, Lufya memusingkan tubuhnya menghadap mereka.
“Lufya nak balik KL. Luf ingatkan ayah dah maafkan Luf. Tapi….” Lufya mengesat air matanya itu.
“Jangan Luf. Ibu janji, ibu pujuk ayah kamu,” tegah Puan Hazimah.
“Betul cakap ibu tu. Nanti kami pujuk ayah. Ayah tu memang macam tu, tapi selama Lufya tak balikpun, ayah selalu duduk di bilik Lufya. Sebab abang long tahu yang ayah rindukan Lufya. Cuma ayah ego,” kata Khalid.
“Lufya ra….”
“Akak, janganlah balik dulu. Kalau ayah tak layanpun, kan kami ade,” pinta Lila penuh harapan.
“Rugi tak kenal-kenal dengan kakak ipar Luf. Anak buah Luf. Ramai dah ni. Nak tunggu Lufya kahwin tak tau bila.” Aeril mengusik Lufya.
Semua yang berada di situ, ketawa mendengar usikan Aeril pada Lufya itu.
Lufya menceber bibir. Tahulah dia, yang mereka sedang mengusiknya.
“Tak payah nak usik sangat. Karang Lufya balik, baru padan muka.” Lufya mengugut mereka semua.
“Amboi, main ugut-ugut pula dia,” kata Khalid sambil menunjal bahu Lufya lembut.
“Dah, jom kita masuk. Jangan lupa berkenalan dengan akak-akak ipar kamu ni. Tu anak buah tu dah berderet dah.” Tunjuk Puan Hazimah sambil melangkah meninggalkan mereka di hadapan rumah.
Lufya memandang kedua perempuan yang setia dengan senyuman manis masing-masing. Tidak juga dia melupakan empat orang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan dua tahun hingga empat tahun itu. Pandangan mereka jelas penuh dengan tanda tanya. Lufya tersenyum sambil menghampiri mereka.
“Hai,” Lufya melambai mesra.
“Dua tu anak abang long. Dua lagi anak abang ngah. Masing-masing sepasang. Ni pulak Aina, atau kak ngah. Yang belah hujung tu kak long.” Lila bertindak memperkenalkan mereka semua.
“Siapa untie ni?” tanya seorang kanak-kanak perempuan yang kelihatan comel dengan rambutnya di ikut seperti tanduk kambing.
“Comel!”
“Ni lah dia untie Lufya. Yang selalu masuk majalah tu,” kata Lila memperkenalkan Lufya pada mereka.
“Hai untie. Saya Qira, yang ni adik saya Ikram. Tu pulak Qalif. Sebelah Qalif tu Qaseh,” kata Qira sambil menayangkan senyumannya.
Telatahnya itu mencuit hati Lufya.
Yang lain hanya tergelak mendengar kata-kata Qira yang masih kedengaran pelat.
“Comelnya Qira ni,” kata Lufya memuji.
“Mestilah comel. Tengoklah papa Qira. Handsome macam Shahrukhan,” balas Qira bersahaja.
Terkedu semua yang berada di situ mendengar kata-kata Qira itu. Khalid yang sudah merah padam menahan malu dengan kata-kata anaknya itu melopong. Kata-kata gurauannya disimpan kemas oleh Qira di kepalanya. Dahinya ditepuk perlahan.
“Dah claim nama Shahrukhan nampak. Sejak bila abang long jadi Sharukhan.” Lufya memerli abangnya.
Khalid tersengih sambil menyengetkan bibirnya. Wajah Sarina yang jelas mengejeknya dipandang dengan jelingan manja.
“Alah, abang long memang perasan macam Shahrukhan. Tu tak teruk lagi tahu kak. Tu abang ngah tu, nak jadi Brad pitt konon. Muka hitam, ada hati.” Kutuk Lila selamba.
Aeril menghadiahkan pandangan bangga. Lufya menceber bibir.
“Menyampah! Perasan je lebih,” kata Lufya sambil menjungkit keningnya.
“Sampai bila kita nak duduk depan rumah ni? Kat dalam, boleh duduk sambil minum,” tegur Sarina akhirnya bersuara.
“Biarlah diorang nak duduk depan sampai esok pagi. Ina pergi tenggokkan yang kecil tu. Kang bangun, nangis pula,” arah Khalid, memandang Sarina.
Melihat Sarina masuk, Lila menarik tangan Lufya untuk masuk ke dalam rumah sambil diikuti oleh yang lain. Lufya memerhatikan sekitar isi rumah itu. Tiada apa yang berubah.
“Nothing change kak. Bilik akakpun, tiada siapa yang usik,” beritahu Lila.
Lufya diam. Rasa rindu pada keluarganya mula terubat bila sampai ke rumah itu. Dia rindukan suasana ceria di rumah itu dulu. Kalaulah mereka tahu, semua itu hanya fitnah. Rasa sayu bermain dihatinya.
Share this novel