BAB 32

Romance Series 92840

LUFYA menghantar pemergian Ziqri dengan satu pandangan kosong.
Setelah bercuti selama lima hari sejak minggu lepas kerana majlisnya, Lufya kembali ke rumah itu. Selepas ini, pasti masa Ziqri lebih tertumpu pada Marsha, memandangkan dia cuma sebagai ‘mak sanggup’. Nampak keterlaluan ayat ‘mak sanggup’ itu, tapi hanya perkataan itu yang sesuai untuk kedudukannya antara dirinya dan mereka berdua.
Kata-kata cinta dan sayang yang dilafazkan oleh Ziqri padanya, dibuang jauh dari mindanya. Dia tidak mahu dihantui dengan rasa cinta yang tak mungkin akan kesampaian. Jauh sekali untuk mengharap.
Pintu rumah itu dibuka dengan kunci yang baru dikeluarkan dari beg tangannya. Dia yakin Damya masih ada di dalam rumah, memandangkan kedua buah kereta ada di hadapan rumah.
“Assalamualaikum.” Lufya memberi salam membuatkan Damya yang sibuk membetulkan tudungnya di cermin yang bergantung itu menoleh kepadanya.
Lufya senyum sambil melangkah menghampiri Damya. Dia menghenyak punggungnya lemah di sofa yang berdekatan dengan Damya. Pandangannya dihalakan kepada Damya.
Damya menjongket kening tanda bertanya.
“Nak pergi pejabat?” tanya Lufya.
Damya angguk kepala. “Kau nak pergi juga?”
Lufya angguk perlahan.
“Rindu pulak nak tengok pejabat aku,” kata Lufya.
Damya mencebik bibir. “Rindu? Baru lima hari kau tak masuk pejabat Luf. Tolak dua hari public holiday, tiga hari je,”
Lufya tersengih mendengar kata-kata Damya. “Macam kau tak biasa. Tu dunia aku,”
Damya diam seketika. Dahinya berkerut bagaikan memikirkan sesuatu. Wajah Lufya dipandangnya penuh tanda tanya.
“Suami kau mana?” tanya Damya sambil menjenguk ke pintu yang terbuka itu.
“Balik rumahlah,” jawab Lufya.
“Rumah siapa? Mar?” soal Damya ingin tahu.
Lufya angguk sambil mengangkat keningnya sebelah tanda bertanya.
“Dia tak stay dengan kau?” tanya Damya.
Lufya geleng. “Mar lebih berhak,”
Damya tertawa kecil. Dia mengambil tempat yang bertentangan dengan Lufya. Wajah Lufya dipandang penuh minat membuatkan Lufya kehairanan.
“Kenapa pandang aku macam tu?” tanya Lufya.
“Kau takde perasaan ye? Tak cemburu? Tak marah?”
Lufya ketawa kecil dan mulutnya ditekup dengan tapak tangan. Wajah Damya dipandang dengan riak wajah yang kelucuan.
Damya mengerutkan dahinya bila Lufya selamba mentertawakannya. Apa dah jadi dengan kawan dia seorang ni? “Kenapa dengan kau ni? Aku tanya betul-betul tahu,”
“Damya, Damya… aku takde masa nak cemburu dengan Mar. Aku masih lagi tergolong dalam golongan orang ketiga. Jadi, rasanya aku tak perlu cemburu kot,” balas Lufya yakin.
Damya mendengus tawa. “Kau yakin?”
“Sangat yakin!” balas Lufya sambil mengangkat tapak tangannya tanda bersumpah.
“Nampaknya aku kena akui yang kau ni memang takde perasaan,” kutuk Damya selamba.
Lufya hanya menayangkan senyuman senget. Dia tidak kisah kalau Damya mahu menggelarnya dengan gelaran itu. Yang pasti dia mahu meletakkan dirinya sebagai salah satu perempuan yang sentiasa sedar akan kedudukan dirinya.

“MARINA call aku semalam,” kata Damya sebaik mereka bertolak ke pejabat.
Berkerut dahi Lufya mendengarnya. Dia mengerling sekilas pada Damya yang khusyuk memandu. “Sebab apa?”
Damya membelok ke kiri dan memandang Lufya sekilas. “Dia tanya kalau kau dah ready nak pergi New york,”
Meletus ketawa Lufya mendengar apa yang diberitahu oleh Damya itu.
“Dia macam tak pernah join event tu. Marina,Marina,” kata Lufya dengan sisa ketawanya.
“Dia memang pernah join, tapi even yang ni besar kot. Satu dunia follow. Kau tak seram ke?” tanya Damya hairan.
Lufya tergelak lagi.
“Ni lagi seorang. Ni fashion show je Damya. Bukannya kita nak pergi berperangpun,” balas Lufya.
“Yelah…” Damya mengalah.
Entah apa mimpi Marina dengan Damya yang tiba-tiba risau tentang pertujukan fesyen yang bakal berlangsung di New York itu. Selama inipun, kebanyakan pertunjukan fesyen akan disertai oleh Marina. Lufya mengelengkan kepalanya sambil tersenyum simpul.

KERETA yang mereka naiki akhirnya berhenti dihadapan bangunan kesayangan Lufya itu. Mereka turun serentak sambil menjinjit beg kerja masing-masing untuk masuk ke dalam pejabat.
“Morning boss!”
Lufya tersenyum lebar menerima ucapan dari pekerja di pejabat itu.
“Morning juga. Kamu nampak gembira je…. Senang hati saya takde tiga hari,” tuduh Lufya sambil menjongket keningnya nakal.
Zarina tersengih. “Mana ada macam tu. Tak gembira langsung, sebab takde yang nak belanja makan,”
Yang lain tergelak.
“Amboi…” Lufya menjeling manja pada Zarina.
“Sebenarnya kan bos… bilik bos tu dah jadi taman bunga,” kata Kila diiringi senyuman nakal.
“Hah? Taman bunga?” Lufya memandang wajah Kila hairan.
“Dari mana bunga?” tanya Lufya lagi sambil matanya memberi isyarat pada Damya untuk memeriksa biliknya.
Tanpa menunggu arahan seterusnya, Damya terus menghampiri tangga lalu mendaki anak tangga itu menuju ke bilik Lufya.
“Siapa lagi kalau bukan Hakim,” jawab Zarina tanpa memandang wajah Lufya. Tangannya sibuk membungkus barang tempahan pelanggan.
Mendengar nama Hakim, Lufya berdecit perlahan.
“Bila dia hantar?” tanya Lufya sambil mengatur langkah menuju ke sofa yang tersedia itu.
“Tiga hari kau tak masuk, tiga hari juga dia dok hantar bunga. Jenuh nak jawab soalan dia tu,” jawab Zarina.
Lufya mengangguk faham. Satu persatu pekerja yang ada di situ, dipandang. “Kalau lepas ni, dia hantar lagi… bagitahu kat dia, aku tak nak bunga,”
Zarina mengangkat wajahnya lalu memandang Lufya dengan kerutan di dahi. “Kenapa pulak? Okaylah tu…” Meleret nada suara Zarina dengan keningnya sebelah diangkat nakal. “Ada juga peminat…” sambungnya lagi.
Lufya mencebik bibir dan bangun. “Aku tak nak. Kalau kau nak, ambillah…”
Zarina tertawa kecil. Dia kembali menumpukan perhatian pada bungkusan di tangannya dan selamba berkata, “Kalaulah dia nak kat aku…”
“Kau usyarlah,” kata Lufya selamba.
Zarina menarik wajahnya. “Err… aku bukan sepsis perigi cari timba,”
“Apa salahnya kau cuba,” usik Lufya. Keningnya diangkat tanda mahu mengusik Zarina.
“Tak naklah aku,” kata Zarina. Dia menyengetkan bibirnya tanda tidak mahu.
Lufya hanya mengelengkan kepalanya mendengar jawapan Zarina.
“Yelah tak nak…” ejek Lufya sambil mengherot bibirnya senget ke tepi. Lufya bangun dari sofa itu lalu melangkah menuju ke tangga.
Mereka hanya memerhatikan pemergian Lufya itu.

TERBELIAK mata Lufya melihat jambangan bunga yang memenuhi mejanya itu. ada bunga ros, ada bunga dahlia dan bunga kekwa.
Pandangannya terkunci pada Damya yang kebingungan di sofa itu.
“Banyaknya bunga,” keluh Lufya sambil melangkah menghampiri Damya. ‘Mimpi apa Hakim sampai rajin hantar bunga kat sini,’ bisik hati Lufya sendiri.
“Banyakkan. Nak buat apa dengan bunga-bunga ni?” tanya Damya sambil mengerling Lufya yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Buangkan,” putus Lufya.
Damya melopong. ‘Biar betul? Membazirnya,’ bisik Damya di dalam hatinya. Wajah Lufya dipandang meminta kepastian. “Buang?”
Lufya membalas pandangannya kemudian mengangguk lagi.
“Buang Damya. Aku tak boleh terima semua ni. Kau tahu kenapa,” ujar Lufya mengingatkan Damya tentang sesuatu.
Damya menepuk dahinya perlahan. Dia hampir terlupa pada status Lufya. “Maaf. Aku lupa,”
Lufya hanya tersenyum dan mengangguk. Siapapun akan lupa tentang perkara itu. Mungkin dia juga akan lupa satu masa nanti tapi yang pasti tidak seawal itu. Mungkin dia perlu mengingatkan dirinya setiap hari tentang dirinya dan juga status terbarunya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience