“ABANG ada kejutan untuk sayang,” bisik Ziqri di telinga Lufya, ketika mereka tiba di hadapan apartment mereka berdua.
Dia berdiri menghalang laluan Lufya untuk membuka pintu rumah itu.
Berkerut dahi Lufya. Wajah nakal Ziqri dipandang sejenak.
“Kejutan? Kejutan apa pula. Luf tak suka kejutanlah…” rengek Lufya manja.
Ziqri menayangkan sengihannya.
“Manjanya…” usik Ziqri.
“Abang ni! Dah lah jemput Luf lambat. Luf nak masuk. Penat tahu!” rengek Lufya lagi.
“Kejaplah sayang…”
Ziqri membelakangi Lufya, lalu mengetuk pintu rumah itu.
“Siapa kat dalam?” tanya Lufya hairan. “Kita je tinggal dalam rumah ni kan?” soal Lufya lagi.
“Tu yang sayang tak tahu…”
Pintu rumah itu ditarik dari dalam.
“Hai!” jerit Khalid, Aeril dan juga Lila, menjengulkan kepala masing-masing.
Lufya tergamam melihat mereka bertiga. Perlahan dia memandang Ziqri yang sedang menjongket keningnya nakal.
“Inilah kejutannya,” kata Ziqri dengan senyumannya.
Lufya mengetap bibirnya kuat. Perasaannya mula tidak stabil. Rasa sebak menguasai dirinya. Ingatannya kembali pada semua tuduhan dan kata-kata yang mereka lemparkan padanya tempoh hari. Sakitnya masih terasa. Dia memusingkan tubuhnya membelakangi mereka. Dia mahu pergi. Pergi dari mereka semua. Seperti mana yang mereka pernah mahukannya.
Berubah riak wajah mereka melihat tindakan Lufya itu.
“Sayang…” panggil Ziqri lembut. Tangannya naik ke bahu Lufya.
Lufya menepis lembut tangan Ziqri, seraya berkata, “Luf nak balik rumah Damya,”
Mendengar kata-kata itu, Ziqri memandang mereka bertiga, kemudian melangkah ke hadapan Lufya.
“Kenapa nak balik sana? Inikan rumah kita?” tanya Ziqri dengan nada lembut.
“Selagi diorang kat sini… selagi tu, Luf akan balik rumah Damya,”
Ziqri terkejut. Untuk kali pertamanya dia melihat Lufya yang sedikit berdendam. Mungkin masih sakit hati.
“Sayang, pandang abang,” tegur Ziqri.
Lufya terus menatap wajah Ziqri.
“Sayang berhak untuk terasa dengan apa yang dah jadi sebelum ni,”
“Memang Luf terasa! Hati Luf sakit!” Panahan mata Lufya tepat ke anak mata Ziqri. Air matanya kembali menghiasi tubir matanya.
“Sayang…” Ziqri kaget. Kata-kata yang terbit dari bibir Lufya itu menunjukkan yang hatinya masih belum sembuh. Sakitnya masih terasa.
“Luf terasa bila keluarga Luf sendiri tak pernah percayakan Luf. Luf terasa bila keluarga Luf sendiri tak kenal siapa Luf dan semuanya menghukum Luf. Luf terasa bila keluarga Luf sepatutnya ada dengan Luf, waktu Luf perlukan…” Lufya teresak sayu. “Tapi… semuanya Luf lalui sendiri. Yang ada hanya abang. Yang ada hanya orang luar. Luf jatuh dan bangun sendiri! Abang tahu tak, sakitnya macam mana? Sangat sakit abang! Sakit! Bertahun Luf hilang arah, cuba bangun. Luf kecewa abang. Hati Luf terluka sangat…” rintih Lufya, tanpa sedar.
“Ya Allah! Sayang…” Ziqri menarik tubuh Lufya ke dalam pelukannya.
Terlerai perasaan yang sekian lama dipendam.
Aeril, Lila dan Khalid kaku mendengar luahan itu. Rasa sayu menikam hati mereka. Itulah khilaf mereka! Kerana sikap suka menghukum, tanpa mendengar penjelasan. Semuanya hanya suka menuding jari.
Puan Hazimah yang dari tadi mendengar setiap ayat yang dilafazkan oleh Lufya itu, turut menangis. Ya silapnya sebagai orang tua. Dia terlupa siapa Lufya. Seorang gadis yang sanggup mengorbankan dirinya demi orang lain. Dia terlalu cepat menghukum. Rasanya, mereka sudah terlalu banyak melukai hati Lufya. Dia menyelit di antara anak-anaknya dan berdiri menghadap Lufya yang membelakang sambil dipeluk oleh Ziqri.
“Ibu minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Ibu mengaku… semuanya salah ibu,” luah Puan Hazimah sebak.
Lufya tersentak mendengar suara Puan Hazimah. Dia mengeraskan tubuhnya yang berada dalam pelukan Ziqri.
“Sayang…” Ziqri meleraikan pelukan.
“Tak baik buat macam ini. Rasulullahpun ampunkan umat…”
“Luf bukan Rasul!”
“Sayang… kenapa degil ni. Abang tak nak sayang mensia-siakan peluang yang Allah dah bagi ni. Kita tak tahu apa yang akan jadi esok,” tegur Ziqri lembut.
Lufya memandang wajah Ziqri yang mengharap. Betul! Kita tidak tahu apa yang akan jadi hari esok. Seandainya ada yang pergi, dia juga akan menyesal seumur hidup. Dia tidak sanggup ditemani rasa kecewa dan rasa bersalah seumur hidup.
Lufya memusingkan tubuhnya, lalu meluru pada Puan Hazimah.
“Ibu…”
Mereka berpeluk erat, sambil Puan Hazimah mencium pipi Lufya sebelah menyebelah.
“Kami minta maaf. Kami tahu… kami dah banyak lukakan hati, Lufya,” pinta Puan Hazimah.
Lila, Khalid dan Aeril menerpa ke arah mereka sambil diperhatikan oleh Ziqri dengan senyuman kelegaan dan kegembiraan.
“Alhamdulillah!” Ucapan syukur meniti di bibir Ziqri, saat melihat Lufya yang kembali di kelilingi insan yang dia sayangi.
SUASANA riang dan gembira, memenuhi ruang tamu, apartment Ziqri dan Lufya. Ziqri hanya tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka semua. Gelak ketawa Lufya dan Lila sentiasa menghiasi setiap ruang rumah itu memperlihatkan lagi satu sisi Lufya yang sebenar. Periang dan kuat ketawa.
Sesekali, Lufya mengusik Khalid dan Aeril, membuatkan keduanya di buru kegeraman. Tapi kemanjaan Lufya menarik hati Ziqri untuk terus memerhati mereka. Ya, Lufya seorang yang manja, periang dan hatinya tulus dalam setiap perbuatannya. Lufya seakan melupakan dirinya seketika, namun dia tidak mengambil hati. Dia tahu, itulah kegembiraan yang Lufya mahukan sebenar, seperti mana yang Riezman beritahu.
Ziqri bangun lalu meminta diri untuk masuk ke bilik. Mahu menghilangkan rasa lelah seharian bekerja.
“Abang…”
Langkah Ziqri terhenti ditengah bilik, saat mendengar suara Lufya menampar gegendang telinganya.
Dia menoleh sambil keningnya dijongket.
Lufya menghampiri tubuhnya, lalu memeluk erat dirinya sambil menyembamkan wajahnya ke dada bidang Ziqri.
“Terima kasih untuk semuanya,” ucap Lufya.
Ziqri mengukir senyuman. Dia melingkarkan tangannya pada tubuh Lufya, lalu mengucup dahi Lufya.
“Abang sayangkan sayang. Hanya sayang dan… insya’Allah, soon anak kita…” ucap Ziqri separuh berbisik.
“Luf, sayang abang juga… sampai mati,” balas Lufya manja.
Ziqri tersenyum lagi.
“Dah makan ubat?” tanya Ziqri sambil meleraikan pelukan. Dia hampir terlupa pada kewajipannya yang satu itu. Ya, ubat merujuk pada vitamin khas untuk ibu mengandung, termasuklah ubat tambah darah yang dibekalkan oleh klinik kepada Lufya.
Lufya tersenyum.
“Mana boleh lupa. Karang… alarm bunyi. Bising,”
Jatuh rahang Ziqri mendengar ayat terakhir Lufya. Dia faham sangat siapa yang dimaksudkan alarm itu.
“Sayang panggil abang alarm?” soal Ziqri.
Lufya menjongket kening nakal.
“Yelah. Dah kuat bebel. Kalah pak cik,”
“Kutuk nampak…”
“Tak kutuklah… tapi bersyukur, bila Allah hadirkan seorang lelaki yang prihatin dan baik sangat,” bantah Lufya.
Ziqri tersenyum mendengar ayat itu. Dia menarik Lufya ke katil lalu memaksa Lufya duduk, manakala dia mengambil tempat di sebelah Lufya. Selamba tangannya mendarat ke perut Lufya.
“Nasib baik,” kata Ziqri.
Lufya tergelak. Dia menyandarkan tubuhnya ke tubuh Ziqri. Hatinya masih belum tenang. Masih ada yang dia nantikan. Tapi, dia mahu menikmati malam itu, dengan hati yang gembira dan bahagia.
Share this novel