Get the app for full experience
SATU persatu helaian kertas itu diselak oleh Lufya dengan penuh minat. Dia mahu menumpukan perhatian pada setiap terma dan syarat yang dikenakan oleh stesen televisyen itu, sebelum menandatanganinya. Untuk menjalankan kerjasama seperti itu, dia harus teliti. Dia tidak mahu ada perkara yang tidak diingini berlaku.
Tiga ketukan pada pintu, berjaya mengganggu tumpuannya. Dia berdecit perlahan dan menutup fail itu sambil memandang ke pintu.
Terjengul kepala Zarina sambil bertanya, “Sibuk?” dengan nada perlahan.
Lufya meletakkan kedua sikunya ke atas dan merapatkan tangannya sambil menopang dagu dengan kedua tapak tangannya. Matanya dikelip-kelip mengundang ketawa Zarina. “Comel!”
“Masuklah…” kata Lufya akhirnya.
Zarina membuka pintu itu luas lalu masuk ke dalam bilik Lufya. Dengan langkah yang anggun, sesuai dengan penampilan dirinya, dia menghampiri meja Lufya dan duduk di hadapan Lufya. Di tangannya, terdapat sebuah fail hitam. Fail kewangan syarikat, pastinya.
“Maaflah, kalau aku ganggu kau,” ucap Zarina.
Lufya hanya menjongket keningnya mendengar ucapan itu. “Ada apa sebenarnya?”
“Aku cuma nak dapatkan kepastian.” Zarina berhenti sejenak, dan merenung wajah Lufya dengan tenang. Keputusan yang dibuat oleh Lufya itu terlalu besar baginya. Melibatkan kewangan yang besar juga. “Betul kau nak taja program tu?” tanya Zarina menyambung semula, kata-katanya yang tergantung sebentar tadi.
Lufya angguk sambil menjawab, “Betullah. Takkan aku nak main-main pula,”
“Kau tahukan… ini melibatkan kos yang banyak. Seratus ribu bukan sikit Luf,” kata Zarina. Dia sangat berharap, kalau Lufya membatalkan rancangannya yang satu itu.
“Diorang dah datang sini dengan penuh harapan. Takkan aku nak tolak,” kata Lufya. Tangannya dijatuhkan ke meja dan dia menegakkan tubuhnya. Perhatiannya ditumpukan hanya pada Zarina.
Zarina diam dan berfikir.
“Kau tak rasa rugi ke?” tanya Zarina dengan nada risau.
Lufya tertawa kecil mendengar pertanyaan Zarina.
“Rugilah. Seratus ribu kot… tapi, kelebihan dia banyak juga,” jawab Lufya sambil menjongket keningnya.
“Kelebihan?” Zarina mengerutkan dahinya. ‘Apa kelebihannya?’
“Ye.” kata Lufya separuh yakin.
Zarina menjongket keningnya tanda ingin tahu.
Lufya tersenyum dan memandang komputernya sekilas sambil menerangkan kelebihan yang akan mereka dapat, “Kalau kita jadi penaja utama, sudah pasti produk kitapun akan mula dikenali ramai. Dan bilangan pelanggan juga akan bertambah,”
Zarina berfikir sejenak. Pandangannya menikam wajah Lufya serius. Tidak lama kemudian, dia senyum dan menganggukkan kepalanya. “Baru aku faham,”
“Baguslah, kalau kau faham,” kata Lufya.
“Lagi satu… bila kau nak buat mesyuarat pasal pelancaran produk baru kau tu?” tanya Zarina dengan wajah ingin tahu.
“Tak tahu lagilah. Lagipun, produk tu baru keluar set percubaan. Belum ada feedbackpun,” kata Lufya. Dia mengusap tangannya sendiri.
“Kau kena rancang baik-baik, Luf. Kang kelam kabut, kau juga susah,” kata Zarina.
Lufya hanya mengangguk mendengarnya.
Zarina bangun bersama failnya dan meminta izin keluar. “Aku keluar dulu,”
Lufya mengangguk lagi. Pandangannya mengekori langkah Zarina, sehingga Zarina keluar dan menutup pintunya.
Memikirkan tentang produk terbaru syarikat, dia jadi pening. Mana lagi dengan kerja modelnya. Nasib baik, Marina memahami dirinya bila dia meminta untuk mengelak dari majlis-majlis fesyen yang kecil.
Damya pula sibuk dengan urusannya kerana mahu bercuti. Seminggu pula tu. Pantang ada peluang!
“TERIMA kasih babe! Sayang kau ketat-ketat,”
Damya menunjukkan kegirangannya sebaik dia menyerahkan boring permohonan cuti Damya yang sudah dia tandatangan. Lufya hanya menceber bibir melihat gelagat Damya yang mengalahkan kera mendapat bunga.
“Sukalah tu… dapat cuti,” usik Mia melihat gelagat Damya.
“Mestilah!” kata Damya sambil menjuihkan bibirnya.
“Tak payah nak excited sangat. Kau balik nanti, berlambak kerja tunggu kau,” kata Lufya mematikan kegirangan Damya.
Damya menyengetkan mukanya dengan riak sedih.
“Baru nak happy, happy. Kau ni potonglah…” rungut Damya.
“Jangan lupa bawa ole-ole untuk kami,” sampuk Zul.
Damya tayang muka menyampah pada Zul. “Dengan yang lain boleh, tapi dengan kau… beli sendiri,” selamba.
“Amboi! Kedekut bukan main ye…” leret Zul sambil mencebik tanda meluat.
Damya sengih kemudian ketawa.
“Aku gurau je lah. Isnya’Allah…” kata Damya dengan wajah gembira.
Jarang dapat bercuti, apatah lagi dengan keadaan yang sibuk. Memandangkan Lufya tiada photoshoot, dia memilih untuk memohon cuti kecemasan. Anak emas katakan…
Lufya meninggalkan mereka di situ, untuk menuju ke satu tempat. Mesej yang di tinggalkan oleh Marsha itu membuatkan dia terpaksa bergegas ke Midvalley.