Get the app for full experience
LUFYA membuka matanya perlahan. Kepalanya terasa sedikit berat. Dahinya terasa sejuk, membuatkan dia meraba dahinya.
Tuala basah? Lufya membuka luas matanya. Dia cuba untuk bangun, tapi terhalang oleh lengan kekar Ziqri. Dia memandang pada jam dinding.
“Alamak! Dah tengah malam.” Lufya berdecit perlahan.
Pandangannya jatuh pada wajah Ziqri yang terlena disampingnya. Sudah makankah Ziqri? Dia langsung tidak sedar lelaki itu balik dan mengalihkan dia ke bilik tidur. Bibirnya menguntum senyuman.
Tangannya naik ke pipi Ziqri, dan mengusap lembut. Rasa bahagia bila lelaki yang di sayanginya itu, ada bersamanya. Dia mendekatkan wajahnya pada wajah Ziqri dan mengucup lembut pipi Ziqri. Hatinya tidak mampu menafikan rasa sayang dan cinta pada lelaki itu. Perasaan itu menjadi lebih kuat setelah hadirnya satu nyawa di dalam rahimnya.
“Marsha?” Lufya terkedu mengingatkan tentang Marsha. Tangannya yang berada di pipi Ziqri ditarik laju. Riak wajahnya berubah pada kecewa.
Dia mengalihkan lengan Ziqri lalu bangun. Tuala yang berada di dahinya itu, di tanggalkan. Perlahan dia bangun. Tidak mahu Ziqri terjaga dari lenanya. Perasaannya yang kusut, kembali lagi. Lufya mengetap bibirnya dan membawa dirinya ke ruang tamu.
Dengan lesu, dia duduk dan menaikkan kedua kakinya ke atas sofa. Lututnya dirapatkan ke dadanya, lalu dipeluk erat.
Memikirkan apa yang bakal terjadi antara dia dan Ziqri terlalu menyakitkan hati dia. Dia tidak perlu menduga ataupun membayangkan, kerana dia tahu apa yang tidak diingini itu tetap akan terjadi. Rela ataupun tidak, dia dengan Ziqri tetap akan berpisah.
Teringat kembali mimpinya ketika tidur tadi. Mimpi yang membawa maksud yang sama dan kejadian juga sama. Di dalam mimpi itu, dia melihat Ziqri pergi meninggalkannya sambil memimpin tangan Marsha. Apa yang dia mampu lakukan, hanyalah menangis dan merayu, tapi Ziqri tetap juga melangkah.
“Ya Allah, kenapa ujian sebesar ini, ya Allah. Rasanya aku tidak mampu untuk menghadapinya sendiri. Ya Allah, aku mohon kekuatan darimu. Seandainya perpisahan adalah jalan terbaik, Engkau selitkanlah perasaan redha dan ikhlas dalam hatiku, Ya Allah. Sesungguhnya, hanya Engkau yang maha mengetahui,” doa Lufya dalam sendunya.
Air matanya jatuh ke lututnya. Bahunnya mula terhinjut menahan esakan. Dia tidak mahu Ziqri menyedarinya. Wajahnya di tekupkan ke lutut, dan bibirnya digigit kuat. Lututnya dipeluk seeratnya.
“Lufya,”
Serentak terasa bahunya disentuh lembut, membuatkan Lufya tersentak. Dia cuba mengawal dirinya dan menahan tangisannya. Segera kakinya di turunkan ke lantai dan Lufya mendongak dengan senyumannya, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Ziqri sedikit terkesima. Perlahan dia mengambil tempat di sebelah Lufya dan menghadap Lufya.
Lufya menunduk seketika.
“Err…” Lufya laju mengesat sisa air matanya sambil menayang sengihan. “Maaf kalau Luf ganggu tidur abang…”
Melihat ketenangan yang di tunjukkan oleh Lufya, membuatkan hati Ziqri dipalu rasa pedih dan sakit. Pandangan mata Lufya, menggambarkan segala rasa hatinya ketika itu. Tanpa amaran, tubuh Lufya ditarik lembut ke dalam pelukannya. Kalau boleh, dia mahu Lufya memikirkan tentang dia saja. Bukannya tentang orang lain. Dia mahu Lufya rasa, yang dia perlukan Lufya dalam hidupnya. Dia mahu Lufya tahu, bahawa hanya Lufya yang mampu buat dia bahagia. Hanya Lufya yang dia inginkan. Bukannya Marsha ataupun perempuan lain.
Tindakan Ziqri itu menyebabkan Lufya tidak dapat menahan perasaannya. Air matanya kembali terbit di hujung mata. Akhirnya, Lufya teresak kembali. Dia menyembamkan wajahnya ke dada Ziqri.
Ziqri mengeratkan pelukannya. Bibirnya berkali-kali singgah di dahi dan rambut Lufya.
“Menangislah… kalau itu buat sayang tenang… tapi percayalah cakap abang. Abang sentiasa ada dengan sayang…”
Kata-kata itu menambahkan lagi esakan Lufya. Bahunya terhinjut menangis. Lidahnya kelu untuk bersuara. Akhirnya, dia memilih untuk membisu dan membiarkan kehangatan tubuh Ziqri menyelubungi dirinya.
‘Masih adakah pelukan untuknya, selepas ini?’
Lufya memejamkan matanya erat. Dia ingin bahagia dan gembira. Biar masa hanya tinggal sedikit untuknya. Mungkin dengan kehangatan pelukan Ziqri, dia akan jadi lebih kuat.