“AYAH,” panggil Lufya cuba mencapai jari jemari Hj Maliki, ketika lelaki itu sedang duduk di kerusi malas yang terletak di kaki lima rumah.
“Siapa ayah kau?” Meninggi nada suara Hj Maliki sambil menolak tangan Lufya. Lufya terkedu.
“Ayah, tolonglah bagi Luf peluang,” rayu Lufya sambil duduk melutut di hadapan Hj. Maliki.
“Aku tak ade anak memalukan macam kau!” Keras nada suara Hj Maliki menampar pendengaran Lufya.
Air mata Lufya bergenang dihujung mata. Wajah lelaki itu dipandang penuh harapan, namun Hj Maliki memilih untuk bangun dan berlalu meninggalkan Lufya yang sudah mengalirkan air matanya di situ. Aeril yang melihat keadaan itu dari jauh, mendapatkan Lufya.
“Sudahlah Luf. Jangan pedulikan ayah tu. Abang ngah yakin yang ayah tu dah lama maafkan adik. Cuma, ayah ego nak mengaku,” pujuk Aeril.
“Sampai bila ayah nak buat Lufya macam ni abang. Luf sedih bila Luf balik, ayah langsung tak nak pandang Luf. Apa lagi yang Luf perlu buat supaya semua orang percayakan Luf?” Sayu suara Lufya mengundang rasa simpati di sudut hati Aeril.
“Doa Luf. Minta pada Allah. Merayu pada Allah dan dengan izin Allah, semuanya akan terungkai,” kata Aeril sambil memaut bahu Lufya untuk bangun.
Lufya diam. Bukan dia tidak berdoa, tapi mungkin masa itu belum sampai. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.
Mungkinkah berserah pada takdir?
PETANG itu, Lufya memilih untuk ke pantai. Teringin rasanya untuk menikmati pemandangan indah itu sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Sedang dia menyusuri pohon-pohon rhu yang merimbun itu, sekumpulan lelaki yang kelihatan seusia dengannya, menghampiri dia dengan pandangan yang tajam menyoroti setiap sudut tubuhnya.
“Weii! Lufya lah,” Hamka salah seorang dari mereka. Siapa tidak kenal Hamka. Seorang lelaki yang cukup samseng suatu ketika dahulu.
Lufya cuba untuk tidak mengendahkan mereka, namun Hamka merapatinya membuatkan hati Lufya mula tidak senang.
“Apa khabar Lufya? Seronok layan lelaki kaya kat KL tu?” Meledak ketawa rakan-rakan Hamka mendengar ayat berbaur penghinaan itu.
Lufya merengus kasar. Dia berhenti melangkah dan menghadiahkan pandangan tajam kepada Hamka. “Kau nak apa?”
“Aku nak kau. Nak juga aku rasa macam mana hebatnya kau. Kan? Hamka memandang rakan-rakannya.
Berderau hati Lufya mendengar ayat biadab itu. Dia meneruskan langkahnya untuk meninggalkan lelaki itu.
Melihat Lufya melangkah, Hamka bertindak menarik kasar lengan Lufya membuatkan Lufya berdesis kesakitan.
“Kau jangan nak sombong Luf. Bukan aku tak tau yang kau ni pelacur murahankan? Model konon?” Hamka menarik rambut Lufya kasar.
“S… sa… kitlah!” Tergagap Lufya sambil cuba meronta meminta dilepaskan.
Hamka ketawa mengekek mendengar Lufya tergagap.
“Uish! Gagap terus? Sakit ke sangap? Aku boleh je tolong puaskan kau.” Kata Hamka lagi sambil menguatkan lagi genggaman pada lengan Lufya membuatkan airmata Lufya mengalir menahan sakit.
“Lepaslah!”
“Boleh je… tapi aku nak test juga,” kata Hamka sambil merapatkan wajahnya ke wajah Lufya
Lufya mengetap bibirnya kuat. Hembusan nafas Hamka terasa pada pipinya membuatkan jantungnya berdegup laju kerana takut.
“Tolonglah Hamka, lepaskan aku,” rayu Lufya.
“Alamak Hamka. Dia minta dilepaskanlah pulak. Kau nak lepas ke? Sayang tak dapat rasa badan model ni.” Serentak itu Hamka menolak Lufya sehingga tersembam di pasir pantai itu.
Meledak ketawa lelaki-lelaki itu melihat Lufya yang terkial-kial hendak lari.
“Kau nak lari ke mana Lufya? Nak cari cik abang?” Hamka mendekati Lufya.
Lufya menggenggam pasir di tangannya sambil bibirnya diketap kuat. Sebaik sahaja Hamka menarik lengannya, dia bertindak membaling pasir itu ke wajah Hamka membuatkan Hamka menjerit kepedihan. Lengan Lufya yang dipegangnya tadi terlepas dari pegangan. Lufya mengambil peluang itu untuk lari meninggalkan mereka.
Buk! Sekujur tubuhnya terlanggar tubuh seseorang membuatkan dia terjatuh lagi.
“Maaf,” kata Lufya dengan nafas yang masih tercungap-cungap sambil mendongak. Berderau hatinya melihat Riezman yang sedang memandangnya kehairanan.
“Luf buat apa kat sini? Apa yang dah jadi?” tanya Riezman sambil menghalakan pandangan ke arah geng Hamka.
“E… er, takde ape abang. Luf saja jalan-jalan sebelum balik KL,” kata Lufya memberi alasannya.
Riezman mencapai lengan Lufya dan membantu Lufya untuk bangun.
“Takkanlah jalan-jalan sampai jatuh macam ni. Apa yang jadi sebenarnya Lufya?” Jelas nada Riezman yang tidak puas hati dengan alasan yang dia berikan itu.
Lufya berdecit perlahan. “Takde apelah abang. Luf nak balik,”
“Abang hantar,” kata Riezman tegas. Dia dapat meneka apa yang terjadi bila melihat pandangan geng Hamka yang terarah pada mereka berdua.
“Tak payahlah. Luf boleh balik sendiri,” bantah Lufya lagi.
Riezman merengus perlahan. Pandangannya tepat ke wajah Lufya.
“Luf nak Hamka dengan geng dia kacau Luf ke. Karang tak pasal-pasal Luf kena rogol. Automatic hilang dara. Nak macam tu?” selamba Riezman berkata tanpa mempedulikan riak wajah Lufya yang sedang menahan malu itu.
“Isk! Abang ni… tak baik cakap macam tu. Tu dah macam mendoakan pula,” kata Lufya sebal.
Riezman tersengih. Tangannya naik menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Abang tak doakanlah. Abang takut benda tu jadi betul-betul. Macamlah Luf tak kenal geng Hamka,” kata Riezman lagi.
“Biarlah! Lufya kan perempuan kotor,” kata Lufya sengaja mahu menduga isi hati lelaki itu.
Riezman berdecit perlahan. Lengan Lufya di tarik memaksa Lufya menghadap dirinya.
“Kita berdua tahu apa yang dah jadi Luf. Abang tahu yang Luf sentiasa menjaga maruah dan harga diri Lufya. Kenapa nak kisah apa yang orang cakap,” kata Riezman sambil merenung terus ke dalam mata Lufya.
Lufya menunduk bila menerima renungan itu. Dia rindukan lelaki itu, tapi keadaan mereka kini berbeza. Dia bukan lagi siapa-siapa lelaki itu.
“Kita mungkin tau abang, tapi yang lain tak tahu dan takkan ambil tahu pun,” kata Lufya.
“Kita bagitaulah,” balas Riezman.
Lufya mendengus tawa.
“Kalaulah semudah itu, Lufya tak akan tersekat di KL tanpa langsung tidak menjenguk ibu dengan ayah kat kampung. Ini pertama kali Luf balik lepas lima tahun, tapi Luf masih dengar lagi orang mengata,” kata Lufya sambl mengatur langkah ke jalan menuju ke rumah mereka.
“Sebab Lufya tak pernah bersungguh untuk betulkan anggapan orang kammpung. Luf terus pergi tanpa jelaskan apa-apa. Orang kampungpun fikirlah yang Luf ni nak lari dari kesilapan,” kata Riezman lagi.
Lufya mengeluh perlahan.
“Abang tahu ke yang ayah halau Luf dari rumah. lepas tau pasal benda tu?” tanya Lufya sambil mengerling wajah lelaki itu.
Langkah Riezman terhenti dan wajahnya jelas menunjukkan riak tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Takkanlah?”
“Itulah kenyataannya abang. Ayah yang tak nak jumpa Lufya. Sebab tu Lufya tak balik. Ingat Lufya suka-suka ke tak nak balik,” terang Lufya lagi menerangkan perkara sebenar.
Riezman mengeluh kasar. pada sangkaannya, Lufya sengaja menghilangkan diri. Ternyata dia salah buat andaian.
“Kenapa Luf tak telefon abang?” tanya Riezman sambil meneruskan langkah mengejar langkah Lufya yang sudah ke depan.
“Sebab Luf tak nak ganggu abang dengan Mar. Lagipun antara kita dah tiada ape. Untuk apa lagi Luf telefon abang,” kata Lufya. Pandangannya dihalakan ke hadapan.
Riezman diam.
“Dah lah abang. kalau orang nampak kita berduaan, heboh lagi sekampung,” kata Lufya bila mereka sudah menghampiri rumah keluarga Lufya.
Pandangan mereka berdua jatuh ke arah Hj Maliki yang datang dari arah bertentangan. Pasti dari surau!
Hj Maliki memandang mereka dengan riak wajah yang tidak suka.
“Ayah.”
“Pak Cik.”
Hj Maliki merengus kasar. Wajah Lufya dipandang tajam. “ Kalau nak balik untuk menggatal, baik tak payah balik terus. Buat malu nama aku je. Ingatkan balik dah berubah, rupanya perangai tetap sama!”
Langkah Lufya terhenti mendengar kata-kata Hj Maliki itu. Perlahan dia memandang Riezman yang tergamam mendengar kata-kata bapa saudaranya.
“Kita tak buat apapun,” kat Riezman separuh merungut.
Lufya diam. Tanpa berkata apa-apa, dia meninggalkan Riezman terkulat-kulat sendirian di situ.
SATU persatu barang dan pakaiannya itu dimasukkan ke dalam beg pakaian dengan penuh rasa kecewa dan terkilan. Anggapan Hj Maliki padanya tidak pernah berubah. Untuk apa lagi dia berada di rumah itu.
“Kak.” Lila menyerbunya di dalam bilik, namun Lufya mengabaikan Lila. Dia meneruskan kerja mengemas barang-barangnya.
Sesekali air mata yang mengalir itu diseka kasar. Kata-kata Hj Maliki sebentar tadi sungguh menyakitkan hati. Seorang ayah yang dia sanjungi dan dia sayangi, sanggup menuduh dia melacurkan diri di Kuala Lunpur demi sebuah kemewahan. Hina sungguhkah perkerjaannya itu.
“Kak, tolonglah jangan pergi,”
“Untuk apa lagi akak kat sini Lila? Ayah tak nak tengokpun muka akak. Akak ingatkan, bila akak balik semuanya dah berubah. Tapi masih tetap sama. Anggapan ayah pada Lufya tak pernah berubah.” Lufya menutup begnya kasar.
Lila merentap lengan Lufya.
“Sampai bila akak nak biarkan anggapan orang pada akak seburuk itu. sekurang-kurangnya akak berusaha untuk perbaiki keadaan. Bukan lari dari masalah!” Lila berkata geram.
“Lila! Akak tak diperlukan di sini. Akak ni dah diibaratkan orang luar. Dan perlukah akak mengemis hanya untuk sebuah kasih sayang dan kepercayaam yang takkan mungkin ada untuk akak. Bagitau akak Lila? Apa lagi yang akak kena buat? Akak dah buat semuanya.” Lufya duduk sambil menekup wajahnya.
Lila turut duduk disamping Lufya. Tubuh Lufya dipeluk erat. Betul kata kakaknya. Lufya sudah melakukan semuanya dan semua nampak usaha Lufya untuk berbaik dengan Hj Maliki. Tapi, Hj Maliki bagaikan tidak peduli dengan semua itu.
“Akak, untuk kali ni je akak,” pinta Lila sayu.
Lufya mengelengkan kepalanya lalu bingkas bangun. Tangkai beg pakaiannya itu ditarik kasar. Dia menuju ke meja solek dan satu persatu barangan peribadinya itu di masukkan ke dalam beg tangannya.
“Kak….”
Lufya masih membisu. Pintu bilik itu dibuka seluasnya dan beg pakaiannya itu ditarik kasar untuk turun ke bawah. Lila mengekorinya dari belakang sambil mengongoi menangis.
Semua yang berada diruang tamu bawah kelihatan tergamam melihat Lufya turun dengan beg pakaiannya.
“Lufya nak ke mana nak?” Puan Hazimah melangkah ke arah Lufya.
“Biarkan dia pergi. Dia tak layak tinggal dalam rumah ni. Aku tak nak ada pelacur dalam rumah ni!”Hj Maliki berkata tegas tanpa memandang ke arah Lufya.
“Abang!” Sesak nafas Puan Hazimah mendengarkan ayat menggemparkan Hj Maliki itu. Yang lain tergamam.
“Sampai hati abang. Abang dah pisahkan kami semua dengan Lufya selama bertahun abang. Tak puas lagi ke?” Puan Hazimah bersuara lirih.
Lufya menghampiri Puan Hazimah dan meraih tangan Puan Hazimah itu. “Maafkan Luf, ibu. Betul kata ayah. Luf ni perempuan kotor. Tak layak pun nak tinggal dalam rumah ni,” kata Lufya sayu.
Pedih hatinya mendengar ayat ayahnya itu. satu persatu ahli keluarganya itu disalami, dan Lufya melangkah keluar dari rumah itu dengan diiringi air mata kelukaan. Aeril, Khalid dan Lila terpaku melihat Lufya sekali lagi melangkah keluar dari rumah itu tanpa dapat mereka bantu. Hanya rasa simpati mengiringi langkah Lufya.
Di sepanjang perjalanan itu, Lufya ditemani air mata yang tidak putus-putus mengalir. Kenapa susah sangat untuk seorang ayah percayakan dirinya, berkali-kali dia jelaskan tapi jawapan yang diterimanya tetap sama.
“Ya Allah, berikanlah hambamu kekuatan untuk melalui semua ini.” Lufya memecut keretanya itu, tanda protes. Hanya dengan cara itu, dia boleh melepaskan rasa yang terbuku di hatinya. Pecutan keretanya itu menambahkan lagi kederasan air mata yang mengalir di pipinya. Selama lapan jam perjalanan akhirnya dia sampai juga ke destinasinya tanpa menyinggah di mana-mana.
Share this novel