BAB 93

Romance Series 92840

AWAL pagi, Lufya dan yang lain sudah mula menyibukkan diri masing-masing di ruangan hadapan. Stok yang baru sampai perlu di susun mengikut perisa dan kategorinya.
Dalam kesibukan mereka, Marsha muncul. Wajahnya tegang. Jelas sedang menahan sesuatu.
Berkerut dahi Lufya. Pekerjanya yang lain juga berpandangan kehairanan, bila Marsha merenung Lufya tajam. Damya mengambil tempat di sebelah Lufya. Apa-apa terjadi, dia boleh menghulurkan bantuan.
“Mar…” panggil Lufya. Lembut.
Pang! Sepantas kilat, tangan kanan Marsha, singgah ke pipi Lufya membuatkan Lufya terteleng. Kaku sebentar.
Semuanya tergamam dengan tindakan mengejut Marsha.
“Kau dah gila, Marsha!” jerkah Damya. Pandangannya mencerlung pada Marsha.
Marsha memandang Damya tajam. “Kau tak payah nak jadi pelindung sangatlah! Kau ingat aku tak tahu yang kau tu tak sukakan aku,” kata Marsha, tinggi.
Lufya meraba pipinya itu. Hatinya, tiba-tiba rasa pedih dan sakit. Malu menggunung di dalam hati, bila diperlakukan sebegitu.
“Kau sengaja buat aku macam ni kan? Nak balas dendamkan?” tuduh Marsha separuh menengking. Matanya mencerlung ke wajah Lufya.
“A…apa kau cakap ni Mar? Balas dendam apa? Aku tak faham,” tanya Lufya. Dia keliru dengan tuduhan tidak berasas itu.
Marsha mengetap rahangnya kuat.
“Hoi! Kau tak payah nak berlakon depan akulah, Lufya. Kalau dengan Ziqri, bolehlah. Tapi kalau aku… sampai matipun aku tak akan percaya kau lagi,”
“Kau saja je nak buat baik dengan Ziqri kan. Nak tunjuk konon-konon kau tu lagi baik dari aku. Saja nak buat Ziqri berpaling tadah dari aku? Kan?” Melengking suara Marsha memenuhi ruangan itu.
“Sekarang, puaslah hati kau? Dapat balas dendam sangat!” Marsha mendengus kasar. “Hei! Kalau aku tahu niat kau dari awal lagi, aku tak biar kau kahwin dengan Ziqrilah, Lufya!”
Lufya memandang Marsha sambil mengelengkan kepalanya.
“Kau salah faham ni, Mar. Aku tak pernahpun simpan niat nak balas dendam kat kau. Lagipun, kenapa aku nak buat macam tu? Kau kawan aku.” Lufya cuba menyentuh bahu Marsha tapi ditepis kasar oleh Marsha.
“Kau jangan sentuh aku, Lufya. Aku jijik dengan kau. Dasar perempuan perampas!” cemuh Marsha.
“Jaga sikit mulut kau, Marsha!” kata Damya memberi peringatan.
Marsha ketawa sinis. Keningnya dijongketkan dan wajah Damya dipandang tajam. Sesaat kemudian, pandangannya kembali pada wajah Lufya yang masih keliru.
Lufya ketap bibirnya kuat. Dia keliru.
“Aku nak kau minta cerai dengan Ziqri. Itupun… kalau kau sayangkan hidup kau,” kata Marsha tegas.
Kata-kata itu memberi kejutan pada Zarina dan yang lain-lain.
Lufya tergamam. Terasa langit menghempap kepalanya. nafasnya tersekat seketika. Perlahan Lufya mengalih pandangan pada Damya. Satu kejutan untuknya.
Damya mengetap bibirnya. Satu-satunya perkara yang dia takuti, akhirnya terjadi. Sekali lagi, Lufya akan terluka.
“Marsha,” tutur Lufya. Suaranya terlalu perlahan.
“Kau dah gila! Kau tahukan yang Luf, tengah mengandung?” soal Damya dengan riak wajah terkilan.
“Kau ingat aku kisah ke semua tu. Dia nak mengandung ke, nak mampus ke…” Marsha menggeleng kepala dengan riak wajah marah. “Aku tak kisah! Dan aku tak akan ambil kisah!”
Lufya terkedu. Tubuhnya terasa kejang seketika. Mendengar kata-kata Marsha, membuatkan hatinya sakit. Bagaimana seorang sahabat yang dia sayang, boleh mengeluarkan ayat sekejam itu padanya. Selepas apa yang dia dah lakukan?
“Min…ta cerai?” Lufya mengelengkan kepalanya tanda tidak percaya. Marsha yang berada di hadapannya itu jauh berbeza dengan Marsha sebelum ini.
“Ye… aku nak kau minta cerai dengan Ziqri. Secepat mungkin! Kalau boleh sekarang, sekarang juga!” tegas Marsha tanpa memikirkan perasaan Lufya.
“Kau…” kata-kata Damya terhenti bila Lufya mengangkat tangannya.
“Damya.” Lufya menggelengkan kepalanya.
Damya merengus kasar.
“Masalahnya, Marsha dah gila. Kau tahu tak? Dulu, dia paksa kau… kahwin dengan Ziqri, Luf. Suami dia sendiri. Sekarang suka hati nak suruh kau bercerai pulak?” Damya memandang Marsha yang kelihatan berdiri angkuh di hadapan mereka semua. “Kau memang tak berhati perut langsungkan?” soal Damya pada Marsha.
“Suka hati korang nak kata apa, tapi… pastikan, Lufya. Aku nak benda ni selesai secepat mungkin. Kalau, Ziqri tak nak ceraikan kau, pandai-pandailah kau urus kat mahkamah ke pejabat agama ke. Aku tak nak ambil tahu,” kata Marsha tanpa mempedulikan yang lain.
“Kenapa tiba-tiba, Mar? Apa sebenarnya yang dah jadi?” tanya Lufya. Cuba untuk berlembut.
Damya memandang Lufya dengan riak wajah yang keliru. Masih boleh berlembut selepas mendengar kata-kata kejam Marsha? Semuanya kelihatan tidak masuk akal pada Damya. Bagaimana Lufya boleh sebaik itu?
“Aku rasa kau tak perlu tahu kenapa… yang kau perlu buat sekarang, pergi pejabat agama dan failkan penceraian. Senang cerita. Tak payah aku nak buat kerja lain.” Usai berkata, Marsha terus memusingkan tubuhnya untuk meninggalkan tempat itu.
Melihat pemergian Marsha, Lufya mengetap bibirnya kuat. Tubuhnya terasa lemah. Lantas bahu Damya, di jadikan tempatnya bertaut.
Sedar keadaan Lufya, Damya memaut tubuh Lufya lalu membawanya ke sofa, sambil di perhatikan yang lain. Masing-masing tertanya dengan kesahihan cerita yang mereka dengar sebentar tadi.
“Sabar, Luf,”
Mendengar kata-kata Damya, Lufya sebak. Dia menggigit bibirnya kuat. Wajahnya di tekup dengan kedua tapak tangan.
“Huh!” Lufya berdiri tiba-tiba.
Damya memandangnya hairan.
“Kau nak ke mana pula ni, Lufya?”
Lufya diam. Tanpa berkata apa-apa, dia meluru ke tangga dan mendakinya untuk ke biliknya. Dia mahu menenangkan mindanya yang mula berserabut. Yang paling utama, dia mahu bersendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience