BAB 51

Romance Series 92840

JANTUNG Lufya bagaikan mahu luruh bila melihat Ziqri tiba-tiba muncul di tempat sebegitu. Berkerut dahinya dan dalam masa yang sama dia takut kalau Ziqri akan memarahinya.
“Mimpi apa Ziqri sampai ke sini?” tanya Damya hairan.
Lufya mengangkat bahu seraya menjawab, “Tak tahu,”
Zarina memandang mereka berdua hairan. Lelaki yang sedang berjalan ke arah mereka juga mengundang tanda tanya di benak Zarina. Bukankah…
“Siapa tu?” tanya Zarina hairan. Tangannya melipat bakul plastic yang sudah kosong itu.
Damya dan Lufya berpandangan sejenak. Mereka berdua hampir terlupa, kalau Zarina tidak pernah tahu yand dia sudah berumah tangga.
Lufya memandang Zarina seraya berkata dengan nada berupa arahan, “Kamu boleh balik. Terima kasih tolong aku,” tenang dan bersahaja wajahnya.
Damya mengangguk sambil menarik tangan Zarina untuk pergi ke tempat kereta mereka.
Sempat Lufya mendengar Zarina bertanya pada Damya tentang Ziqri, namun Damya hanya mendiamkan dirinya.
“Abang…” tutur Lufya sebaik Ziqri berdiri dihadapannya.
Ziqri melorek senyuman dan mencapai jejari Lufya.
“Kita balik,” kata Ziqri sambil menarik lembut tangan Lufya membuatkan Lufya terpaksa mengekori langkah Ziqri menuju ke kereta.
“Masuk,” arah Ziqri sebaik pintu kereta itu dibuka oleh Ziqri.
Lufya akur lagi dengan arahan itu. pandangannya masih menikam lembut wajah Ziqri yang tenang. Dalam diam, dia takut kalau lelaki itu menyuarakan bantahan pada apa yang dilihatnya sebentar tadi.
Masuk sahaja, Ziqri terus memusingkan tubuhnya menghadap Lufya membuatkan hati Lufya berdebar dengan pandangan yang dihadiahkan padanya itu.
“Kenapa datang tempat ni, lewat macam ni?” tanya Ziqri. Renungannya langsung tidak dilarikan dari wajah Lufya.
“Er… Lufya memang selalu datang tempat ni kalau ada masa. Nak kongsi rezeki dengan mereka,” luah Lufya resah.
Ziqri mengeluh perlahan. Dia risau kalau ada apa-apa yang bahaya terjadi.
“Abang tahu, Luf ni terlalu baik…” Ziqri berhenti sejenak sambil menarik nafasnya kemudian menyambung semula kata-katanya, “Tapi, tak baik orang perempuan ada kat sini malam macam ni. Abang tengok… tadi kamu bertiga je kan?”
Lufya teragak-agak untuk mengangguk tapi tetap juga mengangguk.
“Luf, minta maaf, kalau Luf dah buat abang risau,” pinta Lufya lembut. Pandangannya dihalakan tepat ke mata Ziqri. Jejarinya pula saling meramas antara satu sama lain menandakan hatinya resah dan gelisah. Takut dimarahi.
Melihat keresahan yang terpancar pada wajah Lufya dan jejari Lufya sebegitu, Ziqri mencapai jejari Lufya dan membawanya ke bibir. Satu kucupan dihadiahkan pada belakang tangan Lufya.
“Abang sayangkan Luf,”
Lufya tergamam. Wajahnya membahang malu. Matanya mencari anak mata Ziqri. Lidahnya kelu lagi. Hatinya berdebar kuat dan jantungnya mula berdegup laju. Mahu saja di menyorokkan kepalanya ke bawah kerusi. Sebaris ayat itu mampu saja mencairkan hatinya tapi…
“Abang, kita balik,” kata Lufya laju menghadap ke hadapan membuatkan Ziqri tersenyum simpul.
Cup! Pipinya dicium oleh Ziqri secara tiba-tiba membuatkan mata Lufya membulat kerana terkejut. Perlahan dia memusingkan kepalanya memandang Ziqri.
Ziqri hanya menjongket keningnya nakal. Mengusik!


SEKALI lagi Lufya akur dengan permintaan Ziqri untuk bermalam di hotel. Dengan alasan tiada privacy. Hanya alasan semata-mata bagi Lufya, tapi dia tiada pilihan lain melainkan akur pada permintaan ‘syurganya’ itu.
Mungkin agak keterlaluan, bila dia menganggap Ziqri sebagai ‘syurganya’. Tapi baginya, dia masih berpegang pada prinsip taat perintah suami seagaimana wanita lain. Cumanya, dia tidak tahu sampai bila dia mampu menunjukkan ketaatannya pada lelaki itu, memandangkan hubungan mereka hanya sementara.
“Kenapa abang tak bagitahu nak datang?” tanya Lufya sebaik mereka masuk ke dalam bilik hotel itu.
“Jumpa binipun nak kena bagitahu ke, sayang oii,” balas Ziqri dengan nada meleret.
Lufya meletakkan beg tangannya dan menuju ke arah Ziqri yang sudah melabuhkan punggungnya di birai katil.
“Takdelah. Luf Cuma hairan. Takkan Mar tak balik,” kata Lufya sambil melabuhkan punggungnya.
Mendengar nama Marsha, Ziqri segera teringat sesuatu. Dia mengiring dan tangannya menarik lembut bahu Lufya agar duduk menghadapnya.
“Kenapa Luf habiskan duit Luf untuk Mar?” Lufya jeda.
Perlahan panahan anak matanya mencari mata Ziqri. ‘Mesti kerja Mar!’
“Mana ada…,” dalih Lufya berdalih.
Sebaik anak matanya menangkap mata Ziqri, sepantas kilat di berpaling pada arah lain. Ziqri menggelengkan kepalanya.
“Jangan terlalu baik dengan orang, Luf,”
Lufya menunduk seketika mendengar pesanan itu. “Luf, cuma nak tolong selagi Luf boleh,”
Mendengar jawapan Lufya yang sudah menunduk itu, membuatkan Ziqri bertindak memaut dagunya untuk mendongak dan melihat padanya. “Nak tolong biarlah berpada-pada. Bukan main tolong je...,” pesan Ziqri. Lembut nadanya bagaikan memukau hati Lufya.
Lufya ukir senyum mendengar kata-kata lelaki itu. Tangan Ziqri ditolak perlahan. Dia bangun sambil menyuarakan pendapatnya sendiri, “Tak kisahlah dia berniat jahat atau tidak, tapi… selagi dia perlukan bantuan, Luf akan tolong semampu Luf. Allah kurniakan kelebihan pada Luf untuk menolong orang-orang yang Luf sayangi,”
Ziqri diam. Pandangannya jatuh pada Lufya yang sudah mencari tuala mandi di dalam wardrobe hotel.
“Kenapa abang rasa, Luf terlalu mencuba untuk mengambil hati semua orang?” Lufya menoleh bila mendengar kata-kata Ziqri itu.
“Kerana Luf tahu sakitnya bila diabaikan,”
Ziqri jeda.
“Siapa yang diabaikan dan siapa yang mengabaikan?”
“Anyone….” Balas Lufya dan Lufya meninggalkan Ziqri terkebil-kebil di situ.
Ziqri tidak perlu tahu kisah lalunya. Cukup dia dan Marsha yang tahu. Di zaman sekolah, dia hidup terasing dari rakan-rakan sekelasnya. Dirinya bagaikan tidak wujud. Tiada perhatian untuknya. Mungkin kerana, dia tidak tahu untuk bergaul dengan rakan sekelas. Sehinggalah Marsha wujud di dalam hidupnya, kemudian Damya. Ketika itu, barulah dia faham bagaimana rasanya diberi perhatian oleh seorang rakan.

LUFYA duduk sambil menopang dagu di balkoni bilik. Matanya ralit memerhati keindahan lampu neon di sekeliling hotel itu. Keindahan malam yang memukau jiwanya untuk terus menghayatinya.
Hatinya sedikit gelisah. Lelaki yang bernama Ziqri itu benar-benar membuatkan hatinya tidak tenang. Satu perasaan asing yang sudah lama tidak muncul di hatinya, muncul lagi. Kali terakhir perasaan itu hadir, adalah ketika dia masih bersama dengan Riezman. Bila wujudnya perasaan itu, perasaan takutnya mula muncul dalam diri. Takut kecewa dan terluka!
Rasa menyesal menghuni jiwanya kini. Menyesal melakukan sesuatu yang bakal membawa kepada luka dan kecewa yang dalam.
“Ya Allah,” sebutnya separuh berbisik.
Wajahnya diraup lembut. Dia tidak boleh membiarkan perasaan itu wujud di dalam hatinya. Apa saja yang berlaku, dia mesti menepisnya sebelum melarat. Tapi, mampukah dia?
“Luf….” Suara itu membuatkan Lufya menegakkan tubuhnya lalu menoleh ke belakangnya.
Ziqri sedang menghampirinya dengan hanya mengenakan bathrobe. Itu menandakan yang lelaki itu baru sahaja selesai mandi.
Keningnya diangkat tanda bertanya.
“Tak sejuk ke duduk luar?” tanya Ziqri lembut. Tangannya dilingkarkan ke bahu Lufya, sebaik dia berdiri di sebelah Lufya. Sempat jejarinya menyelitkan rambut Lufya yang berjuntai itu ke belakang telinga sebelum memandang ke depan.
Mereka bersama memandang ke arah pemandangan yang indah itu.
“Sejuk… tapi Luf saja nak tenangkan minda,” jawab Lufya.
Ziqri tersenyum. Kepalanya dirapatkan dengan kepala Lufya dan dia mengucup lembut rambut Lufya. Wangi!
“Abang dah beli rumah untuk kita,” kata Ziqri. Dia mengerling wajah Lufya yang sedikit terkejut.
Lufya memandang wajah Ziqri dengan kerutan. “Buat apa nak bazir duit. Luf, dah ada rumahkan,” protes.
Ziqri senyum.
“Rumah Luf dengan Damya. Bukan rumah kita,” balas Ziqri.
“Abang tak payah nak susah-susah sediakan semua tu. Hubungan kita ni tak lama manapun,” kata Lufya, sengaja mahu mengingatkan lelaki itu tentang hakikat sebenar dunia ‘ciptaan’ Marsha. Dia kembali memandang ke hadapan.
Ziqri diam. Mendengar kata-kata Lufya, dia takut.
“Luf, tak kisahlah hubungan kita ni sementara atau tidak, tapi itu tanggungjawab abang. Satu kewajipan yang perlu abang tunaikan. Sama seperti Luf tunaikan tanggungjawab Luf sebagai isteri,”
Lufya mengeluh perlahan. Semuanya kerana tanggungjawab dan juga janji.
“Mar, macam mana?”
“Mar, tak perlu tahu,”
Lufya mengeluh lagi. Dia takut, satu masa nanti, Marsha akan menuduh dia mengambil kesempatan pada Ziqri.
“Abang kena tanya, Mar, pasal ni. Abang tak boleh nak buat keputusan sendiri,” tegas Lufya.
Ziqri mengeluh perlahan. “Kenapa pula tak boleh? Abang ada hak,” tegas
“Mar, juga ada hak. Sebab dia isteri abang,” kata Lufya lagi.
Ziqri memandang Lufya sekilas, “Habis, Luf, siapa? Perempuan simpanan?” sebal.
Lufya diam. Hatinya sedikit terusik dengan perkataan ‘perempuan simpanan’. Dia menunduk seketika dan memandang Ziqri. Pandangan mereka bertemu.
“Mungkin,” jawab Lufya. Cuba untuk tenang tapi air wajahnya menceritakan apa yang dia rasai.
“Luf…,” panggil Ziqri lembut.
“Abang tak mampu nak tolak kata hati abang sekarang. Rasa cinta dan sayang abang pada Mar, makin hilang ditelan masa….”
“Jangan abang! Luf tak nak dengar apa-apa dari abang!” tegas Lufya lalu meninggalkan Ziqri sendirian di situ.
Jujur, hatinya semakin rapuh. Dia sudah tidak mampu menepis perasaannya sendiri terhadap lelaki itu. Semakin kerap lelaki itu mengatakan perasaannya, semakin lemah jiwanya menghadapinya.
“Jangan seksa diri Luf….” Kata Ziqri yang mngekorinya dari belakang.
Lufya mengeluh seraya berpusing kembali.
“Luf, bukan seksa diri. Luf, Cuma tak nak menyeksa sesiapa….”
“Tapi, macam mana dengan abang?”
“Abang hak, Mar. Selamanya!”
Malam mereka berlalu hambar tanpa gurauan manja dari kedua belah pihak. Masing-masing membeku dengan pendirian masing-masing.
Untuk pertama kalinya, Lufya terasa yang dia sudah melukakan hati lelaki itu. Untuk pertama kalinya, rasa bersalah menggunung di jiwanya. Tiada pelukan mahupun kucupan mesra dari lelaki itu membuatkan kegelisahannya tidak mampu ditampung lagi. Dia tidak suka perkara itu. Dan matanya juga tidak mahu lelap.
Dia memusingkan tubuuhnya menghadap lelaki itu. Raut wajah tampan milik lelaki itu, ditiliknya. Kening yang tebal, hidung yang mancung dengan irasnya seperti lelaki campuran mat salleh. Ziana pernah menceritakan yang datuknya adalah orang Jerman. Betul atau tidak cerita itu, dia sendiri tidak pernah meminta penjelasan dari Ziqri.
‘Maafkan, Lufya….’ Hanya hatinya yang mampu berbicara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience