BAB 41

Romance Series 93123

DUA hari di New York, mereka bertiga menginap di New York Hotel. Layanan yang terbaik mereka terima selama mereka menginap di mana-mana hotel selama ini.
Selesai saja pertunjukan fesyen yang berlangsung petang itu, mereka terus mencari tempat yang menarik untuk dikunjungi. Bukan untuk membeli belah, tapi untuk mencuci mata yang keletihan menghadap pertunjukan fesyen itu.
“Ramai gila orang kat sini,” komen Damya ketika mereka mengunjungi 5TH Avenue yang terletak di Daerah Manhattan. Salah satu temmpat yang dikatakan mahal di New York.
“Kalau you nak tahu, New York ni salah satu bandar yang padat dengan penduduk. Sebab tu mana-mana tempat ramai orang,” ujar Marina membuatkan Damya melopong kagum.
“Malaysia yang berbilionpun dah sesak. Inikan pula New York. Padat,” komen Damya sambil menceber bibir.
“Kan?” celah Lufya sambil terangguk-angguk.
“Apa yang orang suka kat sini? Aku tengok biasa je,” kata Damya.
Marina ketawa mendengar kata-kata Damya itu. Nampak sangat Damya tidak menikmati pemandangan yang terpapar di hadapannya itu.
“Patutnya kau bersyukur yang kau sampai kat sini tahu…” kata Lufya membalas kata-kata Damya dengan nada meleret.
Damya tersengih mendengar balasan Lufya itu.
“Betul tu,” celah Marina.
“Bukan tak nak bersyukur, tapi jiwa aku sesuai kat Asia je,” balas Damya tidak mahu mengalah.
Marina dan Lufya berpandangan kemudian ketawa. Masing-masing terasa lucu mendengar ayat Damya itu.
“Selalunya, kaulah yang paling excited. Kenapa kali ni tak?” soal Lufya pelik.
Damya jarang menunjukkan sikap tidak minatnya pada tempat yang baru mereka kunjungi. Selalunya dialah paling teruja, tapi kali ini berbeza. Riak wajah tidak senang dengan suasana itu jelas kelihatan di wajah Lufya.
“Akupun tak tahulah, tapi… aku memang tak suka tempat ni,” luah Damya dengan wajah sedikit suram.
“Berbanding tempat ni dengan New Zealand, aku lagi suka kat sana,” sambung Damya lagi.
Marina mencebik. “Dah kira okaylah dapat tiket kapal terbang percuma. Ingat murah ke?”
Damya mendengus perlahan. Wajah Marina dipandang seketika.
“Bukan soal tiket percuma, tapi I memang tak suka tempat ni. Cuba kau tengok minah tu. Seluar dia pendek gila. Dah nak terkeluar isi dalam seluar dia tu. Tak sukalah…” rungut Damya sambil memuncungkan mulutnya pada seorang gadis yang memakai tank top bertali halus dan seluar sendat serta pendek seakan menampakkan pangkal pehanya. Memang seksi.
Berkerut dahi Lufya dengan Marina, bila mendengar kata-kata Damya yang tidak sayang mulut itu.
“Weii… kau tak sayang mulut ke? Kalau dia faham apa kau cakap, tak ke naya kau dibuatnya,” tegur Lufya.
“Tulah! Main cakap je. Ingat sikit, ni bukan Malaysia tahu. Hak diorang nak pakai apa,” kata Marina mencelah.
Mereka berdua tidak suka apa yang dikatakan oleh Damya itu.
“Aku cakap je. Tapi betullah kan…” Damya tidak mahu mengalah.
Lufya mengeluh perlahan.
“Damya, kita kat tempat orang tahu. Macam mana diorang hormat kita, macam tu juga kita kena hormat diorang. Inikan Negara bebas. Takkan kau nak bantah apa yang diorang pakai. Jangan nak samakan dengan Malaysia. Malaysia Negara Islam,” nasihat Lufya panjang lebar.
Damya terdiam mendengar nasihat percuma dari Lufya itu.
Marina menayangkan riak wajah mengejek pada Damya membuatkan Damya spontan menyengetkan bibirnya. Tahulah yang dirinya sedang diejek oleh Marina.
Nasib baik ada Lufya, kalau tidak, pasti Marina akan dia kerjakan.
‘Tak habis-habis nak dendam,’ kutuk hati Damya pada dirinya.
Kerana harga barang yang agak mahal dengan mata wang yang mahal, mereka memilih untuk balik ke hotel.

“LUF,”
Lufya berhenti melangkah dan menoleh ke suara itu. Ziana sedang melangkah keluar dari lif tersenyum ke arahnya. Lufya membalas senyuman itu seikhlasnya.
Mereka ada bertembung di luar bilik persalinan tengahari tadi, tapi masing-masing tidak sempat untuk bertegur sapa kerana mengejar masa. Damya dan Marina kemudian meminta diri untuk kembali ke bilik meninggalkan Lufya dan Ziana di situ.
“Zie,” tutur Lufya sebaik sahaja Ziana berdiri dihadapan mereka.
“Maaflah, tadi tak sempat nak tegur. Zie kejar masa,” kata Ziana ramah.
Lufya sengih sebaris kemudian berkata, “Takpelah. Luf tak ambil hatipun. Zie nak gi mana ni?” Wajah Ziana dipandang sekilas.
“Nak cari buah tangan untuk umi. Alang-alang jumpa Luf kat sini… jom pergi sekali?” Ziana jongket keningnya tanda meminta persetujuan.
Lufya berfikir sejenak. ‘Bagus juga!’
“Hmmm… nak cari buah tangan kat mana? Luf okay je,” kata Lufya akhirnya bersetuju.
Ziana tersengih. “Adalah…”
Lufya sekadar menjuihkan mulutnya melihat Ziana yang mahu berteka teki dengannya.
“Baiklah! Jom,” kata Lufya memusingkan tubuhnya dan melangkah mendahului Ziana.
Ziana menyaingi langkah Lufya sambil tangannya dinaikkan ke bahu Lufya. Berkerut dahi Lufya namun, laju dia membiasakan dirinya dengan situasi itu.
“Apa khabar hubungan Luf dengan Ziq?” tanya Ziana sebaik mereka keluar di pintu masuk hotel itu.
Terangkat kening Lufya mendengar pertanyaan itu. ‘Ini ke tujuan dia nak ajak aku cari buah tangan sekali,’
“Okay je. Macam suami isteri yang lain,” jawab Lufya tenang.
Ziana mengerling Lufya sekilas. Dia dapat meneka, yang Lufya tidak sukakan soalan itu. Dia menurunkan tangannya yang melingkari bahu Lufya dan berkata, “Maaflah menyibuk. Tapi Zie kadang-kadang kasihan juga dengan Ziq tu. Mar tu tak boleh harap langsung,”
Lufya diam mendengar kata-kata selamba Ziana itu. Takkan Ziana terlupa yang dia tu kawan baik Marsha. Dia tidak suka bila ada yang mengata Marsha.
“Takpelah Zie. Kita doakan dia berubah. Tak baik kita kata dia,” tegah Lufya membuatkan Ziana mencebik sendiri.

“Luf patutnya tahu macam mana nak nasihat dia. Diakan bff Luf,” komen Ziana.
Lufya tergelak kecil mendengar komen itu. “Lufpun bukan manusia sempurna Zie. Lagipun, Mar yang pilih untuk hidup dengan cara macam tu,”
Ziana diam mendengar jawapan kakak iparnya yang sebaya dengannya. Dia memandang Lufya sejenak.
“Tapi…”
“Zie, Luf betul-betul tak berminat nak cakap tentang keburukan sesiapapun. Luf tak suka membawang. Minta maaf!” Tegas kata-kata Lufya menyebabkan Ziana diam sambil menggigit bibirnya.
Rasa malu menerjah hatinya itu. Dalam diam, dia kagum dengan sikap Lufya itu. Bukankah itu sikap yang sepatutnya ditunjukkan kepada semua orang. Jarang sungguh orang perempuan bersikap seperti itu.
‘Ya, lebih baik jaga hal sendiri daripada menyibuk tentang orang lain. Aib diri terjaga dan aib orang lain juga terjaga,’

SAMPAI sahaja di bilik hotel, baru Lufya tersedar dengan kehadiran mesej dari Ziqri. Ziqri bertanya tentang tarikh kepulangan dan juga waktu ketibaan mereka. Lufya kelam kabut membalas mesej itu sambil membebel pada dirinya sendiri.
‘Alamak! Macam mana boleh tak sedar ni,’ bisik Lufya sendiri.
Dalam diam, Lufya tersenyum. Sekurang-kurangnya Ziqri masih mahu mengambil tahu tentang dirinya, biarpun dia hanya isteri sementara.
Marina dan Damya yang melihat tingkah laku Lufya yang asyik tersenyum sendiri, membuatkan mereka berdua berpandangan sambil keduanya mengangkat jari tanda mengira. Senyuman nakal terlorek di bibir masing-masing.
“1,2… Lufya!”
Lufya tersentak kemudian memandang mereka berdua kehairanan. Keningnya dijongket geram sambil bertanya ingin tahu. “Kenapa?” bengang.
“Laa… masih dalam dunia ke? Ingatkan dah pergi alam fantasi…” leret Marina.
Lufya merengus perlahan. Pandangannya kembali memandang skrin telefonnya yang sudah menyala, menandakan ada mesej yang masuk. Sekali lagi Lufya tersenyum.
“Ziqrilah tu!”
Lufya hanya menayangkan riak wajah tanpa perasaan mendengar kata-kata mereka. Dia tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang Ziqri, Ziana mahupun Marsha. Biarlah cerita yang dibuka itu berakhir di situ sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience