TERKEJUT beruk Ziqri sebaik terpandang wajah Marsha yang tiba-tiba muncul di pejabatnya dengan wajah yang masam mencuka. Pasti Marsha sedang menahan perasaan geramnya kerana selepas menghantar Lufya pagi tadi, dia terus ke pejabat. Bukannya dia sengaja, tapi ada urusan yang perlu dia selesaikan secepat yang mungkin.
“Bukan main you ye. Mentang-mentang dah nikah baru,” kata Marsha separuh merungut. Dia menghempas punggungnya di kerusi empuk yang berada di hadapan Ziqri.
“Mar, I minta maaf. Tadi I memang nak balik jenguk you, tapi I ada mesyuarat tergempar. Tu yang terus masuk pejabat tu,” pujuk Ziqri sambil berdiri menuju ke arah Marsha yang seakan merajuk.
“I tak kisahlah you nak ada mesyuarat ke, apa ke… yang I tahu, I nak duit,” balas Marsha. Pandangannya menikam wajah Ziqri yang semakin menghampirinya.
Berkerut dahi Ziqri bila mendengar permintaan itu. ‘Bukannya duit nafkah baru transfer minggu lepas erkh?’ Ziqri bertanya sendiri di dalam hatinya. ‘Takkan dah habis,’ sambungnya lagi di dalam hati. Wajah Marsha yang kelihatan bengang itu dipandang seketika setelah dia berdiri tepat disamping Marsha.
“Rasanya I dah transfer duit kat you minggu lepaskan?” tanya Ziqri hairan.
Marsha merengus kasar. Dia menjeling Ziqri tajam. “Lima ribu mana cukup Ziq!”
Ziqri mengeluh perlahan. Dia mula memprotes. “Tiap bulan I bagi you lebih Mar. Takkan tujuh ribu tu tak cukup,”
Marsha mengetap bibirnya kuat. Sejak kebelakangan ini, Ziqri kerap mengungkit hala tuju duit yang diberikan padanya. ‘Hish! Geram pula rasanya!’
“You ingat tujuh ribu cukup ke untuk I beli barang i?” soal Marsha dengan pandangan yang menjengkelkan.
“Marsha, tujuh ribu tu banyak tahu. You ingat I ni cop duit ke? Tiap minggu nak kena bagi you duit banyak tu. Jutawanpun boleh kopak!” kata Ziqri tegas.
Marsha diam. Apa yang dikatakan oleh suaminya itu betul, tapi…
“I tak kira, I nak juga duit,” Desak Marsha.
Ziqri melangkah kembali ke kerusinya dengan keluhan yang panjang.
“You nak beli apa?” tanya Ziqri lembut. Bertekak dengan Marsha tidak akan pernah habis. Lebih baik dia berikan saja apa yang Marsha mahukan.
“Nak pergi Spa, nak beli barang make up…”
Ziqri menarik dompetnya yang berada di dalam poket seluarnya lalu mengeluarkan sekeping kad kredit.
“I takde cash. Pakai ni dulu. Malam nanti, I bagi you tunai,” kata Ziqri sambil menghulurkan kad kredit itu kepada Marsha.
Tanpa berfikir panjang, Marsha menarik kasar kad kredit itu lalu bingkas bangun dan keluar dari pejabat Ziqri tanpa berkata apa-apa.
Ziqri mengeluh sebaik Marsha menghilang. Bukannya dia tidak memiliki tunai ketika itu, tapi dia sengaja memberikan kad kredit itu. Dia mahu tahu, apa yang Marsha lakukan dengan kad kredit itu.
Bibirnya menguntum senyuman senget. Satu persatu rahsia Marsha berada di dalam genggamannya. Telefon pintar yang berada di mejanya itu dicapai kasar dan dia mula menaip sesuatu.
“Ekori dia dan pastikan dia tidak sedar,”
Ziqri kemudian menekan lambang ‘send’ untuk menghantar mesej itu. Sekali lagi bibirnya menguntum senyuman penuh makna.
Hanya dia yang tahu apa maksud disebalik senyumannya itu. Pastinya apa yang dia lakukan ketika itu bakal merubah hidupnya dan Marsha tidak lama lagi.
KETIKA keluar untuk makan tengahari, langkah Ziqri terhenti ketika matanya menangkap sesuatu di atas meja setiausahanya.
“Majalah Wanita?”
Bukan tajuk majalah yang menjadi menarik perhatiannya tapi gambar yang tertera di kulit majalah itu yang mengganggu fikirannya.
Tanpa berkata apa-apa, mahupun meminta izin pada pemiliknya, Ziqri mencapai Majalah Wanita itu. Matanya ralit memandang wajah Lufya yang dihiasi solekan tebal, ditambahkan pula dengan pakainnya yang seksi mendedahkan bahagian lehernya. Gayanya saja sudah mampu menggoda mata-mata lelaki yang melihat gambar itu.
Ziqri mengetap bibirnya perlahan. Dia tidak suka dengan apa yang dilihatnya itu. Dia tiba-tiba tidak sudi setiap bentuk tubuh Lufya yang cantik dan menggoda itu menjadi tatapan lelaki di luar sana. Dia yakin yang kecantikan Lufya itu boleh menggegarkan setiap urat saraf lelaki yang memandangnya seseksi itu.
“Errr…” Suara itu berjaya membuatkan Ziqri terkejut. Laju dia berpaling pada suara itu.
Setiausahanya yang sudah berdiri itu memandangnya sedikit takut.
“Ni, kau punya ke?” tanya Ziqri dengan nada dingin tanpa memandang Yusnita,
Yusnita menganggukkan kepalanya laju.
“Berapa kau beli ni?” tanya Ziqri. Matanya menikam wajah Yusnita.
“Err… murah aje tuan. Empat ringgit,” jawab Yusnita takut-takut.
Tanpa berkata apa-apa, Ziqri menyeluk seluarnya lalu mengeluarkan not sepuluh ringgit, lalu dihulurkan pada Yusnita. “Aku ambil yang ni. Kau beli lain,”
“Tapi…” Yusnita serba salah.
“Kenapa? Tak cukup lagi?” soal Ziqri sambil menghadiahkan pandangan menjengkelkan pada Yusnita.
“Err… cukup tuan. Nanti saya beli baru,” kata Yusnita mengalah. Takut pula kalau Ziqri menengkingnya kerana sebuah majalah.
“Good! Letak majalah ni dalam bilik aku. Pastikan muka depannya kau terbalikkan. Faham?” Ziqri menghulurkan majalah itu pada Yusnita. Dia tidak mahu ada pekerjanya yang sedar tentang kehadiran majalah itu di mejanya.
Yusnita menyambut huluran itu laju. “Baik tuan,”
Ziqri meninggalkan pejabat itu menuju ke restoran yang menjadi kebiasaan untuk dia dan Daniel menjamu selera.
Share this novel