BAB 101

Romance Series 92840

TEPAT lima empat puluh lima, pesawat Airasia yang mereka naiki itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Mereka berdua bergegas turun dari pesawat.
“Hati-hati sayang. Nanti jatuh pula,” pesan Ziqri, bila melihat Lufya yang sedang melangkah laju menuruni tangga pesawat. Dia sempat menggenggam tangan Lufya. Melihat Lufya yang seakan mahu terbang itu, hatinya diburu kerisauan. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk pada Lufya.
Baru sahaja Lufya mahu membuka langkahnya, Ziqri menarik tangannya agar Lufya berhenti.
“Abang!” Lufya memandang Ziqri dengan pandangan tidak puas hati.
Ziqri tidak peduli, tapi bahu Lufya dipautnya.
“Perlahan-lahan. Abang tahu, sayang risau. Tapi abang lagi risau kalau sayang asyik nak kelam kabut je. Kalau jatuh?” Sekali lagi teguran itu menampar pendengaran Lufya.
Lufya mengeluh perlahan. Dia terpaksa akur untuk berpegangan tangan dengan lelaki itu. Kalau ikut hatinya, sudah lama dia berlari untuk mencari teksi. Dia betul-betul takut kalau ada apa-apa yang buruk berlaku.
Setelah mendapatkan teksi, Ziqri terus saja mengarahkan teksi itu untuk menghantar mereka berdua ke hospital yang menempatkan HJ Maliki. Sepanjang berada di dalam perjalanan, jantung Lufya berdegup laju. Hatinya berdebar, tidak senang.
“Abang, Luf takut,” kata Lufya separuh berbisik.
Ziqri memeluk tubuh Lufya erat.
“Sabar sayang,” balas Ziqri. Sejujurnya, dia juga takut. Dia juga resah. Tapi dia sengaja tidak mahu menunjukkannya pada Lufya. Dia tidak mahu Lufya tertekan memikirkan perkara itu.

TURUN sahaja dari teksi itu, Lufya dan Ziqri terus menuju ke ICU yang menempatkan HJ Maliki, sepertimana yang diberitahu oleh Lila. Debaran di hati Lufya semakin laju. Firasatnya mengatakan ada perkara tidak baik yang akan terjadi. Dari jauh, dia dapat melihat Puan Hazimah berpelukan dengan Lila sambil menangis, manakal Aeri dan Khalid masing-masing menunduk. Melihat kelakuan mereka, Lufya semakin berdebar takut.
“Ibu,” panggil Lufya.
Serentak empat pasang mata memandang ke arahnya. Mata Puan Hazimah dan Lila merah dan bengkak. Empat pasang mata itu sedang memandang dengan pandangan yang asing, bagi Lufya.
Langkah Lufya terhenti seketika, kemudian perlahan menghampiri Puan Hazimah yang sedang memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk Lufya tafsirkan.
“Ibu, ayah mana?” tanya Lufya dengan suara yang sedikit bergetar sebaik tiba dihadapan mereka berdua. Dia mendepakan tangannya mahu memeluk Puan Hazimah.
Puan Hazimah menepis kedua tangan Lufya, mengejutkan semua yang berada disitu.
“Ibu.” Lufya terkedu menerima tepisan itu.
Puan Hazimah memandangnya dengan pandangan yang sarat dengan perasaan marah. Marah kerana berita yang sampai ke pendengaran mereka beberapa jam lepas dan inilah pengkahirannya. Melihat HJ Maliki berjuang sehingga nafas terakhirnya, membuatkan hatinya sakit.
Ziqri mengetap bibirnya perlahan, bila melihat Lufya diperlakukan sebegitu oleh Puan Hazimah. Hatinya tidak tenang.
“Ayah dah takde kak,” beritahu Lila dengan suara lirih. Serentak itu, dia memeluk Lufya erat.
Tubuh Lufya kaku mendengar perkhabaran itu. Lututnya terasa lemah. Pelukan yang diberikan oleh Lila itu tidak berbalas. Airmatanya merembes laju. Apa yang ditakutinya sudah terjadi.
“Tak mungkin!” bantah Lufya. Kepalanya digelengkan tanda tidak percaya. Dia menolak Lila dan memegang kedua bahu Lila.
“Cakap betul-betul dengan akak. Ayah mana?” tangis Lufya.
Lila menggelengkan kepalanya.
“Ayah dah tak ada kak. Doktor dah sahkan yang ayah dah tinggalkan kita,”
Air mata Lufya semakin banyak mengalir. Tubuhnya menjadi lemah dan pandangannya berpinar. “Ayah…” rintihnya, sebelum pandangannya berubah kelam sepenuhnya. Sempat juga telingannya mendengar namanya disebut, namun dia benar-benar tidak larat untuk membuka matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience