SELEPAS semua tetamu pulang, termasuk keluarga Ziqri, Lufya memilih untuk ke dapur bagi membantu apa yang perlu dibantu.
“Aik, kenapa masuk dapur? Luf patutnya dah naik tahu,” kata Puan Hazimah menegur.
Lufya tersenyum sahaja. “Baru jam lapan, ibu,”
“Memanglah baru jam lapan, tapi Luf tetap kena naik. Kena dahulukan suami. Kot,kot dia perlu Luf kat atas,” nasihat Sarina.
Lufya diam kemudian tersengih. Muncul perasaan malunya bila mengingatkan tentang perkara itu. “Malulah kak long,”
“Haish! Malu pula? Mana boleh macam tu. Kasihan kat suami Luf,” celah Aina.
“Betul tu Luf. Pergilah naik. Yang ni, biar kami uruskan. Lagipun, budak-budak semua dah tidur. Kepenatan,” kata Sarina lagi.
Lufya berdecit perlahan. Puan Hazimah yang sibuk menyusun pinggan mangkuk itu didekati. “Ibu…”
“Pergilah naik Lufya. Kasihan Ziqri!” kata Puan Hazimah berbaur arahan.
Lufya mengeluh perlahan sambil memandang wajah mereka satu persatu. Sempat matanya menangkap pandangan nakal Lila. Lufya mencebik bibir. Dahinya berkerut bila memikirkan sesuatu.
“Damya mana?” tanya Lufya sambil memandang wajah Lila.
“Ada kat bilik. Solat,” jawab Lila.
“Tak payahlah nak risau pasal Damya tu. Tahulah kami nak layan dia,” kata Puan Hazimah lagi.
Lufya terpaksa akur.
Langkahnya di bawa meninggalkan ruangan dapur itu. Ketika melintasi ruang tamu, matanya menangkap kelibat Ziqri dengan tubuhnya masih dibaluti dengan baju melayu yang dipakai ketika akad nikah petang tadi.
Ziqri sibuk berbual dan bergelak ketawa bersama dengan Khalid dan Aeril. Kemesraan yang terjalin itu sedikit meresahkan Lufya, bila mengingatkan tentang Marsha. Apa yang akan terjadi, kalau mereka tahu siapa Ziqri sebenarnya.
Pelbagai bayangan buruk terbayang di fikirannya, namun laju dia menepis perkara negetif yang menghantui pemikirannya ketika itu.
Khalid yang sedar pandangan Lufya ke arah mereka, berkata sesuatu pada Ziqri membuatkan Ziqri yang duduk membelakang itu memandang padanya.
Lufya mengukir senyumannya dan Ziqri membalas mesra senyuman itu.
Tanpa berkata apa-apa, Lufya membawa langkahnya menuju ke tangga rumah yang menghubungkan tingkat atas dengan tingkat bawah. Sampai di atas, dia bertembung dengan Damya membuatkan langkahnya terhenti.
“Kau okay kat sini?” tanya Lufya prihatin.
Damya tersenyum sambil mengangguk. “Aku okay. Macam kau tak kenal aku,”
“Aku takut kau tak selesa. Maklumlah rumah kami ni tak besar manapun,” kata Lufya dengan nada risaunya.
Damya tergelak. “Lufya, Lufya….” Wajah Lufya dipandang sejenak. “Tak payahlah kau nak risau pasal aku. Aku okay je. Asalkan ada tempat nak berteduh,”
Lufya tersengih mendengarnya. “Baguslah macam tu,”
Lufya kembali mendaki anak tangga itu namun langkahnya terhenti bila mendengar ayat Damya.
“Kau patutnya risaukan pasal diri kau Luf. Bukan pasal aku,”
Lufya tersenyum kelat sambil menoleh pada Damya. Pandangan mata mereka bertemu.
“Insya’Allah,” kata Lufya lalu meneruskan pendakiannya.
Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia akan bertahan dengan sikapnya yang satu itu.
SATU persatu pakaian Ziqri itu disusun masuk ke dalam almari kesayangannya. Jam sudah menginjak ke angka sepuluh, tapi bayangan Ziqri belum kelihatan. Lufya tidak berniat untuk memikirkan keberadaan Ziqri kerana dia tahu Ziqri masih sibuk bersembang dengan ahli keluarganya di bawah. Cuma satu kemusykilannya ialah, tidak solatkah lelaki itu?
Pintu yang ditolak dari luar membuatkan tangan Lufya berhenti membuat kerja dan pandangannya ditumpukan pada pintu. Muncul Ziqri dengan senyuman yang terukir di bibirnya sebaik terpandang akan kelibat Lufya.
Tubuh Lufya yang dibaluti baju tidur satin itu direnungnya dengan satu perasaan yang agak menggugat hatinya. Jujur, hati Ziqri semakin terpaut dengan sikap yang ditunjukkan oleh Lufya itu. Pandangan mata mereka bertemu seketika kemudian Lufya melarikan pandangannya.
Hati Lufya berdebar menerima pandangan dan renungan lelaki yang sudah bergelar suaminya itu.
Perlahan Ziqri mengatur langkah menuju ke katil, sambil matanya memandang sekeliling bilik Lufya. Hiasan bilik itu tidaklah keterlaluan. Biasa saja dengan cadar yang berwarna merah saga, dan almari kayu yang unik dan menarik pandangan matanya.
“Awak nak mandi?” tanya Lufya lembut sebaik Ziqri melabuhkan duduknya di atas tilam empuk itu.
Ziqri memandang Lufya yang berdiri sambil menggantung pakaiannya itu ke dalam almari.
“Bilik ni ada bilik mandi ke, atau saya kena turun bawah?” tanya Ziqri ingin tahu.
Lufya tergelak kecil. “Ini rumah kampung je, awak,”
Ziqri tersengih malu. Dia bangun sambil menghampiri Lufya dan berdiri tegak dihadapan Lufya.
Laju Lufya memandang ke arah lain. Tangannya di masukkan ke dalam almari mencari sesuatu.
“Nah! Bilik mandi ada kat hujung belah kanan ni,” kata Lufya sambil menghulurkan tualan pada Ziqri.
Ziqri tersenyum mengangguk. Tuala yang dihulurkan oleh Lufya itu disambut dengan pandangannya masih melekat di wajah Lufya yang berusaha mengelak pandangannya.
“Boleh saya panggil awak Luf?” tanya Ziqri lembut.
Lufya angguk dengan senyuman di bibirnya. “Boleh,”
“Pergilah mandi. Nanti lewat sangat tak bagus. Nanti saya siapkan pakaian awak,” kata Lufya seakan memberi arahan.
Ziqri angguk kepala dan melangkah menuju ke pintu keluar.
Lufya hanya memandang langkah Ziqri itu. Hati yang tadinya berdebar, mula tenang kembali. Pandangan Ziqri itu meresahkan hatinya. Ditambah lagi, dia tidak pernah sebilik dengan lelaki selama ini.
TIDAK sampai setengah jam, Ziqri muncul dengan tubuhnya hanya dibaluti tuala putih itu. Sebaik Ziqri masuk, Lufya tergamam melihat tubuh Ziqri yang terdedah itu. sepantas kilat dia melarikan pandangan matanya dari terus memandang Ziqri.
“Hish! Mamat ni dah kenapa? Tak malu ke orang tengok,” Lufya membebel sendiri di dalam hatinya.
“Pakaian awak ada kat atas katil,” beritahu Lufya. Dia sengaja membelakangi Ziqri kerana tidak mahu pandangan matanya itu tercemar dengan sikap selamba lelaki itu.
Melihat Lufya membelakang, Ziqri tersenyum sendiri. Malulah tu!
Tubuhnya sengaja dibawa ke belakang Lufya yang sedang berdiri tegak menghadap dinding.
“Awak tengok dinding buat apa?” tanya Ziqri dengan nada separuh berbisik.
Merah padam wajah Lufya bila mendengar perkara itu. Laju dia memusingkan tubuhnya menghadap Ziqri. Sekali lagi dia tergamam, bila Ziqri berdiri betul-betul dibelakangnya dan belum mengenakan pakaian.
“Er… bila nak pakai baju ni?” soal Lufya dengan suara yang sedikit bergetar kerana terkejut.
Ziqri tersengih lagi. Jejari Lufya itu dicapai lembut dan tubuh Lufya ditarik menuju ke kerusi yang tersedia dihadapan meja solek itu. Ziqri mendudukkan Lufya di kerusi itu dan dia sengaja berdiri tegak di hadapan Lufya dengan jarak yang begitu hampir.
“Kenapa? Malu ke?” tanya Ziqri berbaur usikan.
“Er…”
Lufya mengetap bibirnya. Dia cuba mengelak untuk terus memandang Ziqri. Senyuman nakal Ziqri itu menggugat hatinya.
“Tak payalah nak malu. Saya dah jadi suami awakpun,” kata Ziqri lagi.
“Bukan macam tu, tapi…” Lufya berhenti berkata bila riak wajah Ziqri berubah nakal.
“Tapi kenapa?” Ziqri sengaja menjongket keningnya nakal.
Lufya bingkas bangun dari kerusi itu namun laju Ziqri memaut pinggangnya. Tubuh Lufya mengeras disitu. Jantungnya mula berdegup laju seolah sedang berlari marathon. Pandangan mereka bertemu.
Gulp! Air liur yang ditelan itu terasa berpasir. Lufya betul-betul kejang ketika itu. Pinggangnya masih dalam pautan lelaki itu.
“Pa… pakailah baju dulu…”
“Kalau saya tak nak?”
Lufya gigit bibirnya perlahan membuatkan naluri lelaki Ziqri berkocak kuat. Hatinya tidak kuat melihat Lufya sedemikian. Ditambah pula dengan lekukan ramping tubuh Lufya. “Damn it!”
“Please don’t do that, Lufya,” tegur Ziqri separuh berbisik.
“Hah?” Minda Lufya beku. Dia cuba mencerna maksud kata-kata Ziqri itu.
Perlahan tubuh Lufya dilepaskan dan Ziqri segera menjauh. Pakaian yang tersedia di atas katil itu, dicapainya kasar. Dia tidak mahu keinginannya itu menggugat hubungan mereka. Dia tidak mahu Lufya tersalah anggap padanya.
‘Ini semua salah you Mar’ kata hati Ziqri.
Melihat Ziqri yang kelihatan serba salah, Lufya juga dilanda rasa bersalah. Dia hak Ziqri. Perlahan dia menghampiri Ziqri yang sudah menjauh.
“Abang…”
Ziqri kaku. Tindakannya tadi yang mahu mengenakan pakaian terhenti dan perlahan dia berpaling melihat Lufya yang sudah berdiri disampingnya.
“Luf panggil abang?” tanya Ziqri inginkan kepastian.
Lufya senyum dan mengangguk.
“Kenapa? Tak suka?” tanya Lufya lembut.
Ziqri mengetap bibirnya. Hatinya tidak kuat menerima godaan itu. wajah Marsha semakin hilang dari radar mindanya. “Umi!” Mahu saja dia menjerit sendiri.
“Er… bukan,” dalih Ziqri. Dia sukakan perkara itu. Terasa dirinya dihormati.
Lufya mencapai tangan Ziqri lalu menyalami dan mengucupnya lembut.
“Maaflah kalau abang tak suka, tapi… bagi Lufya, panggilan itu menunjukkan yang Luf hormatkan abang sebagai suami Lufya. Kalau abang tak suk…”
“Abang suka,” pintas Ziqri sambil menarik tubuh Lufya dan mengucup syahdu dahi Lufya. Hati Ziqri tidak menafikan kelainan yang ditonjolkan oleh Lufya. Dan dirinya terpanggil untuk melayani Lufya sebaik yang dia mampu.
Lufya sedikit berdebar dengan apa yang dilakukan oleh Ziqri, namun dia tekad. Perkara itu perlu diteruskan. Niatnya untuk memberikan zuriat pada lelaki itu juga harus dilaksanakan.
“Lufya sedia untuk menjalankan tanggungjawab Lufya sebagai isteri abang, sekaligus mengandungkan dan melahirkan anak abang sebagaimana yang Mar mahukan,” ucap Lufya diringi dengan senyuman manisnya.
Ziqri terdiam. Wajah Lufya direnung seketika kemudian dia mengeluh.
“Kalau Luf nak korbankan semuanya demi Mar, abang tak nak. Abang nak Luf ikhlas dengan apa yang Luf buat,” kata Ziqri sambil melepaskan tubuh Lufya.
Lufya terdiam. Ikhlas? Ikhlaskah hatinya?
Dia sepatutnya peka dengan perkara itu.
“Luf ikhlas,” kata Lufya lagi dengan nada lembut. “Ya, dia yakin yang dia ikhlas”
Ziqri memandangnya seketika.
“Betul ni?” Ziqri bertanya meminta kepastian.
Lufya angguk lagi. “Abang berhak sepenuhnya atas diri Luf. Melainkan abang tidak bersedia untuk menjalankannya,”
Ziqri sekali lagi menghampiri Lufya.
“Sekali abang maju, abang tak akan berpatah balik lagi Luf. Betul Lufya sedia dan ikhlas?”
Lufya mengangguk sambil mengawal nafasnya agar tidak kelihatan gemuruh dipandangan lelaki itu.
Ziqri tersenyum lalu menarik tubuh Lufya ke dalam pelukannya. “Terima kasih Lufya,”
Jujur Ziqri tidak mampu lagi menahan gelodak perasaannya. ‘Ini yang terbaik,’ bisik hatinya sendiri.
Lufya menggigit bibirnya kemudian lambat-lambat membalas pelukan itu. Wajahnya didongakkan untuk mencari wajah Ziqri dan akhirnya pandangan mata mereka bertemu. Pautan pada tubuh Lufya semakin erat dan wajah Ziqri semakin menghampiri wajahnya.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam,”
Setelah sekian lama menahan perasaan yang satu itu, akhirnya Lufya hadir sebagai tempat dia meluahkan segala rasa dan keinginan hatinya sebagai makhluk Allah yang diciptakan normal dan sempurna. Sebagai khalifah yang merasa dirinya dihormati dan diperlukan. Mampukah pelayaran tanpa cinta itu menghanyutkan mereka berdua ke dunia cinta sebenar sedangkan Lufya hanya hadir atas satu tanggungjawab yang di amanahkan oleh sahabatnya sendiri.
Tiada jawapan yang mampu mereka fikirkan kerana takdir mereka bertiga adalah rahsia Allah S.W.T. Sesungguhnya, apa yang telah terjadi dan bakal terjadi itu memiliki khazanah yang tersendiri dan didatangkan dari pelbagai bentuk. Wallahualam!
Share this novel