Lima tahun yang lalu…
MATAHARI mula terbenam di ufuk barat, menampakkan keindahan di persisiran pantai itu. Pengunjung juga sudah beransur meninggalkan pantai untuk pulang ke rumah masing-masing. Berbeza dengan Lufya dan Marsha, yang masih setia bagaikan menanti sesuatu. Kayu kecil yang dipegang oleh Marsha itu, sengaja dikuiskan ke pasir yang putih bersih tanpa pencemaran itu. Lufya hanya memandang gelagat Marsha itu. Melihat Marsha, hatinya sakit. Rasa dirinya dikhianati oleh sahabatnya sendiri. Bibirnya diketap kuat. Otaknya ligat berputar untuk mencari ayat yang sesuai, bagi memulakan perbualan mereka. Peristiwa dua hari lepas masih lagi berada dalam bayangannya.
“Kau nak cakap apa, Luf?” Tanya Marsha, bila melihat kegelisahan yang terpancar pada wajah Lufya.
Perasaan hairannya menjengah hati. Jarang sekali Lufya menunjukkan sikap begitu padanya sejak mereka berkawan.
Lufya tersenyum hambar. Apa yang perlu dia katakan? Dia buntu dengan dirinya sendiri. Takut-takut kalau apa yang dikata nanti, akan menyakiti Marsha. Tapi dia juga perlukan penjelasan.
“Mar, kalau aku tanya kau something… kau marah tak?” tanya Lufya.
Berkerut dahi Marsha mendengar soalan itu. Wajah Lufya yang gelisah itu direnung hairan.
“Kau tak tanya lagi, macam mana aku tahu, yang aku marah atau tak.” Jawab Marsha bersahaja.
Lufya mengeluh. Sepi seketika.
Keduanya menumpukan perhatian ke tengah laut. Keindahan panorama matahari terbenam itu tidak lagi menarik minat mereka.
“Apa hubungan kau dengan abang Riez?” tanya Lufya. Keningnya sengaja dijongketkan.
Wajah Marsha berubah serta merta mendengar soalan itu. Dia melarikan wajahnya, dari terus dipandang oleh rakan karibnya itu. Dia mula resah memikirkan jawapannya.
“Kawan,” jawab Marsha laju. Dia cuba melindungi keresahannya yang mula bertandang.
Lufya diam. Kalau kawan kenapa sampai berpelukan? Berpegangan tangan dan ketawa mesra. Gelagat itu bukanlah untuk golongan yang berkawan tapi untuk golongan berkasih. Dia dengan Riezman pun tidak pernah lagi berpegangan tangan. Apatah berpelukan. Tapi dengan Marsha…
“Argh!” keluh Lufya. Dia meraup kasar wajahnya.
Gelagat Lufya itu meresahkan Marsha. Rasa bersalah menghuni dirinya. Silapnya menyimpan perasaan pada tunangan orang. Bukan dia tidak mengelak. Riezman yang mendekatinya, setelah mendapat tahu yang dia sukakan Riezman. Riezman yang memulakan semuanya. Dia akui, yang dia terleka dengan huluran cinta yang diberikan oleh Riezman.
“Luf… aku minta maaf,” luah Marsha.
Lufya memejamkan matanya. Permintaan maaf itu untuk apa? Rasa sakit di hatinya semakin menggunung. Rasa hiba, sayu dan kecewa menyusup masuk satu persatu memenuhi ruangan hatinya. Wajahnya terasa panas memikirkan kenyataan yang bakal terungkai antara mereka.
“Kenapa Mar?” Lirih suara Lufya bertanya.
“A…a…aku minta maaf Luf,” kata Marsha.
Sekali lagi Marsha mengulangi ayat minta maafnya, menambahkan lagi rasa sebak di hati Lufya. Airmata akhirnya bergenang di tubir mata. Hanya menanti untuk mengalir. Lufya mengerdipkan matanya berkali-kali untuk mengelakkan airmatanya jatuh.
“Aku sayangkan abang Riez,” akui Marsha akhirnya meranapkan sekeping hati milik Lufya. Marsha menunduk setelah menuturkan ayat itu.
Airmata Lufya laju menuruni pipinya sebaik mendengar pengakuan Marsha. Pengkhianatan yang betul-betul menjatuhkan dirinya. Marsha yang dianggap seperti adiknya sendiri akhirnya menikam dia dari belakang. Satu-satunya kawan yang dia ada sejak dari zaman sekolah. Kenapa?! Jeritan itu bergema di hatinya. Lufya menggenggam erat tangannya. Kekuatannya seakan hilang dibawa pergi oleh ombak pantai. Namun dia tidak akan memperlihatkannya.
“Allah!” Rintih Lufya tanpa sedar, membuatkan rasa bersalah di hati Marsha menggunung tinggi.
“Sejak bila, Mar?” Tanya Lufya sebak.
Suaranya sedikit bergetar menahan tangis. Terkilan! Seandainya dia boleh mengakhirkan hayatnya ketika itu, pasti dia akan lakukan. Lelaki yang dia cintai dan sayangi itu dicintai oleh kawannya sendiri.
“Tahun lalu, tapi… bukan aku yang mulakan semua Luf. Abang Riez yang sendiri datang jumpa aku.” Kata Marsha dengan nada resah. Dia tidak berani memandang wajah Lufya ketika itu.
Lufya mengatup rapat bibirnya. Tahun lepas? Bermakna sudah setahun dia diperbodohkan. Wajahnya diraup perlahan. Tanpa berkata apa-apa, Lufya bangun dari duduknya dan menyapu pasir yang melekat di seluarnya itu. Cukuplah dia mengetahuinya kenyataan itu. Dia tidak perlu penjelasan lebih dari itu. Kerana apapun alasan mereka, hatinya tetap sakit dan terluka. Apa salahnya, sampai perlu melalui perkara itu.
Marsha memandangnya kaget.
“Luf,” panggil Marsha. Dia cuba mencapai tangan Lufya, namun Lufya menepisnya perlahan.
“Luf, aku minta maaf.” Pinta Marsha lagi sambil bangun. Wajah Lufya di pandang penuh harapan.
“Berapa kali kau nak minta maaf, Mar? Aku tak harappun permintaan maaf kau tu. Aku cuma terkilan. Kenapa kau tak terus terang dengan aku, kau suka abang Riez. Kalau kau terus terang dari awal, aku tak akan terima pinangan keluarga abang Riez,” kata Lufya.
Marsha tergamam mendengarnya. Biar betul? Marsha ketap bibirnya.
“Aku tak nak sakitkan hati kau. Aku tahu, kau sayang abang Riez,” kata Marsha sambil memandang Lufya yang berdiri setara dengannya.
Lufya mendengus perlahan. Alasan yang tidak munasabah, baginya. Wajah Marsha dipandang seketika.
“Sekarang aku tak sakit hati ke?” soal Lufya sambil membalas pandangan Marsha. Marsha tertunduk menerima pandangan itu. Melihat airmata Lufya yang masih bersisa itu, Marsha semakin diulit rasa bersalah, apatah lagi mendengar soalan Lufya itu.
“Aku janji, lepas ni aku takkan jumpa abang Riez lagi,” janji Marsha mengundang keluhan Lufya.
“Aku dah tak perlukan semua tu, Mar. Cukuplah dengan apa yang aku dah dengar dari kau. Lepas ni, anggap saja aku dengan abang Riez, tiada hubungan,” ujar Lufya sambil kakinya menguis selonggok pasir pantai yang berada di tepi kakinya. Hatinya pedih mengucapkan ayat itu. Tapi hanya itu pilihan yang dia ada.
Pandangannya dibuang ke arah ombak yang berlumba-lumba menuju ke pantai. Hari juga semakin gelap, menandakan senja akan melabuhkan tirainya dan mereka masih berdua di situ.
“Maksud kau?” tanya Marsha hairan. Wajah Lufya terus dipandang dengan penuh tanda tanya.
“Aku akan batalkan pertunangan kami. Kau boleh teruskan hubungan kamu. Aku tak kisah dah,” balas Lufya sekaligus mengejutkan Marsha.
“Tapi Luf…”
“Dah lah Mar. Mungkin antara kami tiada jodoh. Aku doakan hubungan kau dengan abang Riez, berkekalan sampai ke jinjang pelamin. Aku balik dulu,” kata Lufya sambil memusingkan tubuhnya dan melangkah meninggalkan Marsha sendirian di situ.
Tiga langkah ke depan, airmata Lufya kembali mengalir dengan derasnya. Dia tidak menyangka itu semua akan terjadi. Dia dan Riezman bertunang setelah dia habis Sijil Pelajaran Malaysia atas suka sama suka. Riezman berjanji untuk setia padanya seorang, tapi apa yang berlaku kini, bercanggahan dengan apa yang dia janjikan. Yang lebih parah lagi, orang ketiga antara mereka ialah Marsha. Tidak mungkin untuk dia memutuskan persahabatan mereka hanya kerana seorang lelaki.
“Lufya je yang abang sayang,” kata Riezman. Dengan bersaksikan laut, kata-kata itu terbit dari bibir lelaki tampan itu.
“Yeke?” Lufya menjongket keningnya.
Riezman tersengih, kemudian menayangkan cincin dijarinya. “Trust me sayang. Lufya segalanya untuk abang. dengan bersaksikan laut ni… abang janji yang kita akan bahagia…”
Tapi, apa yang berlaku kini menunjukkan yang Riezman bukan lelaki yang setia. Terbuktilah, apa yang dilafazkan oleh bibir, tidak boleh dipercayai.
“Sampai hati abang buat Lufya macam ni. Abang dah janji nak hidup semati dengan Luf. Abang janji nak setia dengan Luf. Abang janji yang Luf je abang sayang. Tapi sekarang? Apa salah Lufya, abang?” rintih Lufya sambil tangannya naik memegang dada kanannya yang terasa berat. Langkahnya juga seakan berat memikirkan semua itu. Kesetiaan yang dia beri bagaikan tiada harganya bagi Riezman. Cinta yang dihulur, diperkotak katikkan.
Terbayang wajah Riezman yang sedang tersenyum pada Marsha. Gurauan yang selama ini mereka pertontonkan bukanlah sekadar gurauan. Itulah kegembiraan atas perhubungan yang terbina antara mereka. Sayangnya, semua itu sangat melukakan hatinya.
Langkah Lufya akhirnya berhenti di hadapan rumah mereka. Perlahan airmatanya itu di seka dan dia meneruskan langkah longlainya. Dia tidak mahu sesiapapun tahu tentang perkara itu.
“Ya Allah! Dari mana saja, Luf? Maghrib baru balik? Ingat elok ke anak dara balik lewat,” tanya Puan Hazimah, separuh membebel sebaik melihat kemunculannya.
Lufya mengeleng perlahan. Langkahnya di bawa menuju ke tangga melintasi tubuh Puan Hazimah. Sunyi sepi rumah itu menandakan yang lain sibuk menunaikan solat maghrib di bilik masing-masing.
Berkerut dahi Puan Hazimah melihat wajah Lufya yang seperti orang baru lepas menangis.
“Luf, nangis ke?” tanya Puan Hazimah lagi sambil menghampiri tubuh Lufya. Lufya mengeleng lagi.
“Hai, sejak bila pula Luf ni jadi bisu. Dah takde suara ke nak jawab?” soal Puan Hazimah lagi dengan nada tidak puas hati.
“Luf nak mandi. Nak solat. Karang ibu juga bising,” kata Lufya tanpa membalas satupun pertanyaan Puan Hazimah itu.
Lufya mendaki anak tangga itu satu persatu, meninggalkan Puan Hazimah. Terkebil-kebil Puan Hazimah dengan reaksi yang diberikan oleh anak ketiganya itu.
“Pelik pula anak aku seorang ni. Tak pernah-pernah nak buat perangai macam ni. Gaduh dengan Riez ke?” omel Puan Hazimah sambil mengatur langkah menuju ke dapur untuk menyediakan makan malam.
Tiba masa makan malam, Lufya langsung tidak turun untuk menyertai keluarganya. Dia lebih rela melayan perasaan kecewanya ketika itu daripada mempertontonkan wajahnya yang semakin sembab itu.
Wajah Riezman semakin menghantuinya. Senyum dan tawa lelaki itu mengundang sebak di hatinya. Dia menghantar mesej untuk bertemunya di pantai awal pagi esok. Ini kerana, dia mahu masalah yang membelenggu mereka itu selesai dengan kadar yang segera.
SEAWAL jam tujuh pagi, Lufya sudah meninggalkan rumah menuju ke persisiran pantai. Dia yakin yang Riezman sudah menunggunya di situ. Matanya yang sembab itu digosok berkali-kali dengan harapan bengkaknya surut, tapi harapan tinggal harapan kerana tidak mungkin bengkak itu boleh surut dengan kadar segera. Kalau bukan sebab dia menangis semalaman, pasti matanya tidak akan sebengkak itu. Menyesalpun tidak berguna.
Betul tekaannya yang Riezman sudah menantinya di pondok tempat mereka selalu bertemu itu. Lufya berhenti sekejap sambil menarik nafasnya mencari kekuatan dan meneruskan langkahnya. Rasa sebak kembali mendatangi dirinya. Dia berusaha untuk mengawal perasaannya yang satu itu.
Melihat kehadiran Lufya, Riezman mengesotkan punggungnya memberi ruang. Sempat juga dia mengesan wajah Lufya yang sembab itu. Rambut Lufya juga kelihatan tidak terurus mengundang tanda tanya di hatinya.
“Kenapa nak jumpa abang tiba-tiba? Rindu abang eiii…” kata Riezman mengusik Lufya.
Lufya tersenyum kelat sambil melabuhkan duduknya di sebelah lelaki itu tapi dengan jarak yang boleh memuatkan seorang budak kecil. Bukan seperti selalu yang dudukpun hampir saja bersentuhan. Hatinya tawar, setawar-tawarnya.
Dahi Riezman berkerut. Sikap aneh yang ditunjukkan oleh Lufya mengundang tanda tanya. Kenapa pula? Persoalan di hatinya, dibiarkan tanpa jawapan.
“Dah lama abang sampai?” tanya Lufya dengan suara yang sedikit serak kerana terlalu banyak menangis. Dia langsung tidak memandang wajah lelaki di sebelahnya itu.
“Lima minit yang lalu. Kenapa serius sangat ni? Muka tu…”
“Apa hubungan abang dengan Mar?” tanya Lufya memintas kata-kata Riezman sambil memandang tepat ke wajah lelaki itu. Dia tidak berniat untuk datang situ berbahasa dengan lelaki yang sudah menghancurkan sekeping hati miliknya.
Riezman kaget mendengar pertanyaan yang bernada dingin dan berjauh hati itu. Ditambahkan lagi dengan pandangan Lufya yang kelihatan sarat dengan berbagai persoalan.
“Kawan. Sama macam Luf berkawan dengan Mar,” jawab Riezman cuba untuk menyembunyikan kegelisahan yang mula menyelinap masuk ke hatinya.
Lufya ketap bibir mendengar jawapan itu. Jelas pada pandangannya yang Riezman sedang menyembunyikan sesuatu.
“Kenapa Luf tanya macam tu? Luf, dah tak percayakan abang ke?” tanya Riezman lembut.
Mereka berbalas pandangan seketika, kemudian Lufya menunduk merenung seliparnya yang dipakainya.
“Bukan pasangan kekasih?” tanya Lufya sambil memandang ke arah pengunjung yang mula bertambah.
Sekali lagi Riezman kaget. Dia mengetap bibirnya perlahan. Takkan dia tahu? Riezman bertanya sendiri di dalam hatinya. Dia mengerling wajah Lufya yang menghadap ke arah lautan.
“Dari mana Luf dengar cerita mengarut ni. Takkan lah abang nak duakan, Luf. Lagipun, hujung tahun ni… kita nak nikah,” dalih Riezman sedikit gelisah.
‘Kenapa masih nak menipu?’ Hati Lufya mula memberontak dengan penafian itu. Apa yang dia mahu, adalah kebenaran. Bukannya pengkhianatan dan penipuan.
Lufya mengeluh perlahan.
“Untuk kali ni, Luf cuma nak abang jujur dengan Luf. Boleh?” pinta Lufya sambil memandang tepat ke wajah Riezman. Matanya mula berkaca. Kecewa dengan sikap Riezman yang masih mahu berdalih itu.
Terkesima Riezman melihat airmata Lufya yang tinggal menunggu masa untuk runtuh.
“Luf, tak percayakan abang ke? Kan abang dah cakap tadi. Abang dengan Mar cuma kawan je,” kata Riezman lembut cuba meyakinkan Lufya.
Airmata Lufya mengalir lesu mendengar kata-kata Riezman itu. ‘Penipu!’ Hati Lufya menjerit lagi. Kalau ikutkan hati, Riezman sudah dia kerjakan sepuasnya tapi, dia tidak mahu terbuai dengan perasaannya itu. Cukuplah kesedihan yang sedang dia rasakan ketika itu.
“Ini bukan soal percaya atau tidak abang. Tapi pengkhianatan. Abang tahu apa rasanya bila dikhianati oleh sahabat yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri dan pengkhianatan seorang lelaki yang berjanji nak setia sehidup semati?” tanya Lufya dengan nada sedikit bergetar sambil membuang pandangannya ke arah jalan raya.
Riezman tersentak mendengar kata-kata Lufya itu,
“Sakit abang! Terlalu sakit, dan Luf tak mampu nak gambarkan rasa sakit yang Luf rasa sekarang ni. Hati Luf ni dah macam ‘bawang’ yang kena kisar sampai lumat. Abang tahu?” kata Lufya lirih. Dia sudah tidak mampu menahan sebak bila mengingat kembali ayat Marsha semalam.
Riezman tergamam. Lidahnya kelu untuk berkata.
Terpampang riak kecewa di wajah Lufya ketika menuturkan ayat itu. Kata-kata Lufya itu menunjukkan yang dia sudah mengetahui semuanya.
“Siapa bagitahu Luf pasal ni?” tanya Riezman ingin tahu. Siapa saja orang itu, pasti dia akan kerjakannya.
“Orang kata, penipuan itu tak perlu didedahkan oleh mana-mana pihak. Sampai masa, Allah akan tunjukkan kebenarannya. Dan betullah apa yang orang kata. Mana ada kawan berlainan jantina yang berpelukan, bergelak ketawa bersama sambil berpegangan tangan. Yang ada cuma abang dengan Mar,” kata Lufya separuh menyindir.
Riezman kaku di tempat duduknya. Apalagi alasan yang dia boleh berikan kalau Lufya sudah melihat semuanya. Dia mengetap bibirnya kuat. Dia takut kalau Lufya bertindak di luar jangkaan.
“Abang minta maaf, Luf,” ucap Riezman dengan nada kesal. Kesal dengan kebodohannya sendiri.
Airmata Lufya semakin deras mengalir. Mendengar permintaan maaf itu, sudah menjelaskan semuanya.
“Sampai hati abang buat Luf macam ni kan? Apa salah Luf?” tangis Lufya.
Sakit, kecewa, dan pastinya terluka bila lelaki yang dia cintai itu, bermain kayu tiga dengan sahabat karibnya sendiri. Wajah Riezman dipandang sayu. Kecewa bila kepercayaan yang dia berikan itu dinodai. Dia tidak menyangka hubungan Riezman dan Marsha sudah sejauh itu. Dan lebih memeritkan, dia melihat mereka berdua-duaan di Taman Permainan itu. Siap berpelukan mesra, bagaikan tiada adab.
Riezman tertunduk seketika menerima pandangan yang kecewa itu. Rasa bersalah menghuni jiwanya.
“Maafkan abang, Luf. Abang tak sangka yang hubungan kami boleh sampai sejauh ni. Mulanya… abang cuma mengusik Mar, tapi abang tak sangka yang Mar ada perasaan dengan abang,” kata Riezman sambil kakinya menguis pasir gersang itu.
Lufya mengelengkan kepalanya. Baginya ungkapan maaf itu sudah tidak berguna baginya.
“Tak bernilaikah cinta Luf pada abang… sampai abang perlu melayan Mar? siapa Luf pada hati abang? Separuh mati Lufya setia dengan abang. Selama ini, Luf sangka, abang boleh setia dengan Luf. Tak cukup lagi ke yang Luf dah buktikan pada abang?” tanya Lufya lagi. Lufya menekup mulutnya. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan apa yang sudah berlaku padanya.
“Luf, percayalah abang. Macam manapun abang layan Mar, tapi… tetap Lufya yang abang nak,” kata Riezman lembut cuba memujuk.
Lufya mengelengkan kepalanya perlahan. Tidak mungkin untuk dia meneruskan sebuah hubungan yang sudah dinoda dengan pengkhianatan yang jelas melukai hatinya.
“Tak mungkin abang. Lufya tak boleh teruskan hubungan ini. Ini sama saja Lufya sakitkan Mar,’ kata Lufya mengejutkan Riezman.
Wajah Riezman jelas terkesima mendengar ayat yang meluncur keluar dari bibir Lufya. “Jadi, Luf nak putuskan hubungan kita?” soal Riezman.
Lufya mengangguk perlahan seraya berkata dengan nada sayu. “Ini yang terbaik untuk kita abang. Bahagia Mar, adalah bahagia Lufya juga. Abang tahukan yang Luf sayang sangat pada Mar...” Lufya membuang pandangan ke tengah lautan.
“Mar satu-satunya kawan Lufya masa Lufya susah dan senang abang,” sambung Lufya lagi.
“Tapi Luf…”
“Abang… Luf tak nak pisang berbuah dua kali. Cukuplah Lufya terluka sekali. Tak mungkin ada yang keduanya,” kata Lufya tegas.
Riezman mengeluh kasar. wajah Lufya direnung sedalamnya.
“Luf tahukan yang mak abang tak akan terima semua ni? Mak cuma nak Luf jadi menantu dia. Bukannya perempuan lain.” Kata Riezman separuh memujuk.
Lufya mengelengkan kepalanya.
“Tak abang. Kalau mak abang tak nak putuskan, Luf yang akan putuskan. Tak kisahlah apa jadi sekalipun, tapi…tiada majlis perkahwinan yang akan berlangsung antara kita. Abang teruskan hubungan dengan Mar. Kalau abang nak teruskan juga majlis ni, abang boleh teruskan dengan Mar. Luf tak boleh hidup dengan lelaki yang dah tipu Luf,” kata Lufya tegas sambil bangun berdiri. Tanpa menunggu balasan lelaki itu, Lufya berlalu meninggalkan Riezman.
Lufya tidak peduli apa yang akan jadi. Yang dia mahu, pertunangan mereka dibatalkan. Langkahnya dilajukan menuju ke rumah ayahnya. Dia mahu masalah itu selesai dengan segera. Kalau boleh, hari ini juga dia mahu keluarganya memberitahu Mak Ngah tentang perkara itu
“LUF, dah gila ke? Dah hilang akal? Majlis kamu hujung tahun ni, tahu,” kata Puan Hazimah dengan nada meninggi. Pandangannya mencerlung ke wajah Lufya yang sedang duduk menekur lantai dengan diapit oleh kedua abangnya.
Haji Maliki merenung anak perempuannya itu dengan renungan yang tajam. Apa lagi masalah anaknya itu.
“Apa lagi yang tak kena, Luf,” tanya Haji Maliki cuba untuk mengorek rahsia.
Lufya mengangkat wajahnya memandang mereka satu persatu. Tanpa dia sedari, airmatanya berjuraian dipipinya.
Semua yang berada di situ kaget. Lufya tidak pernah bersikap begitu.
“Ibu, ayah…Luf merayu sangat. Tolong, Luf selesaikan semuanya hari ini juga. Luf tak nak bertangguh…” kata Lufya separuh merayu. Wajah Puan Hazimah dan Haji Maliki dipandang penuh harapan.
Puan Hazimah dan Haji Maliki berpandangan sesama sendiri.
“Kita tak boleh nak buat keputusan tanpa bincang dengan Mak Ngah. Ni keputusan besar Luf,” kata Khalid menyampuk.
Aeril mengangguk tanda setuju.
“Luf tak kira! Kalau ibu, ayah, abang long dengan abang ngah tak nak tolong, biar Luf sendiri naik rumah mak ngah,” kata Lufya mula tegas sambil menyeka air matanya itu.
Mereka kaget melihat kedegilan Lufya itu. Belum pernah rasanya Lufya menunjukkan sikap sedegil itu. Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada pasangan kekasih itu.
“Boleh abang long tahu kenapa?” tanya Khalid lembut memujuk Lufya sambil bahu Lufya disentuhnya.
Lufya diam. Lufya tidak bersedia untuk menceritakan kisah sebenar. Biarlah dia saja yang tahu. ‘Demi menjaga nama baik mana-mana pihak, diam itu lebih baik,’ bisiknya di dalam hati.
“Apa yang jadi tu, biarlah Lufya je yang tahu. Yang pasti… abang Riez dah tahu pasal ni. Pandai-pandailah abang Riez faham,” jawab Lufya perlahan.
Haji Maliki mengeluh kasar. Wajah isterinya dipandang seketika kemudian pandangannya beralih kepada anak-anak lelakinya itu.
“Mak ngah mesti nak tahu sebabnya dik. Bukan senang dia nak lepaskan adik. Adik tahukan, yang dari dulu, dia nak adik je jadi menantu perempuan dia?” kata Ariel lembut.
Lufya mengeluh kasar.
“Luf tak kira. Nak atau tak, pertunangan ni mesti dibatalkan. Luf tak nak, belakang hari ada yang mengata Luf,” kata Lufya lagi tidak mahu mengalah.
“Er… kejap! Kenapa Luf degil sangat ye? Apa kena dengan Luf ni?” soal Puan Hazimah tidak berpuas hati.
Lufya berdecit.
“Ibu…”
“Sebelum Luf fikir pasal ni, fikir dulu apa yang mak ngah akan cakap pada ibu. Ibu akan jadi mangsa kemarahan mak ngah tau. Luf tak kesian ke?” tanya Aeril lembut.
Semua kenal siapa Puan Hamrah. Sekali marah, satu kampung terkena tempiasnya.
Lufya merengus kasar. Perkara itu melibatkan hati dan perasaannya.
“Sekarang ni, kamu semua nak tolong Luf atau tak? Kalau tak, biar Luf sendiri naik rumah mak ngah. Luf tak kisah kalau mak ngah nak bantai Luf ke, buang Luf ke, yang pasti Luf nak putuskan ikatan pertunangan ni. Kalau tak terbatalpun, Luf tetap tak nak kahwin dengan abang Riez. Tak kisahlah apa orang nak cakap,” kata Lufya tegas sambil memandang wajah mereka satu persatu.
Puan Hazimah mengeluh kasar. Kedegilan yang ditunjukkan oleh Lufya kali ini agak melampau baginya. Wajah suaminya dipandang bagi meminta pendapat namun hampa.
Haji Maliki juga buntu. Sempat dia menggaru kepalanya yang ditutupi kopiah itu.
“Kalau itu yang Luf nakkan, apa lagi ayah dengan ibu boleh cakapkan. Terpaksalah ibu dengan ayah ikut. Jangan pula dibelakang hari, Luf menyesal,” kata Haji Maliki sambil memandang tepat ke wajah anaknya itu.
Lufya menunduk sejenak. Menyesal? Mungkin dia akan lebih menyesal kalau hubungan itu diteruskan.
AKHIRNYA ikatan pertunangan yang terjalin selama dua tahun itu terlerai juga. Itupun, Haji Maliki dan Puan Hazimah terpaksa memekakkan telinga, mendengar setiap cacian dan makian dari Puan Hamrah.
Riezman hanya tunduk membisu sepanjang mereka bertelagah sesama sendiri. Rasa terkilan dan kecewa dengan apa yang berlaku, tapi itu adalah silapnya sendiri. Kalau bukan kerana dia bermain kayu tiga, perkara itu tak akan berlaku. Wajah Lufya yang dihiasi senyuman itu terbayang di matanya. Kerana senyuman itulah juga dia terpaut pada Lufya. Tapi sayang seribu kali sayang. Dia sendiri tidak tahu, kenapa begitu mudah dia mengkhianati Lufya. Mahu sahaja dia berlari ke rumah Lufya untuk memujuk Lufya, tapi hatinya menegah dirinya.
Lufya seorang perempuan yang berprinsip. Sekali dia kata tidak, maka tidaklah jawapannya. Namun dalam berprinsip, Lufya masih lagi berusaha menjaga perasaan semua pihak. Tiada satupun cerita mengenai dia dan Marsha tersebar. Itu bermakna Lufya masih menyimpan rapi rahsia mereka itu.
Selepas kepulangan kedua orang tua Lufya, Puan Hamrah mengalihkan pandangan pada Riezman. Pandangan yang cukup menakutkan Riezman.
“Apa yang kau dah buat, Riez?” tanya Puan Hamrah dengan nada yang meninggi.
“Mana ada mak. Luf je yang tiba-tiba nak putus tunang,” dalih Riezman sambil cuba mengelak panahan mata Puan Hamrah.
“Dah agak dah. Si Lufya ni sengaja nak sakitkan hati mak ni. Tunggu kau Lufya. Kau dah malukan aku, kau ingat aku nak duduk diam. Siaplah kau,” kata Puan Lufya ‘mengisytiharkan’ peperangan antara dia dan juga Lufya. Lengan baju kurungnya disinsing ke siku tanda geram dan sakit hati. Rasa terhina menggunung tinggi ketika itu.
Riezman mengeluh perlahan. Boleh kecut perut orang yang melihatnya.
Puan Hamrah kalau sudah berkata begitu, maka ‘peperangan’ jugalah yang akan meletus.
“Biarlah dia mak. Tak payah nak ganggu dia. Dah itu yang dia nak,” kata Riezman membuatkan mata Puan Hamrah terbeliak mendengarnya.
“Mana boleh biar! Kau tahu tak yang dia dah malukan mak. Satu kampung ni tahu yang kamu nak kahwin hujung tahun ni. Tiba-tiba putus tunang. Tak ke memalukan,” kata Puan Hamrah dengan nada meninggi.
Riezman menarik nafas panjang seraya bangun.
“Suka hati mak lah. Riez malas nak campur,” kata Riezman lalu membuka langkah menuju ke tingkat atas.
Malas rasanya melayan sikap Puan Hamrah yang panas baran itu.
PANG! Tangan kanan Haji Maliki mendarat keras ke pipi Lufya membuatkan semuanya kaku di tempat masing-masing. Wajah Lufya terteleng menerima tamparan itu. tangannya naik meraba pipinya yang ditampar itu dan perlahan Lufya memandang wajah bengis Haji Maliki yang sedang memandang tajam ke wajahnya. Nafas Haji Maliki turun naik, menandakan yang lelaki itu sedang menahan amarahnya.
Hatinya cukup sakit, bila mendengar berita yang menular di kalangan orang-orang kampung.
“Lufya, putuskan pertunangan diorang tu, sebab dia terlanjur dengan jantan lain. Tak sangka betullah, anak imam sanggup buat kerja terkutuk macam tu. Menjijikkan!”
Ayat itu, terus-terusan bergema dipendengaran Haji Maliki. Perasaan malu, menggunung. Dia tidak menyangka semua itu, akan jadi.
“Ya Allah, abang! Kenapa dengan abang ni?” tanya Puan Hazimah seolah baru tersedar dari mimpinya. Wajah Lufya yang sudah memerah menahan tangis itu dipandangnya.
“Tanya anak kesayangan awak ni. Apa dia dah buat,” kata Haji Maliki dengan nada kuat.
Semua yang berada di situ kecut perut apatah lagi melihat riak wajah Haji Maliki yang kelihatan bengis itu.
“Apa maksud abang ni? Luf?” tanya Puan Hazimah memandang Lufya dan HJ Haji Maliki silih berganti.
“Satu kampung cakap anak kesayangan Imah ni terlanjur dengan lelaki lain. Sebab itulah dia nak sangat putuskan pertunangan dia dengan Riezman,” kata Haji Maliki mengejutkan semua yang berada di situ.
Lufya kaku, terkesima mendengar kata-kata ayahnya itu. Dia menekup mulutnya kuat.
‘Allah! Dugaan apa lagi ni?’ Lufya cuba untuk memujuk hatinya untuk bertenang. Dia mengelengkan kepalanya sebaik Puan Hazimah memandang tajam ke arahnya.
Pang! Tangan Puan Hazimah turut menamparnya sekuat hatinya. “Anak tak sedar diuntung! Apa lagi yang Luf dah buat? Tak cukup lagi Luf malukan kami tengahari tadi. Ya Allah!” rintih Puan Hazimah sambil memukul Lufya bertalu-talu, memaksa Lufya untuk menepis setiap pukulan itu.
“Ibu,” panggil Arieal dan Khalid serentak sambil meluru pada Puan Hazimah untuk menahan Puan Hazimah dari terus memukul Lufya.
Lufya terduduk lesu di atas lantai bersama tangisannya.
“Apa salah ayah pada Luf? Kenapa Luf? Kenapa?!” tengking Haji Maliki memenuhi ruangan rumah itu. Lufya menekup mulutnya untuk menghalang dirinya menjawab dengan kata-kata yang biadab.
Puan Hazimah mengongoi menangis seperti anak kecil sambil dipeluk oleh Aeril dan juga Khalid. Kecewa bila mendengar berita yang memalukan itu.
Bahu Lufya terhinjut-hinjut kerana menangis.
“Siapa lelaki tu, Lufya?” soal Haji Maliki dengan nada kerasnya.
Lufya mengelengkan kepalanya sambil mengesot ke kaki Haji Maliki. Dia memeluk erat kaki itu, tapi Haji Maliki menendangnya, membuatkan tubuhnya terbaring mengerekot di atas lantai. Sekali lagi Lufya bangun dan memeluk erat kaki HJ Maliki.
“Percayalah ayah, ibu. Luf tak buat semua tu,” rayu Lufya meminta simpati.
“Tipu! Kalau Lufya tak buat, kenapa nak kena putuskan pertunangan dengan Riezman. Kenapa Lufya?!” soal Haji Maliki lagi.
“Ayah, ibu… tolonglah percaya kat Luf. Luf tak buat semua tu ayah. Sumpah ayah,” kata Lufya sayu membela dirinya.
“Mula dari saat ini, aku anggap kau tidak wujud lagi dalam hidup aku. Aku nak esok pagi, kau berambus dari rumah ini dan jangan pernah jejakkan kaki kau kat sini sampai bila-bila.”
Lufya terkesima. Kepalanya didongakkan dengan harapan lelaki itu memandangnya, namun Haji Maliki sudah membuang pandangannya ke dinding rumah. Lufya mengalih pandang ke arah Puan Hazimah yang sudah mengeleng pilu. Aeril dan Khalid tergamam.
“A…a…yah.”
Sayu dan pilu menyelubungi hati Lufya. Apa lagi yang dia ada?
“Jangan pernah tunjuk muka kau kat sini lagi! Jangan panggil aku ayah lagi!” kata Haji Maliki lagi tanpa memandang wajahnya sekalipun.
“Tapi…ayah, Luf tak buat semua tu ayah. Luf sumpah, yang Luf tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain abang Riez,” kata Lufya merayu.
Haji Maliki diam.
“Abang long, abang ngah,” panggil Lufya dalam esak tangisnya.
Dia memandang mereka berdua dengan harapan mereka membantunya. Aeril dan Khalid buntu.
“Ibu…” panggilnya pula beralih kepada Puan Hazimah yang sedang menangis. Dia cuba bangun mahu menghampiri Puan Hazimah.
Tangisan Puan Hazimah semakin kuat.
“Ibu kecewa dengan Luf,” kata Puan Hazimah sambil menolak tangan Aeril dan Khalid lalu melangkah meninggalkan mereka yang berada di ruang tamu itu.
Lufya kembali terduduk melihat pemergian Puan Hazimah itu.
“Ibu…ayah…”
“Ini yang kau mahukan? Nak sangat bebas? Pergilah! Kami masih boleh hidup tanpa kau,” kata Haji Maliki lagi kasar.
Lufya kaku. Inikah kesudahan hidupnya? Inikah yag dia dapat? Dalam dia berusaha menjaga perasaan semua pihak, akhirnya dia juga yang terkena. Mana keadilan untuknya? Tiada jawapan.
Assalamualaikum... Awal-awal versinya ala Tinta Kehidupan Uyaina. Cerita ni dah lama siap. Dalam 2 tahun. Tapi sis is takut nak share2. Takut orang tak baca. Malu...
Share this novel
you should have told them the truth luf instead of sibuk nak jaga hati org