Get the app for full experience
MEREKA beriringan memasuki pusat membeli belah yang terkenal itu. Atas ajakan Marsha, Lufya dengan berbesar hati, menuruti ajakan itu. Meskipun, tubuhnya terasa tidak selesa. Dia tidak mahu mengecewakan Marsha. dia juga tidak mahu, Marsha memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Kebanyakan barang yang dibeli oleh Marsha, di bayar oleh Lufya tanpa banyak soal. Tiada sikitpun bantahan dari Lufya, untuk menghalang Marsha dari terus membeli belah. Asalkan Marsha gembira, dia juga gembira. Itu, kalau Damya tahu, pasti berjela ceramah yag keluar dari mulut Damya.
“Aku laparlah,” luah Marsha, tiba-tiba.
Langkah Lufya terhenti mendengar luahan itu. Wajah Marsha dipandang seketika.
“Nak makan kat mana?” tanya Lufya. Prihatin.
“Kita masuk Mcd je lah,” cadang Marsha.
Lufya mengangguk. Mereka kembali membuka langkah menuju ke tingkat paling bawah.
“Hari tu, betul ke Ziq bawa kau pergi Pantai Morib?” Marsha mula mengorek rahsia Lufya dan Ziqri.
Lufya jeda. Untuk menjawab ya, dia takut Marsha menuduh dia mengambil kesempatan. Nak jawab apa?
“Tak payahlah nak risau. Aku tanya je. Bukannya aku nak marah kau,” kata Marsha lagi.
“Betul kau tak marah?” tanya Lufya. Meminta kepastian.
Marsha angguk lagi. “Buat apa aku nak marah. Kau isteri Ziqri juga. Bukannya orang lain,” kata Marsha.
Lufya mengerling Marsha. “Betul tak marah?” tanyanya lagi.
Marsha mengangguk lagi.
“Kenapa kau tak tanya Ziqri?” tanya Lufya. Hairan.
Marsha jeda. Perlahan dia memalingkan wajahnya pada Lufya.
“Aku dah tanya. Aku Cuma ragu-ragu. Betul ke dia pergi dengan kau atau dengan perempuan lain,” dalih Marsha.
Lufya terawa kecil mendengar perkataan ‘perempuan lain’,
“Kenapa macam tu? Ziqri, ada perempuan lain ke?”
Marsha mengangkat bahunya. “Entahlah. Akupun tak tahu. Harap-harap takdelah,”
“Takdelah kot…. Aku rasa, Ziqri tu setia kat kau je,” komen Lufya.
Marsha diam. Dia mencuri pandang wajah Lufya. “Kau tak suka diakan?” soal Marsha.
Lufya terkedu mendengar soalan itu. “Er… kau cakap apa ni?” Sedikit cemas dengan soalan itu.
Marsha mendengus perlahan. “Kau tahu, apa yang aku cakap, Luf,” balas Marsha. Nadanya sedikit tegas.
Lufya menunduk seketika dan memandang ke arah pengunjung yang bertembung dengan mereka.
“Kenapa pula aku nak suka dia. Kita berdua tahu, yang dia tu hak kau.” Kata-kata itu seakan menjerut dirinya sendiri. Hatinya pedih ketika menuturkannya.
“Baguslah, kalau tak. Tapi, kalau kau suka dia… aku takkan lepaskan kau,” kata Marsha seakan mengugut.
Kecut perut Lufya mendengar kata-kata berbaur ugutan itu. Dia cuba berlagak tenang.
“Kau ugut aku ke?’ tanya Lufya. Tenang dan bersahaja, tapi hatinya bergolak.
Marsha menjelig Lufya sambil menjawab, “Tak… tapi itulah yang aku maksudkan. Terpulang pada kau nak menilai kata-kata aku,”
Lufya mengeluh perlahan. “Mar, kau yang heret aku dengan Ziq, dalam masalah ni. Kalau ada apa-apa jadi sekalipun… sama ada aku jatuh cinta pada Ziq, atau jatuh sayang pada dia… perpisahan tetap akan jadi. Dia tetap milik kau seorang,” kata Lufya. Cuba memujuk hatinya sendiri, saat melafazkan kata-kata itu.
“Kau kena ingat, Luf. Kau tak boleh jatuh cinta ataupun jatuh sayang pada Ziq. Dia hak aku seorang!” kata Marsha tegas.
“Aku tahu,” balas Lufya.
Langkah mereka berhenti di hadapan restoran makanan segera kegemaran ramai itu. Perbualan mereka tentang itu juga terhenti di situ. Mereka tidak mahu, kisah mereka itu, di dengar oleh sesiapapun.