KEESOKAN paginya, Lufya terjaga pada jam enam pagi. Suasana bising di bawah, menandakan yang sudah ada jiran ataupun saudara yang datang menjenguk. Lufya menggeliat malas. Rasa letih yang menyelubungi dirinya, ditahan. Dia perlu bersiap untuk turun ke bawah.
Ketika dia bangun dan melunjurkan kaki ke lantai, wajah Hj Maliki menjengah mindanya. Semalam lelaki itu sengaja tidak menghiraukan kewujudannya, memaksa dirinya untuk membisu. Rasa menyesal balik ke kampung juga menyelit di dalam hatinya. Hj Maliki jelas mempertontonkan ketidaksudiannya menerima kepulangan Lufya. Lufya mengeluh perlahan.
Bukan dia tidak mencuba untuk mendekati ayahnya, tapi semakin dia mendekati, semakin lelaki itu mengelak darinya. Belum habiskah isu dia terlanjur dengan lelaki? Dia sendiri tidak tahu. Dia cuba memikirkan cara untuk mengambil hati Hj Maliki itu.
Lufya berdiri membawa dirinya ke almari kesayangannya satu ketika dahulu. Tuala mandinya dicapai dan dia mengatur langkah menuju ke bilik air yang berada di tingkat satu itu. Nasib baik rumah itu ada dua tandas. Satu di tingkat bawah dan satu lagi di tingkat satu rumah itu. kalau tidak, terpaksalah Lufya menebalkan mukanya untuk turun ke bawah. Sempat dia bertembung dengan Aina di hadapan bilik mandi.
“Mandi?” tegur Aina ramah.
Lufya senyum menayangkan giginya yang putih bersih itu. “Ye Kak,”
“Ramai orang ke kat bawah?” tanya Lufya pada Aina.
“Tak lah. Mak ngah, Pak Ngah, Mak Long, Syikin, Riezman, Wani dengan seorang lagi. Akak tak ingat siapa,” jawab Aina dengan senyumannya.
Lufya angguk kepala dengan mulut berbentuk o.
“Lufya memang model ke?” tanya Aina.
“Hmmm. Model biasa je. Luf buat bisnes,” jawab Lufya sambil tersenyum.
Aina angguk kepala tanda faham.
“Akak masuk dulu ye. Bising pula abang Ariel kalau lambat,” kata Aina meminta diri.
Lufya mengangguk sambil melangkah masuk ke bilik air. “Yelah,”
Selesai mandi, Lufya terus bersiap untuk turun ke bawah. Dia hanya memakai baju kurung moden berwarna merah hati, menyerlahkan lagi warna kulitnya. Rambutnya yang panjang itu, diikat kemas dan sehelai selendang sengaja dibelitkan ke kepalanya. Apa sahaja anggapan mereka, dia tidak ambil kisah. Dia bukan balik untuk menyakiti sesiapa, tapi dia balik untuk keluarganya.
“RETI juga model seorang ni masuk dapur.” Perlian yang cukup membuatkan Lufya terasa. Lufya menarik nafas sebelum memandang ke arah suara itu. Sekumpulan gadis yang amat dikenalinya sedang memandang sinis ke arahnya.
“Hai Syikin, Wani, Mira, Eina, Rina.” Lufya mengatur langkah ke arah mereka, bagaikan langsung tidak terasa mendengar perlian Syikin itu.
Syikin menayangkan riak wajah menyampah. Bibirnya diherot ke tepi tanda tidak sudi dengan kehadiran Lufya di situ.
“Hai,” kata mereka membalas sapaan Lufya serentak. Syikin menghadiahkan jelingan tajam pada rakan-rakannya.
“Tak payah nak berbasa basi sangatlah Luf. Satu kampung tahu kau siapa,” kata Syikin lagi. Sengaja mahu menaikkan kemarahan Lufya.
Lufya diam. Dia memilih untuk tidak mengambil peduli kata-kata Syikin itu.
“Lama aku tak jumpa kau Syikin. Apa khabar?” tanya Lufya sambil mengambil tempat di hadapan mereka.
Syikin berdecit kasar. “Aku sihat je. Tapi lepas nampak muka kau, aku jadi sakit,”
Lufya tersenyum kelat. Wajah Syikin direnung seketika. Menerima renungan itu, Syikin merengus kasar. pandangan Lufya beralih pula pada Wani, Mira, Eina dengan Rina. Sangat berbeza dengan Syikin.
“Aku ada buat apa-apa kat kau ke sampai kau sakit?” tanya Lufya memandang tepat wajah Syikin.
“Kau buat aku sakit mata,” balas Syikin kasar.
Terjungkit kening Lufya mendengar kata-kata Syikin itu. “Sakit mata?”
“Hah! Sakit mata aku tengok kau dengan pakaian seksi kau kat majalah. Tak hairanlah yang aban Riez nak sangat putuskan pertunangan korang dulu. Bakal isteri dia tak cukup kain,” kata Syikin menimbulkan kisah lalu.
Lufya diam tapi pandangannya langsung tidak di alihkan dari wajah Syikin.
“Aku yang pakai seksi, kau yang sakit mata? Ke kau cemburu,” tebak Lufya sambil menjungkit keningnya.
“Bukan cemburu, tapi malu. Malu ada sepupu macam kau. Tak reti nak jaga aurat. Dah rosak pulak tu,”
“Syikin!” Lantang suara Lila menyeru nama Syiqin menyebabkan yang lain termasuk Lufya terkejut.
Lila mengatur langkah kasar menuju ke arah mereka.
“Kau jangan nak tunjuk perangai kurang ajar kau kat kak Lufya. Semua tu fitnah je. Aku bersumpah, kalau aku jumpa manusia yang sebarkan fitnah tu, aku tanam dia hidup-hidup. Kau faham?” Pandangan Lila mencerlung ke wajah Syikin.
Syikin merengus kasar. Dia membalas pandangan Lila tajam.
“Sini rupanya anak dara semua berkumpul.” Muncul Puan Hamrah dengan senyuman di bibirnya. Saat pandangannya terkunci pada wajah Lufya, senyumannya mati serta merta.
“Ops? Ada seorang bukan dara kan? Dah rosak? Nasib baik tak jadi menantu aku. Kalau tak, rugi Riezman dapat bekas orang.” Berdesing telinga Lufya mendengar kata-kata pedas dari Puan Hamrah itu.
Lufya memandang Puan Hamrah dengan pandangan geram. Kalau bukan kerana wanita itu adalah kakak kepada ibunya, pasti dia sudah menyumbat cili padi ke mulut wanita berusia itu. Syikin dan lain turut menghadiahkan senyuman sinis dan mengejek padanya. Manakala Lila sudah menggenggam tangannya kuat. Penghinaan yang diberikan kepada kakaknya itu turut menyakiti hatinya. Bak kata orang ‘cubit peha kanan, peha kiripun terasa juga’.
“Apa mak ngah cakap ni?” soal Lufya dengan nada bergetar. wajah Puan Hamrah di renung tajam.
“Terasa ke? Kalau terasa baguslah. Sekurang-kurangnya kau sedar diri,” kata Puan Hamrah sambil melenggang menuju ke arah Syikin yang duduk berdepan dengan Lufya.
Lufya ketap bibir kuat. Hanya pandangannya menyoroti setiap langkah Puan Hamrah itu.
“Dah siap kupas bawang? Kamu yang kupaskan? Takut pula nak sentuh kalau minah seorang tu yang kupas. Basuhpun tak akan bersih punya. Namapun tangan yang dah buat maksiat,” kata Puan Hamrah lagi sinis tanpa memandang ke arah Lufya.
Lufya meramas jari jemarinya yang berada dibawah meja. Wanita itu langsung tidak rasa bersalah ketika menuturkan kata-kata sinisnya.
“Mak ngah jangan nak melampau ye. Lila tahu, kak Luf tak seteruk tu,” kata Lila cuba mengawal nada suaranya.
“Oh ya? Cuba kau tanya, kenapa dia putuskan pertunangan dia dengan anak aku? Satu kampung tahu pasal ni Lila. Kau memanglah tak tahu apa-apa sebab duk asrama,” kata Puan Hamrah dengan nada meninggi.
“Kalau betulpun, mak ngah tak boleh hina dia macam ni. Semua orang boleh berubah,” kata Lila lagi.
“Berubah macam mana tu Lila. Aku tak nampakpun dia berubah. Cuba kau buka majalah fashion tu. Berapa banyak muka dia terpampang dalam tu? Dengan kain belah sana, belah sini. Aku tak fahamlah dengan mak bapak korang ni. Boleh biarkan anak buat kerja tak senonoh macam tu.” Panjang lebar kata-kata Puan Hamrah menyakiti hati Lufya.
“Cukup Mak ngah! Kalau mak ngah tak suka saya, jangan nak libatkan ibu dengan ayah. Kalau mak ngah tak nak tengok muka saya kat sini, saya naik,” kata Lufya tegas sambil bangun dari kerusi yang didudukinya.
Puan Hamrah mencebik bibir. “Eloklah tu. Orang tua bercakap, kau menjawab,”
“Mak Ngah jangan nak kurang ajar,” kata Lila memberi amaran.
“Kalau aku nak juga? Kau nak buat apa? Tumbuk aku? Tak padan dengan ustazah betul kau ni Lila,” Sindir Puan Hamrah lagi.
Lufya berdecit perlahan lalu meninggalkan mereka semua di dapur itu. rasa sakit hati menyelubungi dirinya bila mendengar setiap ayat yang dilontarkan oleh Puan Hamrah padanya. Dia lebih rela keluar dari tempat itu, daripada timbulnya pertengaran. Dia tidak mahu terlalu mengikutkan perasaan marahnya. Dia masih berpegang pada peribahasa ‘terlajak perahu bisa diundur, tapi terlajak kata buruk padahnya.
Sepanjang majlis itu, Lufya memilih untuk menyepikan diri ditempat yang terpencil. Kalaupun dia menyertai mereka, hanya pandangan sinis dan sindiran yang dia dapat. Hatinya bukanlah tergugat dengan semua itu, tapi dia kasihan melihat keluarganya yang seakan menahan malu setiap kali terdengar sindiran pedas dari orang kampung. Dia terkilan, kenapa hingga ke hari ini, tiada siapa yang membuka kebenaran sebenar.
SUASANA petang yang agak redup membawa Lufya ke pangkin yang terletak di belakang rumah. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup ke arahnya, menyamankan jiwanya yang gelisah dan bergelora. Majlis sudahpun selesai tengahari tadi. Yang tinggal sahaja, cumalah keluarga terdekat. Untuk bersama mereka, tidak mungkin baginya. Dia dapat rasakan yang kehadirannya di situ, langsung tidak diperlukan.
Lufya meramas jari jemarinya perlahan. Kata-kata sinis saudara yang datang, satu persatu kembali ke mindanya. Lufya berdecit perlahan kemudian memejamkan matanya membayangkan kebahagiaannya yang mendatang.
“Ya Allah! Bantulah hambamu dalam mencari sebuah kebenaran. Kebenaran yang terselindung tanpa ada penyingkapnya. Dan seandainya apa yang Engkau titipkan ini adalah kekuatan untuk hamba, hamba redha ya Allah. Hamba Ikhlas. Ya Allah, dekatkanlah hambamu ini dengan hidayahmu,” bisik Lufya. Tanpa dia sedari, setitis airmata jatuh ke jari jemarinya.
Jejari Lufya naik ke hujung mata untuk menyeka air mata yang sudah bertakung. Dia tidak mahu ada yang sedar dia menangis. Cukuplah dia saja yang tahu apa yang dia rasakan.
“Assalamualaikum.” Satu suara kedengaran memberi salam dari belakang.
Berderau hati Lufya mendengar suara yang tidak asing lagi di pendengarannya itu. Mungkin dia sudah lama tidak mendengar suara itu, tapi untuk melupakan, tidak sama sekali. Perlahan Lufya menoleh ke suara itu dan…
“Luf apa khabar?” tanya Riezman bersama dengan senyumannya membuatkan jantung Lufya berdegup laju.
“Abang buat apa kat sini? Nanti mak ngah nampak,” soal Lufya resah sambil membuang pandangan ke arah lain. Dia tidak mahu senyuman Riezman itu menggugat perasaannya.
Riezman mengambil tempat di sebelah Lufya, memaksa Lufya mengesot menjauh dari lelaki itu. Melihat tindakan Lufya itu, Riezman tersenyum kelat.
“Luf tak jawab soalan abang. Salam yang abang bagipun, Luf tak jawab,” tegur Riezman lembut.
Lufya berdecit perlahan. “Waalaikumsalam dan Luf sihat macam yang abang nampak sekarang.”
“Puas hati?” tanya Lufya sambil mengerling lelaki di sebelahnya itu.
“Luf sihat tapi hati Luf tidak,” komen Riezman.
Lufya merengus perlahan. “Hebatnye abang ni. Boleh teka hati Luf,”
“Abang membesar dengan Luf,” kata Riezman lagi mengingatkan Lufya tentang hakikat sebenar hubungan mereka.
“Itu dulu. Sekarang dah berbeza,” balas Lufya.
“Tiada yang berbeza. Luf saja yang menganggap berbeza,” kata Riezman tidak mahu mengalah.
Sepi.
“Kalau kita kahwin dulu, Luf takkan lalui semua ni,” sambung Riezman lagi.
Lufya mendengus tawa. “Hati Luf bukannya permainan,”
“Apa bezanya, bila Luf biarkan fitnah bermaharaja lela di kampung ni? Sama saja kan?”
Lufya mendengus perlahan. “Apa maksud abang sebenarnya?”
“Kenapa Lufya tak pernah terus terang pasal kita? Kenapa Lufya tak bagitau sebab kita putus tunang?” Soal Riezman bertalu-talu sambil memandang Lufya.
“Perlukah Luf ceritakan keaiban orang?” Soal Lufya kembali sambil menjeling lelaki itu.
“Abang tak kisahpun Luf. Sebab abang tahu abang salah,” jawab Riezman lembut.
“Tapi Luf kisah,” balas Lufya sambil tunduk merenung seliparnya.
“Sampai maruah Luf diperlekehkan?” soal Riezman tidak puas hati.
“Apa salahnya untuk kebaikan semua orang,” jawab Lufya. Dia berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan gelora di hatinya.
Riezman berdecit perlahan. “Tapi, lastly, Lufya yang pergi,”
“Kenapa abang tak kahwin dengan Marsha?” tanya Lufya ingin tahu. Dia sengaja mengubah topik perbualan mereka.
Riezman diam sejenak. Wajah Lufya dikerlingnya.
“Marsha jatuh cinta dengan lelaki lain. So, I decide to let he gor,” jawab Riezman.
Berkerut dahi Lufya sambil memandang Riezman.
“Abang tak sayangkan dia?” tanya Lufya lagi tidak puas hati.
“I do… tapi Marsha sendiri mengaku yang dia dah tiada hati dengan abang. Abang redha sebab abang tau, itu adalah kifarah,” jawab Riezman lagi sambil memandang Lufya yang duduk di sebelahnya.
“Luf, kenapa tak kahwin lagi?” tanya Riezman pula ingin tahu.
“Tunggu prince charming dari langit kut,” balas Lufya selamba membuatkan Riezman tergelak.
“Prince charming? Hmmm… abang ke prince charming tu.” Riezman mengusik Lufya membuatkan Lufya tertawa kecil.
“Totally not at all!” kata Lufya sambil menghadiahkan pandangan mengejek pada Riezman.
“Luf, kalau abang cakap yang abang tunggu Luf….”
Lufya tergamam mendengar ayat yang meluncur keluar dari bibir lelaki itu. Wajah Riezman dipandang dengan dahi yang berkerut.
“Abang tak payah nak merepek.”
“Abang tak merepek Luf. Abang betul-betul,”
Lufya merengus kasar.
“Hubungan kita dah lama berakhir abang. lagipun, abang tak malu ke nak beristerikan perempuan kotor macam Lufya ni,” kata Lufya dengan nada suara yang mula bergetar.
Riezman mengeluh perlahan. “Kita tahu kisah sebenar Luf,”
“Tapi orang lain tak tahu,” balas Lufya.
“Sebab Lufya tidak pernah menceritakan perkara sebenar!” Meninggi nada suara Riezman ketika menuturkan ayat itu.
“Diam lebih baik abang. Kalau nak cerita, even a hundred times, belum tentu orang akan percaya,” kata Lufya.
Riezman mengeluh perlahan. “At least, your try it Luf,”
“Biarlah. Jika Allah izinkan, satu masa nanti, kisah sebenar akan terbongkar juga,” kata Lufya.
Riezman diam. Wajah Lufya dikerlingnya sejenak.
“Riez! Kat sini rupanya kau. Balik! Mak tak suka kau dekat dengan perempuan kotor tu.” Berdesing lagi telinga Lufya mendengar jeritan Puan Hamrah dari pintu belakang itu.
Riezman berdecit kasar sambil memandang Lufya.
“Abang minta maaf dengan kata-kata mak tu,” pinta Riezman lembut.
Lufya tunduk merenung tanah, kemudian mendongak ke hadapan.
“Pergilah abang. Mungkin betul cakap mak ngah. Luf ni kotor,” kata Lufya.
Pedih menuturkan ayat itu, tapi apakan daya, itulah anggapan orang kampung terhadapnya.
“Tapi….”
“Pergilah abang. Balik!” tegas Lufya tanpa memandang wajah Riezman, Riezman mengeluh sambil bangun dari duduknya.
“Abang balik dulu,” kata Riezman dengan harapan Lufya memandangnya dengan senyuman. Tapi hampa! Lufya memilih untuk tidak mempedulikannya.
Sebaik Riezman berlalu, Lufya menghambur tangisan yang ditahannya itu. dadanya terasa sesak. Satu persatu kata-kata hinaan terhadapnya kembali memenuhi ruang mindanya. Kalau saja dia tidak sabar, pasti sudah lama dia mengakhiri hayat hidupnya.
“Kau kuat Luf!” Lufya memberi kata semangat untuk dirinya sendiri.
Biar serapuh apapun hatinya, dia harus terus bertahan. Biar seteruk apapun hentaman yang datang, dia harus teguh berdiri umpama gunung. Biarpun dia dibanjiri kata nista mahupun cercaan, dia harus bangkit agar tidak hanyut dengan permainan perasaannya. Masih banyak yang perlu dia tumpukan! Dia tidak akan maju dengan mendengar semua apa yang dilemparkan kepadanya.
Share this novel