SATU keluhan lega, terbit dari bibir Ziqri sebaik fail terakhir di atas mejanya selesai diperiksa. Dia mengurut tengkuknya lembut. Tangannya mencapai telefon untuk menghubungi Daniel. Belumpun sempat dia menekan apa-apa, telefonnya sudah menjerit di angkat. Nama Puan Kirana tertera di skrin telefonnya itu.
Tanpa berfikir panjang, Ziqri menyambut panggilan itu dan membawa telefon itu ke cuping telinganya.
“Assalamualaikum, umi.” Ziqri memberi salam terlebih dahulu tanpa sempat Puan Kirana berbicara.
“Waalaikumsalam Ziq. Apa khabar?” tanya Puan Kirana lembut.
“Alhamdulillah, baik umi. Umi dengan yang lain macam mana?” tanya Ziqri pula. Pen di hadapannya di capai dan diselitkan ke saku baju kemejanya.
“Baik, Alhamdulillah. Menantu-menantu umi macam mana?” tanya Puan Kirana.
“Dua-dua sihat umi…” balas Ziqri dengan nada meleret.
“Bila Ziq nak ajak menantu umi datang rumah?” tanya Puan Kirana lembut.
Ziqri jeda mendengar soalan itu.
“Menantu mana satu umi nak?” tanya Ziqri kembali.
“Tak kisahlah mana satu. Yang penting menantu umi…bukan anak dara orang…” balas Puan Kirana sambil tergelak kecil dengan ayatnya sendiri. Tak mampu dia bayangkan kalau Ziqri balik dengan anak dara orang. Mahu sakit jantung dia nanti.
Ziqri ketawa mendengar kata-kata berbaur usikan dari Puan Kirana itu.
“Umi ni…”
“Betullah apa yang umi cakap,” balas Puan Kirana sambil tergelak kecil.
“Tak terfikir sampai situ lagi, umi,” kata Ziqri sambil tergelak.
“Mana tahu…” meleret nada Puan Kirana membuatkan Ziqri tergelak lagi.
“Dah cukup banyak dah tanggungjawab Ziq. Ni pun, macam tak tertunai dah,” kata Ziqri setelah gelaknya berhenti.
Puan Kirana ketawa kecil mendengar kata-kata anaknya itu. Dia yakin yang Ziqri tidak akan sampai ke tahap itu.
“Ajaklah Lufya atau Marsha datang rumah,” kata Puan Kirana.
“Insya’Allah umi. Ziq tak janji,” balas Ziqri lagi.
“Hujung minggu ni, abah ajak makan malam kat rumah. Kalau boleh ajaklah dua-dua,” kata Puan Kirana lagi.
Ziqri diam. Mengajak Marsha boleh tsunami satu rumah dengan amukannya. Tapi Lufya, dia tidak pasti.
“Umi tak takut tsunami ke rumah tu?”
“Kenapa nak tsunami pula?”
Ziqri diam sejenak kemudian berkata, “Umi tahukan Mar macam mana?”
Puan Kirana diam seketika sambil memikirkan sesuatu.
“Tak kot. Luf tu kawan baik Mar kan?”
“Hmmm…” balas Ziqri ringkas. Dia sendiri tidak pastti sama ada Marsha menganggap Lufya itu rakan baik atau hanya mempergunakan Lufya. Berdasarkan pemerhatiannya, Marsha lenih kepada mempergunakan Lufya untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Kalau macam tu, Mar takkan marah punya…” kata Puan Kirana yakin.
“Ye lah umi. Nanti Ziq ajak Luf dengan Mar.” kata Ziqri tanda menyetujui kata Puan Kirana itu.
“Jangan lupa tahu,” kata Puan Kirana lagi sebelum mengakhiri perbualan mereka.
Ziqri hanya mengiakan peringatan itu.
Habis saja perbualan mereka, Ziqri menghubungi Daniel untuk mengajaknya bertemu.
“APE hal kau nak jumpa aku ni?” tanya Daniel sebaik melabuhkan duduknya di kerusi yang berada di depan Ziqri.
“Kau rasa, kalau aku ajak Lufya pergi bercuti, dia nak tak?”
Meledak ketawa Daniel mendengar soalan itu. Dia memandang tepat pada wajah Ziqri yang sudah menahan geram kerana diketawakan.
“Kau tanya aku, macam kau tak pernah bercinta,” perli Daniel selamba.
“Ziqri menyengetkan bibirnya meluat mendengar perlian itu. “Kau nak tolong ke tak?”
Daniel berhenti ketawa dan mula serius. “Tu bini kau, bukan bini aku. Kalau bini aku, tahulah aku apa nak jawab,”
“Kau jawab je lah ye atau tidak,” balas Ziqri tidak mahu mengalah.
“Kalau aku jawab ya?” Daniel memandang Ziqri dari tepi dengan riak wajah bersahaja.
“Aku culik dia,”
Berkerut dahi Daniel mendengar kata-kata Ziqri itu. ‘Apahal nak main culik-culik pula?’
“Kau dah kenapa? Tu bini kau. Kau ada hak kot,” kata Daniel hairan.
“Memanglah aku ada hak, tapi…” Ziqri menggosok tengkuknya sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi.
“Tapi apa?”
Ziqri berdecit perlahan. Wajah Daniel dipandang seketika kemudian bersuara kembali, “Hidup kami ni dah macam game Marsha. Dia dah tetapkan semuanya untuk aku dengan Lufya. Bila aku kena jumpa Lufya, bila aku kena bermalam dengan Lufya,”
Daniel terdiam sambil mengelengkan kepalanya.
“Kau ikut je…”
“Dah itu yang Luf nak ikut,”
Daniel mengeleng lagi. Pandangannya dibuang jauh ke sepasang lelaki dan wanita yang sedang menjamu selera di sudut restoran itu dan kembali memandang wajah Ziqri sambil bertanya, “Sampai bila kamu nak ikut apa yang Marsha tetapkan untuk kamu? Lagi-lagi kau. Kau tu suami, bukannya isteri,” dengan nada tegas.
Ziqri mengeluh perlahan.
“Kau nak jadi suami dayus ke? Hidup dalam kongkongan isteri yang langsung tidak memahami apa itu erti tanggungjawab?”
Ziqri diam lagi.
“Kalau aku jadi kau, dah lama aku ceraikan Mar tu. Dia tak sayangkan kau. Dia Cuma nak gunakan kamu berdua je,”
“Entahlah Dani. Akupun tak tahu apa yang aku nak buat dengan Mar,” luah Ziqri akhirnya setelah mendengar kata-kata Daniel yang tidak henti-henti menjadi batu api antara dia dan Marsha. Batu api untuk kebaikan!
“Tulah. Aku nasihatpun, bukan kau nak dengar,” rungut Daniel.
“Bukan tak nak dengar, tapi semua nasihat kau tu belum ada gunanya untuk aku…”
Daniel mencebik bibirnya mendengar jawapan Ziqri.
“Kalau macam tu, kau janganlah nak minta aku nasihat lagi. Membazir air liur aku je!”
Ziqri tersengih mendengar kata-kata Daniel yang berbaur rungutan itu.
“Kau nak bawa Lufya bercuti kat mana?”
“Sabah kot,”
Daniel diam sambil berfikir. Nanti kalau tak ditolong, ada pula yang merajuk.
“Kau bawa je lah dia. Bagitahu Mar yang kau nak outstation. Bukan kau tak biasapun…”
Bersinar mata Ziqri mendengar cadangan itu.
“Bagus juga idea kau tu,” puji Ziqri sambil menayangkan sengihannya.
“Memanglah bagus. Tengok oranglah siapa. Tak macam kau, nama je bini dua tapi… benda macam tu pun tak leh nak fikir,” balas Daniel sambil menjongket bibir kanannya ke atas.
“Eleh! Baru puji sikit dah mengada-ngada.” Ziqri menghadiahkan pandangan menyampah.
“Aik! Kau lupa ke dengan siapa kau minta cadangan selalu? Akukan?” Daniel menjeling tanda menyampah.
“Yelah!” ‘Perasanlah tu. Macam dia seorang je hebat!’ Ziqri sempat mengutuk Daniel didalam hatinya.
Bunyi mesej masuk membuatkan Ziqri laju mengangau mencari telefonnya.
From: My Wife,
I tak balik malam ni. I bermalam kat rumah Raisha. You nak, pergilah rumah Luf…
Berkerut dahi Ziqri sebaik membaca mesej itu. Dia menutup kembali telefonnya itu sambil memikirkan sesuatu.
‘Sejak bila Mar pandai tidur rumah Raisha? Macam ada yang tak kena,’
“Siapa tu?” tanya Daniel hairan melihat wajah Ziqri yang berkerut-kerut bagaikan ada masalah yang menimpa.
Ziqri tersentak, “Huh?” Dengan wajah keliru dia memandang Daniel.
Daniel tayang muka yang bertambah hairan.
“Aku tanya, siapa mesej kau. Bukan main berkerut lagi dahi kau,” kata Daniel mengulangi pertanyaannya sebentar tadi.
Ziqri menayangkan wajah dengan mulutnya membulat tanda ‘O’.
“Mar mesej. Dia suruh aku balik rumah Luf sebab malam ni dia tak balik,”
“Dia pergi mana?”
Ziqri hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Dan dia juga sudah tidak berminta untuk mengambil tahu hala tuju Marsha. Ini kerana, rahsia Marsha kebanyakannya sudah berada di dalam genggamannya.
Tunggu dan lihat!
Dia mula merancang sesuatu. Mungkin menyakiti hati Marsha, mungkin juga membuatkan Lufya rasa tidak selesa dan membantah. Tapi dia tidak kisah tentangnya.
Share this novel