AZAN yang berkumandang itu, mengejutkan Ziqri yang sedang berusaha untuk melelapkan matanya. Dia mencelikkan matanya dan berpusing membelakangi tempat Marsha yang kosong itu. Dari semalam, dia langsung tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan tentang Marsha. Pertengkaran semalam sekali lagi menyedarkan dia yang Marsha memang tidak pernah bersedia untuk masuk dalam fasa rumah tangga.
“Tolong fahami I, Ziqri!”
Lalu hatinya, siapa yang mahu memahami? Marsha?
“Sampai bila nak macam ni,” keluh Ziqri.
Ziqri bangun sambil menolak selimut yang membaluti tubuhnya itu. Kedua kakinya dijatuhkan ke lantai kemudian terus berdiri. Tubuhnya dibawa keluar dari bilik itu menuju ke bilik sebelah untuk menjenguk Marsha.
Marsha memilih untuk tidur di bilik sebelah selepas pertengkaran mereka semalam. Tombol pintu itu dipulas. Berkunci. Ziqri mengeluh kasar.
Kata orang perkahwinan itu indah, tapi dengan apa yang dia lalui ketika ini, hatinya menolak kenyataan yang selalu didengarnya itu. Kata orang, perkahwinan itu ada pasang surutnya, tapi hubungan mereka bagaikan tiada istilah pasang atau surutnya. Kata orang zuriat itu melambangkan cinta, tapi bagaimana dengan Marsha? adakah Marsha sedang mempergunakan dia ataupun mempermainkan dirinya? Ziqri buntu.
Dia akhirnya membawa langkahnya ke dapur. Dia memerhatikan seluruh dapur itu. Kosong sekosong hatinya kini.
Masak? Selama tiga tahun berkahwin dengan Marsha, dapur mereka belum pernah berasap. Marsha hanya sibuk berpeleseran dengan rakan-rakannya untuk mencari keseronokan dan bila dia menegur, Marsha selamba memberi alasan ‘malas’. Pernah sekali dia meminta Marsha membuatkan sarapan untuknya, namun Marsha tanpa segan silu menyatakan yang dia bukanlah orang gaji di dalam rumah itu.
Ziqri mengeluh. Sia-sia dia menyediakan semua keperluan untuk Marsha, kerana Marsha tidak tahu untuk menghargainya. Kasih sayang yang dia beri, bagaikan tiada makna buat Marsha. Cinta yang selama ini bersemi, rasanya semakin pudar dipadam oleh sikap Marsha yang semakin menjadi.
Dia pernah berjanji untuk membimbing dan menjaga Marsha, tapi kini hatinya tawar. Seiring dengan perjalanan masa dalam hubungan mereka. Kalau dia boleh memutarkan waktu itu, pasti dia memilih untuk mendengar kata-kata kedua orang tuanya.
Menyesal? Siapa tidak menyesal bila apa yang diharapkan, tidak menjadi. Apa yang diimpi bagaikan tidak kunjung tiba. Sinar pula semakin menghilang. Hatinya sepi, sesepi hubungan mereka. Hambar sebagaimana hambarnya hubungan mereka ketika itu.
Sebuah cawan yang tersusun cantik di rak gelas itu dicapai lemah. Langkahnya di bawa ke coway. Fikirannya betul-betul melayang.
Derapan tapak kaki menghampiri dapur itu menyedarkan Ziqri, dari terus diulit masalah mereka. Tumpuannya dialihkan pada cawan yang sudah dibawa ke bibirnya. Dia menoleh ke pintu masuk ke dalam dapur itu. Marsha muncul sambil menggosok matanya.
Terbuntang luas mata Marsha dan langkahnya terhenti melihat Ziqri yang sedang berdiri memandangnya dengan segelas air di tangan. Bibirnya diherot sinis.
“Awal you bangun? Nak sambung perang semalam ke?” perli Marsha.
Ziqri diam. Hanya pandangan kosong dia hadiahkan buat isteri ‘tercintanya’ itu. Dulu. Sekarang dia tidak tahu.
Melihat kebiasuan Ziqri, Marsha mengngkat bahu sambil langkahnya di bawa ke island table. Marsha mencapai cawan kaca yang disangkutkan di tengah meja itu dan menuju ke coway untuk menadah air. Sesekali dia menjeling Ziqri yang masih membisu.
Sepi.
“Siapa calon isteri I?”
Burr! Tersembur air yang sudah diteguk oleh Marsha. Matanya membulat ke arah Ziqri. “You bangun awal sebab nak tanya I benda ni?”
Ziqri merengus kasar.
“Apa lagi rancangan you untuk hidup I?” soal Ziqri tanpa mempedulikan pertanyaan Marsha. Pandangannya menikam wajah Marsha.
Marsha mendengus tawa. “You ingat, I suka dengan apa yang I buat ni? Tapi you nak sangat anak, so… I dengan berbesar hati bagi you kahwin lagi satu. Itupun you tak nak ke?”
Ziqri mengetap bibirnya kuat. “Itu bukan apa yang I harapkan, selama kita berumahtangga Mar. I kahwin dengan you sebab cinta. Biarpun ramai yang membantah, tapi I tetap pilih you. Tapi you dah rosakkan semua impian dan harapan I pada you,”
Marsha tergelak mendengar kata-kata yang panjang berjela Ziqri itu. sikitpun dia tidak terkesan. Apatah lagi tersentuh.
“Ziq, hidup kita ni cuma sekali. SE…KA…LI! Tak mungkin untuk I bazirkan masa I, semata-mata nak penuhi impian dan harapan you. I bukan patung! I ada keinginan, tapi bukan yang you mahukan… atau yang you impikan,” kata Marsha tegas.
Ziqri menghela nafas kasar mendengar setiap perkataan bernada tegas yang dikeluarkan oleh isterinya itu.
“I rasa you sedang mempermainkan I,” kata Ziqri, mengundang ketawa Marsha.
Marsha mengelengkan kepalanya perlahan sambil menghampiri Ziqri. Jejari kanannya naik mengusap pipi Ziqri. Selamba Marsha merapatkan bibirnya ke bibir Ziqri lalu menciumnya.
“I love you Ziq. So much love, but I can’t refuse what I want.” Kata Marsha separuh berbisik. Satu pandangan nakal dia berikan pada Ziqri sebelum melangkah meninggalkan Ziqri sendirian di dapur itu.
Ziqri ketap bibir. Wangian Marsha itu menggugat imannya. Sikap Marsha yang selamba mencium bibirnya memaksa dirinya untuk ‘mendatangi’ Marsha ketika itu. Namun apakan daya. Tidak mungkin dia mengemis pada Marsha untuk meminta haknya sebagai suami. Cukuplah! Dia sudah penat.
“Petang ni, I datang pejabat you. Kita jumpa bakal isteri you,” kata Marsha separuh melaung dari ruang tamu.
Ziqri mengeluh lemah. Kalau ini yang Marsha mahukan…
Biarpun hatinya tidak mahukan perkara itu, tapi dia memilih untuk mengikut rentak Marsha. Sejauh mana permainan Marsha…
Share this novel