BAB 95

Romance Series 92840

LUFYA duduk di sofa empuk itu sambil menunduk menekur lantai. Dia meramas jari jemarinya sesama sendiri. Fikirannya berkecamuk. Perasaannya bergelodak sendiri. Hatinya terasa sakit, setiap kali mengingatkan permintaan Marsha yang mengejut itu. Jiwanya kacau bilau. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa lalu mendongak merenung siling putih.
‘Aku nak buat apa sekarang? Jumpa Ziqri, kemudian minta cerai?‘Aku sayangkan dia,’ monolog hatinya sendiri.
‘Tapi dia bukan hak kau,’ satu suara menyampuk, menidakkan kata-katanya itu.
‘Aku juga isteri dia. Aku mengandungkan anak dia,’ monolog Lufya lagi.
‘Kau dah berjanji nak berpisah dengan Ziqri. Kau kena tunaikan itu,’
Lufya menekup mulutnya sendiri. Kepalanya di gelengkan berulang kali.
Rasa terkilan, kecewa, kesal dan terluka semuanya ada. Hatinya mula rasa tidak kuat.
“Allah!” Nama Allah meniti di bibir Lufya seketika. Dengan harapan, ada jawapan yang dia perlukan.
Dia menegakkan tubuhnya dan meraup wajahnya kasar. Berkali-kali dia mengulanginya, tapi perasaan yang dia rasakan ketika itu, semakin sarat. Senyum dan tawa Ziqri, terbayang di matanya. Setiap kata-kata dan usikan Ziqri, seakan kedengaran di telinganya. Lufya mengetap bibirnya kuat.
‘Kau tak boleh cintakan dia, Lufya,’ kata hatinya. Sekali lagi dia mengingatkan dirinya sendiri.
Dia hampir terlupa siapa dia di antara Marsha dan Ziqri.
“Argh!” Lufya menjerit kecil. Rambutnya diramas kasar.
Cuba melepaskan rasa yang semakin membelengu dirinya.
“Lufya?” Zarina dan Damya muncul serentak, membuatkan Lufya tersentak.
Lufya memandang mereka berdua silih berganti.
“Kau okay? Kami dengar, kau jerit tadi,” tanya Zarina, tanda prihatin. Mereka menghampiri Lufya yang sedang duduk memandang mereka.
Lufya diam, tapi pandangannya langsung tidak beralih dari mereka. Beberapa saat kemudian, Lufya mengukir senyumannya. Cukup manis, seolah-olah tiada apa yang berlaku padanya.
Zarina dengan Damya terkesima menerima senyuman itu. Senyuman yang terukir di bibir Lufya itu, bagaikan racun yang tersimpan dan tersimpul rapi di sudut hati Lufya. Dia mungkin mampu menyembunyikan kesakitannya dalam senyuman, tapi tidak pada matanya. Ya, matanya berkaca. Melalui matanya juga, mereka dapat meneka, betapa sakit dan terlukanya hati Lufya ketika itu.
“Luf…”
“Aku okay. Aku nak keluar,” kata Lufya.
Dia tidak menunggu lama di situ. Dia bangun menuju ke mejanya untuk mendapatkan beg tangannya dan kunci kereta. Dia tahu yang airmatanya menunggu masa untuk runtuh dan dia tidak rela memperlihatkan airmatanya kepada mereka.
“Jangan buat kami risau, Luf. Kami tahu, kau perlukan teman,” pujuk Damya, ketika Lufya melangkah menuju ke pintu keluar.
Langkah Lufya terhenti, tapi dia tidak menoleh kepada mereka berdua. Pandangannya semakin berkaca.
“Takpe Damya, Zarina. Aku okay. Aku tak nak susahkan korang dengan masalah aku,” balas Lufya. Nada suaranya bergetar.
Tanpa menunggu balasan mereka, Lufya membawa dirinya. Ketika menuruni tangga, dia dapat mengesan pandangan aneh dari pekerja-pekerjanya, tapi dia mengabaikannya.

LUFYA memandu dengan perasaan yang tidak menentu. Dia juga kehilangan arah tujuan. Jeritan telefonnya yang minta diangkat itu, tidak dipedulikannya. Dia tidak mahu bercakap dengan sesiapapun, ketika itu.
Akhirnya Lufya mengambil keputusan untuk memberhentikan keretanya di Tasik Perdana. Dia keluar dari keretanya dengan harapan segalla kekusutan di fikirannya ketika itu, meninggalkannya.
Dia melangkah tanpa arah tujuan yang pasti dan langkahnya terhenti di sebuah kerusi yang tersedia di situ. Perlahan dia melabuhkan duduknya sambil menghadap tasik itu. Matanya melekat pada ketenangan air tasik.
Sekali lagi, fikirannya melayang mengingatkan Ziqri. Kemudian Marsha. Dia cintakan lelaki itu, tapi dia juga sayangkan hubungannya dengan Marsha. Dia tak mungkin merosakkan persahabatan mereka, kerana seorang lelaki. Bagaimana pula dengan perasaannya? Bukankah dia sedang mendera perasaannya sendiri? Perutnya diusap lembut.
Tanpa sedar, setitis air matanya jatuh. Sampai bila dia akan hidup seperti ini? Memendam dan terus memendam. Mungkin mereka tahu apa yang terjadi, tapi tiada siapa yang tahu apa dia rasakan ketika itu.
Baru saja dia menyemai perasaan cinta dan sayang untuk lelaki yang bernama Ziqri, kini dia diminta untuk berpisah dengan lelaki itu. Dia tertanya sendiri. Kenapa takdirnya tidak pernah indah seperti yang lain. Adakah dia tidak layak untuk bahagia?
Setengah jam Lufya di situ, perasaannya bukan bertambah tenang, tapi bertambah parah. Lufya mengesat matanya lembut. Dia bangun dan meninggalkan tempat itu.
‘Semoga ada berita menggembirakan hati,’
Satu harapan tersimpan rapi di dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience