RAKAMAN video berdurasi sepuluh minit yang menunjukkan Marsha sedang memalukan Lufya itu dimainkan oleh Ziqri berkali-kali. Kata-kata Marsha jelas kedengaran. Setiap penghinaan yang dilontarkan oleh Marsha terhadap Lufya, terasa menusuk ke hatinya. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan juga terasa. Apa sebenarnya motif Marsha memperlakukan Lufya sebegitu. Nampak sangat dengki pada kebahagiaan Lufya.
“Dia kat butik Marina”
Sebaik menerima mesej itu, Ziqri tidak berfikir panjang. Dia bangun dari kerusinya lalu meninggalkan pejabat itu. Berita itulah yang dia tunggu-tunggu dari tengahari tadi. Pandangan pekerja yang berada di luar bilik, tidak dipedulikan. Ada perkara yang lebih penting dan perlu dia selesaikan secepat mungkin.
Sekejap saja, kereta yang dipandu olehnya itu, meluncur meninggalkan perkarangan bangunan itu. Tujuannya hanya satu. Bersemuka dengna Marsha dan menyelesaikan segala persoalan semua pihak.
Butik Marina diterjahnya.
Tergamam Marsha menerima kehadiran Ziqri tiba-tiba. Gelak ketawanya terhenti saat melihat suaminya sudah berdiri di hadapan mereka.
"Ziq?" Marsha menjongket kening tanda hairan sambil berdiri menghadap Ziqri.
Marina hanya mendiamkan dirinya. Tidak mahu mencampuri urusan kedua mereka. Lagipun, tujuan Marsha ke butiknya adalah untuk menempah pakaian baru. “Urusan laki bini… lantaklah nak jadi apa,” getusnya, sambil menumpukan perhatian pada majalah fesyen terbaru Malaysia.
Ziqri mengetap bibirnya kuat. Melihat ketawa Marsha dan Marina sebentar tadi, mengundang rasa sakit yang teramat di dalam hatinya. Ingatannya kembali kepada rakaman video yang sedang viral itu. Dia menggenggam tangan ketat-ketat.
Pang! Tangan berotot Ziqri singgah dipipi kanan Marsha. Mengejutkan semua pekerja Marina yang berada di situ termasuklah Marina. Pasti besok, tersebar gosip mengatakan 'Bukan setakat curang pada Marsha, tapi Ziqri Amsyar juga menaikkan tangan pada Marsha'. Maklumlah tangan mak cik bawang lebih laju dari kilat. Malaysiakan ada mahkamah ‘netizen bertauliah’.
"Ziqri, berani you tampar I?!" Marsha bertempik ke arah Ziqri sambil meraba pipinya yang merah itu.
"Yes! I can do more than that, Mar. Sabar I dah hilang untuk you." kata Ziqri sambil mencapai tangan Marsha dan mengheret Marsha keluar dari butik itu.
Semua yang berada di dalam butik itu, terkejut dengan tindakan kasar Ziqri. namun, mereka memilih untuk membiarkan pasangan suami isteri itu. pastinya, masing-masing sedia maklum apa yang menyebabkan Ziqri angin satu badan pada Marsha.
"Ziqri, lepaslah!" Marsha cuba meronta meminta dilepaskan tapi Ziqri tidak peduli.
Pintu keretanya itu dibuka luas, lalu tubuh Marsha ditolak kasar ke dalam kereta membuatkan Marsha sedikit terdorong ke dalam. Sempat kepalanya terhantuk pada bingkai pintu namun, Ziqri tidak juga peduli. Berdentum bunyi pintu kereta itu mengejutkan Marsha. Wajah bengis Ziqri itu menakutkan dirinya. Ziqri seakan hilang kewarasannya
"You dah gila ke?!” bentak Marsha, meraba kepalanya yan terhantuk itu. Dia menjeling pada Ziqri yang sedang memasuki bahagian pemandu.
"Memang I dah gila Mar. I gila dengan perangai you yang macam setan tu!" Jerkah Ziqri mengejutkan Marsha. Sekali tarik sahaja, pintu kereta itu berdentum kasar.
"Sebelum I jadi lebih gila, baik you diam. Kalau tak… I tolak you keluar dari kereta ni. Biar mati terus. Tak menyusahkan hidup I dengan Lufya." Sambung Ziqri lagi.
Marsha tergamam. Itu bukan Ziqri yang dikenali. Mendengar kata Ziqri itu buat hatinya berdebar-debar ketakutan.
"Ziq..."
"Shut Up, Marsha!" SerentaK Ziqri memecut keretanya menuju ke Beauty and Health by Luf. Dia yakin yang Lufya sudah dikerumuni wartawan yang mahukan penjelasan isu 'rampas suami orang'.
"Ziq, kita nak buat apa kat sini?" Tanya Marsha resah bila kereta yang mereka naiki itu diberhentikan oleh Ziqri di hadapan bangunan setingkat itu. Ziqri menjeling Marsha yang ketakutan itu.
"Kenapa? Takut? You patut takut Mar. Lepas apa yang you dah buat pada Lufya." Sindir Ziqri sambil keluar dari kereta dan menuju ke pintu sebelah.
Marsha ketap bibir. Debaran di dadanya semakin kuat. Tambah lagi melihat sekelompok wartawan yang berkumpul di hadapan bangunan milik Beauty and Health by Luf itu. Dia dapat merasakan apa yang berlaku nanti tidak baik.
Ziqri membuka pintu kereta itu lalu mencapai kasar lengan Marsha memaksa Marsha menuruti pergerakan lelaki itu.
"Ziqri, I tak nak masuk!"
"Want or not, you tetap kena masuk!" Kata Ziqri kasar. Langkah mereka semakin menghampiri pintu dan akhirnya tiba di hadapan pintu masuk. Ziqri sempat menghadiahkan pandangan sinis pada Marsha sebelum menolak kasar pintu itu sekaligus mengejutkan pekerja Lufya. Beberapa orang wartawan termasuk Lufya dan Damya tergamam melihat kehadiran Ziqri dan Marsha di situ.
"Abang...Marsha..."
Ziqri melepaskan lengan Marsha dan Marsha sudah memalingkan wajahnya ke arah lain seolah-olah jijik dengan Lufya. Melihat perlakuan Marsha itu, Ziqri tidak mampu lagi membendung perasaan marahnya. Sekali lagi dia memegang kasar lengan Marsha lalu mengheret ke hadapan Lufya.
Marsha berdesah kesakitan dengan kekasaran Ziqri.
“Sakitlah!”
Berkerut dahi Lufya melihat situasi itu. Wartawan hiburan dan wartawan tempatan yang ada juga sudah mengalihkan tumpuan pada pasangan suami isteri itu.
"Kenapa ni abang, Mar? Apa yang dah jadi?" Tanya Lufya memecah kesunyian yang tercipta antara mereka semua dek kerana kehadiran yang tidak di duga itu.
Ziqri mengetap bibirnya sambil memandang tajam ke arah Marsha yang membisu dan berpaling ke arah lain. Melihat kebisuan Marsha menambahkan rasa marahnya yang membuak-buak. Mendengar kelembutan suara Lufya pula membuatkan hatinya dipalu kesedihan.
"Marsha Maryam! Look at her carefully!"
Marsha tetap membisu dan pandangannya langsung tidak berganjak. Lufya mula dapat meneka apa yang akan terjadi sebentar lagi.
"Abang..." Ziqri mengangkat tangan tanda meminta Lufya berhenti.
"Lufya sanggup korbankan diri dia untuk kebahagiaan you tapi, you fitnah dia konon-konon dia putuskan ikatan pertunangan sebab terlanjur dengan lelaki lain, sampai dia dibuang keluarga. Jauh Mar... Dia datang KL, demi sebuah harapan. Dia bina kerjaya dan impian. Tapi you rosakkan semuanya. Bila keluarga dia dah terima dia balik, You datang merayu melutut untuk dia lahirkan anak I, dan tiba-tiba you sebarkan cerita yang dia rampas I dari you? Apa semua ni Mar? You tak kesian ke dengan Lufya?" Pandangan Ziqri tepat ke wajah Marsha manakala Lufya sudah tergamam.
"Dia tak pernah burukkan you biarpun sekali Mar. Biarpun I mengadu dengan dia berkali-kali. You suruh dia minta cerai dengan I. Dia buat Mar. Dia ikut semua yang you nak. You datang event dia, malukan dia... Dia tak mengeluh Mar. You hina dia, you datang rumah family dia mengadu yang dia rampas I dari you dan you tahu apa jadi?” Ziqri menggelengkan kepalanya perlahan, sambil pandangannya jatuh ke wajah Marsha yang langsung tidak menunjukkan riak bersalah. “Sekali lagi dia disisihkan keluarga. Bukan setakat disisihkan. Dia juga hilang ayah kesayangan dia. Sampai hati you, Mar? Semua benda dia buat untuk persahabatan kamu berdua. I kecewa dengan you Mar."
Marsha kaku ditempatnya berdiri. Perlahan dia menunduk menyembunyikan wajahnya. Malu tapi dia tidak mahu mengalah.
Lufya tergamam! Airmatanya mengalir laju mendengar kata-kata suaminya. Jadi, Marsha lah yang menyebarkan semua cerita itu. Cerita mengenai dia terlanjur dengan lelaki lain, yang tersebar satu ketika dahulu sampai dia dibuang keluarga. Cerita mengenai rampas suami orang sampai syarikatnya hampir di senarai hitamkan oleh penerbit program realiti tv yang ditaja oleh syarikatnya, dan sekali lagi dibuang keluarga. Dia menekup mulutnya dan pandangannya berpinar.
Damya memaut bahu Lufya untuk memberi kekuatan dan semangat.
"Ak...aku..." Lufya menyembamkan wajahnya ke tubuh Damya. Setelah bertahun, baru dia tahu siapa puncanya. Jujur dia terkilan setelah mendengar semua itu. Persahabatan yang terjalin selama ini, disulami dengan dusta yang dia sendiri tidak pernah tahu.
"Puas hati you? Mesti you hairan macam mana I tahu semua ni kan? You tak hairan kenapa I dengan mudah terima cadangan you untuk kahwin dengan Lufya?" Pandangan Ziqri tepat ke arah Marsha yang membisu.
Perlahan Marsha berpaling membalas pandangan Ziqri. Bibirnya diketap kuat. Dia mula resah untuk menduga. Dia mula takut untuk mendengar kenyataan sebenar.
“Ziq,”
"I tahu you ada lelaki lain. Before I kahwin dengan Lufya… I dah tahu semuanya. I bukannya bodoh, Mar. I do everything to find out the truth. I dah tahu semua tentang Lufya, sebelum I ambil keputusan untuk setuju dengan cadangan you," kata Ziqri sinis.
Marsha kaku. Kata-kata Ziqri menyentap hatinya. Ternyata rahsianya itu sudah lama diketahui oleh Ziqri. Dia mula takut memikirkan kesudahan mereka. Tidak! Dia tidak boleh kalah pada Lufya. Lufya adalah pesaing utamanya.
"Kenapa you tak ceraikan I, kalau you tahu I ada lelaki lain?"
"Sebab I nak tengok sejauh mana permainan you... but now, rasanya I dah penat menghadap permainan you. I nak fokus kat isteri I yang tengah mengandung ni. You faham apa maksud I kan..." kata Ziqri lagi seakan mengejek sambil melangkah ke arah Lufya.
Pandangan mata Marsha mengekori langkah Ziqri. Bibirnya diketap kuat. Dia mula takut membayangkan apa yang bakal diucapkan oleh lelaki itu sebentar lagi.
“Ziq, I minta maaf,” pinta Marsha, sepantas kilat mencapai lengan Ziqri.
Langkah Ziqri terhenti seketika. Pandangannya menikam wajah Marsha. Hatinya sudah tawar. Nama Marsha sudah lenyap, saat dia mengetahui hakikat sebenar. Rasa sakit ketika mendapat tahu yang cintanya dikhianati.
“Maafkan I, Mar. Nama you dah tiada dalam hati I. Pergilah pada lelaki yang bernama Arif tu. I yakin, you akan bahagia,” balas Ziqri, sambil menarik lengannya dari pegangan Marsha.
“Tapi, Ziqri…”
“You yang pilih jalan hidup you, Mar. Selama ini, I bagi kebebasan pada you, tapi you hancurkan semuanya. Demi keseronokan hidup you. You nafikan hak I. I dah tak boleh hidup dengan you,”
Marsha kaku mendengar ayat yang dilafazkan oleh Ziqri itu. Melalui cara Ziqri berkata, dia tahu yang Ziqri terluka. Kecewa. Menyesal tapi tak berguna.
Semua mata yang berada di situ memandangnya dengan penuh perasaan benci. Hanya Lufya yang tidak memandangnya, kerana sedang menangis teresak.
Ziqri menghampiri Lufya yang berada di dalam pelukan Damya.
"Let me..." pinta Ziqri sambil memandang Damya dengan senyuman. Damya akur sambil meleraikan pelukannya dan Ziqri menarik lembut tubuh Lufya ke arah tubuhnya lalu memeluk erat tubuh Lufya. Lufya merelakan tubuhya di peluk oleh lelaki itu. Ziqri memandang Marsha sejenak kemudian menarik nafasnya panjang. Sudah tiba masanya dia menunaikan satu lagi impian Marsha.
"Dah alang-alang kita kat sini dengan wartawan pula..." Pandangan Ziqri memandang setiap wajah yang ada di situ dan akhir sekali Marsha.
Marsha mengetap bibirnya kuat. Dia perlu bersedia menadah telinga untuk mendengar kata-kata Ziqri.
"Biar semua nampak dan tahu apa yang terjadi sebelum ni dan selepas ini." Ziqri berhenti berkata lalu mengerling Lufya yang berada dalam pelukannya kemudian kembali memandang wajah Marsha.
"Marsha Maryam binti Abdul Razak, aku ceraikan kau dengan talak tiga."
Serentak Marsha melorot jatuh ke lantai, disertai air mata yang mengalir deras di pipinya.
Semua wartawan yang berada di situ, mengacukan lensa kamera mereka pada Marsha yang sudah mula meraung. Menangisi nasibnya yang berakhir dengan kekecewaan. Kekecewaan yang Marsha sendiri tidak pernah menduganya.
Share this novel
hah rasain lo