KERETA Nissan Serena yang dipandu oleh Damya itu, akhirnya berhenti disebuah rumah ketika senja menjengah. Melihat kereta yang tersusun di hadapan rumah itu membuatkan hati Lufya mula berdebar. Sempat dia mengesan kelibat Puan Asmah di kaki lima rumah itu.
Lufya memegang dadanya cuba memujuk hatinya untuk bertenang.
Damya yang melihat gelagat Lufya itu, hanya diam. Dia tahu gelodak perasaan Lufya ketika itu. Dia yakin, aka nada pertumpahan air mata sebentar lagi. Dia memegang bahu Lufya membuatkan Lufya menoleh ke arahnya.
Satu senyuman kelat terlakar di wajah Lufya.
“Pergilah Luf. Jelaskan semuanya. Kalau boleh betulkan semua anggapan mereka pada kau.” Damya memberi semangatnya.
“Aku tak kuat untuk semua ni,” luah Lufya kesal.
Damya menepuk bahu Lufya perlahan.
“Aku yakin kau boleh. Pergilah Lufya. Aku ada kat belakang kau,” kata Damya lagi.
Lufya mencapai beg tangannya lalu turun dari kereta itu.
Sebaik sahaja dia turun, beberapa wajah yang dia kenali, termasuk Lila menjengah ke arahnya. Ada yang memandang sinis, ada yang memandang jijik da nada yang bersahaja.
Lufya mengetap bibirnya kuat. Dia mengatur langkah perlahan-lahan menghampiri rumah itu.
“Lufya.” Puan Hazimah dan Lila menerpa serentak.
Lufya tersenyum menyembunyikan debaran di hatinya. Dia merangkul tubuh Puan Hazimah, kemudian beralih pada Lila.
“Sampaipun. Ingatkan dah tak reti nak balik.” Sindir Puan Asmah.
Lufya tersenyum kelat mendengar sindiran itu. Air liurnya ditelan berkali-kali. Pahit!
“Masuk Luf,” ajak Puan Hazimah lembut.
Lufya mengatur langkahnya dengan diiringi oleh Puan Hazimah dan Lila. Pandangan ibu saudara dan bapa saudaranya yang ada disitu, menambahkan lagi keresahan dalam dirinya. Hatinya mula takut memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi dengan keputusannya kali ini.
Sempat dia bersalaman dengan bapa saudara dan ibu saudaranya yang berada di kaki lima itu. Jelas pandangan mereka yang menyampah melihat kedatangannya.
“Sampaipun Lufya. Ingatkan dah tak tahu jalan balik,”
Masuk sahaja di dalam rumah itu, telingannya dijengah dengan ayat pedas dari Puan Hamrah yang sedang duduk di sofa berangkai itu. Lufya memandang mereka satu persatu sehinggalah pandangannya berhenti di wajah Hj. Maliki yang tegang itu. dia cuba mencari Riezman, tapi gagal mengesan kedudukan lelaki itu.
“Duduklah!” arah Puan Hamrah kasar.
Lufya memandang Puan Hazimah kemudian Lila. Setelah melihat anggukan dari merekka, Lufya membawa tubuhnya ke sofa yang kosong itu.
Sebaik dia duduk, satu persatu ibu saudara dan bapa saudaranya datang menyertai mereka termasuk Puan Hazimah dan Lila. Dia dapat mengesan pandangan tajam dari Puan Hamrah dan juga yang lain. Terpancar riak tidak puas hati, pada wajah-wajah yang sedang memandangnya.
“Memandangkan Lufya dah ada kat sini, kita mulakan semuanya. Biar cepat habis. Cepat aku balik. Dah jenuh aku duduk kat sini dari pagi tadi,” kata Puan Asmah kuat.
“Baiklah kak long,” kata Puan Hazimah tanda setuju.
“Lufya… mak ngah hantar cincin tanda untuk abang Riez. Apa jawapan Luf?” tanya Puan Hazimah lembut.
Lufya menunduk seketika. Matanya dipejamkan untuk mencari kekuatan. Dia cuba mencari ayat yang sesuai untuk diperdengarkan pada Puan Hamrah. Sejujurnya, dia tidak mahu lagi melukakan hati sesiapa, tapi dia terpaksa.
“Lufya?” Meninggi suara Puan Hamrah membuatkan Lufya mendongak pantas.
Kecut perutnya sebaik pandangannya bertembung dengan renungan tajam Puan Hamrah yang seakan menikam dirinya. Lufya menarik nafas perlahan kemudian menghembusnya perlahan. Wajah yang mengelilinginya ketika itu dipandang satu persatu sehinggalah wajah Puan Hamrah.
“Mak ngah, Luf bukan tak nak, tapi…”
“Tak payah nak berkias sangatlah! Aku bukannya nak hadap sangat nak bermenantukan kau. Si Riez tu yang beria. Entah apa yang dia nak kat kau ni. Sekarang ni aku nak jawapan kau, ye atau tidak,” pintas Puan Hamrah.
Yang lain turut mengangguk tapi tidak pula menyampuk. Dah rupa tersampuk dengan Puan Hamrah pun ada.
“Tidak!” putus Lufya tegas sambil membalas berani pandangan Puan Hamrah mengejutkan semua orang.
“Luf,” seru Puan Hazimah dengan nada kecewa.
Lufya memandang Puan Hazimah kemudian Hj. Maliki. Nampak jelas riak kecewa yang terpancar pada wajah mereka berdua, bila mendengar jawapan yang terbit dari bibirnya.
Puan Hamrah merengus kasar. Matanya terbeliak memandang wajah Lufya. “Aku dah agak dah! Berapa kali kau nak sakitkan hati Riezman, Lufya. Kau memang takde hati dengan perasaan ke?”
Lufya menunduk bila menerima pandangan yang menakutkan itu. kecut perutnya. “Mak ngah sendiri cakap yang mak ngah tak nak bermenantukan perempuan kotor macam saya ni. Kenapa tiba-tiba nak saya berkahwin dengan abang Riez,”
Puan Hamrah bingkas bangun dari duduknya. Pandangannya langsung tidak dialihkan dari wajah Lufya.
“Kau ingat aku nak ke? Kalau bukan si Riez, nak tengok muka kau pun, aku tak hadaplah! Dah lah kak long. Anak si Imah ni bukannya boleh di harap. Lagi aku suka dia tak jadi dengan Riezman. Takde aku nak malu sekampung dikutuk nanti!” Puan Hamrah membuka langkah kasar menuju ke pintu keluar, tanpa meminta izin ataupun memandang wajah kedua orang tua Lufya.
“Ajar sikit anak korang tu. Bukan nak biar je. Karang jadi apa-apa, padan muka!” Sempat pak ngah yang tadinya membisu, bersuara sinis sambil berdiri dan mengekori langkah isterinya.
“Tulah kamu Imah. Dari dulu aku ingatkan kamu, jangan nak manjakan budak ni. Kan sekarang dah malukan kamu. Dah elok si Riezman tu nak kat dia, sibuk nak tolah. Entah ada lagi jantan nak ke atau tak. Dah tahu diri tu kotor sibuk nak memilih!” kata Puan Asmah pedas menikam hati Lufya.
Satu jelingan sinis dihadiahkan oleh Puan Asmah keada Lufya sebelum dia menuruti langkah mereka yang lain.
Lufya tertunduk seketika. Kata-kata yang dilontarkan padanya itu, bagakan pisau belati menikam jantungnya sekaligus seakan membunuh dirinya. Pandangannya berkaca. Nampaknya apa yang dia harapkan tidak kesampaian. Kesudahan yang diingini tidak mampu membahagiakannya ketika ada. Yang ada hanyalah rasa pedih yang ditinggalkan dihatinya.
“Puas hati kau!” jerkah Hj Maliki.
Terhinjut bahu Lufya kerana terkejut dengan jerkahan itu. Lufya memandang Hj. Maliki yang sudah bangun dan meluru ke arahnya. Bahunya di tolak kasar.
“Cakap dengan aku Lufya! Apa yang kau nak! Tak puas lagi kau malukan kami berkali-kali.”
Lufya tergamam dengan tindakan ayahnya itu. Apatah lagi menerima jerkahan itu. Dia mengetap bibirnya. Pandangan berapi ayahnya ketika itu bukan lagi menakutkan dia, tapi lebih pada menyakiti hatinya. Menusuk jantungnya!
“Ayah… ibu…” Lufya memandang Puan Hazimah dengan penuh harapan agar Puan Hazimah memahami keputusannya ketika itu.
Puan Hazimah kaku di tempat duduknya. Jujur dia kecewa untuk penolakan Lufya kali ini. Dia tidak faham, apa sebenarnya yang Lufya mahukan. “Ibu kecewa dengan kau,”
Lidah Lufya kelu mendengar ayat yang keluar dari bibir Puan Hazimah. Nada Puan Hazimah cukup menggambarkan kekecewaannya. Air matanya mula mengalir.
“Ibu, Luf tak bersedia untuk semua tu,” tangis Lufya sambil bangun menghampiri Puan Hazimah yang setia di kerusinya.
Lila yang bersebelahan dengan Puan Hazimah hanya merenung sayu ke arah Lufya.
“Ibu nak kau kahwin. Supaya mulut orang kampung berhenti bercakap tentang kau. Tapi… kau macam tak kisah. Kau sepatutnya bersyukur sebab Riez masih mahukan kau. Tapi kau langsung tak peduli,” kata Puan Hazimah sayu.
“Ibu… adakah dengan hanya berkahwin, orang kampung akan berhenti bercakap buruk pasal Luf? Tak bu. Tiada siapa yang tahu kisah sebenar. Apa yang mereka dengar tu, semua fitnah. Fitnah bu! Lufya bukan jenis per…”
Pang! Terteleng Lufya dengan penmpar kekar Hj. Maliki itu. Kali kedua pipinya menjadi mangsa lelaki yang bergelar ayah itu.
“Ayah!” Lila terjerit kecil kerana terkejut. Dia tidak menyangka yang ayahnya sanggup meletakkan tangannya ke wajah Lufya. Pandangannya beralih pada Lufa yang terdiam kerana penangan itu. Sempat Lila mengesan air mata Lufya yang mengalir lesu di pipinya.
Lufya terangguk sambil perlahan tangannya naik ke pipinya yang menjadi mangsa Hj. Maliki. Pandangannya dihalakan ke wajah Hj. Maliki.
Puan Hazimah juga tergamam dengan perbuatan suaminya itu. Perlahan Puan Hazimah memandang wajah bengis suaminya itu. “Abang… apa abang buat ni?
Hj. Maliki terus membelakangi mereka tanpa mempedulikan pertanyaan isterinya itu.
“Lufya.” Serentak Puan Hazimah menarik tubuh Lufya ke dalam pelukannya namun Lufya mengeraskan tubuhnya.
“Cukuplah kau malukan kami berkali-kali. Kalau kau rasa yang, kau masih nak malukan kami, jangan pernah balik di rumah ini,” kata Hj. Maliki. Kata-katanya itu jelas menunjukkan siapa Lufya ketika itu padanya.
Lufya menepis perlahan pegangan Puan Hazimah kemudian memusingkan tubuhnya menghadap ayahnya yang sedang berdiri membelakangi mereka. Perlahan dia meletakkan lututnya ke lantai bersama air matanya yang menitis itu.
“Kalau itu mampu buat ayah puas hati, pukullah Luf, ayah. Lufya rela menanggung semuanya,” kata Lufya dalam esak tangisnya. Kedua kaki Hj. Maliki itu dipeluk erat bagaikan tidak ingin dilepaskan lagi.
Ya, dia rela dan redha! Biar apapun tomahan itu.
“Kau ingat semudah tu! Lepas apa yang kau dah buat, semudah tu aku nak maafkan kau!” jerkah Hj. Maliki lagi sambil menendang-nendang kecil mahu melepaskan kedua kakinya dari terus dipeluk oleh Lufya.
Esakan Lufya semakin kuat dan pelukannya semakin erat. Biarpun lengannya lenguh, dia tidak kisah.
Puan Hazimah dan Lila menekup mulut mereka masing-masing, bila melihat adegan menyentuh hati di hadapan mereka ketika itu.
“Ayah… Luf minta maaf ayah,” tangis Lufya lagi. Dia berpindah ke hadapan Hj. Maliki, lalu mencium kaki lelaki itu dengan harapan, hati Hj Maliki akan lembut.
Puan Hazimah dan Lila kini terkesima dengan kelakuan Lufya yang seakan pengemis itu.
“Ya Allah, Lufya,” rintih Puan Hazimah sambil bangun meluru ke arah Lufya yang mecium kaki Hj. Maliki tanpa henti.
“Abang… sampai hati abang buat Lufya macam ni bang. Dia anak abang,” kata Puan Hazimah, memandang wajah suaminya sayu.
“Dia layak terima layanan macam ni Imah!”
Puan Hazimah mengelengkan kepalanya tanda tidak percaya dengan kata-kata suaminya itu. “Mana perginya iman abang? abang dah lupa ke yang abang tu imam kampung!”
Melihat Hj Maliki yang seakan tidak kisah tentang Lufya, Lila turut bangun menghampiri Lufya. Bahu Lufya disentuh lembut. “Kak, sudahlah tu,”
Satu pandangan kecewa dihadiahkan oleh Lila kepada Hj Maliki. Dia tidak menyangka yang hati ayahnya sekeras itu.
“Lila, ibu… tolong bagitahu ayah, Luf tak buat semua tu ibu. Luf sumpah atas nama Allah.” Lufya beralih pada Puan Hazimah lalu mencium kaki Puan Hazimah.
Puan Hazimah menekup mulutnya dan Lila sekali lagi tergamam.
“Lufya, jangan macam ni nak.” Puan Hazimah menarik Lufya agar berdiri.
Lufya akur.
“Ibu… tolong Luf ibu. Luf nak ayah yang dulu. Tolong bu… Luf tak boleh hidup tanpa ayah….” Rintih Lufya. Dia rindukan Hj Maliki yang dulu.
“Abang… tolonglah bang. Kesian pada Lufya.” Puan Hazimah merayu sambil tangannya merangkul tubuh Lufya yang terhinjut-hinjut menangis.
“Waktu dia buat hal dulu, dia ada kesian kat kita? Takkan.” Dingin dan tegas.
“Tapi bang….”
“Sudahlah Mah! Biar dia berambus. Ingatkan kalau dia kahwin dengan Riezman, takdelah aku nak risau lagi fikir pasal dia. Rupanya dia dah rancang nak malukan kita lagi!”
“Abang….”
“Abang kata sudah!” Usai berkata Hj. Maliki berlalu tanpa perasaan, meninggalkan mereka.
“Ibu….” Lufya merintih sayu.
“Kamu balik dulu Lufya. Nanti ibu dengan adik kamu pujuk ayah. Ibupun dah mati akal, macam mana nak pujuk ayah kamu. Dah lama ibu pujuk tapi jawapan ayah kamu tetap sama,” luah Puan Hazimah sayu dan penuh kekesalan. Sedih rasanya bila anak yang dilahirkan itu, diperlakukan sebegitu oleh ayahnya sendiri.
Lufya menolak perlahan tubuh Puan Hazimah. “Kalau ayah nak Luf kahwin. Luf akan kahwin tapi bukan dengan abang Riez,”
Puan Hazimah mengangguk sambil menyeka air matanya sendiri. Dia memandang Lila kemudian Lufya. “Ibu tak kisah siapapun lelaki tu Luf. Yang ibu nak, Luf bahagia. Ibu tahu yang Luf dah banyak menderita selama beberapa tahun ni,”
Lufya menarik jejari Puan Hazimah lalu mengucupnya sayu.
“Percayalah bu. Semua yang orang cakap tu, Luf tak buatpun. Ada sebab kenapa Luf putuskan ikatan pertunangan Luf dengan abang Riez dulu. Tapi bukan sebab tu bu.” Lirih suara Lufya meminta kepercayaan yang sudah pudar buatnya.
“Pergilah balik Luf. Luf doakan hati ayah terbuka untuk Lufya.”
Lufya menghampiri Lila dengan langkah lemah. Dia membalas pandangan Lila.
Lidah Lila kelu. Sehebat itu dugaan kakaknya? Belum pasti dia mampu melalui dengan tabah.
“Akak memang tak sehebat Lila. Tapi akak tahu bezanya halal dan haram. Akak tahu, akak tak sempurna. Hidup akak tiada sinarnya. Tapi akak masih berusaha mencari sinar itu. Akak tak pernah terfikir yang akak akan dibelengu hidup macam ni.” Lufya mencapai jejari Lila dan menggenggamnya erat.
“Akak dah macam pengemis yang sedang meraih perhatian dari insan yang asing dalam hidup akak.. tapi akak tak kisah,”
Lufya melepaskan genggaman itu, lalu membawa batang tubuhnya untuk keluar dari rumah itu. Langkahnya terhenti ketika pandangannya terkunci pada wajah Damya yang memerah. Lufya pantas menyeka air matanya yang masih bersisa kemudian melorek senyuman pada Damya seakan tiada apa yang berlaku.
Damya kelu. Dalam sekelip mata, Lufya boleh bertukar menjadi orang lain setelah menyedari kewujudannya. Dia tidak menyangka yang hidup Lufya sesedih itu. menagih dan mengemis kasih sayang dari orang yang sepatutnya memberi kasih sayang itu. Lufya sanggup melutut dan mencium kaki kedua orang tuanya demi sebuah kemaafan. Terjawablah sudah persoalan mengenai sikap Lufya selepas balik dari kampung tempoh hari.
Sepanjang perjalanan balik, Lufya membisu seribu bahasa. Ketika Lufya menawarkan untuk memandu, Damya menolak dengan alasan, dia tidak mahu makan gaji buta. Tapi sebenarnya bukan itu alasan sebenar Damya. Dia cuma tidak mahu Lufya tambah tertekan dengan perjalanan yang jauh. Nasib baiklah banyak kereta yang melalui jalan biarpun waktu malam. Kalau tidak, pasti Damya akan ketakutan.
Mereka tiba di Kuala Lumpur ketika jam sudah menunjuk ke angka empat. Letih usah disebut. Damya dan Lufya masing-masing terdampar keletihan di bilik masing-masing. Memandu pulang balik selama enam belas jam, mungkin hanya mereka yang melakukannya dengan jayanya. .
Share this novel