Tiga bulan telah berlalu. Jika Ashraf terbang bekerja ke Eropah, musim pun hampir berganti dan semusim tanpa Lara, hidup terasa kosong.
Kehilangan memang menyakitkan tetapi melalui fasa merindu ini setiap hari bagaikan mati hidup semula. Setiap hari apabila mata dibuka daripada lena, beban rindu tidak pernah berkurang cuma Ashraf sahaja yang telah membiasakan diri menggalas bebanan itu...
Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi.
Ashraf duduk menghadap set drum di studio dengan hati yang rabak. Necromancers akan memasuki pertandingan Battle of The Bands yang akan diadakan di Singapura tidak lama lagi.
Masih terngiang-ngiang suara Lara berkata yang dia hendak melihat Ashraf beraksi di atas pentas. Tapi di mana agaknya cinta hatinya sekarang ini?
Satu keluhan panjang kedengaran...
"Eddie SMS, bagi tau dia sampai lambat." Ujar Jijoy si vokalis.
"Okay, takpe. Kita warm up dululah." Kata Ejam pula lalu dipersetujui oleh Ashraf dan yang lain manakala Danny cuma duduk jadi pemerhati sahaja.
Dalam diam, Danny memerhatikan Ashraf. Kesian pula dia rasa. Rakannya itu nampak berlainan sedikit sejak kebelakangan ini namun Danny tahu sebabnya. Ashraf semakin hilang semangat apabila segala usaha menjejaki Lara tidak membuahkan hasil...
"One, two...!"
Muzik mula bergema.
Oleh kerana sesi ini hanyalah sesi latihan pemanasan sahaja, mereka bermain muzik sambil lewa, kadang-kala sempat lagi membetulkan tali gitar dan bercakap sesama sendiri.
"Putri, jangan menangis...
Hapus air mata di wajah cantikmu...
Putri, kepergianku tak akan lama...
Tahan rindumu..."
Saat Ashraf mendengar suara Jijoy menyanyikan bait lagu tersebut, perkataan 'tahan rindumu' itu melekat di fikirannya.
Dia tidak tahu Lara bagaimana tetapi rindunya buat Lara sudah tidak tertahan lagi. Apatah lagi bila dua puluh dua lembaran email yang dia hantar kepada Lara tidak berbalas!
Rindukah Lara kepadanya?
"Mungkin dengan perpisahan,
Kita 'kan mengerti arti pertemuan...
Putri, percaya padaku...
Ini hanya likuan hidup, yang pasti berakhir..."
Aduh! Bilakah likuan rindu ini akan berakhir?! Ashraf berasa sakit hati, entahkan pada siapa, mungkin sakit hati dengan keadaan yang memisahkan mereka. Ah, tak boleh jadi. Dia harus berbuat sesuatu! Tong-tong drum dipukul kuat mengikut rentak irama lagu.
"Bila kau rindukan aku, putri...
Coba kau pandangi langit malam ini...
Bila itu tak cukup mengganti,
Cobalah kau hirup udara pagi...
Aku di situ..."
Ashraf terus bermain alat muzik itu mengikut bait lagu yang dinyanyikan oleh Jijoy sambil fikirannya menerawang jauh memikirkan sesuatu. 'Sesuatu'...
Sebaik sahaja lagu 'Pandangi Langit Malam Ini' (Jikustik) itu tamat, Ashraf tergesa-gesa bangun lantas masuk ke dalam konti untuk berjumpa dengan Danny.
"Bro."
Danny menoleh ke arah Ashraf.
"Kau rasa Lara rindukan aku tak?"
Kening Danny mencerun tajam dan air wajahnya seakan kehairanan.
"Jawablah, kau rasa Lara rindu tak dekat aku sepanjang tiga ke empat bulan ni?" Desak Ashraf.
Mata mereka bertembung.
"Erm... Maybe...?" Jawab Danny sambil mulutnya mencebik dan mengangkat bahu. Ashraf pula ketap bibir.
"You see... I'm a pilot. I don't take 'maybe' for answer. Is it yes or no?"
Okay, Danny tahu. Mood 'mamat' ni tengah tak elok! Lantas dia terus bersuara, "Yes, yes... She misses you."
Danny lihat Ashraf mengangguk perlahan.
"Good. I'm off!" Ashraf terus menyambar beg Quicksilver hitam miliknya lalu disandang ke bahu.
"Huh? Off to where?" Danny terpinga.
"GUYS!"
Suara Ashraf kuat memanggil rakan-rakannya lalu kesemua ahli Necromancers yang ada di situ memandang Ashraf.
"Give me break for six hours, please?"
"Six hours?!" Wajah mereka semua berkerut.
"Yes, please... I really need to do this. Pukul tiga setengah tepat, aku sampai sini balik. Please?"
Kelihatan rakan-rakan Ashraf memandang sesama sendiri dan mengangguk.
"Thanks! Tiga setengah, okay! I promise!" Kata Ashraf sambil mengangkat tangan dan berlalu pergi.
Mereka semua memandang Danny tetapi Danny hanya mengangkat bahunya menandakan 'tidak tahu'...
* * * * *
"Are you sure you wanna do this?"
Suara Zieta memecah kesunyian pagi di dalam kereta Kancil berwarna silver miliknya. Dia dan Lara dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Lara akan terbang ke Singapura dan akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada malam nanti.
"Yups." Jawab Lara ringkas.
"Kau yakin ke kau boleh jumpa Ashraf dekat Changi Airport tu?"
Lara terkedu. Agak lama juga dia membatukan diri sehingga Zieta memandangnya beberapa kali.
"Tak. Aku takdelah yakin sangat sebenarnya..." Mata Lara berkaca.
"Habis tu?"
"Aku rindu sangat dekat dia, Zie. Sekarang ni aku cuma nak berada di tempat yang aku rasa paling hampir dengan Ash, which is Changi Airport. Sebab aku tahu, dia akan selalu ada dekat situ, pergi balik kerja... Lagipun, itulah tempat last kitorang bersama, selepas balik daripada Amsterdam... Aku tak tahulah Zie, tapi aku harap dengan cara ni lepaslah sikit rindu aku pada dia..." Suara Lara retak dan air mata mula mengalir.
Zieta terdiam sebentar.
"Kau tak nak try cari lagi dekat Ukay Heights ke? Kita tak habis round lagi dekat sana, kan? Ingat tak lorong yang kita tak sempat masuk malam tu?"
"Ye, nak. Aku memang nak pergi lagi ke Ukay Heights tu. Tapi hari ni, aku nak lepak Changi dulu. Aku rindu..." Ujar Lara.
Tetapi sebenarnya jauh di sudut hati, Lara tidak kisah pun kalau rumah Ukay Heights itu tidak dijumpai buat masa ini... Selagi dia diekori oleh orang suruhan Sharina, dia tidak mahu mereka tahu tentang kewujudan Ashraf. Nanti tak pasal-pasal Ashraf dijadikan sasaran pula!
Lara juga tidak mahu latar belakang dan butir peribadi Ashraf dirisik sebagaimana yang berlaku kepada Zieta dan Khyra. Jika tidak, bagaimana pula perempuan gila itu boleh tahu tentang Khyra yang bekerja sebagai pramugari? Gila sungguh!
Lara mengeluh perlahan. Apalah malangnya nasib hidup ini...
"Ra, aku tahu kau rindukan Ashraf. Tapi... Kau kena jaga diri kau."
Tiba-tiba Zieta bersuara. Lara terus memandang ke wajah Zieta. "Apa maksud kau?"
"Yelah, aku tengok kau banyak berubah kebelakangan ni. Kau janganlah ikutkan hati sangat. Ini sampai kau kena anxiety bagai. Teruk tu..."
Lara telan liur. Memang Zieta sama sekali tidak tahu apa-apa tentang situasi yang sedang melanda.
"Aku tahu, Ra... Kau kehilangan Ashraf sekarang ni. Tapi janganlah risau sangat. Just be happy, be like your normal self as before. Sambil-sambil tu kita carilah Ashraf. Don't worry too much, bawak bersabar banyak-banyak..."
Jadi Zieta fikir dia tidak bersabar?! Perasaan Lara bergelora tetapi ditahannya agar dia tidak meledakkan kemarahan terhadap Zieta. Dia harus ingat bahawa Zieta tidak tahu menahu tentang konflik yang sedang dia hadapi. Sabar, Lara. Sabar... Tahan, Lara. Tahan kemarahan ni... Bisiknya.
"Zie..." Lara berkata sambil mengawal perasaan. "Aku tahu selama ni, semua benda aku share dengan kau." Sambungnya.
Air liur ditelan keras dan Lara cuba menyusun ayat agar Zieta dapat memahami apa yang dia ingin sampaikan.
"Tapi kali ni... Dan buat masa ni, ada benda yang aku tak boleh nak share dengan kau. Atau dengan sesiapapun! Aku tak nak! Aku rasa... Mungkin bukan buat masa sekarang."
"Apa benda?" Potong Zieta.
"No! Aku tak nak share!"
"Kau pregnant ke?!"
"WHAT?!"
Lantas bunyi gelak tawa pecah berderai! Mereka ketawa sehingga keluar air mata.
"Aku nak pregnant anak siapa pulak siot?!" Teriak Lara, masih lagi ketawa.
"Manalah aku tahu! Dah kau nak berahsia sangat, apasal?!"
Tawa meletus lagi dan berlanjutan untuk beberapa ketika. Hilang sebentar kekusutannya Lara rasakan.
"Kalau aku pregnant, kaulah orang dan tempat pertama yang aku tuju!" Lara menjeling sahabatnya.
"Apa yang kau nak rahsiakan sangat?"
"No, Zieta! This is for the best. Kalau satu hari nanti aku boleh cerita, aku akan cerita. Tapi buat masa sekarang, no. Aku takut!"
"Kau ni asyik takut je kebelakangan ni! Apa yang kau takutkan? Cuba kau cakap pada aku."
"No, not now!"
"Why not?!"
"Zie, trust me! Not now..." Suara Lara meninggi dan kedengaran tegas.
Memang terkadang Lara rasa seperti ingin sahaja membuat 'eksperimen'. Dia ingin cuba meluahkan masalah dan situasi ini dengan seseorang tetapi apabila memikirkan ia bakal melibatkan pertaruhan nyawa, Lara terus menghentikan niatnya.
Kemunculan pisau Rambo enam inci itu menunjukkan perisik Sharina bukan calang-calang. Bangunan menara berkembar yang mempunyai sistem keselamatan dan kawalan yang paling ketat itupun boleh ditembusi. Terdapat laluan pengesan besi atau 'metal detector' di pintu masuk lobi untuk mengesan barang-barang yang tidak sepatutnya, jadi bagaimana pisau itu boleh terlepas masuk ke dalam bangunan? Itulah yang membuatkan Lara berfikir bahawa perkara ini bukan perkara main-main.
Apatah lagi kalau dia membocorkan rahsia ini kepada Zieta yang kadang-kala seperti mulut tempayan. Entahkan nanti kalau gadis ini 'freak out', habis dia ceritakan kepada Khyra atau Korie. Tidak, Lara tidak berani ambil risiko! Dirinya kini umpama tambak air. Jika air melimpah keluar, orang-orang di sekeliling tambak akan tenggelam dan terkesan.
Dia tahu dia harus menjadi 'tambak' yang kuat, tetapi... Sejauh mana dia akan kuat?
* * * * *
'PEJABAT PENDAFTAR'
"Maaf encik, kami tak boleh suka-suka bagi maklumat pelajar kepada orang luar. Kalau terjadi apa-apa kepada pelajar tu nanti, ibubapa atau penjaga pelajar tu boleh saman kita. Maklumat tu semua under data protection act."
Ashraf ketap bibir lalu mengangguk sebagai balasan kepada wanita di kaunter Pejabat Pendaftar UiTM.
"Erm... Kalau macam tu, puan... Err, kalau saya nak tahu course dia je, boleh tak?" Ashraf masih tidak berputus asa namun dalam hati dia menyalahkan diri sendiri. Kenapalah selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang nama pengajian Lara?!
"Maaf, encik. Kita anggap kalau encik memang mengenali pelajar tu, encik sepatutnya dah tahu course dia."
Aduh! Ashraf tarik nafas panjang.
"Baik... Saya faham." Ujarnya sambil mengangguk.
Setelah mengucapkan terima kasih, Ashraf melangkah keluar daripada pejabat tersebut.
Hmmph! Ashraf tersenyum sinis sendirian. Memanglah... Bukan senang hendak 'korek' maklumat sebarangan. Dahulu pun kerana dibantu oleh Vikash sebagai 'orang dalam'. Jika tidak ada 'orang dalam', beginilah ceritanya.
Ashraf mengerling ke jam tangan. Dia cuma ada satu jam setengah sahaja untuk berada di situ sebelum kembali semula ke JB...
* * * * *
Ding ding ding...
Kedengaran bunyi pengumuman di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada tengahari itu.
Di kawasan pintu gerbang Ketibaan Antarabangsa, Lara berdiri tegak dengan mata yang berkaca, memerhatikan tempat terakhir dia keluar bersama Ashraf sebaik sahaja mereka tiba daripada Amsterdam beberapa bulan yang lalu.
"Sayang... I tak sukalah setiap kali keluar daripada pintu ni..."
Lara seakan-akan nampak bayangnya keluar daripada gerbang itu bersama Ashraf. Masing-masing mengheret bagasi.
"Kenapa?" Ashraf tersenyum.
"Sebab kalau dah sampai dekat gate ni maknanya kita kena berpisahlah!" Muncung mulut Lara panjang sedepa.
"Aww... You nak I hantarkan you balik KL ye, princess?"
"No! Tak payahlah! Tiket dah belikan?! Jangan membazir kali ni boleh tak?"
Saat ini, masih jelas lagi di mata Lara bagaimana Ashraf ketawa sambil menanggalkan topi pilot di kepalanya lalu disarung ke kepala Lara.
"Aye, aye capt!" Ujar Ashraf sambil buat tabik hormat. Mereka ketawa dan terus berjalan meninggalkan pintu gerbang ini...
Air mata meluncur laju, jatuh ke pipi.
"Ash... I am here..." Bisiknya. Dadanya sarat dengan perasaan rindu tetapi seperti yang dinyatakan sebentar tadi, Lara tidak mahu Ashraf masuk ke dalam kancah hidupnya buat masa ini. Tapi untuk berapa lama?
Fikiran Lara mengingatkan kembali kata-kata terakhir perempuan gila itu sebelum Lara melangkah keluar daripada kereta.
"...Bila Huzaimi berhenti mengaruk gilakan kau, aku akan lepaskan kau. Pendek kata, aku nak suami aku yang dulu."
Lara ketap bibir.
'BILA HUZAIMI BERHENTI MENGARUK GILAKAN KAU.'
'Hmm...' Mungkin itu 'kata kunci' untuk dia menghentikan semua kegilaan ini!
Dari kejauhan pula, sepasang mata kelihatan terpisat-pisat sedang memerhatikan Lara.
'Eh... Itu macam... Minah senget tu...' Bisik Natasha dalam hati. Dia mengamati bayang Lara di celah-celah keramaian orang yang lalu-lalang sambil Natasha mengheret beg bagasi di tangan.
'Hmmph, betullah! Tunggu si FO Poyo tu keluar daripada kapal agaknya! Eii, menyampah aku!'
Lantas Natasha terus berlalu untuk naik ke Aras Perlepasan di tingkat atas. Sudah lama juga dia dan Ashraf tidak bekerja dalam satu kumpulan. Rindu hendak menatap wajah kacak si FO Poyo tetapi kalau hendak melihat lelaki itu bersama dengan minah senget ini, memang tidaklah! Meluat!
Natasha melangkah ke eskalator, meninggalkan Aras Ketibaan yang sesak dengan manusia daripada merata dunia...
* * * * *
Langit sungguh cerah sewaktu Ashraf meninggalkan pejabat pendaftar di bangunan Hal Ehwal Pelajar.
Kini, dia memakir kereta di hadapan Kolej Seroja lalu melintas dan mendaki anak tangga yang dipanggil 'tangga tonggek' oleh Lara.
Anak-anak tangga di situ beratus langkah dan tingginya bertingkat-tingkat membuatkan Ashraf berasa mengah. Ashraf hairan, bagaimana Lara boleh memanjat tangga-tangga ini dengan memakai kasut tinggi? Tetapi mungkin sebab itulah juga gadis itu boleh bertahan menari di kelab malam dengan 'heels' empat incinya. Bibir melorekkan senyuman nipis.
Hmm... Rasa-rasanya inilah 'Menara UiTM', fikir Ashraf. Lara pernah beritahu dahulu ketika keretanya melintas di hadapan bangunan ini.
"Hei, awak...!"
Tiba-tiba sahaja terdengar suara lelaki menegur. Kelihatan seorang pak guard UiTM memandang tepat ke wajah Ashraf sambil menghampiri.
"Mana kad matriks awak?" Tanya lelaki yang rambutnya sudah kelihatan beruban.
"Ha? Kad matriks? Err... Saya bukan student, pakcik."
"Oh, bukan student? Habis tu awak nak pergi mana ni?" Tanya lelaki itu lagi.
"Err... Saya nak jumpa kawan. Erm... Kafe Menara dekat mana, pakcik?" Ashraf mengambil peluang untuk bertanya. Buat masa ini, di situ sajalah tempat yang boleh dia mencari Lara atau Zieta. Lara sering bercerita yang dia dan Zieta selalu makan di situ. Malah, Ashraf juga tahu makanan dan gerai mana yang sedap di kafe itu.
"Oh, Kafe Menara. Awak naik je tangga ni sampai jumpa pintu masuk kafe tu. Jangan naik sampai habis tangga! Pintu kafe tu boleh nampak daripada tangga ni."
"I see... Baik, terima kasih pakcik!"
"Sama-sama..." Jawab lelaki tersebut.
Ashraf terus meninggalkan lelaki itu dan menyambung pendakiannya semula...
Saat kaki Ashraf melangkah masuk ke Kafe Menara, aroma makanan mula mencucuh hidung membuatkan perut terasa lapar.
Rekaan dalaman kafe itu tampak seperti stail bangunan lama namun suasananya riuh dan agak meriah dengan gelagat para pelajar.
Sedang Ashraf menyusuri ke salah sebuah gerai di situ, terasa seperti mata-mata memandangnya. Ashraf buat selamba tetapi dia berharap dalam banyak-banyak mata yang memandang, adalah Lara terselit di situ. Dia bagai ternanti-nanti suara Lara memanggil namun tiada sapaan pun yang Ashraf dengari...
Walaupun ini pertama kali Ashraf menjejakkan kaki di Kafe Menara, tetapi dia sudah tahu apa yang dia hendak beli.
Pertama, ‘rojak buah makcik cantik’ dan kedua, roti pastri 'Chocolate Roll' di bakeri akak ‘tomboy’ kerana ini antara menu kegemaran Lara di sini. Mana tidaknya, dulu asalkan Ashraf bertanya apa menu makan tengahari Lara, pasti ada salah satu makanan ini.
Selepas membeli makanan dan minuman, Ashraf duduk di satu sudut. Perut sudah lapar, lantas dia terus makan sambil matanya liar memerhatikan pelajar lalu-lalang di situ. Dia mencari-cari bayang Lara atau Zieta, manalah tahu kalau berjumpa. Tambahan pula sekarang sedang waktu makan tengahari. Namun sekali-sekala pandangannya bertembung dengan beberapa pasang mata pelajar perempuan dan setiap kali itu juga Ashraf terus mengalihkan pandangan.
'Haih... Hun, where are you? I tengah cuci mata 'usha' awek-awek UiTM ni. Kalau you jealous, you better appear now! Like, now!' Bisiknya dan dalam hati, dia berasa lucu mengenangkan sikap cemburu Lara yang boleh tahan juga kuatnya!
Ashraf tersenyum nipis seorangan...
Masa sekolah dulu, miss pernah terbaca ayat ni ditulis atas keychain dekat Pasar Seni: 'Rindu adalah dendam yang terindah'. Gittuuu ;)
Share this novel