Bab 32

Romance Completed 159812

Kereta sport Ashraf memecut laju di atas Lebuhraya Persekutuan pada petang itu. Lara hanya mendiamkan diri. Fikirannya rasa sedikit terganggu semenjak dia meninggalkan rumah banglo di Ukay Heights tadi. Perbualan dia dan Ashraf sebelum mereka keluar untuk makan tengahari bersama Haris masih terngiang-ngiang di telinga…

“Ini you kan?”

Lara teringat kembali sewaktu dia bertanya tentang salah satu foto yang tergantung di dinding rumah itu.

“Yups.” Jawab Ashraf pendek dan serentak itu juga mereka ketawa bersama.

Dalam foto tersebut, kelihatan Ashraf yang berusia enam tahun itu tersenyum lebar dengan gaya rambut tempurungnya dan menampakkan giginya yang rongak. Comel dan kelakar! Ashraf diapit oleh abang dan kakaknya manakala Haris pula berada di hadapan Ashraf. Mereka semua berdiri tegak sambil tersenyum lebar memandang kamera berlatarbelakangkan Tower Bridge di London.

“Comel!” Kata Lara lagi. Lantas, mereka sambung ketawa.

Mata Lara beralih pula ke foto sebelah. Dia melihat gambar seorang wanita muda yang sangat cantik sedang memeluk lengan seorang lelaki Melayu yang tinggi dan tampan.

“Ah, this is my mom… And my dad.” Kata Ashraf. Kening Lara terangkat.

“Wow… Cantiknya your mom!” Saat Lara berkata demikian, Haris datang menghampiri mereka. Kedua-dua lelaki tersebut hanya tersenyum simpul apabila mendengarkan pujian Lara.

“Your mom orang apa??” Lara menghalakan pandangannya ke arah Ashraf dan Haris. Memang semenjak pertama kali bertemu, Lara sering tertanya-tanya apakah latar belakang di sebalik paras rupa Ashraf.

“Orang Singapore-lah.”

“I know-lah, but this not how Singaporeans look like…” Ujar Lara menyebabkan Ashraf dan Haris tertawa kecil.

“Hmm... Kitorang ni rojak." Sampuk Haris pula.

"Yeah... Nampaklah 'kerojakan' tu." Kata-kata Lara itu membuatkan mereka semua tertawa.

"Nenek I orang Punjabi." Ashraf memulakan cerita.

"Wah! Punjabi betul? Bukan kacukan?"

"Yups, Punjabi betul."

"Kitorang panggil dia Nani-ji, maksudnya 'nenek' dalam bahasa Punjabi." Celah Haris pula.

"Whoaa..." Mata Lara membulat dan mulutnya hampir terlopong.

"Datuk I yang ada mixed blood. Moyang lelaki I orang Belanda, dan moyang perempuan pulak orang Aceh."

"Ah, Belanda...! Patutlah badan korang rangka besar!" Kini barulah Lara mengerti tentang saiz dan ketinggian Ashraf.

"Yeah, Punjabi pun dah tinggi, macam Kavitha Kaur tu. Lepas tu tambah lagi dengan Dutch! Habis! Sebab tu I tinggi macam Grim Reaper, kan?" Kata-kata Ashraf itu membuatkan Lara tertawa.

"You tahu ke Kavitha tu tinggi mana?" Tanya Lara.

"Tahu, dia pernah naik flight I dulu, pergi London. Cantik gila! My captain siap welcomed her personally on board. Tapi dia memang natural beauty-lah. Cantik."

Hati Lara terusik dengan kata-kata Ashraf. Tiba-tiba sahaja rasa cemburu membuak-buak! Lara hanya mencebik.

"Hmm... Maknanya ayah you je lah yang orang Melayu?" Sengaja Lara menukar topik. Hatinya masih lagi didakap dengan perasaan cemburu.

"Yups. Ayah I Melayu, takde campur." Jawab Ashraf. Mereka masih menatap gambar di dinding.

Mata Lara membelek wajah ibu Ashraf. Sesungguhnya kecantikan wanita itu tidak puas mata memandang. Lara rasa ibu Ashraf nampak lebih cantik daripada Kavitha Kaur! Daripada raut wanita itu terpamer iras wajah Ashraf tetapi raut Ashraf ada sedikit ciri kemelayuan yang dia warisi daripada bapanya. Muka Melayu handsome!

Dalam foto tersebut, kelihatan berbagai-bagai jenis botol minuman keras tersusun kemas di atas rak kayu yang kukuh. Sama seperti yang dia lihat di Zouk malam tadi cuma bezanya rak di Zouk itu diperbuat daripada konkrit. Mungkin gambar ini diambil ketika ayah dan ibu Ashraf berada di bar hotel sewaktu mereka terbang bekerja dahulu, teka Lara. 

“Ini dekat rumah JB. Gambar ni masa kitorang baru sangat pindah dari Singapore ke Taman Serene rasanya…” Kata-kata Ashraf itu memeranjatkan Lara!

'Rumah?!'

Fikiran Lara cuba memproses apa yang dia dengar tetapi sehingga kini, dia terasa sukar untuk menerima kata-kata Ashraf itu...

“Hei, senyap je, princess?” Lamunan Lara terhenti. Dia tersenyum tawar memandang Ashraf yang sedang memandu di sebelahnya.

“Hmm… Macam mengantuk pulak. Dah kenyang makan lunch tadi, sebab tu lah mengantuk kot.” Lara memberi alasan.

Kedengaran Ashraf tertawa kecil.

“You tidurlah dulu. Sandarkan seat ni. Nanti dah sampai I kejutkan you.” Kata Ashraf. Tetapi Lara hanya tersenyum tanpa menuruti kata-kata Ashraf. 

Fikirannya terus menerawang. Teringat perbualan Ashraf bersama Haris malam tadi ketika Ashraf mengatakan yang dia mabuk. Patutlah dia selamba sahaja, rupa-rupanya 'alcohol consumption' adalah perkara yang normal dalam keluarga mereka. Semoden-moden Lara sebagai 'budak KL', dia rasa seperti terkena kejutan budaya pula bila melihatkan famili si Ashraf ini!

Lara teringatkan pula ibu Ashraf seperti yang dia dengar dalam telefon beberapa minggu yang lalu. Suara wanita itu, cara percakapannya, wajah jelita seperti yang dilihat tadi berserta gaya hidup mereka kini umpama kepingan-kepingan puzzle yang sudah melekap rapi. Segalanya kena dengan gayanya dan sesuai dengan adanya.

Ini membuatkan Lara terkenang pula kepada ibunya yang serba-serbi sederhana. Jika hendak digandingkan dengan ibu Ashraf, mereka berdua umpama langit dengan bumi.

"Ibu nak pesan pada akak... Kalau nak cari suami nanti, carilah yang ada agama... Yang tahu hukum-hakam... Jangan cari yang jahil macam ayah..." 

Kata-kata tangisan ibunya sewaktu mereka di mahkamah syariah satu ketika dahulu tiba-tiba terngiang di telinga Lara. Lara menarik nafas panjang.

“Lara…?"

Tiba-tiba Lara terdengar suara Ashraf memanggil lembut. Dia segera menoleh. Kelihatan satu senyuman nipis terbit dari bibir lelaki itu sambil pandangannya dihalakan ke jalanraya.

“Tak tidur?” Ashraf memandang Lara sepintas lalu.

“Err… Tak. Macam tak boleh nak lelap pulak.”

“Yeah, I dengar panjang you mengeluh. What do you have in your mind?”

Lara menelan liur. “Entahlah, otak I rasa serabutlah.”

“Serabut? Pasal apa??” Kening Ashraf nampak mencerun.

Lara cepat-cepat mengetap bibir. 'Aduh... Kenapalah lancang sangat mulut aku ni sampai tak ‘cover’ langsung!' Dia memarahi dirinya sendiri.

“Err… Tak ada apa-apa, Ash. Bila dah nak balik ke UiTM ni, terus teringat assignment yang berlambak-lambak… Serabut...” Tipu Lara tetapi dia amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Kedengaran Ashraf tertawa kecil dan selepas itu, suasana menjadi sepi semula...

Sebenarnya sejak malam tadi hati Lara sudah terbuka sedikit buat Ashraf. Tetapi entahlah… Setiap kali bila dia ingin memberi peluang kepada Ashraf untuk bertapak di ruang hatinya, setiap kali itulah juga lelaki itu tanpa sengaja akan merosakkan peluang tersebut. Hari itu soal anjing dan hari ini soal alkohol pula! Bukan setakat Ashraf seorang, tetapi seluruh ahli keluarganya juga! Hati Lara kecewa!

Bagaimana?? Bagaimana lelaki seperti ini dia hendak bawa mengadap ibunya?? Dan bagaimana juga kalau ibunya tahu tentang perkara tersebut?? Dan andai kata jodohnya dengan Ashraf, bagaimana pula reaksi ibunya bila melihatkan ruang bar di rumah besannya nanti?? Mungkin saat itu pasti ibunya akan mengungkit tentang Huzaimi, bakal menantu yang telah mendapat cop 'approved' di dahi! Dan kini, Lara buat reality check untuk kesekian kali - bukankah Huzaimi itu pilihan yang lebih baik?? Lara menyoal dirinya sendiri.

Sekali lagi Lara mengeluh tetapi perlahan. Dia tidak mahu Ashraf mendengar keluhannya buat kali kedua. Kepalanya terasa sempit! Lalu Lara lontarkan pandangan ke luar tingkap kereta. Dia lihat bangunan Carrefour Subang Jaya sudah kelihatan di sebelah kirinya.

“Lara…”

Lara terpinga-pinga memandang Ashraf. Intonasi suara Ashraf sangat lembut, berlainan sekali daripada kebiasaan. 

“Erm, I think… It has been pretty obvious that… Well, I mean, you know I like you, right?”

Lara rasa gelodak perasaannya seperti hendak meletup! 'Oh no! No Ashraf! Not now!!' Hati Lara menjerit tidak keruan.

“Err…” Lara rasa gugup dan jantungnya berdegup laju. “Erm… You ‘like’ me? As in…?” Lara buat-buat tak tahu walaupun dia faham maksud sebenar Ashraf.

“As in love. I love you, Lara.”

Mata Lara terpejam! Dia tahu, dia tidak boleh lari daripada pengakuan Ashraf itu. Lara cuba mengawal pernafasannya agar tidak terlihat cemas.

“Well, I believe I have made myself clear… Especially after our first meeting, right?” Tambah Ashraf lagi dengan senyuman di bibir. Dada Lara semakin bertambah sesak!

Suasana menjadi sepi seketika.

“Erm… Sebenarnya Ash… I… I pernah terfikir nak cakap pasal hal ni dengan you.”

“Oh!” Ashraf tertawa kecil tetapi Lara pula terasa seperti hendak terkucil!

“Sebenarnya... Selama ni I dah ada boyfriend.”

Kata-kata Lara itu hinggap di telinga Ashraf seperti halilintar!

“What…?!” Wajah Ashraf berubah.

“You ada boyfriend…?!”Ashraf memandang Lara sekilas lalu. Saat itu, Ashraf terasa seakan ada satu tangan ghaib yang menghunus dan merentap jantungnya keluar daripada dada! Sakit. Dia teramat sakit... Dunianya jadi gelap.

Lara hanya menundukkan kepala sambil memejam mata. Wajahnya berkerut seperti hendak menangis tetapi dia tahan sekuat hati.

“I’m so sorry, Ash… I tak bagi tahu you awal-awal…” Saat itu Lara lihat wajah Ashraf sudah kemerahan dan menjalar sampai ke telinga. Rahang lelaki itu kelihatan tersembul sedikit menunjukkan ia diketap kuat oleh Ashraf.

Hati Lara kecut melihatkan Ashraf yang selama ini dia lihat sangat 'sweet' ketika mereka bersama kini umpama naga yang bakal menghamburkan api kemarahannya keluar daripada mulut! Namun apa saja herdikan yang bakal keluar dari mulut Ashraf, Lara sanggup terima. Dia akui, dia yang bersalah dalam hal ini.

"Ash, I'm sorry..." Nada Lara kesal tetapi Ashraf tidak berkata apa. Suasana di dalam kereta itu mula dilanda sepi…

Hampir sepuluh minit, keadaan mereka berdua masih lagi sepi umpama dilanggar garuda. Lara mula berasa tidak sedap hati, ditambah pula dengan rasa bersalah terhadap Ashraf.

“Ash…” Panggil Lara lembut sambil menatap wajah Ashraf.

“Yes?” Suara itu kedengaran tegas.

“Ash, I’m really sorry…” Lara menyentuh lembut lengan Ashraf tetapi Ashraf terus membatukan diri. 

“Ash, kenapa you senyap je ni? I tahu you marahkan I... Just go ahead, I tahu I salah-"  

Saat itu tangan Ashraf cepat-cepat memasang radio. Dia tidak tahan mendengar kata-kata Lara. Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut gadis itu umpama pisau yang terhunus bertalu-talu ke hati Ashraf.

"Umpama bidadari turun dari syurga, oh dia... Oh dia..

Terus dari saat itu cinta mekar dan berpadu, kurela korbankan oh nyawa...

Semata untuk dirinya namun aku terkedua... Oh celaka..."

Kedengaran lagu Bidadari yang dimainkan oleh kumpulan Pretty Ugly di radio. Ashraf segera menaikkan volume...

"Sukar untuk ku percaya, dia sanggup berdusta...

Pada insan yang lama menyintanya separuh nyawa...

Bagaimana terjadi apabila bidadari bisa meranapkan hati ini..."

Muka Lara berkerut seperti hendak menangis bila mendengarkan lagu itu. Dia tahu kenapa Ashraf menguatkan volume radio. Dan dia pasti rangkap dalam lagu itu Ashraf ingin tujukan buatnya. Tetapi Ashraf tidak mahu bercakap dengannya, lalu Lara hanya mendiamkan diri sahaja...

Sebaik sahaja mereka tiba di perkarangan foyer Kolej Melati, Ashraf segera memberhentikan kereta dan menarik brek tangan. Badannya terus dihadapkan ke arah Lara. Pandangan matanya tajam menusuk jiwa.

Lara hanya menundukkan wajah. Dia sudah kehilangan kata selepas Ashraf melancarkan perang dingin dengannya tadi.

“Why, princess…?”

Itulah busur panah yang tepat menusuk ke hati perempuan Lara. Dalam keadaan yang marah dan terluka itupun Ashraf masih lagi boleh memanggil dirinya ‘princess’!

Kalaulah boleh diundurkan masa, Lara hanya mahu kembali ke satu jam yang lepas! Satu jam yang lepas sahaja! Dia menyesal kerana melukakan hati Ashraf dan kalau boleh dia mahu membetulkan kesilapannya tadi. Dia tidak mahu Ashraf terluka seperti ini tetapi... Semuanya sudah terlambat. Perasaan menyesal mula membuak-buak melimpah daripada lubuk hati Lara.

"Oh!" Suara Ashraf memecah kesepian lantas menyambung, “It just dawned on me… This is the reason why you froze yourself... Masa I peluk you malam tadi, kan?” Mata Ashraf mengecil. Hatinya sekali lagi rasa ditoreh-toreh. Kalaulah dapat dilihat dengan mata kasar, Ashraf rasa baju yang dia pakai itu sudah bermandikan darah...

Lara menunduk hiba. Lalu Ashraf menyambung, “I’m sorry kalau I paksa you peluk I. I tak tahu pulak yang I ni bertepuk sebelah tangan–”

“Ash…!” Lara segera memotong. Dia berasa sedih mendengarkan ayat Ashraf itu.

“Ash, listen... I mintak maaf pada you sangat-sangat. I tahu, I memang bersalah dalam perkara ni..." Lara terasa air yang jernih semakin bertakung di kolam matanya tetapi dia kuatkan hati untuk menahan titisan itu daripada mengalir jatuh.

Ashraf dilihat melarikan pandangannya ke luar kereta. Dia tidak sanggup melihat kaca-kaca air di mata gadis yang sangat dicintainya apatah lagi di saat dia sendiri sedang terluka.

"Sebenarnya, Ash... Masa mula-mula kita kenal dulu... I betul-betul tak sangka yang kita akan pergi jauh macam ni. I ingatkan you sama je macam kawan-kawan lelaki chatting yang lain; sembang-sembang dalam phone lepas tu lama-lama terus hilang...”

“Kawan-kawan chatting you??” Kening Ashraf dilihat mencerun. Pandangan mata helang lelaki itu segera memburu wajah Lara.

“Ye... I ada a few kawan lelaki yang I kenal through some chatting channels. Some still keep in touch with me, but most of them dah hilang...”

“Kenapa you nak samakan I dengan lelaki-lelaki chatting tu?”

“Sebab I ingatkan mula-mula tu you were one of them!”

“Tapi I tak pernah pun cakap yang I ni chatting dengan you kan?” Potong Ashraf tidak puas hati.

“I know, that’s why-lah I simply assume! You tak nak terus-terang dengan I masa tu, so I made my own assumption je lah…! Lagipun, I fikir dari mana lagi datangnya lelaki dalam hidup I selain daripada budak-budak chatting dengan budak-budak kelas.”

Ashraf menggelengkan kepala. Pandangannya dilontar jauh ke luar tingkap melihat penghuni-penghuni Kolej Melati yang lalu-lalang di kaki lima foyer tersebut. Raut wajah Ashraf redup dan masam mencuka.

“Ash… I mintak maaf. I tak berniat pun nak sakitkan hati you... Bila I dengar je cerita sebenar daripada you masa kita dekat Dome hari tu, I bertambah serba salah... I tak tahu macam mana nak bagi tahu pada you yang I sebenarnya dah ada someone. I… I memang tak berniat nak sakitkan hati you.”

Ashraf tersenyum sinis lalu memotong, “Tak berniat nak sakitkan hati I, tapi bagi false hope pada I?? You made me believe that I meant something to you throughout this period! Kalau you tak nak sakitkan hati I, kenapa you tak terus terang je dari awal lagi…? Hampir satu tahun kita kenal, Lara! Bukan satu bulan!”

“Sebab macam yang I cakap tadilah; at first I thought this relationship leads to nowhere dan sampai masanya nanti, you akan… ‘Poof’! Hilang! Macam budak-budak lelaki yang lain!”

“You’re quick to judge! You tak boleh nak samakan I dengan lelaki-lelaki yang lain –”

“I tak tahu waktu tu, Ashraf! I tak kenal you, how would I know?!” Suara Lara merintih perlahan.

Mereka terdiam seketika.

“Ash… Tipulah kalau I cakap I langsung tak ada perasaan pada you…” Saat itu, Ashraf tertawa sinis lantas berkata, “What are you trying to prove, Lara??”

Mata mereka bertembung. 

“Hmm?” Soal Ashraf lagi sambil mengangkat keningnya.

Lara kehilangan kata-kata. Perlahan-lahan, dia menundukkan kepala sambil menggeleng lemah.  Hatinya terasa pilu…

“So… Boyfriend you tu, budak UiTM jugak ke? Satu kelas dengan you?” Tanya Ashraf. 

Lara hanya menggelengkan kepala.

“Oh... Habis tu??” Tanya Ashraf lagi. Lara hanya membatukan diri. 

“How come every time, when I called you, you always available? You tak pernah pun cakap you were outside ke, you with someone ke, dalam movie ke, tengah dinner ke… Tak pernah! Seriously, that is one of the reasons why I thought you’re single.”

Lara tersenyum tawar mendengarkan kata-kata Ashraf. Memang Huzaimi sering tiada masa buatnya jadi apa lagi yang boleh dia katakan??

“Hey princess, answer me-lah.” Desak Ashraf dalam nada yang tegas tetapi lembut. Lara hanya menggeleng kepala.

"Come on, let's talk about him. Lelaki yang you cintakan sangat tu, kan? Tell me, kenapa dia macam tak wujud je dalam hidup you?" Ashraf benar-benar ingin tahu walaupun jawapan yang keluar daripada mulut Lara nanti akan melukakan lagi hatinya yang sudah sedia luka. 

"Hei, jawablah." Desak Ashraf lagi.

“Erm… Dia busy.”

Ashraf terus ketawa!

“Busy?! I yang fly sana-sini around the globe pun, dari Singapore atau Johor sanggup turun ke KL semata-mata nak jumpa dengan you, nak spend time dengan you… Kenapa boyfriend you tu busy sangat? Dia kerja apa?” Tanya Ashraf lagi dengan nada yang sinis.

Lara semakin tidak selesa dengan pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan Ashraf. Tetapi dalam masa yang sama dia juga tidak mahu terus didesak.

“Erm… Dia…” Lara terasa bagaikan ada batu yang tersekat di kerongkongnya.

“Dia apa?”

Lara masih menundukkan kepala.  Diam.

“Princess? Dia kerja apa? Pilot jugak ke?”

Lara geleng kepala.

“Habis tu??”

“Erm… Dia… CEO.”

“Dia what…?” Kening Ashraf mencerun.

“CEO.”

“CEO...?!” Lantas, Lara menganggukkan kepala menyebabkan Ashraf tersandar.

Lelaki itu terpempan buat seketika dan selepas itu tertawa sinis.

“Oh wow… Patutlah you reject I… I’m just a driver.”

“Ash, please! Sudahlah! Bukan macam tu!”

Ashraf tertawa kecil seraya menyambung, “Entahlah princess… Now I know... I ni siapalah sangat, kan?” 

Hati Lara sedih melihatkan Ashraf. Semuanya kerana kebodohan dan kesilapan Lara sendiri. Kini Ashraf yang menjadi mangsanya...

Lemas. Hari ini perasaan mereka berdua lemas dan terdampar perih...

'Bagaimana terjadi apabila bidadari, Bisa meranapkan hati ini...'

Share this novel

Diela Muhd
2021-08-03 20:31:11 

tq ... menarik penulisan n tdk membosankan❤️

Diela Muhd
2021-08-03 20:10:23 

next chapter plsss ..


NovelPlus Premium

The best ads free experience