Bab 15

Romance Completed 159812

Sebuah Proton Perdana V6 berwarna hitam tiba di perkarangan rumah banglo dua tingkat di Taman Serene pada hari Sabtu itu. 

Haris menanggalkan cermin mata hitamnya lalu diletakkan di tempat duduk penumpang sebelah.  Dia baru sahaja tiba di rumah familinya itu daripada Kuala Lumpur.  Matanya mengecil akibat silauan matahari yang panas terik pada tengahari itu. Di halaman rumah, kelihatan beberapa buah kereta berbagai jenama tersadai di ruang yang luas.  Dahi Haris berkerut.

‘Siapa pulak yang datang ramai-ramai ni?’ Getus hatinya. 

Dia meletakkan keretanya di satu sudut berhampiran dengan kereta Ashraf. Kelihatan kereta sport berwarna merah itu berkilauan disimbah cahaya matahari.

"Pergh... Seksi jugak kereta baru mamat ni!" Bisik Haris seorang diri sambil tersengih membelek kereta Mazda RX8 baru di hadapannya.  Dia meninjau-ninjau bahagian dalam kereta tersebut melalui tingkap kereta yang agak gelap.

Selepas mengunci keretanya, Haris melangkah masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikum salam…” Kedengaran beberapa suara wanita menyambut salam. 

Mata Haris menangkap satu demi satu wajah yang ada di ruang tamu.  Terdapat empat orang wanita termasuk ibunya ada di situ.  Semuanya sedang duduk berkumpul sambil mengerumuni beberapa buah beg kertas barangan berjenama.  Louis Vuitton, Gucci, Aigner dan entah apa lagi jenama yang ada, mata Haris tidak dapat membaca kesemuanya. 

Haris hanya tersenyum dan menganggukkan kepala kepada mata-mata yang memandangnya. 

“Hi!” Kedengaran suara Zelda menegur. 

“Hi ma!” Jawab Haris pendek.  Dia terus berjalan menuju ke arah anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Kesemua wanita di situ hanya tersenyum sambil memerhatikan Haris berlalu.

“Eh, itu anak you kan Zel?” Tanya seorang wanita Melayu yang tampak sudah melebihi separuh abad.  Matanya seakan-akan membulat memandang Zelda. 

“Yes, that's my anak bujang!” Zelda ketawa. 

“Itu Ashraf kan?” Tanya wanita itu lagi.

“Oh, bukan. Yang tu si Haris, the youngest. Ashraf ada dekat atas.” Kata Zelda lagi sambil membelek-belek beg tangan berjenama Aigner itu. 

“Oh…” Getus wanita itu sendirian.

“Kak Ros, I want this-lah.” Kata Zelda kepada wanita tersebut.  “Alright! That one… After discount is eight hundred euro.” Wanita yang dipanggil Kak Ros itu membelek beberapa helaian resit dalam bahasa Perancis di tangannya. 

“Nanti malam akak convert-kan ke RM dan text you jumlah dia ye.” Sambungnya lagi.

“Zu, you sure you don’t want this Aigner handbag yea?” Mata Zelda memandang kepada seorang lagi wanita yang bergaya seperti mak datin. 

“Tak nak. I’ve made up my mind, I’m taking this one.” Kata mak datin itu sambil membelek dompet Louis Vuitton di tangannya.

“Bila lagi you nak ikut husband you pergi Paris, Kak Ros? I nak order scarf-lah…” Kata-kata Zelda itu membuatkan semua mata tertumpu ke arahnya.  Riak wajah mereka seolah-olah terpegun. 

“You nak start pakai tudung ke?!” Suara Rosidah, wanita yang dipanggil Kak Ros itu bergema di ruang tamu tersebut.  Kelihatan senyuman terukir di wajah masing-masing. 

“Actually, I memang dah start cover my hair. Baru start, nak biasakan dulu.” Jawab Zelda.  Kata-katanya itu mendapat pujian dan sokongan daripada rakan-rakannya.  Jelas kelihatan raut wajah yang ceria di kalangan mereka sementara Zelda sudah tersipu-sipu sendiri.

Tiba-tiba, muncul satu sosok tubuh lelaki turun daripada tangga.  Ashraf yang sudah siap berpakaian seragam lengkap itu melintas di ruang tamu sambil menarik beg bagasinya ke muka pintu. 

Saat Ashraf melintas lalu, keadaan di situ menjadi sepi buat seketika.  Ashraf terus berjalan menonong tanpa menghiraukan mata-mata yang melirik ke arahnya.  Dia menyangkutkan topi pilot-nya di tempat pemegang beg tersebut manakala kot pilot yang berwarna biru tua itu pula diletakkan di atas permukaan beg bagasinya. 

“Ash…!”

Ashraf memandang ibunya. 

Kelihatan ibunya itu tersenyum sambil menjulang sebuah beg tangan berwarna hijau lembut di tangannya. 

“You belikan beg ni untuk mama boleh?”

“Oh. Okay.” Jawab Ashraf pendek.

“Ke Haris nak belanja mama dah gaji ni?!” Zelda meninggikan sedikit suaranya sebaik sahaja melihat Haris turun daripada tangga untuk menuju ke dapur. 

Haris yang tidak tahu-menahu itu kelihatan tercengang-cengang memandang ibunya, tidak faham apa yang sedang diperkatakan oleh Zelda.  Lantas, mata Haris menangkap beg yang dipegang ibunya.  

“Oh… Belanja? Okay, boleh. Berapa tu?”

“Eight hundred Euro.”

“Euro?!” Mata Haris terbeliak.

“Kalau Euro suruh abang belanjalah sebab gaji dia dalam SGD! Kalau eight hundred ringgit, Ayis boleh belanja mama.” Haris tergelak sambil memandang Ashraf dan terus berlalu ke dapur. 

Kata-kata Haris itu disambut dengan gelak tawa Zelda dan rakan-rakannya. Ashraf pula terus membuntuti Haris ke dapur untuk makan tengahari sebelum keluar bekerja sebentar lagi. 

Ketika di dapur, Haris berbisik kepada abangnya, “Kalau aku dapat girlfriend macam mama, habis 'pokai' duit aku dibuatnya! Handbag dia je dalam RM dah nak sama harga gaji aku sebulan!”

Ashraf yang sedang menyenduk nasi itu tersenyum sinis sambil menjeling Haris.

“Si Haris tu baru je balik dari UK tahun lepas. Baru-baru ni dapat kerja akauntan dekat KL. Saja I sakat dia suruh belanja I…!” Ujar Zelda sambil bibirnya tersenyum nakal. 

“Untungnya you Zel… Anak-anak you semua kerja hebat-hebat…” Kata mak datin tersebut. 

“Ala, you pun apa kurangnya… Anak-anak you kan semua business bagus-bagus ikut daddy diorang.” Balas Zelda pula. 

Mereka semua tertawa kecil tetapi dalam diam, kelihatan air muka Rosidah berubah…

Selang dua puluh minit kemudian, Ashraf dan Haris keluar dari dapur.

“Ayis tolong hantar Ash ke airport ye?” Tanya Zelda.

“Yups.” Jawab Haris pendek.  Kelihatan dia menadah sebelah tangannya ke arah Ashraf.

“Apa dia?” Tanya Ashraf dengan muka yang serius.

“Kunci kereta kau.”

“Ish, pakai kereta kaulah.”

“Ala, kereta kaulah. Aku nak merasa bawak kereta sport baru kau tu.” Haris tersengih lebar manakala Ashraf hanya mengherotkan bibirnya.  Rakan-rakan Zelda hanya memerhatikan sahaja keletah dua beradik tersebut.

“Tu… Kunci atas console table sana.”

Lalu, Haris terus meluru ke arah meja konsol yang dimaksudkan oleh abangnya itu.  Selepas meminta izin daripada ibu mereka, Ashraf dan Haris terus melangkah keluar dari rumah.  Makin lama, suara mereka semakin menjauh dan hilang di balik dinding...

“Uii… Handsome-handsome semua anak you, Zel!” Kata Rosidah.  Ini disambut dengan persetujuan daripada rakan-rakan yang lain. 

“Mana tak handsome. Tengoklah emaknya pula! Dulu diakan one of the most beautiful SIA stewardess!” Kata mak datin tersebut.  Dia juga sebenarnya adalah salah seorang bekas pramugari di Singapore Airlines pada zaman yang sama. Zelda tertawa dengan wajahnya yang sudah merah padam menahan malu!

“Tinggi lampai, badan tegap… Muka handsome! Nak-nak lagi si Ashraf tu! Berapa orang anak you, Zel?” Tanya seorang lagi wanita yang dipanggil Zu tadi. Ini adalah kali pertama dia datang ke rumah Zelda dan baru hari inilah juga dia bersua muka dengan anak-anak rakannya itu. 

“Anak I empat orang… Yang sulung perempuan dengan yang nombor dua si Azril, tinggal dekat Singapore. Pilot juga si Azril tu.”

“Tiga orang pilot dalam family you Zel?!” Kesemua wanita itu bertanya serentak membuatkan Zelda sekali lagi tertawa.

“Iya. Tak tahulah, dah nasib ramai sangat pilot. Si Haris tu dulu I sampai merayu-rayu pada dia, janganlah nak jadi pilot jugak. Stress I kalau anak-anak dengan suami semua fly jauh-jauh. Kita tinggal sorang-sorang!” Kata-kata Zelda itu disambut dengan gelak tawa semua. 

Namun begitu, di sebalik keriuhan tersebut kelihatan Rosidah tersenyum tawar dan mencebik bibir sendirian…

 

Kereta Toyota Prius itu perlahan-lahan membelok masuk ke arah simpang Tampines Avenue sehinggalah tiba di Blok 1567D. 

Selepas mematikan enjin, Rosidah melangkah keluar dari keretanya dan terus meluru ke arah lift yang terletak di tengah-tengah bangunan pangsapuri tersebut.  Tangan kanannya menjinjing saki-baki beg tangan berjenama yang masih belum terjual, namun dia tidak perlu gusar kerana sudah ada potential buyers yang menanti.

Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, Rosidah terus meluru masuk dan menanggalkan tudung di kepalanya.  Keadaan rumah yang sederhana besar itu sunyi sepi.  Suaminya bekerja shift petang pada minggu ini manakala anak-anaknya pula…  Ah!  Apabila memikirkan tentang anak, Rosidah panas hati!  Dia serta-merta meluru ke arah sebuah bilik yang terletak bertentangan dengan ruang makan di tengah-tengah rumah. 

Sebaik sahaja tombol pintu bilik dipulas, Rosidah terus meluru masuk.  Matanya melihat keadaan di dalam bilik itu bersepah-sepah macam tongkang pecah.

“Ya Allah…” Ucapnya perlahan. Hatinya makin panas!

“Reza! Bangun!” Dia menggoncangkan sekujur tubuh yang tertiarap di atas katil.

“Reza!!”

Reza kelihatan terkulat-kulat membuka mata.  Kepalanya terasa bingung.

“Mak bilang bangun!!”  Rosidah meninggikan lagi suaranya.  Dia segera menarik sebuah kerusi kayu yang terletak di sudut bilik itu lalu duduk menghadap anak bujangnya. 

Reza perlahan-lahan bangun dan duduk bersila di atas katil.  Matanya digosok-gosok sambil memandang ibunya.

“Kau kerja malam ni?” 

Reza mengangguk.  Dia masih lagi mamai lantaran dipaksa bangun dari tidurnya yang lena.  Rosidah terdiam seketika.  Matanya memerhatikan keadaan di segenap ruang bilik anaknya itu.  Kelihatan beberapa helai seluar jeans dilempar merata-rata.  Di atas meja tulis Reza pula, terdapat banyak bingkai-bingkai gambar yang terpampang muka Reza bersama bekas teman wanitanya. 

Mata Rosidah mengimbas satu demi satu gambar yang tergantung di setiap penjuru bilik. Ada di antaranya keratan daripada majalah sewaktu gadis itu memperagakan baju atau entah apa benda lagi! Rosidah tahu budak KL tersebut bekerja sebagai model sambilan dan dia juga tahu yang anak bujangnya itu sudah putus hubungan dengan gadis tersebut.

“Apa kau nak jadi ni Reza?!”

Kening Reza berkerut.  Sudahlah tidurnya diganggu, kini dia mula dileteri pula.

“Mak ni kenapa?” Reza pandang tepat ke wajah ibunya.

“Aku ni dah tak sangguplah dengan perangai kau macam ni!”

“Apa ni mak...??” Air muka Reza berubah.

“Aku ni baru saja pulang dari rumah kawan aku, nun di JB sana! Anak-anak dia, kau tahu?! Semua bagus-bagus bekerja! Ada yang kerja pilot, ada yang kerja akauntan! Engkau ni nama saja oversea graduate, tapi apa kau bikin sekarang?!” Jerkah Rosidah.  Matanya dijegilkan ke arah Reza manakala si Reza pula hanya diam membisu.  Dia sudah masak dengan leteran-leteran ibunya yang sedemikian rupa.  Malah, sudah mendengarnya bertahun-tahun!

“Penat saja bapak hantar kau belajar sampai ke Australia! Sekarang, apa kerja kau?! Hah??"

Reza hanya membatukan diri.

"Kalau aku tahulah dari awal lagi yang kau setakat nak bekerja di kelab malam, memang aku tak izinkan kau ke Australia, buat merugikan duit! Sekarang kau bilang sama aku, sampai bila kau nak kerja dekat kelab tu?! Hah?! Sampai bila kau nak hidup tak tentu hala macam ni?!” Rosidah memuntahkan segala isi hatinya yang terpendam semenjak dari rumah Zelda tadi.

“Yelah! Orang tahulah mak!”

“Apa yang kau tahu?! Hah?! Kau tahu bapak kau nak bersara lagi dua tahun??”

“Itu orang tahulah…!”

“Habis tu kalau kau tahu, kau pikir betul-betul! Selama ni yang menanggung makan minum kita, semuanya bapak! Makan minum kau! Hulur duit belanja untuk kau! Pakai siap kau! Sampai bila Reza?!” Bentak Rosidah.

Reza hanya membisu.  Mukanya masam.

“Sepatutnya sekarang ni kami yang berharap pada kau! Siapa lagi yang aku nak harapkan kalau bukan kau, anak lelaki seorang?!”

“Mak… Orangkan kerja. Suzi pun kerja. Apa yang mak nak risaukan?”

“Aku tak risaukan adik kau! Dia tu perempuan. Kahwin saja dia nanti, adalah yang sediakan makan pakai dia. Kau?! Kau nak jadi apa?! Kau nak bergelumang dekat night club  tu sampai tua?! Sampai mati?!”

Suasana sepi seketika.  Muka Reza masam mencuka manakala wajah Rosidah pula masih lagi menyinga.  Hatinya belum puas.  Dia segera meluru ke meja tulis Reza. 

“Kau tengok ni! Kau tengok!!” Tangan Rosidah menyambar salah satu bingkai gambar di atas meja, lalu dilempar kuat ke atas katil, betul-betul di hadapan mata Reza.

“Itu! Sebab apa kau putus dengan perempuan tu?! Jawab soalan aku!” Matanya dijegilkan.

“Sudahlah tu mak… Memang dah tak ada jodohkan– ”

“Bodoh! Kau tak sedar-sedar lagi?! Itu saja alasan kau?! Kau tak sedar yang dia putus sama kau disebabkan hidup kau yang melarat ni??!”

Diam.

“Kalau aku di tempat dia pun aku tak hendakkan lelaki macam kau! Senang kata kau tak ada jodoh, ye?! Kau ingat aku tak tahu, kau masih memuja-muja perempuan ni?! Konon patah hati, makan hati berulam jantung tapi ada kau pikir nak ubah untung nasib hidup kau?!!”

Reza tunduk sambil mengamati gambar Lara yang sedang tersenyum riang.  Hatinya terasa pedih dek kerana rindukan gadis tersebut.

“Dengar sini Reza! Aku kasi sebulan untuk kau pikir habis-habis! Kalau kau masih nak bekerja di night club, aku suruh bapak halau kau keluar dari rumah ni! Kau berambus! Aku tak mahu ada anak jantan tak guna macam kau!”

Serentak itu juga, Rosidah terus berlalu sambil menghempas pintu bilik tersebut.  Reza menarik nafas panjang…

“Kalau aku di tempat dia pun aku tak hendakkan lelaki macam kau! Senang kata kau tak ada jodoh, ye?! Kau ingat aku tak tahu, kau masih memuja-muja perempuan ni?! Konon patah hati, makan hati berulam jantung tapi ada kau pikir nak ubah untung nasib hidup kau?!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience