Bab 83

Romance Completed 159812

Keadaan trafik di jambatan Pulau Pinang pada petang itu agak sesak dek kerana waktu orang pulang bekerja. Namun begitu Zuraidah kelihatan ceria sekali walaupun terperangkap dalam kesesakan itu. Dia sibuk bercerita dengan penuh semangat tentang persiapan untuk hari pertunangan Lara dan Fahd.

"Alhamdulillah, pandai acik Kiah jaga tepak sirih ibu ni."

Tepak sirih klasik yang berwarna merah dan bertekat benang emas itu dibelek-belek. Dia dan Lara sanggup datang ke Balik Pulau semata-mata untuk mengambil tepak sirih tersebut.

"Dah berapa tahun dia simpan ni... Dia pinjam masa anak sulung dia si Alya tu kahwin dulu. Sekarang ni si Alya tu pun dah ada anak. Tepak sirih turun-temurun keluarga kita ni..."

Lara yang sedang memandu hanya tersenyum dan mengangguk sahaja. Dia tahu, ibunya itu sungguh gembira menerima Syed Al-Fahd sebagai bakal menantu. Maklumlah, Fahd mempunyai ciri-ciri menantu pilihan. Segalanya bermula apabila Fahd tumpang solat di surau belakang rumah mereka sewaktu menghantar Lara pulang. Maka semenjak itu, nama Fahd sering meniti di bibir Zuraidah walaupun dia belum lagi bertemu empat mata dengan lelaki tersebut. Kerja bagus, solat tak tinggal, segak, kacak, dan bermacam-macam lagi pujian yang Zuraidah sogok pada Lara dengan harapan Lara dapat mempertimbangkan hubungan yang lebih serius dengan lelaki itu. Kini, Zuraidah berasa gembira untuk menyatukan anaknya dengan Syed Al-Fahd. 

"Akak nak buat tema apa untuk bertunang ni? Kalau masa kahwin nanti akak nak tema moden, apa kata bertunang ni buat gaya klasik, ala-ala gadis Melayu? Lagipun tepak sirih tu ada unsur-unsur klasik."

'Amboih...' Bisik hati Lara. 'Gadis Melayu? Aduh... Kalau ibu tahu aku ni bikini model, mampus aku.' Lara berbisik sendiri.

Sebenarnya Lara sedikit pun tidak berasa teruja untuk melakukan apa-apa persiapan. Bahkan kalau boleh, dia tak mahu hari pertunangan itu tiba. Tetapi apakan daya, dia harus sisihkan Huzaimi seratus peratus dalam hidupnya sekarang. Dia mahu Huzaimi pulang ke pangkuan perempuan gila itu dan selepas itu, Lara akan mula menjejaki Ashraf!

'Ashraf Zildan...' Itulah nama yang disebut-sebutnya hampir setiap hari.

'Ash... Jangan muncul sekarang. Bagi I observe dulu keadaan dalam sebulan dua ni, okay? Kalau my ex-boyfriend tu dah berhenti cari dan kejar I, baru you muncul ye sayang? You muncul cepat-cepat tau, masa tu I akan terus mintak putus tunang daripada Fahd! Demi you, apa sekalipun dugaannya, I sanggup hadapi. I tetap pilih untuk bersama you, Ash...'

"Hei, akak!"

Lara tersentak dari lamunan lalu memandang ibu di sebelahnya.

"Jangan lupa masuk ke kiri lepas jambatan ni, nak singgah jumpa Dhafi sekejap." Zuraidah menjeling Lara. Boleh pula berangan sambil bawa kereta! Tahulah nak bertunang, fikir Zuraidah.

Lara terus memberi isyarat tukar haluan ke kiri seperti yang diminta oleh ibunya...

* * * * *

Ashraf duduk sendirian di bar rumah, kelihatan seperti termenung. Di tangannya terdapat sebuah gelas kecil berisi ais dan air yang berwarna perang gelap.

Wiski.

Kepala tertunduk, pandangan mata tertancap pada permukaan meja bar seakan sedang berfikir dengan dalam. Sesekali Ashraf mengoleng gelas untuk memesrakan cairan ais bersama minuman itu sebelum menyisipnya.

"Hey Mr Pilot."

Ashraf mengangkat muka dan memandang ke arah Kapten Zamani. Lalu lelaki yang segak berusia itu duduk menyertai Ashraf di bar tersebut.

"Balvenie 12 Year Old, The Sweet Toast of American Oak." Kata Kapten Zamani sambil tangannya menuang minuman yang sama tetapi tanpa ais. "Cheapskate." Sambungnya lagi dengan mengatakan bahawa air wiski tersebut murah harganya dan bukanlah daripada kualiti yang terbaik.

"Not my favorite Balvenie, but still great. Definitely has that new wood bourbon taste to it." Ashraf menjawab sambil menyisip manakala Kapten Zamani pula hanya tersenyum sinis.

Keadaan sepi buat seketika. Masing-masing kelihatan larut dalam fikiran sendiri.

"Where should all these boozes go when she wants to get rid of this space?" Tiba-tiba sahaja Kapten Zamani bersuara. Wajah Ashraf ditatap seolah-olah menuntut jawapan. Memang Zelda sudah lama berleter pada Kapten Zamani tentang sudut bar di rumah mereka itu!

"Hmm, I don't know... Maybe we should do some charity." Jawapan Ashraf itu membuatkan Kapten Zamani tertawa kecil. Ya, jika minuman-minuman itu diberikan sahaja kepada rakan-rakan sekerja mereka, pasti ramai yang mahu.

"Such a big deed."

Kali ini jawapan Kapten Zamani itu pula membuat Ashraf tertawa kerana Ashraf faham maksud bapanya. Harga kesemua minuman alkohol yang ada di bar tersebut hampir mencecah puluhan ribu ringgit, malah ada juga wain yang berusia 55 tahun dan 60 tahun peraman berharga ribuan ringgit sebotol.

Ashraf dan Kapten Zamani terus menikmati minuman yang terlarang itu...

"Pa, I wanna get married."

"Hmmhpttt!"

Hampir tersedak Kapten Zamani mendengar kata-kata Ashraf! "Noree?" Tanyanya.

"What?! Of course, not!" Saat itu juga wajah Ashraf berubah, entah bagaimana dia harus memberi reaksi saat nama gadis genit itu disebut papanya.

"Lara?" Teka Kapten Zamani lagi.

"Yeah!"

"Oh, so you found her?"

Ashraf mengeluh kecil dan berdecip. "Not yet." Air wiski diteguk lagi.

"So?"

Pandangan mata Kapten Zamani menusuk ke wajah Ashraf dalam-dalam.

"Bila I dah jumpa dia nantilah." Jawab Ashraf selamba.

"Oh, okay..."

Bikin gempak je budak mentah ni, fikir Kapten Zamani. Dia tahu anaknya sudah berbulan terputus hubungan dengan gadis cantik yang dia jumpa semasa di dalam lif Changi Airport tahun lepas. Ashraf sendiri memberitahunya ketika penerbangan mereka ke Amsterdam beberapa minggu lepas.

"Erm... You sure you wanna get married? You're still young." Wajah Ashraf ditatap namun anaknya itu hanya membatukan diri.

"Jeff Foxworthy once said in one of his show, you don't get married to get sex. Getting married to get sex is like buying a 747 to get free peanuts." Sambung Kapten Zamani dan kali ini Ashraf tertawa besar.

"Apa jenis perumpamaan tu?!"

"Sounds lousy but it's true!"

Ashraf senyum dan menggeleng kepala. "Well... I don't want to lose her again."

"Oh, well! How about, 'don't let fear conquers you'?"

"Pa, can you please...?! Come on, you're not helping at all! Yes, I'm scared of losing her and if I found her this time, I'm not losing her ever again." Wajah Ashraf berubah masam mencuka. Inilah yang dia malas hendak berbicara dari hati ke hati dengan papanya. Ada saja perbezaan pendapat antara mereka berdua.

"Lagipun... I really love her, pa."

Kapten Zamani tertawa mendengarnya.

"Kahwin is all about responsibility, Zildan. It's not about having fun at all." Ujarnya.

"I'm not talking about having fun. I have all the fun flying the plane. But yeah, it's a big responsibility for us pilots. So does marriage, right pa?"

Mata mereka bertembung dengan sebuah senyuman terbit di bibir Kapten Zamani. Nampaknya perumpamaan anak bujangnya ini lebih hebat daripada perumpamaan yang dia kongsikan tadi.

Gelas diangkat dan disuakan ke Ashraf, lantas Ashraf melagakan dengan gelasnya pula.

Ting!

Ya. Mungkin Ashraf Zildan sudah bersedia untuk itu, fikir Kapten Zamani...

* * * * *

Setelah pengawal keselamatan di rumah banglo Rizman memberitahu Kesuma tentang kehadiran Zuraidah dan Lara pada petang itu, telefon diletak.

"Tunggu sekejap ya. Nanti depa mai."

Lara mengangguk sambil mengherotkan mulut. Rasa macam jumpa banduan dalam penjara saja! Lara dan Zuraidah sudah tidak dibenarkan masuk semenjak tercetusnya kekecohan dahulu. Maka kali ini, mereka hanya boleh berjumpa Dhafi di pintu pagar luar sahaja.

Tidak lama kemudian, bayang Dhafi muncul tetapi bersama Kesuma sebagai peneman.

"Ibu..." Tegur Dhafi sambil menghulur salam. Zuraidah segera menyambutnya lalu dipeluk cium anaknya itu. Rindu yang terbeban di dada selama ini seakan lepas pergi. Mana tidaknya, sudah berbulan-bulan Dhafi tidak menghantar khabar berita malah, SMS Zuraidah pun sudah tidak berbalas.

"Ibu dengan akak pergi ambik tepak sirih dekat rumah kawan ibu tadi di Balik Pulau. Akak nak bertunang tau! Nanti Afie datang ye hari bertunang tu nanti?" Wajah dan suara Zuraidah ceria namun Dhafi hanya tersenyum paksa sambil mengangguk sedikit.

"Kalau takde tuisyen bolehlah pergi Fie." Kedengaran Kesuma menyampuk daripada belakang. Telinga Lara terasa bagai disagat.

"Yelah, bu. Takut Afie ada tuisyen je hari tu."

Zuraidah cuba untuk senyum, menyembunyikan riak wajah yang kecewa dengan jawapan si anak. "Oh, ye ke... Afie tuisyen hari apa?"

"Hari Rabu, Sabtu dengan Ahad."

"Oh..." Zuraidah dan Lara pandang memandang.

"Ala, pontenglah sehari! Hari Ahad tu. Lepas balik tuisyen hari Sabtu, Afie teruslah datang rumah ibu."

"Apa mengajar anak ponteng-ponteng ni? Kerja dekat sekolah, tapi fikiran macam orang tak sekolah-"

"Hoi! Kau jaga mulut kau sikit ye!" Lara mematahkan kata-kata Kesuma. Hatinya sudah menggelojak dengan amarah tetapi ditahannya seboleh mungkin.

"Ala, bukannya ponteng sekolah. Ponteng tuisyen je, Fie." Ujar Zuraidah pula kepada Dhafi tetapi wajah Dhafi nampak ketat seolah-olah tidak bersetuju dengan ibunya.

Darah Lara semakin mendidih. Kalau setakat perempuan jahanam ini sahaja, dia tidak kisah. Tetapi kini bahasa tubuh Dhafi juga dari awal lagi seolah-olah tidak senang dengan kedatangan mereka. Lara terasa seperti pengemis.

"Tengoklah... Afie kena tanya ayah dulu. Kalau ayah kasi, bolehlah. Kalau tak, tak dapatlah."

"Hmmph! Tanya ayah?! Hmm, akak dah tahu dah Fie, mesti tak boleh punya!" Ujar Lara sinis.

"Yang akak ni nak buruk sangka dengan ayah kenapa?!" Suara Dhafi kedengaran tegang memeranjatkan Lara dan Zuraidah.

"Eh, akak bukan buruk sangka! Akak teka je!"

"Kalau teka tak boleh cakap baik-baik?!"

"Nak cakap baik-baik macam mana-"

"Hei, sudahlah tu!"

"Ibu tak payah masuk campurlah!"

"Dhafi!" Suara Lara tegas.

"Apa?! Kalau kau datang sini nak marah-marah aku, kau blahlah daripada sini!"

Saat ini darah Lara menggelegak naik ke kepala!

"Hei! Kalau ikutkan aku, aku memang nak terus balik KL je tadi! Tapi, emak kau yang melahirkan kau ni, rindu sangat dekat kau! Appreciate-lah sikit!!"

"Hah, habis tu kalau nak balik KL, berambuslah sekarang!"

"Ya Allah, apa korang ni?! Sudahlah bergaduh tu!"

"Hei, dengar sini manusia tak sedar diri! Aku cakap, kau ada mak! Ini mak kau! Dia nak jumpa kau! Kau hormatlah sikit dengan dia!" Lara menuding-nuding jari telunjuk pada Dhafi dan Zuraidah.

"Lara, cukup!" Air mata Zuraidah sudah mula mengalir.

"Orang dah suruh berambus tu, berambus je lah! Apa nak tunggu lagi!" Si Kesuma pula tiba-tiba menyampuk sesedap rasa.

"Hei, perempuan. Aku ingatkan kau lagi sekali ye. Ini hal kami anak-beranak, kau tak payah masuk campur!"

"Ini rumah dialah, akak! Akak tu datang sini buat kecoh-" Potong Dhafi.

"Dia mengangkang je duduk rumah, berapa percent duit dia dalam rumah ni?! Ini rumah ayahlah!" Lara berteriak.

"Ye! Tapi ayah pun dah tak nak anak macam kau!!"

"Oh, so kau ni anak ayahlah?! Sebab dia bagi kau duit untuk bersekongkol dengan perempuan ni supaya bencikan kitorang, kan?!"

"Lara, sudah! Dah, jom kita balik!" Zuraidah menarik tangan Lara tetapi kedua-dua anaknya itu terus menempelak sesama sendiri. Lantas Zuraidah buka pintu kereta dan mengambil bungkusan plastik untuk diberikan kepada Dhafi.

"Fie, Fie...! Sudahlah tu! Okay, okay, ibu balik sekarang! Ibu tak kacau Afie dah. Nah, ni ibu ada belikan jeruk buah pala favourite Fie dekat pulau tadi. Dah, berhenti gaduh tu, kami nak balik dah! Akak, sudahlah tu!!"

Tiba-tiba Dhafi merentap beg plastik yang berisi jeruk buah pala itu dan mencampaknya ke tanah. "Kenapa bila korang datang sini je mesti buat kecoh dekat rumah kami?! Hah?!!"

Saat ini mata Lara terbeliak. Dia sudah hilang sabar! Lantas Lara meluru ke Dhafi dan menghayunkan penumbuk tepat ke batang hidung adiknya!

"LARA!!" Jerit Zuraidah.

Amarah menguasainya sehinggakan Lara sudah tidak mendengar apa-apa leteran ibunya. Yang dia tahu tangannya terasa sakit tetapi dia puas hati melihat Dhafi kesakitan memegang hidung. Kurang ajar!

"Kau nak kurang ajar dengan aku takpe, tapi kau hormat ibu sikit!!"

Sedang Zuraidah menolong Dhafi, tiba-tiba Dhafi mara dan bergelut dengan Lara.

"Ya Allah! Apa ni?! Dhafi! Lara!! Sudahlah tu! Cukup! Tolonglah dengar cakap ibu ni!!"

Zuraidah menjerit lalu meminta tolong daripada pengawal keselamatan pula tetapi ditegah oleh Kesuma.

Saat itu Lara dan Dhafi sudah bergumpal dan terbaring di atas tanah. Sekejap mereka bertumbuk, sekejapan seolah-olah ingin mencekik sesama sendiri, dan sekejapan pula masing-masing mengelak cengkaman. Oleh kerana pengawal keselamatan ditegah oleh Kesuma untuk masuk campur, Zuraidah cuba menyelit untuk meleraikan anak-anaknya.

Ketika Lara terhimpit di bawah, air matanya mengalir setitis. Memang pergelutan ini perkara biasa buat mereka adik-beradik sejak daripada dulu lagi. Lara pun tidak tahu mengapa tetapi mungkin sudah terbiasa melihat ayah naik kaki dan tangan pada ibu sewaktu mereka kecil dahulu. Dalam pada masa yang sama, pergelutan sewaktu kejadian hitam di parkir KLCC juga terlintas semula di ingatan Lara.

"Kau... Kau sanggup halau mak kau ye...?" Ujar Lara sambil menahan tangan Dhafi yang ingin mencekiknya. Kelihatan batang hidung Dhafi luka tetapi Lara berasa puas hati.

"Aku tak halau! Kau tu yang datang buat kecoh! Kurang ajar!" Balas Dhafi pula.

"Kurang ajar?! Siapa yang kurang ajar dulu?!" Dan mereka terus bergumpal!

Sementara itu Zuraidah terus cuba untuk meleraikan kedua-dua anaknya sambil menangis dan merayu.

"Dhafi, sudahlah buat akak tu... Maafkanlah akak... Kami nak balik sekarang, lepaskanlah akak, Fie...!" Rayu Zuraidah lagi dalam tangisannya yang sungguh pilu.

Waktu itu juga, Dhafi segera melepaskan Lara. Dia mengesat peluh di dahi dan berjalan menuju ke Kesuma.

"Pergi!!" Jeritnya. Wajah Kesuma pada waktu itu tersenyum meleret.

"Akak... Akak okay tak...? Boleh bangun...??" Wanita itu segera membantu Lara untuk bangkit daripada tanah. Baju dan rambut Lara terasa berpasir, otot badannya terasa sengal akibat pergelutan itu.

Zuraidah terus menangis. Tangisan itu Lara rasakan seperti tanda kekalahannya terhadap Kesuma, Dhafi dan ayahnya. Hati Lara sakit, teramat sakit sehinggakan kesakitan itu terasa seperti tembus ke belakang badannya. Lebih sakit daripada sakit fizikalnya pada saat ini.

Lara dan Zuraidah masuk ke dalam kereta. Plastik merah yang berisi jeruk buah pala yang dibaling Dhafi tadi masih terdampar di atas tanah tidak berambil. Sambil kereta Kancil itu bergerak meninggalkan perkarangan rumah banglo itu, pintu pagar automatik juga tertutup perlahan-lahan membaham bayang Dhafi dan Kesuma.

Perasaan Lara seolah-olah mati saat ini. Dia hanya membatukan diri, termenung. Yang kedengaran hanyalah tangisan pilu ibunya yang sedang memandu.

Kini apa yang Lara boleh rungkaikan daripada kejadian ini, sudah jelaslah bahawa Dhafi berada di pihak Rizman dan Kesuma sekarang. Di waktu Rizman menidakkan hak nafkah ke atas Lara dan Najmi, Dhafi pula disalut dengan kemewahan, seperti mana yang pernah dijanjikan jika anak-anak bersetuju untuk tinggal bersama Rizman.

Jauh dalam hati, Lara mengiyakan kata-kata Sharina. Yang ada duit, pasti akan berkuasa. Inilah permainan dunia jika manusia hidup berlandaskan wang dan kemewahan yang sementara...

Pengumuman: Sesiapa yg belum baca Bab 82, jemputlah baca :) Bab tu ter-unpublished sendiri hari tu, so mungkin ada sesetengah readers yg tak baca lagi.. Semoga terhibur! :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience