Tahun 2004
JARI-jemari runcing Lara mengetuk-ngetuk puntung rokok pada bekas abu rokok di meja kedai mamak tersebut. Suasana keliling hingar-bingar pada malam itu langsung dia tidak pedulikan. Fikirannya menerawang jauh sambil bibir mungilnya menyedut batang rokok yang sudah separuh habis. Di saat Lara mendongak sambil menghembus kepulan asap keluar dari mulutnya, tulang selangkanya tampak timbul dek kerana tubuhnya yang kurus dan keadaan bidang leher bajunya yang luas.
Lara terus mengelamun sendiri tanpa
menghiraukan dua rakan baiknya yang sedang rancak bersembang. Ingatannya tertumpu pada kejadian siang tadi sewaktu dia dan ibunya berada di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk kes tuntutan nafkah buat dia dan dua lagi adik lelakinya, Dhafi dan Najmi daripada sang ayah, Encik Rizman Mohamad…
“Lara, untuk next hearing nanti, Lara kena masuk dalam kandang mahkamah ye.”
Kata-kata Puan Asyirah, peguam Syarie yang mewakili ibunya seakan terngiang-ngiang. “Lara tahukan, selama ni ibu cuma fight untuk pemotongan gaji ayah secara automatik untuk dikreditkan ke dalam akaun ibu.” Lara mengangguk bersama kerutan di dahi.
“Tapi hari ni, ayah Lara ada buat permintaan baru pada mahkamah. Dia minta untuk stop-kan pemberian wang belanja bulanan Lara… Dia just nak tanggung adik-adik je. So kita nak fight untuk yang itu pulak, sebab tu untuk the next hearing nanti, Lara kena explain semua details perbelanjaan Lara pada hakim. Buktikan pada mahkamah yang Lara memang perlukan duit tiga ratus ringgit sebulan tu untuk belanja harian Lara di UiTM.” Sambung peguam wanita itu.
“Ayah kata dia dah tak nak tanggung akak lagi sebab bini dia tengah pregnant sekarang. Dan katanya lagi, bila anak tu lahir nanti dia akan ada tanggungan baru. So ayah dah tak nak tanggung akak.” Kata-kata ibunya siang tadi masih terdengar-dengar. Hati Lara membengkak tak surut-surut. Entah ke manalah harus dia bawa hati ini…
Lara tarik nafas dalam-dalam. Rokoknya yang sudah sampai ke puntung itu ditenyeh-tenyeh kuat di dalam bekas abu rokok. Dia melepaskan geramnya sekali di situ!
Sudah hampir tiga tahun, Lara menemani ibunya turun naik mahkamah untuk perbicaraan kes tuntutan nafkah tersebut. Daripada dia mula-mula masuk belajar di UiTM Shah Alam sehinggalah dia berada di tahun akhir pengajiannnya sekarang, kes itu masih lagi belum selesai.
Bayangan ayah bersama ibu tirinya seperti yang Lara lihat sewaktu mereka semua keluar daripada perkarangan mahkamah tadi masih segar di ruang fikiran Lara. Kelihatan perempuan surirumah yang mengharapkan duit lakinya itu menjinjit beg tangan mahal Louis Vuitton berwarna merah hati manakala ibunya, Puan Zuraidah yang bekerja sebagai kerani sekolah itu hanya menjinjing beg tangan berjenama Bata. Itupun Lara lihat beg tersebut sudah lusuh. Mereka naik kereta mewah, tetapi Lara dan ibunya hanya menaiki kereta Perodua Kancil yang kecil comel berwarna maroon.
‘Beg LV beribu-ribu ringgit boleh beli, kereta SUV baru boleh beli, duit belanja anak tak boleh bagi!’ Desis Lara sendirian dalam hati. Dia benar-benar tidak faham dengan permainan ayah dan ibu tirinya itu!
Lara masih ingat ketika pertama kali dia menjejakkan kaki ke universiti, ayahnya itu sendiri yang menambah wang perbelanjaannya sebanyak dua ratus ringgit ekstra. Kata ayahnya, duit lebih itu untuk menampung perbelanjaan assignment Lara dan juga duit transportation memandangkan Lara tiada kenderaan sendiri untuk bergerak ke sana-sini. Oh ya, tetapi itu semua ketika ayahnya masih belum berkahwin dengan perempuan puaka itu. Setahun kemudian, sebaik sahaja ayahnya menikah, wang belanja bulanannya terus dikurangkan menjadi tiga ratus ringgit semula dan hari ini, permohonan telah dibuat kepada mahkamah untuk menghentikan terus pemberian wang sakunya!
‘Apa yang ada dalam kepala orang tua tu?? Dia nak suruh aku makan apa? Makan batu? Ganti nasi dengan pasir??’ Lara mengeluh dalam hati…
“Ra… Are you okay?” Kata-kata Zieta mematikan lamunan Lara. “Kitorang tengok kau macam tak okay je.” Sampuk Khyra pula. Kedua-dua rakan baiknya itu sememangnya tahu tentang kisah badai yang sedang melanda. Mereka semua bukan sahaja setakat satu bilik, malah belajar dalam satu kelas yang sama semenjak hari pertama mereka di UiTM.
Lara tersenyum tawar.
“Aku okay… Cuma aku rasa frustrated je dengan sikap ayah aku. Selama ni, aku tahu mak dengan ayah aku tu memang macam musuh ketat semenjak diorang bercerai enam tahun lepas. Tapi bila ayah aku buat aku macam ni… Aku terasa macam dia pun nak bermusuh dengan aku jugak. Aku sedihlah. Kecewa sangat… Sebagai anak, apa yang ayah aku buat terhadap aku sekarang ni buat aku rasa macam terbuang!”
Wajah Zieta dan Khyra berubah redup. Masing-masing terkedu dan menganggukkan kepala tanda faham dengan apa yang dirasakan Lara sekarang. Suasana bingit di Restoran Hakim Seksyen 7, Shah Alam pada malam itu semakin terasa apabila sepi mencengkam mereka bertiga.
“Sekarang ni, aku rasa nervous dan risau bila memikirkan yang aku kena masuk dalam kandang mahkamah tu nanti. I don’t know what to expect and what will happen! I’m just twenty-one years old and yet, this is my battle…!” Lara berkata sambil mencampak perlahan kotak rokok Dunhill yang berwarna merah itu di atas meja. Di jarinya sudah terselit sebatang lagi rokok yang akan dia nyalakan.
“Dia heret aku masuk dalam kandang mahkamah tu macamlah aku ni criminal! Macam aku ni ada buat salah pulak! Padahal duit belanja setiap bulan tu hak aku, dan aku ni full time student…!” Terdapat getaran di hujung suara Lara. Dia menghembus keluar segerombolan asap rokok ke udara. Zieta yang duduk di sebelah gadis itu mengerlus lembut bahu rakannya seolah-olah ingin menenangkan Lara.
“Aku tahu kalau aku cakap ni memang tak banyak membantu. Tapi… Kau anggap je lah yang kau berdiri dalam kandang tu nanti macam kau tengah buat presentation dalam kelas, Ra.” Celah Khyra. Lara tersenyum nipis manakala Zieta pula menganggukkan kepala.
“A’ah, aku pun nak pujuk hati punya pasal ada jugak terfikir macam tu tadi…” Ujar Lara lantas menyambung, “Macam tak biasa pulak bercakap depan orang ramai, kan. Tapi, entahlah… Lain tau feeling dia, bercakap dalam kelas dengan bercakap dalam mahkamah. Rasa seriau pun ada.” Tawa Lara sinis dan ketika itu juga, Zieta memandang ke wajahnya. “Ra… Kau kan the best student dekat fakulti kita. Kau ingat tak subjek Public Speaking kita dulu? Prof Haslina suka gila dengan cara kau bercakap. Kan kau dapat full marks, four flat untuk subjek tu! Well, to be honest, memang hampir semua subjek pun kau dapat four flat, kan!” Kata-kata Zieta itu disambut dengan gelak tawa mereka semua. Kelihatan Lara tersipu-sipu malu dipuji rakannya.
“Kau jangan takutlah, aku rasa kau boleh handle benda ni bila dekat mahkamah nanti. I believe in you!” Satu senyuman manis terukir di bibir Zieta tetapi Lara hanya mencebik.
“Aku ingatkan habis je diploma ni aku nak terus sambung degree. MUET exam dah settle dah, application form untuk degree pun aku dah submit bulan lepas. Kalaulah ayah aku menang dalam kes ni dan aku tak dapat duit belanja bulanan aku tu, terpaksalah aku kerja part-time masa degree nanti. Kerja McDonald’s ke, KFC ke… Nak harap duit modelling aku dengan catwalk tu je tak boleh sebab bukan tiap-tiap minggu ada job pun! Kalau ada pun, kadang-kadang event hari weekdays. Kita ni kalau weekdays bergelut dengan assignment! Dengan kelas lagi–”
“Eh… Nanti, nanti, nanti…” Sampuk Khyra. Dia rasa Lara sudah mula overthinking.
“Aku rasa kau dapatlah hak kau. Takkan lah mahkamah kejam sangat. Lagipun ayah kau tu bukannya kerja biasa-biasa, certified accountant-lah! Mahkamah mesti tahu yang dia sebenarnya mampu nak tanggung kau.” Zieta mengangguk kepala tanda setuju dengan kata-kata Khyra.
“Entahlah. Aku cuma fikir worst case scenario je…” Lara tarik nafas dan mencebik.
“Aku kena jugak sambung belajar, korang… Aku nak tolong ibu. Gaji ibu kecik, adik-adik aku tu pulak budak tengah membesar! Macam-macam benda perbelanjaan sampingan diorang! Aku rasa kalau setakat kerja office biasa je duduk dekat KL ni dengan gaji diploma, cukup-cukup untuk makan kita sendiri je... Aku nak gaji degree, tinggi sikit. Lepas tu nanti tak payahlah nak harapkan sangat duit ekstra dari ayah aku. Aku boleh tolong top-up kan sikit perbelanjaan adik-adik.”
Khyra dan Zieta yang mendengar itu jadi terkedu. Di saat mereka inginkan gaji mereka sendiri untuk membeli baju yang cantik-cantik, kasut yang mahal-mahal seperti mana yang mereka ingini, rakan mereka yang seorang itu hanya ingin bantu meringankan beban kewangan ibunya yang bergaji kecil. Mereka berdua saling pandang memandang.
“Erm… Pasal duit belanja kau tu… Huzaimi tak boleh bantu ke?” Tanya Zieta.
“Ish, tak nak lah aku mintak duit dari orang, Zie. Memanglah boyfriend aku tu CEO, gah ada company sendiri. Tapi aku tak biasalah nak ambik duit orang. Kalau dia bagi, aku ambik. Dan memang dia selalu bagi pun, tapi kalau namanya nak mintak… Ish, aku seganlah! Aku tak biasa nak meminta-minta. Lagipun, Huz tak tau pasal masalah family aku ni.”
“Laa, kenapa kau tak share masalah kau dengan dia??”
“Hmm… Tak naklah. Dia tu asyik busy je. Biarlah. Aku tak nak kacau concentration dia.”
Kelihatan Zieta dan Khyra mengherotkan mulut mereka.
“Nasib baiklah sekarang kau dengan Huzaimi, Ra… Dapat boyfriend kaya, tak payah nak serabut-serabut macam masa kau dengan Reza dulu!” Lara yang sedang meneguk air teh tariknya hampir-hampir tersembur apabila terdengar nama bekas kekasihnya disebut. Keadaan itu menyebabkan mereka semua tertawa!
“Haa… Speaking of Reza! Korang tau tak, mamat tu SMS aku semalam! Lepas tu, pagi tadi masa aku dekat mahkamah pun aku dapat missed call dari dia.” Suara Lara memuncak sambil mengelap mulutnya dengan tisu.
“What??!” Kata Zieta dan Khyra serentak. Mulut mereka berdua ternganga menyebabkan Lara ketawa geli hati. “Eh, dia nak apa lagi?!” Suara Zieta kedengaran seperti meluat. “Dah berapa lama kau putus dengan dia, Ra?” Tanya Khyra pula.
“Tujuh bulan–”
“Ra, kalau kau layan jantan Singapore yang tak guna tu lagi, kau bukan kawan kitorang!” Celah Zieta.
“Betul, aku sokong. Aku benci dengan mamat tu tau!” Sambut Khyra pula.
Melihatkan reaksi Zieta dan Khyra yang bertalu-talu itu, tawa Lara terus meletus sekali lagi. Sedih hatinya tadi terus hilang melihatkan keletah spontan kedua-dua rakannya itu.
Zieta dan Khyra memang sudah lama ‘pangkah’ Reza kerana lelaki yang berasal daripada Singapura itu terlampau banyak ‘buat taik’ pada Lara di sepanjang tempoh percintaan mereka dahulu. Pada mata mereka berdua, Reza itu umpama biawak hidup yang menyusahkan hidup Lara. Daripada meminjam duit PTPTN Lara, mencuri dan menjual telefon bimbit Lara (dan Lara menidakkan perbuatan buah hatinya itu!) sehinggalah Reza akhirnya ‘kantoi’ tidur bersama seorang perempuan di Singapura, barulah Lara akhirnya memutuskan hubungan mereka. Itupun berbulan-bulan lamanya Lara ‘frust’ menonggeng!
Sebelum kejadian ‘kantoi’ tersebut, Lara sememangnya sangat cintakan Reza walaupun gaya hidup Reza tak tentu hala. Siang lelaki itu membuta dan apabila malam, Reza bekerja sebagai DJ di salah sebuah kelab malam di Orchard Road, Singapura. Hidupnya hanya enjoy sahaja, tak perlu fikir apa-apa. Dalam usianya yang sudah mencecah 26 tahun ketika itu, Reza masih lagi tiada pekerjaan tetap dan tidak bercadang pun untuk mencari pekerjaan tetap seperti yang sering diminta oleh Lara.
Kesenangan hidup Reza hanya bergantung kepada bapanya yang bekerja sebagai Licensed Aircraft and Mechanical Engineer di syarikat penerbangan Singapore Airlines. Jurutera kapal terbanglah dalam bahasa yang mudah. Reza memang selalu mendabik dada bila bercerita tentang bapanya. Bangga sungguh dia dengan jawatan dan kepakaran bapanya dalam selok-belok kapal terbang. Malah, Reza juga megah bercerita tentang gaji bapanya yang mencecah belasan ribu Dollar Singapura sedangkan dirinya sendiri zero…!
“Jom gerak balik bilik, korang. Dah nak dekat pukul 10 malam ni. Nanti ‘masak’ kita nak kena menjawab dengan pak guard UiTM. Balik-balik muka budak Kolej Teratai tiga ekor ni balik lambat!” Kata-kata Zieta itu membuatkan mereka tertawa. Lara cepat-cepat menghabiskan saki-baki air teh tariknya dan setelah itu, mereka semua bangun dan berjalan menuju ke kaunter bayaran…
“Ra, bak sini kunci kereta aku…”
Ujar Zieta sambil menghulurkan tangannya pada Lara. Mereka semua sedang berjalan ke arah kereta Perodua Kancil milik Zieta yang berwarna silver tidak jauh dari Restoran Hakim tadi.
Setelah menyerahkan kunci kereta, Lara terkial-kial menyarung sehelai cardigan besar bagi menutupi baju baby-T sendat dan singkat yang dipakainya itu. Sahsiah rupa diri mahasiswi untuk masuk ke dalam kawasan universiti! Jika tidak, akan terbanglah surat saman di pintu masuk utama nanti seperti mana yang sering Lara kena sebelum ini.
“Lara…”
Tiba-tiba sahaja, kedengaran suara lelaki memanggil nama Lara dari arah belakang. Ketiga-tiga gadis tersebut cepat-cepat memalingkan kepala.
“Reza?!” Kata mereka serentak.
Mata mereka hampir terbeliak. Panjang umur Reza walaupun bagi Lara kalau lelaki itu mati sekalipun dia tidak kisah. Baru saja mereka bertiga bualkan tentang biawak hidup itu sebentar tadi, tup-tup sekarang sudah ada di depan mata!
“Apa you buat dekat sini?!” Suara dan mata Lara mencerun.
Kelihatan lelaki itu hanya mendiamkan diri sambil mengetap bibir. Matanya meneliti riak wajah Lara yang sudah menyinga.
“Sorry I datang ni tak bagi tahu you…” Akhirnya Reza bersuara.
“You nak apa datang jauh-jauh dari Singapura ni cari I?!” Lara cuba mengawal amarahnya manakala Zieta dan Khyra di belakang pula sudah memeluk tubuh sambil mencemikkan muka. Kalau turutkan hati, mahu saja mereka menarik tangan Lara masuk ke dalam kereta dan tinggalkan Reza sendirian di situ.
“Can you please give me another chance?”
“Huh?!” Lara dan rakan-rakannya tercengang.
“Please?” Rayu Reza lagi tetapi Lara terus menggeleng-gelengkan kepala sambil membuat isyarat ‘tidak’ dengan tapak tangannya. “Reza, listen to me okay. Kita dah putus selama tujuh bulan. I pun sekarang dah ada boyfriend. So cukuplah tu, okay? You buat I rasa rimaslah sekarang!” Bentak Lara.
“Reza, sorry ye kalau I menyampuk… Tapi you move on je lah. You jangan ganggu Lara lagilah. Kitorang kesian tengok dia masa you buat macam-macam dekat dia dulu. Kejap you mintak duit, kejap you mintak itu, mintak ini, lepas tu you MIA… Tengok-tengok, tidur pulak dengan perempuan lain. Sudah-sudahlah tu, kesian Lara…” Zieta mencelah dan dia tidak peduli dengan apa sekalipun tanggapan Reza terhadapnya. Kelihatan Khyra menganggukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata Zieta dan waktu itu, wajah Reza berubah.
“Okay fine, kalau itu yang you all nak! Dan you pun Lara memang dah ada boyfriend baru kan?” Kata-kata Reza itu membuatkan telinga Lara bagaikan dihiris. Hatinya terus panas! “Eh Reza, you kena faham konsep sekarang ni. I tak nak terima you, bukan sebab I dah ada boyfriend. Kalau I single pun sekarang ni, I tetap tak akan terima you because I had enough. There’s no more space for you in my life after what you’ve done. Enough…!”
Suasana menjadi sepi seketika.
“I rasa macam ni lah, Reza… I memang tak suka you, tapi I belum benci lagilah. So sebelum I benci you, lebih baik you berhenti buat I jadi rimas… Ini you cari I sampai ke sini, dah macam psiko stalker tau tak?? Jangan buat I rasa menyampah boleh tak?”
Reza menelan liur. Kata-kata Lara yang tajam itu bagaikan satu tamparan yang hebat buatnya. Dia tahu, sewaktu mereka bercinta dahulu memang dia banyak buat salah. Tapi sekarang dia sudah sedar dan ingin memperbaiki diri dan hubungannya dengan Lara. Setidak-tidaknya, Reza berharap Lara boleh memberikannya sekali lagi peluang yang terakhir walaupun itu bermakna dia harus ‘tackle’ hati Lara semula.
“So I rasa cukuplah, you jangan cari I lagi. I dah tak nak ingat apa-apa dah pasal kita dulu.” Sambung Lara lagi.
Reza hanya terdiam kaku dengan wajah yang mencuka. Perlahan-lahan, dia menyeluk tangannya ke dalam poket seluar lantas mengeluarkan satu sampul kertas kecil dan menghulurkan benda itu kepada Lara. Lara menyambutnya dan terus membuka sampul tersebut…
“Cincin?!”
Sebenarnya Lara tahu dan kenal akan cincin tersebut. Cincin emas putih yang Reza belikan buatnya dulu ketika mereka masih awal bercinta. Waktu sebelum Reza buat hal!
“Cincin you yang hilang dulu I jumpa balik. I nak you simpan–”
“Eh I tak naklah!” Lara memintas kata-kata Reza. Dia segera menghampiri Reza untuk memasukkan sampul itu ke dalam poket seluar Reza, tetapi lelaki itu mengelak-elak menyebabkan sampul itu jatuh ke tanah.
“Kalau you benci I sekalipun, you simpan jelah cincin ni...!” Reza mengutip sampul tersebut dan menghulurkannya kembali kepada Lara. “I tak nak! Nak buat apa lagi dengan cincin tu?!” Lara menolak huluran tangan Reza sambil mengundur beberapa langkah ke belakang.
“Dengar sini Lara! You nak I pergi, okay, I boleh pergi! I dah nak gerak ke airport sekarang, flight I balik ke Singapore pukul sebelas kejap lagi. Lepas ni I tak akan ganggu you lagi, okay?! Tapi cincin ni, I nak you simpan sebab cincin ni memang you yang punya!” Suara Reza kedengaran tegas manakala Lara pula hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil membuat isyarat ‘tidak mahu’ dengan tapak tangannya.
“I letak cincin ni atas jalan ni. Kalau you tak nak, you biarkan ajelah dia dekat sini.” Reza merenung wajah Lara buat kali terakhir. Sampul kertas yang berisi cincin itu telah dia letakkan di atas tanah. Perlahan-lahan, dia memalingkan tubuhnya dan bergegas masuk ke dalam sebuah kereta. Selepas menghidupkan enjin, Reza terus beredar dari situ meninggalkan Lara dan rakan-rakannya yang berdiri kaku. Kereta tersebut akhirnya hilang dalam kepekatan malam.
“Kereta siapa tu?” Tanya Khyra.
“Entah, mana aku tahu! Kereta kawan dia kot, dia kan ramai kawan dekat KL ni.” Jawab Lara pula.
“Eh, Ra… Cincin tu cincin silver ke?” Zieta memuncungkan mulutnya ke arah sampul surat di atas tanah.
“White gold.”
“Hah, white gold??” Khyra pula mencelah. Lantas, dia terus mengambil sampul kertas tersebut dan menghulurkannya ke arah Lara. “Kalau white gold, ambiklah simpan. Sayanglah kalau biarkan orang lain ambik!” Kata-kata Khyra itu membuatkan Lara tertawa sambil dia menyambut huluran tangan Khyra.
“A’ah Ra, betul jugak. Kalau kau tak nak cincin tu, kau jual je.” Kata Zieta pula. Lara hanya mencebikkan bibir sambil memasukkan sampul tersebut ke dalam poket seluarnya. “Hmph, emas putih bukannya laku pun kalau nak jual…!” Ngomelnya sendirian.
Mereka semua bergegas masuk ke dalam kereta sementelah jam waktu itu sudah pun menunjukkan pukul 10.15 malam. Sudah pasti mereka akan ditahan lagi oleh pak guard UiTM malam ini. Ini semua Reza punya pasal! Namun begitu, jauh di sudut hati Lara, dia berharap agar terbangnya Reza kembali ke Singapura hari ini adalah untuk selama-lamanya!
Share this novel