Bab 27

Romance Completed 159812

Lara perlahan-lahan terjaga dari lena apabila dia terasa kereta yang dinaikinya terhenti.

Kereta pacuan empat roda Honda CRV yang dipandu Huzaimi itu berhenti di sebuah lampu trafik yang sedang merah. Mata Lara menangkap suasana desa permai berlatarbelakangkan gunung-ganang daripada kejauhan.

Lara sebenarnya terlelap selepas dia dan Huzaimi selesai bersarapan di R&R Tapah sebentar tadi. Kini, ternyata mereka sudahpun keluar daripada lebuhraya PLUS tersebut. Lara bangun daripada sandarannya.

"Hai! Dah bangun?" Satu senyuman terbit daripada bibir Huzaimi. Dia menekan pedal minyak kereta apabila lampu trafik bertukar hijau.

"Kita dah nak sampai ke?" Tanya Lara.

"Almost, dear..."

Saat itu juga pandangan mata Lara dihalakan ke luar tingkap kereta, melihat rumah-rumah kampung yang sedang mereka lalui.

'Air Kuning'.

Perkataan itu tertulis pada papan tanda yang berwarna putih di bahu jalan.

Hari ini, Huzaimi membawa Lara melawat tempat kelahiran dan kampungnya di Taiping, Perak. Semuanya gara-gara amukan SMS Lara beberapa hari yang lalu. Kata Lara, dia langsung tidak tahu latar belakang Huzaimi dan mereka tidak pernah ada bonding session bersama. Maka hari ini Huzaimi meninggalkan segala urusannya demi Lara.

Selepas mereka melalui pekan Taiping, Huzaimi memberhentikan keretanya di bahu jalan bersebelahan dengan sebuah sekolah yang berhadapan dengan taman perumahan. Lara membaca nama sekolah tersebut.

SMK King Edward VII.

"Okay, lawatan pertama kita hari ni..." Kata-kata Huzaimi itu disambut dengan gelak tawa Lara.

"Inilah sekolah I... SMK King Edward VII."

"Ah, I see..." Sambut Lara masih dalam tawanya. Wajah pemuda yang seakan-akan Chinese look itu dijeling manja. Matanya menangkap beberapa blok bangunan sekolah yang dindingnya berwarna gabungan merah dan hitam. Sama dengan warna logo sekolah.

"Daripada tingkatan satu sampailah SPM, I dekat sini. Sekolah ni semua lelaki... So I takde nak mengorat awek-awek masa tu." Huzaimi tersengih memandang Lara.

"Eleh, memanglah takde awek dalam sekolah ni tapi I tahu, budak-budak sekolah lelaki selalunya awek korang budak-budak sekolah perempuan, kan...?!"

Tawa Huzaimi pecah berderai.

"Betul tak?!" Tanya Lara tegas ikut sekali ketawa.

"Adalah, tapi minat-minat gitu ajelah..."

"See!" Sekali lagi mereka tertawa.

"Ini sekolah lelaki yang pertama dan tertua dekat Malaysia tau, dear! Sekolah pioneer ni!" Nada Huzaimi berbaur bangga sambil matanya mengamati setiap sudut di sekolah itu yang menyimpan seribu satu kenangan buatnya. Lara turut sama tersenyum.

"Sekolah I ni terkenal sebab sukan ragbi. Team ragbi kitorang kuat!"

"Oh!" Getus Lara. "So, you main ragbi?"

"Tak... Ganas sangatlah! Sampai patah bahu apa semua... I tak suka. I wakil sekolah untuk bola sepak je." Kata Huzaimi lagi.

Huzaimi mula berkongsi kenangannya sewaktu bergelar pelajar 'Edwardian'. Sekali-sekala kedengaran suara Lara tertawa mendengar kisah lucu si buah hati dan tidak lama selepas itu, kereta pacuan empat roda tersebut mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah...

Hampir tiga puluh minit memandu, Huzaimi memperlahankan keretanya apabila dia membelok masuk ke satu simpang. Suasana pekan yang agak sibuk sebentar tadi mula bertukar ke suasana kampung semula.

Lara tersenyum sendiri. Seronok betul dia dapat masuk ke kawasan kampung! Dia tidak pernah merasai suasana sebegini. Kampung ayahnya di Zooview Ulu Klang manakala kampung belah ibunya pula di Gombak. Kalau dia berkahwin dengan Huzaimi nanti, pasti dia akan selalu ke sini, fikir Lara.

"You nampak tanah lapang tu?"

Lara menyorotkan pandangannya ke tempat yang dimaksudkan Huzaimi.

"Nampak." Ujarnya pendek.

"Dulu dekat situ ada satu pokok besar. Besar sangat! Diameternya I rasa mau hampir lima pemeluk."

"Wah, besarnya...!"

"Ye, memang besar... Dulu, I dengan dua tiga orang kawan dekat kampung ni suka lepak dekat atas dahan pokok tu. Port lepak kitorang waktu petang."

"What?!" Lara tertawa sakan! "You melepak dekat dahan pokok...?! Tak takut jatuh ke?? Kenapa mesti melepak dekat atas pokok?!" Dia tidak dapat bayangkan CEO syarikat hartanah yang semakin ternama itu melepak di atas pokok ketika umurnya muda remaja!

"Haa, itulah you! Budak bandar apa tahu!" Usikan Huzaimi itu menyebabkan Lara menjeling manja.

"Dear, kalau batang dia je dah lima pemeluk, dahan pokok tu kitorang boleh siap duduk bersila dan baring lagi tau! Best lepak dekat atas tu... Berangin je!" Sambung Huzaimi lagi. Dia lihat reaksi Lara masih tertawa riang.

"Serius ke boleh baring bagai??"

"Iye, serius! Tapi baring je lah, kalau nak golek-golek memang you tergoleklah ke bawah!" Serentak itu juga tawa mereka terhambur.

"My mom selalu marah I lepak dekat situ..." Sambung Huzaimi. "Dia kata kami nak gantikan tempat langsuir pulak ke melepak-lepak atas pokok macam tu!"

"Ye, sayang! I pun daripada tadi dok fikir macam tu!" Potong Lara dan sekali lagi, kereta itu riuh dengan suara gelak tawa mereka berdua.

Tidak lama kemudian, Huzaimi memberhentikan kereta apabila tiba di sebuah medan selera yang tidak seberapa besar kawasannya. Hanya terdapat lima blok kedai sahaja di situ tetapi meriah dengan jualan makanan yang berbagai rupa. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung sedang makan dan minum di situ.

"You suka borong kuih-muih, kan? Jom kita tengok apa ada dekat sini." Kata Huzaimi sambil mematikan enjin kereta. Lara hanya akur lantas menjinjing beg tangan ke bahu dan membuka pintu kereta.

"Eh?! Laa... Jemi! Assalamualaikum tokey!!" Tiba-tiba terdengar sapaan daripada seorang lelaki yang sedang minum di gerai makan yang paling hujung. Tangannya di angkat tinggi ke udara manakala beberapa orang lelaki yang lain segera memandang ke arah Huzaimi.

'Jemi?!' Lara ketawa dalam hati!

"Waalaikumsalam..." Jawab Huzaimi sambil menghampiri mereka semua.

"Hish, ini bukan tokey! Ini YB ni!" Sampuk seorang lagi lelaki. Lantas mereka semua tertawa dan bersalaman dengan Huzaimi. Saat itu juga Lara terperasan ada mata-mata yang sedang memandangnya. Mungkin kerana mereka tertanya-tanya akan gerangan dirinya. Lara tidak membalas pandangan itu malah terus mampir ke sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih dan pencuci mulut.

"Ya Allah, YB kawasan! Apa habaq...?! Tiba-tiba muncui ja ni! Apa ceghita?!" Seorang lagi lelaki yang Lara fikir pemilik gerai 'Pat Mat Laksa' itu keluar daripada dapur dan datang bersalaman dengan Huzaimi. Keadaan menjadi semakin riuh membuatkan hati Lara terasa bangga dengan si buah hati.

"Ish, tak maulah jadi YB. Nanti bisnes entah ke mana, kampung entah ke mana!" Suara Huzaimi kedengaran pekat dalam loghat utara diikuti dengan gelak tawa mereka semua.

Sekali lagi hati Lara tercuit dengan rasa bangga apabila orang-orang kampung di situ memanggil buah hatinya dengan gelaran YB. Dia pura-pura tidak mendengar dan terus meninjau-ninjau aneka kuih di depan mata. Makcik yang sedang menjaga jualan itu hanya tersenyum simpul sambil menganggukkan kepalanya kepada Lara. Mata wanita itu menatap wajah Lara dengan seribu makna.

"Makcik..." Lara membalas dengan senyuman dan anggukan kepala juga.

"Kuih hari ni banyak oghang hantaq... Pilihlah, semua tiga seghinggit. Buah melaka dengan coq kodok tu sepeket seghinggit." Kata wanita itu dengan ramah. Senyum Lara makin lebar sambil dia membalas kata-kata wanita itu.

Akhirnya, Lara membeli sepeket cekodok dan buah melaka, kuih karipap berserta popia sira. Selepas itu, Lara berjalan pula ke sebuah gerai yang menjual barangan runcit. Lara membuat bayaran untuk dua botol air mineral yang telah diletakkan di atas kaunter tetapi entah bagaimana, fikirannya tiba-tiba teringatkan Ashraf dan saat dia mengejek Ashraf tentang air Evian ketika mereka dalam perjalanan ke McDonald's Shah Alam.

Hati Lara terusik.

Ashraf langsung tidak tahu menahu tentang keberadaan Lara di Taiping hari ini. Dia terbang ke Moscow semalam. Lara berasa kasihan pula terhadap lelaki itu kerana membiarkan Ashraf hanyut dengan perasaan sendiri sedangkan dia bersama Huzaimi menyulam impian bersama. Lara rasa amat bersalah... Haruskah dia berterus-terang selepas ini?

Hampir setengah jam Huzaimi bersembang dengan orang-orang kampung sementara Lara pula duduk di dalam kereta memakan kuih-muih yang dibeli. Bosan juga bersendirian tetapi Lara dapati mereka di luar sana semakin rancak bersembang dan tiada tanda-tanda yang mereka akan berhenti.

Hati Lara mula lega apabila melihat Huzaimi sudah bersalam-salaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua orang di gerai sana. Kemudian, lelaki itu terus berjalan masuk ke dalam kereta.

"Sorry to keep you waiting my dear! Itulah lecehnya kalau I balik sini... Orang kampung kalau dah jumpa I memang depa tak mau bagi lepaih punya!" Loghat utara itu seolah-olah terus melekat di bibir Huzaimi menyebabkan Lara tertawa kecil.

"You beli apa, yang? Bagi I sikit..." Huzaimi segera mengambil bunjut plastik di atas riba Lara. Cekodok pisang yang telah sejuk terkena penghawa dingin kereta itu dijamahnya. Lara terperasan beberapa orang pakcik kampung tadi terpandang-pandang mereka di dalam kereta.

"Hmm, sedap!" Kata Huzaimi.

"Sedapkan! Ni I belikan you air..." Kata Lara lalu air mineral itu bertukar tangan.

"Kalau you nak tahu, medan selera ni I yang bina... I bina untuk penduduk kampung ni berniaga." Satu senyuman terukir di bibir Huzaimi.

"Wow...! You buatkan untuk penduduk kampung??" Wajah Lara segera bertukar kagum.

"A'ah. Tapi bukanlah under project Anjakan Paradigma sebab ini projek kecik je ni. Kontraktor pun kita pakai kontraktor orang kampung je. I tukang funded je." Huzaimi mencapai sebiji lagi cekodok pisang lalu memakannya. "I nak galakkan orang kampung berniaga... Macam I..." Ujarnya sambil mengunyah dan tersengih.

"You berniaga tokey besar!" Potong Lara dalam senyumannya yang senget tetapi hatinya terasa sungguh bangga!

"Yelah, yang besar kenalah create peluang untuk yang kecil kan?" Mata Huzaimi menangkap satu senyuman yang paling manis terlukis di bibir buah hatinya. Dia yakin yang Lara berasa sangat bangga dengannya!

"Patutlah diorang panggil you YB!" Serentak itu mereka berdua tertawa.

"Jom, dear... I bawak you pergi tempat seterusnya." Huzaimi mencapai kotak tisu di tempat duduk belakang lantas mengelap tangannya yang berminyak sebelum dia menghidupkan enjin kereta...

Kurang sepuluh minit selepas itu, Huzaimi memberhentikan keretanya berhampiran dengan pintu masuk sebuah masjid.

"You baca nama masjid ni." Kata Huzaimi. Mata Lara segera menyorot ke tulisan yang terpampang di sebelah pintu masuk utama masjid tersebut.

"Masjid Al-Ariffin."

"Nama I apa?"

"Muhammad Huzaimi."

"Bin?"

Mata Lara terbeliak!

"Bin Ariffin!" Sambut Lara dengan senyuman yang panjang lebar. Dia lihat Huzaimi tertawa sambil menganggukkan kepala.

"Ini antara projek Anjakan Paradigma... Dah lama I berniat nak buat masjid dekat kawasan sekitar sini, sebelum Anjakan Paradigma wujud lagi... So masjid ni sixty percent funding daripada I, company dan jugak famili. Fourty percent lagi daripada derma individual and corporate."

"Ya Allah, sayang... Bagusnya you!" Lara masih lagi berasa kagum. Dia terus memerhatikan seni bina masjid yang gah itu.

"Rezeki Allah nak bagi. Ada je jalannya waktu tu. Alhamdulillah..." Kata Huzaimi.

Selepas melawat Masjid Al-Ariffin, kereta Honda CRV itu tiba pula di perkarangan sebuah rumah kayu yang tersergam indah di tepi sawah yang menghijau. Pintu dan tingkap rumah tertutup rapat menandakan tidak berpenghuni tetapi binaannya masih cantik dan utuh serta keadaan persekitaran yang bersih dan terjaga. Huzaimi mematikan enjin kereta dan mengajak Lara keluar.

"Ini... Rumah Tuan Haji Ariffin dan Puan Hajjah Sufiah kalau you nak tahu... Rumah I daripada kecik sampailah I bawak my parents pindah ke Damansara Heights." Kata Huzaimi lalu bersandar pada kereta.

"Inilah diri I... I orang kampung je, bukan dari keluarga orang yang ada-ada. Tapi alhamdulillah... Sejak I berniaga ni, I bukan setakat boleh bantu famili tapi orang-orang kampung jugak." Sambung Huzaimi lagi.

Lara mengangguk kepala sambil tersenyum dan meninjau-ninjau keadaan rumah tersebut.

"Setiap kali raya, kami semua akan sambut dan berkumpul di sini... Tapi selalunya mak dengan bapak I yang akan balik dulu time bulan puasa. Sebulan lebih diorang stay sini. Biasanya seminggu lepas raya baru diorang balik ke Damansara semula..." Huzaimi tersenyum nipis.

"I see... Elok terjaga rumah ni." Ujar Lara.

"A'ah, tiap minggu ada orang datang jenguk rumah dan kemaskan halaman ni. Kalau tak, habis bertimbun daun-daun kering sekeliling ni..."

Kelihatan Lara menganggukkan kepalanya. "Best-nya rumah kampung, you.. ! Siap ada sawah lagi!" Suara Lara ceria. Huzaimi dia lihat tiba-tiba sahaja datang berdiri di hadapan sambil tersenyum dan memegang tangannya.

"Ye... Satu hari nanti, you pun akan datang ke rumah ni setiap kali raya... Dengan I... Okay?" Kata Huzaimi. Mata mereka bertentang.

"My dear... I'm sorry-lah kalau selama ni I selalu busy... You tahukan, I banyak projek sekarang tak termasuk lagi the one in Putrajaya and the other one in Kuantan. Itu hari, Tuan Haji Munir pulak proposed untuk kita JV dengan satu company di Jakarta. I punya board meeting sekarang almost every week! Paperwork untuk business proposal berlambak-lambak I kena review. Kadang tu I dah bagi green light, board members yang lain pulak reject. Nak kena tukar yang itulah, nak kena ubah yang inilah. Leceh betul! Itu belum bab documentation yang lain, dear. Lepas ni lagilah... I kena ulang-alik pulak ke Jakarta untuk uruskan hal bukak syarikat dekat sana... Kena jumpa penguatkuasa dekat sana, and then kena site visit lagi... Busy dear!" Ada nada tawa di hujung bebelan Huzaimi yang panjang. Lara tersenyum nipis dan mula rasa bersalah. Dia memandang ke anak mata Huzaimi dalam-dalam, cuba mencari keikhlasan dalam diri lelaki tersebut.

"Sayang, I ni bukan CEO macam dalam drama Samarinda atau novel yang you baca tu. Kejap-kejap boleh keluar dating, besok boleh tengok wayang, minggu depan boleh pergi bercuti sana-sini... I ni CEO di dunia yang nyata di mana I-lah boss, dan I-lah jugak kuli. Ketua kuli kepada semua kuli-kuli yang lainlah! Ada kuli besar, ada kuli kecik!" Serentak kata-kata Huzaimi itu mereka tertawa bersama.

"The direction of Anjakan Paradigma is in my hands. Kalau I lose focus, I jatuh, seratus dua puluh lima orang pekerja jugak akan jatuh bersama I... Setiap hari bila I bangun tidur, I kena fikir macam mana I nak run Anjakan Paradigma dengan lebih maju supaya seratus dua puluh lima orang dekat bawah I ni boleh bagi makan dekat anak bini masing-masing... And the number is growing sebab kita nak masuk Jakarta..."

Lara terpempan dengan kata-kata tersebut! Sesungguhnya dia tidak pernah terfikir akan hal itu. Perlahan-lahan, dia menganggukkan kepala.

"Sebab tu I mintak you faham dengan kesibukan I... Lagipun you tengah belajar, I tak nak kacau you... I nak you focus macam I... Excel in your studies, grad dengan cemerlang, dan lepas tu... Baru kita fikir hal kita." Ada satu senyuman di bibir Huzaimi ketika menuturkan ayat itu.

"Hmm... Hal kita? Sekarang ni bukan hal kita?" Tanya Lara dengan kening yang berkerut.

"Sekarang ni tak jadi hal sangat! Ini nak fikir pasal hal nikah kahwin kita...!" Lara terus tertawa mendengar kata-kata Huzaimi itu. Hatinya terasa bahagia sekali!

"You belajar dulu elok-elok... Bila dah settle semua nanti, baru I nak bincang dengan you."

Sekali lagi kening Lara berkerut.

"Bincang apa?" Tanyanya.

"Yelah, nak kahwin kenalah bincang macam-macam. Takkan nak kahwin koboi ja kot!" Kedengaran loghat utara meniti dalam kata-kata Huzaimi dan membuatkan Lara tertawa besar.

Lantas Huzaimi menyambung lagi sambil membawa tangan Lara ke rapat ke bibirnya, "Dan selain daripada you, I jugak berharap yang satu hari nanti impian I untuk memiliki private jet sendiri akan tercapai... You doakan I okay." Serentak itu, Huzaimi mencium tangan Lara.

Hati Lara melonjak, rasa teruja dengan cita-cita Huzaimi yang tinggi menggunung itu...

Jangan lupa untuk baca/follow 'Cerpen Raya MWB' yang akan Miss publish bermula hari Ahad ini (Pt 1) sehinggalah hari raya korban (Pt 3) nanti :) Kisah famili Ashraf di balik tirai novel... Semoga terhibur!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience