Bab 2

Romance Completed 159812

          BUMI Singapura basah dengan limpahan air hujan yang turun dengan lebatnya. Sekali-sekala, gumpalan awan kelabu kelihatan terang bercahaya diikuti dengan bunyi dentuman petir di langit. Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura pada hari itu tetap sibuk walaupun dalam keadaan ribut yang menggila. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk daripada Terminal Perlepasan dan Ketibaan, masing-masing dengan arah dan tujuan sendiri.

          Seorang lelaki keluar dengan langkah yang longlai apabila lif berhenti di tingkat Basement 2 iaitu tempat letak kereta khas buat kakitangan lapangan terbang tersebut. Dia terus mengorak langkah menuju ke petak parkir kereta milik ayahnya. Keadaan di situ jauh lebih sunyi daripada keadaan di terminal tadi, hanya sesekali terdengar ngauman enjin kapal terbang turun dan naik, sayup-sayup dari kejauhan.

          Tiba-tiba, kedengaran seperti bunyi SMS menerjah masuk. Lelaki itu terus menyeluk poket seluarnya seraya mengeluarkan telefon Nokia N-Gage QD yang berwarna kelabu asap. Sebaik sahaja dia turun dari pesawat tadi, dia terus sahaja menghidupkan telefon bimbitnya menyebabkan mesej masuk bertalu-talu. Dia menekan butang 'Open' lantas membaca mesej yang tertera...

'Memang mahal bro sebab surfing board ni limited edition... Ada signature Kelly Slater dekat hujung deck.' – Ako Surfer

          Huh. Lelaki itu menelan liur. Kelly Slater adalah peluncur papan air terbaik dunia dari Amerika Syarikat yang juga merupakan idolanya. Hatinya terus cair!

'Kalau nak view before purchase boleh? Kalau boleh, tolong bagi address Sabah dekat mana.' Dia menulis, lantas jarinya menekan butang 'Send'.

          Saat mesej itu dihantar, dia sudah pun tiba di kereta ayahnya. Air mukanya berkerut bukan kerana keletihan tetapi seperti sedang memikirkan sesuatu...

          'Kalau nak tengok surfboard tu nanti kena pergi ke Sabahlah pulak...' Katanya sambil membuka pintu kereta. Dia menghenyakkan punggungnya ke tempat duduk pemandu lantas menghidupkan enjin kereta.

          'Hmm... SIA (Singapore Airlines) takde route ke Sabah... Maknanya kena fly ke KL dulu, lepas tu transit dekat KLIA, tukar flight MAS... Ish, leceh jugak.' Fikirannya menerawang sambil tangannya mengenakan tali pinggang keledar. RM2500 untuk sebuah papan luncur air bukanlah menjadi masalah buatnya tetapi perjalanan untuk ke Sabah itu agak merumitkan. Namun, demi tandatangan Kelly Slater, dia nekad untuk pergi juga!

          Sebelum memulakan pemanduannya, dia sekali lagi memeriksa mesej-mesej lain yang masuk ke dalam telefon bimbitnya sebentar tadi. Jari-jemarinya meluncur laju di papan kunci telefon tersebut...

'Ash, where are you? Coming over for dinner tonight?' – Mama

Lantas, dia menaip sesuatu...

'I'm coming now from airport.'  

          Matanya melirik ke arah jam di tangannya... 17:45. Waktu trafik sedang sesak! Sudahlah hujan pula. "Phew..." Keluhnya sendirian.

          Ashraf terus menyelitkan telefon bimbitnya di salah satu compartment box kecil yang terletak di sisi brek tangan kereta tersebut. Dia sudah tidak mengendahkan mesej-mesej yang lain kerana bagi Ashraf, hanya dua SMS itu sahaja yang paling penting untuk dia balas buat ketika ini.

          Tanpa membuang masa, Ashraf mengundurkan kereta pacuan empat roda Range Rover yang tegap berwarna hitam berkilat itu keluar daripada petak parkir. Lantas, dia segera meninggalkan bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan meredah hujan yang sedang lebat menggila di luar sana...

'I walk this empty street, on the boulevard of broken dreams

Where the city sleeps and I'm the only one, and I walk alone...'

          Kedengaran lagu Boulevard of Broken Dreams yang dibawa oleh kumpulan Green Day itu sedang dimainkan di corong radio. Tangan Ashraf cepat-cepat meninggikan volume. Lagu itu adalah salah satu lagu yang sedang melonjak naik di carta radio Malaysia dan radio Singapura kebelakangan ini.

"My shadow's the only one that walks beside me,

My shallow heart's the only thing that's beating,

Sometimes I wish someone out there will find me,

Till then I walk alone...! YEARGH!!"

          Ashraf turut menyanyi mengikut rentak dan lirik lagu untuk menghilangkan rasa mengantuknya tetapi sengaja dia menambah 'Yeargh!' di hujung lagu tersebut untuk mengundang mood metalnya.  Maklumlah sejak dari tadi kelopak matanya seakan ingin terkatup akibat kepenatan.

          Sambil memandu dan menyanyi, jari telunjuk kiri dan kanan Ashraf sekali-sekala memukul perlahan steering kereta seolah-olah dia sedang bermain drum. Dan Ashraf sebenarnya adalah pemain drum untuk sebuah band 'underground' yang dipanggil Necromancers!

          Sebenarnya dalam impian terdalam Ashraf, jikalau dia diberikan satu 'life token' yang membolehkan dia masuk ke dalam kehidupan mana-mana orang di dunia ini, Ashraf teringin untuk hidup sebagai legenda rock star dunia seperti Kurt Cobain, Jimi Hendrix atau Jim Morisson! Namun, semua itu hanyalah bersandarkan pada sisi kata 'JIKALAU'. Ini kerana, diri sebenar Ashraf sebagai seorang lelaki bernama 'Ashraf Zildan bin Zamani' itu sebenarnya seorang yang sangat introvert, tidak padan dengan impiannya! Dan oleh kerana dia bencikan perhatian atau 'limelight', Ashraf lebih rela mengambil tempat sebagai pemain drum; duduk terceruk di belakang daripada berdiri di depan sebagai 'lead guitar' yang sering menjadi pujaan ramai! Bukannya dia tidak reti bermain gitar tetapi itulah dia, si Ashraf Zildan!  

          Setelah lama memandu daripada Singapura ke Johor Bahru, Ashraf akhirnya memperlahankan kereta untuk membelok keluar daripada Jalan Lingkaran Dalam dan masuk ke simpang Jalan Yahya Aldatar untuk menuju ke Taman Serene. Dia terus menarik nafas lega sebaik sahaja kenderaanya masuk ke dalam kawasan perumahan terbabit. Keadaan trafik daripada sempadan imigresen di Singapura dan Johor Bahru sebentar tadi teramat sesak sehingga membuatkan Ashraf pening dan hampir-hampir tertidur di dalam kereta.

          Azan maghrib sudah sayup-sayup kedengaran dari luar kereta. Dia cepat-cepat memperlahankan volume radio.

          Tidak lama selepas itu, Ashraf tiba di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat iaitu rumah kediaman rasmi familinya. Ayahnya Kapten Zamani mempunyai beberapa buah rumah di Johor Bahru, Singapura dan di Kuala Lumpur tetapi rumah banglo yang tersergam di hadapannya itu adalah kediaman yang paling lama sekali mereka diami. Ashraf mengambil telefon bimbitnya dari celah compartment box tadi lantas membuat panggilan.

          "Hello... Martin? Bukak pagar, I'm coming in." Kedengaran suara garau Ashraf memberi arahan. Seketika kemudian, pintu pagar automatik itu terbuka luas. Ashraf mengemudi kereta mewah itu perlahan-lahan masuk ke halaman rumah yang tersergam indah.

          "Uncle!" Martin berlari dan menerkam Ashraf sebaik sahaja Ashraf muncul keluar dari kereta. Ashraf memeluk dan mengusap-usap rambut anak buahnya itu. Martin adalah anak tunggal kepada kakaknya, Sofie yang berkahwin dengan pemuda Australia lapan tahun yang lepas. Martin juga adalah satu-satunya cucu kepada kedua-dua orang tuanya. Maka tidak hairanlah jika Martin terlebih dimanjakan oleh mereka sekeluarga.

          "How are you?" Tanya Ashraf sambil mengeluarkan beg bagasi dari tempat duduk belakang kereta tersebut. "I'm awesome as usual!" Mendengarkan kata-kata Martin itu, Ashraf tertawa kecil. "Urgh! Why sound so 'poyo'?" Serentak itu juga kanak-kanak lelaki itu ketawa besar.

          Martin menghulurkan tangan untuk mengambil beg bagasi dari tangan pakciknya lalu, dia menyeret beg besar yang hampir-hampir menyamai ketinggian bahunya. Mereka berdua terus jalan beriringan masuk ke dalam rumah. Keadaan di luar semakin gelap...

          "Hi, ma..." Ujar Ashraf sebaik sahaja dia muncul di dapur. Kelihatan ibunya sedang sibuk memasak sesuatu. "Hey there..." Zelda menoleh sekilas ke arah anak bujangnya yang tinggi lampai itu. 

          "Wow! Sambal petai udang!" Ashraf senyum lebar sebaik sahaja terlihat akan lauk kegemarannya yang sedang berasap di dalam kuali. Memang itulah tujuan Zelda menghantar SMS kepada Ashraf tadi. Kalau Ashraf tidak pulang ke rumahnya pada malam itu, Zelda tidak kuasa untuk beriya memasak. Paling tidak pun dia hanya akan menyediakan chicken drumstick atau macaroni and cheese kegemaran Martin sebagai makan malam mereka.


Begitulah rutinnya setiap kali Kapten Zamani terbang bekerja. Anak-anak dan cucu tunggalnya, Martin akan ke Taman Serene untuk menemaninya. Kebiasaannya, Martin akan datang sebaik sahaja pulang dari sekolah dan pada sebelah malam, Sofie akan mengambil anaknya itu pulang ke rumah mereka di Century Woods, Woodlands Singapura selepas makan malam bersama.

          "You nak omelette tak?" Tanya Zelda tanpa memandang Ashraf. "Boleh je kalau mama rajin." Ashraf menjawab sambil membuka pintu peti ais. Dia menuang air sejuk ke dalam sebuah gelas lalu meneguk laju seperti orang yang sedang kehausan.

          "Kalau I malas, you tak makanlah malam ni." Kata-kata Zelda itu membuatkan air yang diteguk Ashraf hampir tersembur keluar. Dia memandang ibunya sambil menjeling dan tersenyum sinis. "Yeah. Good one, ma." Kedengaran ibunya itu tertawa kecil.

          Aroma sambal udang yang semerbak itu menyebabkan perut Ashraf terasa sangat lapar. Lantas, dia mengambil sebiji epal daripada peti ais tersebut lalu memakannya untuk mengalas perut. Sambil mengunyah, Ashraf menuju ke arah kaunter dapur seraya menginjakkan kaki dan duduk di atas permukaan kaunter tersebut.

          "Ashraf Zildan!! Runtuhlah benda ni karang!! You ingat you kecik lagi ke?!" Jerkah Zelda menyebabkan Ashraf ketawa terbahak-bahak turun daripada kaunter tersebut. Zelda tersenyum kelat sambil menggelengkan kepala. Memang sewaktu Ashraf kecil dahulu, dia sering dudukkan Ashraf di situ apabila dia sedang sibuk di dapur. Sedar tidak sedar, sudah hampir dua puluh tahun mereka menghuni rumah banglo tersebut. Ashraf pun kini sudah mencecah 26 tahun! How time flies...

          Ashraf menarik kerusi bar stool di sebalik kaunter dapur itu lalu melabuhkan punggungnya di situ. Mulutnya masih lagi mengunyah buah epal sebesar penumbuknya dengan lahap sekali.

          "You balik ke sini guna kereta papa dekat airport ke?" Tanya Zelda. Tangannya dilayangkan ke kuali untuk memasukkan garam ke dalam sambal tersebut.

"Yups."

"Habis tu, Azril balik dari flight esok macam mana? Dia drive?"

          "Tak tau. Kalau dia tak drive pandai-pandailah dia cari transport nanti." Kata Ashraf selamba sambil mengunyah. Begitulah keadaannya bila tiga beranak bekerja di satu syarikat yang sama. Kereta mereka di tempat parking Changi Airport itu umpama 'first come, first serve' dan mereka semua masing-masing ada kunci pendua untuk setiap kereta.

"Kereta you mana?"

"Ada dekat condo abang. Abang hantar orang pergi kerja hari tu." Zelda hanya terdiam apabila mendengarkan jawapan Ashraf.

          Ashraf, Azril dan Sofie menetap di Singapura tetapi rumah Sofie lebih hampir dengan sempadan Singapura – Johor Bahru. Manakala Ashraf dan abangnya itu pula tinggal serumah di kondominium milik Azril yang terletak di daerah Bedok, berdekatan dengan Changi Airport. Namun begitu, Ashraf lebih kerap pulang ke Taman Serene berbanding abangnya. Kadang-kala, jika Zelda menghantar suaminya ke Changi Airport, dia pasti akan singgah bermalam di rumah Azril ataupun di rumah Sofie untuk menemui cucunya. Manakala si Haris, anak bongsunya pula sudah menetap dan bekerja nun jauh di Kuala Lumpur selepas menamatkan pelajarannya di United Kingdom tahun lepas.

          "Uncle, jom main game... Dah masuk level baru! Best!!" Tiba-tiba sahaja Martin muncul di dapur. Ashraf bangun daripada tempat duduknya untuk membuang epal yang sudah habis dimakan ke dalam tong sampah.

"Malam nantilah, lepas dinner okay? Let me shower first."

"Ala... Tapi mommy nak datang ambik Martin malam nanti."

Ashraf tersentak.

          "Esok you sekolah, kan?" Ashraf memandang tajam ke arah anak buahnya itu. Martin hanya mengangguk. "I thought 'no-video-games' rule on weekdays?" Mendengarkan kata-kata pakciknya itu, Martin hanya tersengih seperti kerang busuk.

          "Biarlah... He was bored all day by himself. Lagipun homework dia dah siap..." Zelda tersenyum. Biasalah, seorang nenek pasti menyebelahi cucunya!

"Ma, you have to let him learn to adhere to that rule... You raised two pilots in the house, ma. Discipline is the key...!" Kedengaran suara Ashraf mencerun.

"Okay, fine, fine. I think you better go shower now because dinner is almost ready!" Sekali lagi Zelda tersenyum.

          Ashraf melirikkan mata ke arah Martin dan ibunya. Dia tahu ibunya itu sengaja menukar topik perbualan. Ashraf terus berlalu sambil menggelengkan kepala.

          "Nani – one, you – zero." Kata Martin. Dia sengaja mengejek pakciknya sambil tersenyum nakal. Nani adalah panggilan nenek untuk Zelda.

          "Oh, you know what? I'm the one who supposed to get the plus one and you zero because you don't follow the rule!" Ashraf memandang Martin sekilas lalu sambil menaiki anak tangga untuk ke biliknya di tingkat atas.

          Martin dan Zelda berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum dan mengangkat bahu. Kemudian, kanak-kanak lelaki itu terus memeluk neneknya.

"Assalamualaikum...!"

          Tiba-tiba sahaja kedengaran sayup-sayup suara Sofie yang baru sahaja tiba daripada Woodlands itu memberi salam. "Waalaikum salam...!" Jawab Zelda sambil melepaskan Martin. "Let's go to mommy." Kata Zelda lagi. Dia terus mengambil sambal petai udang yang telah dia pindahkan ke dalam piring sebentar tadi dan bergegas ke ruang makan sambil diikuti oleh Martin...

          Suasana di rumah banglo itu menjadi sunyi sepi setelah Sofie dan Martin pulang sebentar tadi.  Ashraf berjalan menuju ke satu ruangan bar yang terletak di antara ruang makan dan dapur.  Matanya melintasi satu demi satu botol–botol yang berbagai bentuk dan warna di atas rak yang kukuh diperbuat daripada kayu jati. Seketika kemudian, matanya terhenti pada satu botol yang bertulis 'Casal Garcia, Since 1939: Vinho Verde'.

          Ashraf mengambil botol tersebut, lantas membukanya dan menuangkan air wain putih itu ke dalam gelas yang berkaki tinggi...

"Hey...!"

          Tegur Zelda yang tiba-tiba sahaja muncul dari arah ruang tamu selepas menghantar Sofie dan Martin ke kereta sebentar tadi. Dia terus sahaja duduk di bar tersebut bersebelahan dengan anak bujangnya itu. Matanya menyorot ke air wain yang dituang separuh dalam gelas yang dipegang Ashraf.

"Why are you drinking at this hour?" Zelda memandang Ashraf.

          "Takde apa. We just had sambal udang. And you know this one always goes well with shrimps, kan?" Mendengarkan kata-kata Ashraf itu, Zelda hanya tersenyum kecil. Dia terus terkenangkan zaman kegemilangannya ketika bertugas sebagai pramugari Singapore Airlines sewaktu dia bujang dahulu. Ketika itu, krew-krew kabin di ajar untuk mengenali jenis-jenis minuman keras dan padanan minuman tersebut dengan setiap menu yang terdapat dalam setiap penerbangan terutama sekali untuk kabin kelas perniagaan dan kelas pertama. Oleh itu, Zelda sememangnya faham dengan apa yang dimaksudkan oleh anaknya itu.

          Zelda dahulu adalah antara pramugari yang terkenal di Singapore Airlines kerana kecantikan paras rupa kacukannya. Neneknya seorang wanita Indonesia, berkahwin dengan datuknya yang merupakan seorang jejaka Belanda. Hasil daripada perkahwinan itu, lahirlah ayahnya, yang kemudian berkahwin pula dengan ibunya seorang wanita Punjabi di Singapura. Kerana itulah Zelda mempunyai iras wajah yang sangat cantik dan unik.

          Setelah dua tahun dia berkhidmat dengan Singapore Airlines, dia dilamar oleh Kapten Zamani yang ketika itu bertugas sebagai 'First Officer'. Maka, kahwinlah dia dengan seorang jejaka Melayu yang tampan dari Malaysia, negara seberang.

          Satu perkara yang Zelda perasan sewaktu awal perkahwinannya dahulu, walaupun suaminya itu berbangsa Melayu jati, tetapi cara hidup Kapten Zamani itu agak moden jika hendak dibandingkan dengan tatacara hidup orang Melayu kebanyakan. Zelda tahu, itu semua berpunca daripada rutin kerja suaminya yang terbang ke serata ceruk dunia. Dan bagi Zelda, dia langsung tiada masalah dengan hal tersebut tetapi keluarga mereka sering menjadi bahan umpatan ipar–duai, tidak kurang juga daripada jiran-jiran Melayu sekeliling. Ada yang memerli terang–terangan, ada juga yang manis mulut di depan tetapi mengutuk sakan di belakang. Akhirnya, Zelda mengambil keputusan untuk memperhalusi cara hidup orang Melayu termasuklah meninggalkan tabiat meminum minuman keras...

"Ma..."

          Panggilan Ashraf itu mematikan lamunannya. Zelda memandang Ashraf yang tersengih seperti kerang busuk di sebelahnya. "I think you should try this. You know we've got the after taste from the petai just now? Try this and it tastes like... Some kind of fusion twist on your tongue!" Kata Ashraf sambil tawanya terhambur.

"Petai and white wine?! Eww, gross-lah you ni Ashraf!" Zelda memukul bahu anak bujangnya yang tegap sambil kedua-dua mereka ketawa besar.

          "Try lah! Not bad actually, better than cheese and wine!" Ashraf menghalakan gelas wain itu ke arah ibunya membuatkan wanita itu cepat-cepat menolak huluran tersebut. "Ish, tak mahulah! You know I dah quit for so many years, kan!"

Ashraf hanya ketawa melihat gelagat ibunya.

"Ala mama ni..."

"Betullah! I quit since I kahwin dengan papa you tau!"

"Kenapa? Papa tak bagi ke?"

"No-lah, my own preference. Plus, I don't really like the taste actually."

"No, no. This one I promise, it tastes good–"

          "Tak naklah, Ashraf!" Potong Zelda sambil sekali lagi menolak huluran tangan anaknya itu. Dengan muka yang kelat Zelda menyambung, "You know what, I'm gonna scrape off this bar-lah! I don't wanna have these craps anymore in the house and I told papa already!"

"Huh? Why...?"

"I think it's about time. Kalau you all nak minum you all pergi bar dekat luar je lah!"

          Suara Zelda mencerun dengan wajahnya yang masam mencuka. Ashraf gigit lidah sambil tersengih nakal. Sebenarnya, dia ada terdengar topik itu menjadi bualan antara ibu dan ayahnya sejak kebelakangan ini dan Ashraf juga perasan yang mamanya itu sudah seperti... Semakin Islamik sekarang! 'Interesting...' Bisik hati Ashraf. Keadaan menjadi sepi seketika.

"How's work?"

          Ashraf tertawa kecil sebaik sahaja mendengarkan soalan itu seolah-olah ada sesuatu yang mencuit hatinya. Zelda hanya memerhatikan saja wajah Ashraf yang manis dalam senyum simpul lelakinya.

"Ma tau tak, ada fox merayau-rayau dekat runway Changi tadi." Serentak itu, kedua-dua beranak itu ketawa.

"For real?!" Tanya Zelda dalam tawanya.

          "Yes! So semua orang kena divert tadi because of that fella... I kena go-round dekat dua puluh minit! Dah lah weather teruk!" Ashraf meneguk wain bersama senyuman manisnya manakala Zelda pula hanya menggeleng perlahan dengan tawa yang masih tersisa...

"Ma."

          Ashraf menyinggung lengan ibunya menyebabkan Zelda terpinga-pinga memandang Ashraf. "Esok tolong basuhkan baju orang dalam luggage." Ashraf menyeringai seperti kerang busuk.

          "Hei, budak ini... Asal balik sini je sibuk dengan baju kotor dalam luggage. You balik ni semata-mata nak minta tolong I basuhkan baju you je kan?" Jerkah Zelda. Ashraf terus terhambur tawanya.

"Eh, apa pulak! Kan orang memang selalu balik sini?" Senyum Ashraf melebar.

"You ni dah nak kahwin pun I kena basuhkan baju you lagi!"

          "Eh, bila masa pulak orang nak kahwin? Girlfriend pun tak ada, nak kahwin apa ke benda." Potong Ashraf sambil tertawa kecil. Mendengarkan kata-kata anaknya itu, mulut Zelda terlopong.

"Eh...! Bukan ke you tengah keluar dengan budak perempuan... Siapa namanya tu?"

"Irene."

"Ha, yes! What happened?"

Ashraf hanya tersenyum mendengarkan persoalan ibunya itu.

"Entahlah ma. Tak payah fikirlah..." Sambung Ashraf.

"Huh? Kenapa? She dumped you?"

"No. I called it off."

"Huh? Why?!" Mata Zelda membulat.

          Ashraf senyum dan terdiam sebentar. "Tak taulah, ma. Tak ada spark." Jawabnya mudah. Malas dia hendak menghurai jawapan panjang lebar kepada ibunya itu. Kelihatan Zelda sudah tarik muncung sedepa. "You tu janganlah memilih sangat! You ingat you handsome, you boleh cerewet ke?" Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Ashraf terus tertawa.

"Handsome?? Orang pun tak tahu orang ni handsome, ma."

"Hmph!" Bibir Zelda mencebik.

          "Berapa lama you dengan budak Irene tu?" Zelda masih belum puas hati. Anaknya yang seorang ini memang selalu berperangai acuh tidak acuh dalam soal cinta dan teman hidup. Kadang-kala, Zelda sendiri tidak faham dengan kehendak dan corak pemikiran si Ashraf!

          "Erm.... Tiga bulan." Kening Ashraf mencerun seolah-olah sedang mencongak usia perkenalan dia dan gadis yang bernama Irene tersebut.

"Dulu dengan budak yang kerja lawyer tu berapa bulan?"

"Hah? Lawyer...?? Oh, yang itu! Yang tu empat atau lima bulan kot... Entah, tak ingat!"

"Yang itu dia yang mintak putus, kan?"

Ashraf terus tertawa kecil sebaik sahaja mendengarkan pertanyaan ibunya.

"A'ah..." Jawab Ashraf pendek.

"Padan muka you! Entah-entah dia tak tahan dengan 'pe'el' you!" Serentak itu, mereka berdua tertawa.

          "Ala, yang itu pun... Baguslah putus, ma. You know-lah lawyer! Banyak mulut." Ashraf berkata sambil menghabiskan saki-baki terakhir air wain di dalam gelas yang dipegangnya. Dia lihat wajah ibunya itu terus berubah serta-merta.

          "Eh... Banyak mulutlah bagus, boleh banyak bercerita. You tu kan pendiam, kira complete each other-lah. You jugak cakap, you tu tak reti bersembanglah, tak reti nak small talk-lah... Tapi bila dah dapat yang banyak cakap, you complaint pulak. Susahlah you ni Ashraf!" Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata ibunya itu, Ashraf tertawa besar.

          "Bukan ma. Bukan masalah complete ke tak complete... I tak berkenan sangatlah dengan attitude dia tu. She's a cheap ass whiner! Pasal kerja complaint, pasal bos dia pun complaint, pasal client pun complaint. Bila keluar makan dengan dia, complaint jugak cakap makanan tak sedaplah, service tak baguslah, itulah inilah... Semua benda complaint! Peninglah kepala orang..."

"Hmmm...." Zelda mencebik seolah-olah mempertikaikan kata-kata Ashraf.

          "Ma... Orang kerja dalam kokpit tu, beratus-ratus suis orang boleh faham setiap satu kegunaan dia. Tapi kalau dengan orang perempuan ni ma, nak faham satu orang pun susah! Malaslah!" Kata-kata Ashraf itu menyebabkan tawa Zelda terhambur! Lantas, dia menampar bahu tegap anaknya sambil ketawa terbahak-bahak.

"You don't have to understand us... You just need to treasure...!" Kata Zelda dalam tawanya.

"Urgh..." Ashraf buat muka!

          "Lagipun, si lawyer tu sebenarnya jenis yang 'minum' jugak tu. Mamakan tak nak menantu perempuan mama macam tu, kan?" Ashraf tersenyum lebar memandang ibunya. Sekurang-kurangnya, dia ada alasan yang kukuh! Zelda menarik muka masam tetapi kata-kata Ashraf itu memang betul.

"Kalau boleh, memanglah tak nak... I takut nanti you dapat perempuan yang 'coping drinker'. Payah kalau macam tu."

"Perempuan pun ada yang 'coping drinker', ma?"

"Oh, well... You'll be surprised that most of them are females!"

Ashraf hanya tersenyum mendengarkan kata-kata ibunya itu. Yang pasti 'coping drinker' itu bukanlah dirinya!

"Kalau boleh, you carilah perempuan yang poise, down-to-earth, graceful, beauty with brain macam tu..."

"Wah wah, mama... Senangnya order!"

          Zelda terus tertawa besar manakala Ashraf pula hanya menggelengkan kepala dalam senyumnya. Senang sungguh ibunya itu berkata-kata seolah-olah boleh dipetik dengan jari... Tap! Dan kemudian turunlah sang bidadari yang dicari dari langit! Ashraf berasa geli hati.

          "Ataupun Ash, macam ni lah... Apa kata, you start with yourself first. Cuba you quit drinking dulu, try to learn and understand more about our religion... You already a good person, so try to be a good Muslim. Nanti kalau you kahwin, you kena jadi ketua keluarga. So, why don't you prepare early. Mana tau, mungkin ada hikmah you tak dapat girlfriend yang steady lagi..."

          "Cewah! Mama sekarang dah pandai cakap hikmah-hikmah...!" Ashraf tertawa disambut dengan tawa ibunya.

          "Betullah... Sometimes for some people, Allah akan bagi jodoh pada kita bila kita dah bersedia, atau berubah jadi a better person... I percaya dengan konsep tu..." Kata Zelda lagi. Dia lihat Ashraf semakin lebar senyumannya.

"Mama pergi dengar ceramah dekat masjid ke ma?"

          "Ish, kenapa pulak?!" Zelda menarik muka masam. Dia terasa seperti dirinya disindir tajam. "Takdelah, kalau mama pergi, baguslah macam tu." Kata Ashraf lantas bangun dan meletakkan botol wain yang diambilnya tadi kembali ke tempat asal.

"Mama tengok ceramah dekat TV aje lah masa sorang-sorang duduk rumah..."

"Oh... Okay-lah tu." Ashraf tersenyum lagi.

          "Itulah sebabnya... Mama ingat, mama nak pujuk papa pindah ke residential area yang ada community-lah. Rumah pun mama tak nak kawasan besar-besar macam padang bola sampai tak nampak jiran tetangga. Semi-D pun dah cukup. Mama nak ada kawan-kawan yang boleh pergi ke masjid sama-sama, ke kuliah agama sama-sama... Kalau papa tak fly, mama boleh ajak papa join sama."

          Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Ashraf terus ketawa. "Yelah tu, ma. Nanti kalau duduk dekat area jiran-jiran Muslim, mama kena umpat lagi pasal benda ni! Dahlah dalam family pun mama banyak kali kena." Ashraf menunjuk ke arah rak kayu tinggi yang penuh dengan botol-botol minuman keras di hadapan mereka!

          "HEI. I told you, kan! Ini semua nanti... I dah tak nak ada dalam rumah baru I okay?! Kalau papa you nak angkut jugak semua ni, bergaduh besarlah Kapten Zamani dengan I. World war three! Kalau dia Kapten, I ni Jeneral, faham?!" Serentak itu, gelak tawa kedua-dua beranak itu memecah kesunyian di segenap ruang luas rumah banglo tersebut...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience