"Hmm hmm... Hmm hmm hmmm..." Kedengaran suara Azril bernyanyi kecil lagu 'My Way', Frank Sinatra.
Psst! Psst!
Bau wangian Davidoff Cool Water naik semerbak sebaik sahaja dia menyembur wangian itu ke tubuh. Kemudian, botol kaca berwarna biru itu diletakkan semula di atas almari solek. Di belakangnya terdapat bingkai gambar dia, Ashraf dan Kapten Zamani lengkap berpakaian seragam yang diambil di studio bertahun-tahun yang lalu.
Dia mengambil bingkai gambar itu lalu ditenungnya.
Lapan tahun bersama keluarga besar Singapore Airlines, hari ini adiknya akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi tengahari nanti sebagai penerbangan yang terakhir.
Azril tersenyum sendirian.
Nama Ashraf Zildan lebih terkenal meniti di bibir-bibir kapten Boeing 747, tenaga pengajar atau 'instructor' dan juga bos-bos besar kumpulan pengurusan tertinggi syarikat kerana prestasi kerja cemerlang yang ditunjukkan oleh si Ashraf.
Azril masih ingat ketika Ashraf pulang ke Singapura sebaik sahaja tamat pengajian di Arizona, Amerika Syarikat, adiknya itu diberi anugerah khas 'Kadet Juruterbang Terbaik Sepanjang Zaman'. Ini kerana pencapaian Ashraf telah memotong pencapaian kadet-kadet juruterbang terbaik sebelumnya semenjak daripada tahun 1958! Ashraflah 'the best amongst the best', menjadi kebanggaan mereka sekeluarga.
Kini Ashraf akhirnya akan meninggalkan Singapore Airlines untuk menyertai syarikat penerbangan di Malaysia pula. Dan hari ini Azril akan mengetuai 'farewell celebration' di Gate L9 Terminal 3, sebaik sahaja penerbangan adik dan ayahnya tiba daripada San Francisco tengahari nanti.
Bingkai gambar diletakkan semula ke tempat asal lalu Azril menyambar topi pilot-nya dan berlalu pergi.
Tap!
Bilik tidur di rumah banglo Taman Serene itu menjadi malap setelah lampu dimatikan...
"Ma..."
Azril tersembul di ruang dapur. Dia lihat mamanya sedang mencuci pinggan.
"Ala, kenapa mama tak siap lagi?" Wajah Azril berubah, seakan terkejut. Tak sangka pula mamanya benar-benar serius tidak mahu menyertai sambutan perpisahan Ashraf di Changi Airport. Azril ingatkan wanita itu hanya sekadar bertarik tali sahaja semalam.
"You dah siap ke?" Zelda pura-pura bertanya, padahal dia nampak Azril sudah berpakaian lengkap.
"Yups, ready to go."
Zelda tidak memandang sebaliknya terus mengambil tuala kecil untuk mengelap tangan yang basah.
"Mama pergilah tukar baju."
"Ish, buat apa? Macam ni cukuplah, mama nak hantar you je."
"Alaa..." Protes Azril. "Mama janganlah macam ni..."
Zelda hanya berdecip sambil berlalu keluar daripada dapur. Dia mencapai skarf sutera yang bercetak lambang F menegak dan terbalik. Jenama Fendi.
"Ma..."
"Apa?!"
"Come on...!"
"What is it, Azril Zubeen?!"
Suara itu meninggi dan mata kedua-dua beranak itu berpandangan sesama sendiri.
Azril tersenyum.
"Mama macam marah je? Kenapa?"
Diam.
Sejujurnya, Zelda lebih kepada berasa kecewa. Selama ini dia cukup bangga bahawa mereka anak-beranak adalah keluarga 'Singapore Airlines'. Tetapi kini Ashraf telah memecahkan tradisi keluarga dengan menyertai syarikat penerbangan nasional Malaysia. Tanah tumpah darah anaknya, kerana Zelda sendiri adalah warganegara Singapura.
Entah bagaimana, kenangan dua puluh sembilan tahun yang lepas tiba-tiba terbayang di fikiran.
Ya, Ashraf Zildan, anaknya yang ketiga dilahirkan di Malaysia ketika perkahwinan dia dan suami sedang berantakan. Dia dan anak-anak berpindah ke Johor Bahru atas saranan arwah ibu mertuanya, merangkap ibu Kapten Zamani. Wanita itulah yang menjaga kebajikan mereka anak-beranak apatah lagi ketika itu Zelda sedang sarat mengandungkan Ashraf sewaktu 'perpisahan sementara' itu terjadi. Begitulah asalnya bagaimana mereka sekeluarga tinggal di Malaysia.
Kini selepas lapan tahun Ashraf berkhidmat di Singapore Airlines, Zelda diberitahu pada minggu lalu bahawa anak bujangnya ingin beralih angin ke Malaysia Airlines. Saat mendengar berita ini, Zelda seolah-olah hilang kata-kata dan dia tahu, anaknya itu sangat tegas dalam membuat keputusan. Tidak mungkin dia dapat menghalang.
"Betul ek mama tak nak join kitorang? Ini last flight Ash tau... Dia fly dengan papa pulak tu... Jangan nanti kata kitorang tak jemput mama..."
Kata-kata Azril itu mematikan lamunan. Kelihatan anaknya yang nombor dua itu tersengih.
"Takde nak menyesal apalah! Cepatlah sikit!" Katanya sambil berlalu pergi.
"Haa... Jangan menyesal cik Salmah..."
Gurauan Azril yang mengungkap dialog cerita P Ramlee tidak dipedulikan. Zelda terus mencapai kunci kereta lalu bergegas ke halaman rumah...
Dona Manis Cake Shop.
Zelda terjenguk-jenguk memandang ke pintu masuk kedai kek tersebut. Dia menunggu di dalam kereta sementara Azril masuk ke kedai untuk mengambil kek yang telah ditempah.
Kek perpisahan buat First Officer Ashraf Zildan.
Tidak sampai lima minit kemudian, Azril pun muncul. Terkocoh-kocoh dia masuk ke dalam kereta bersama kotak kek yang agak besar.
"Ma, tengok kek ni ma...!" Suara Azril seperti teruja. Dia segera membuka penutup kotak dan kelihatanlah kek yang berbentuk seperti baju seragam juruterbang berserta tali leher, epaulet dan lencana sayap di dada.
'Dear FO Ashraf,
Thank you for your contribution. Keep flying higher!'
Zelda hanya buat senyum paksa. Enjin kereta dihidup dan dia mula memandu ke Changi Airport. Kurang satu jam daripada sekarang, Azril akan menyambut Ashraf dan Kapten Zamani di sana.
Dalam diam, dada Zelda berasa sebak. Perasaannya semakin lama semakin terhimpit. Dia benar-benar tidak suka Ashraf berpindah kerja. Selama ini dia fikirkan anak kesayangannya itu akan selamanya bekerja di Singapore Airlines, seperti suaminya. Malah Ashraf tampak lebih komited terhadap kerjayanya berbanding dengan Azril dan kerana itulah dia sungguh tidak menyangka perkara ini boleh berlaku.
Adakah sebab kes pertuduhan salah laku Ashraf telah membuatkan anaknya itu tawar hati terhadap Singapore Airlines? Fikir Zelda.
Tetapi bukankah kes itu telah dibicarakan di mahkamah dan Ashraf telahpun terbukti tidak bersalah!
'Oh! Ataupun...'
Kata-kata Zelda terhenti di situ. Dia mengetap bibir dan fikirannya terus menerawang. Azril yang sedang bercerita di sebelah langsung tidak dihiraukan, semuanya Zelda angguk dan iyakan saja.
Zelda tekad. Balik sahaja daripada menghantar si Azril, dia akan hubungi Noree dengan segera.
* * * * *
Petang itu, angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menggoncang lembut dedaun pokok getah di sekeliling rumah papan beratap zink.
"Itulah kau. Dari dulu lagi aku dah pesan, bila kau dah dapat si Rizman tu, jangan lupa datang sini 'topup' sikit-sikit. Kau degil! Sekarang, bila si Rizman tu dah mula buat kepala sendiri, barulah menggelupur nak jumpa tok sami ni semula!"
"Ish, kau ni bisinglah Jun! Kau ikhlas ke tak bawak aku datang sini?" Potong Kesuma. Rakannya si Jun hanya menjeling, malas hendak bertekak.
Kesuma membuka pintu kereta milik rakannya lalu mereka berdua melangkah keluar...
Mata Kesuma dan Jun meneliti lilin-lilin yang telah padam di satu sudut di rumah tok sami tersebut. Cecair yang sudah mengeras itu kelihatan bertompok-tompok macam bebusut kecil.
Kelihatan juga tulisan-tulisan berbahasa Siam terpampang di helaian kertas atas meja di hadapan mereka. Entah apalah yang ditulis, mereka sendiri tidak tahu.
"Jadi awak nak lembutkan hati suami awak tu lah sekarang?" Tanya lelaki tua itu dalam loghat Siam.
Kesuma mengangguk sambil senyum teragak-agak. "Err, betul tok. Saya kesian tengok anak suami saya tu tok. Jadi, kalau boleh... Saya nak buat suami saya tu dengar cakap saya. Saya tak nak dia saman anak dia tok... Tak baik, kan?"
Lelaki tua yang berkaca mata itu mengangguk sambil mengeluarkan satu botol kecil berisi minyak yang berwarna kuning keemasan.
Mata Kesuma mengamati minyak tersebut.
"Ini minyak untuk menundukkan orang." Kata lelaki itu.
Kesuma dan rakannya pandang memandang sesama sendiri.
"Kesannya memang kuat. Tapi ingat, awak tak boleh gunakan benda ni untuk buat khianat atau aniaya orang. Faham?"
"Ye, faham tok." Cepat-cepat Kesuma menjawab tetapi pada waktu itu juga dia terasa kakinya ditendang perlahan oleh rakannya, Jun...
"Kau ni suka-suka hati je tipu tok sami tu! Kau tak takut ke?" Jun meluahkan rasa tidak puas hatinya sewaktu mereka dalam perjalanan pulang.
"Ah, nak takut apa pulak?!" Mulut Kesuma terjuih.
"Ye lah... Kau menipu. Kau kata, kau tak nak Rizman saman anak dia. Padahal sebenarnya kau nak laki kau tu tunduk pada kau supaya dia saman anak dia. " Ulas Jun lagi sambil mengemudi kereta.
Kedengaran Kesuma berdecip. "Ala, lebih kuranglah tu ceritanya."
"Hei, kau ni! Apa pulak lebih kurang?! Kau jangan main-main... Tok tu kata minyak tu tak boleh buat aniaya dekat orang tau. Takut nanti-"
"Ye, aku tahulah! Aku bukannya nak aniaya orang, tapi orang yang aniaya aku dengan laki aku! Budak perempuan tu yang buat kecoh dekat rumah kami. Jadi dialah yang cari pasal dulu! Lepas tu sekarang, bila kitorang saman dia, dia nak counter sue pulak kita! Sebenarnya aku dengan Rizman yang teraniaya, tahu tak?" Mata Kesuma menjeling.
"Habis tu, kenapa kau tak cerita macam ni pada tok sami tadi?"
"Ala, lebih kuranglah! Yang kau risau sangat daripada tadi ni kenapa? Sampai menyinggung-nyinggung kaki aku! Takut sangat!"
Jelingan tajam Kesuma menusuk ke wajah rakannya namun tiba-tiba dahi Jun berkerut.
Main singgung kaki? Bila masa pula?
Jun berfikir sendirian tetapi perkara itu tak terkeluar pula daripada mulutnya malah dia terus mendengar bebelan Kesuma di sebelah sambil terus mengemudi kereta...
* * * * *
Selepas semua penumpang penerbangan SQ 31 keluar, Azril segera mengambil tempat di hujung barisan bersama para juruterbang Singapore Airlines di kiri dan kanan 'boarding tube'. Azril tahu, Kapten Zamani di dalam kokpit sekarang sedang melengah-lengahkan Ashraf keluar daripada pesawat supaya mereka semua sempat beratur membentuk barisan. Itu trick yang sudah dirancang.
Beberapa minit kemudian, barulah bayang Ashraf muncul di pintu pesawat. Mereka semua terus mengangkat tangan bagi memberi tabik hormat.Â
Azril lihat dari kejauhan wajah adiknya melopong, terkejut dengan sambutan itu. Kru-kru kabin di dalam pesawat pula sudah siap-siap memasang lagu 'My Way' oleh Frank Sinatra di dalam perut pesawat gergasi...
Sambutan majlis perpisahan itu berakhir di pejabat penerbangan di mana mereka mengabdikan gambar Ashraf menyerahkan beberapa dokumen penerbangan menandakan perkhidmatannya sudah sampai ke penghujung. Selepas itu, acara memotong kek berlangsung diikuti dengan ucapan ringkas oleh Ashraf.
Keadaan terasa agak suram sewaktu suara Ashraf melantun di ruangan sederhana besar itu.
"Sending my resignation was not easy. It took a lot of questioning and reasoning, which happened not only in the cockpit but... Until at home."
Para hadirin di situ tertawa mendengar ucapan Ashraf kerana pernyataan itu secara tidak langsung menunjukkan bagaimana Kapten Zamani mempersoal Ashraf tentang perletakan jawatannya.
Kapten Zamani dilihat tersenyum kecil sambil buat muka selamba!
"But on a serious note, it was not easy because... This is the place where I grow and learn. Yes, I learnt a lot. Along my tenure with Singapore Airlines, I had developed deep and strong progress for my career and flying experience. I wanna thank to all of you here who had chance of flying together with me, thanks for the thick and thin moment. And to all captains, thank you for the lesson learnt."
Ucapan Ashraf terhenti dan keadaan di situ langsung sepi.
Lalu Ashraf menyambung, "And now, First Officer Ashraf Zildan, officially signing off duty. Thank you everyone."
Tepukan gemuruh bergema di ruang legar pejabat penerbangan tersebut. Beberapa orang juruterbang mengelilingi Ashraf sambil berjabat tangan untuk mengucapkan selamat jalan...
"Aku ingatkan kau datang dengan mama." Ashraf berkata tatkala menghampiri Azril sebaik sahaja majlis perpisahan itu berakhir. Hanya terdapat beberapa orang juruterbang sahaja di situ yang masih rancak berbual sesama mereka, termasuklah Kapten Zamani.
Azril tersenyum sumbing mendengarkan kata-kata Ashraf.
"Mama tak nak. Puas aku pujuk dia tadi... Erm, aku tengok mood dia lain macam je pasal kau resign ni." Wajah Ashraf ditenung penuh makna tetapi adiknya itu hanya tertawa kecil seolah-olah gelihati dengan keletah ibu mereka.
"Yeah... Dia tak happy aku keluar daripada SIA."
Azril mengangguk. Memang gelagat Zelda tadi sudah cukup jelas di matanya.
"Takpelah, Ril. Pandailah aku nak pujuk dia nanti."
"Hmm, yeah. Lama-lama okay-lah tu." Azril menumbuk perlahan bahu adiknya.
Sebaik sahaja Azril berlalu, Ashraf mengeluarkan telefon bimbit lantas menaip sesuatu.
'Hey princess. Buat apa?' - Sayang MWB
'Sayang! :) Mmuax! Baru touchdown ye? I dekat UiTM dengan Zieta, tengah ambik jubah convo. Sayang jangan lupa datang my convocation next week tau!'- My Princess
'Oh wow... Someone is graduating soon! ;) Of course I tak lupa convo you next week. Yes, I dah touchdown and tadi ada makan-makan sikit... Actually I nak tanya you something.' - Sayang MWB
'Ha? Tanya apa?' - My Princess
'I nak bawak you jumpa mama and papa next month. You okay with that? ;)' - Sayang MWB
Ashraf tersenyum lebar sendirian. Dia pasti Lara sedang terkejut membaca mesejnya saat ini.
"Ehem!"
Ashraf tersentak dan pantas memandang sosok tubuh Kapten Zamani yang sedang berdiri di hadapannya. Saat itu barulah Ashraf perasan bahawa ruang legar pejabat penerbangan itu telah kosong, yang tinggal hanya mereka tiga beranak.
"Lebar senyum?" Ujar Kapten Zamani menyebabkan Ashraf makin tersipu-sipu. Mereka semua segera mengorak langkah beredar daripada situ untuk pulang ke rumah.
"I bet she must be happy knowing you're going to MAS." Tambah Kapten Zamani lagi.
"Huh? Who?" Kening Ashraf berkerut memandang papanya.
"Hish... Siapa lagi?"
"Lara?"
"Iyalah. Tak kan mama pulak...!" Balas Kapten Zamani. Siapa yang tidak tahu keletah Zelda yang tunjuk protes berkenaan perletakan jawatan Ashraf Zildan?
Kelihatan sebuah senyuman terukir di bibir Ashraf manakala Azril di sebelahnya sibuk 'bergayut' dengan telefon bimbit.
"No, actually... I belum lagi beritahu Lara pasal perkara ni."
Tersentak sedikit Kapten Zamani mendengarnya. "What? Really? Why??"
Kali ini Ashraf tertawa pula. "Erm... I want to surprise her. I nak beritahu masa dia punya convocation day nanti." Katanya.
"Hmm... I see." Kapten Zamani mengangguk perlahan. Bukan main lagi anak bujangnya yang seorang ini!
Waktu itu juga, kedengaran telefon bimbit Ashraf berbunyi menandakan SMS masuk.
'What...? You nak bawak I jumpa parents you?? Oh my god :D Nak tapi nervous-nya!' - My Princess
Hati Ashraf berbunga riang! Dengan senyuman dan air wajah yang berseri-seri, Ashraf menoleh ke arah Kapten Zamani.
"Pa, nanti please share your flight roster next month..."
Ashraf lihat Kapten Zamani mengerutkan kening.
"Next month? Kenapa?"
"I nak bawak Lara datang rumah untuk jumpakan dengan you dan mama."
Mata Kapten Zamani terpinga-pinga menangkap wajah Ashraf.
"Ceh! Ingatkan sebab nak sambut my birthday!"
"Oh gosh! I forgot!"
Lantas kedua-dua beranak itu tertawa bersama untuk pertama kalinya! Azril yang sedang bercakap di telefon hanya memandang sekilas lalu dan berasa sedikit hairan.
"Okay-lah, kalau macam tu orang bawak dia masa birthday papalah. Kita buat family gathering, nak?"
"Hmm, okay. So hadiah birthday I tahun ni dapat menantulah?"
Ashraf senyum tersipu-sipu. Terasa kemesraan terpancar melalui pertuturan dan gaya bahasa badan mereka. Jauh dalam hati, Ashraf bersyukur kerana kehadiran Lara telah merapatkan jurang antara dia dan papanya.
Ah, cepatlah hari berlalu! Ashraf tidak sabar untuk menunggu hari konvokesyen Lara minggu hadapan dan juga hari jadi papanya pada bulan hadapan!
Dia terus menaip SMS kepada Lara dengan hati berbunga-bunga. Ulas bibirnya menguntumkan senyum seolah-olah dialah manusia yang paling bahagia pada saat ini.
'Princess, since we're together, I feel like I'm the happiest man in the world and I thank you for that. I promise that someday I will make you the luckiest girl in this whole world! I love you, Lara Rizman... I really do.'
Saat jari Ashraf menekan butang 'Send', terasa perasaan gelora cinta menghempas ke dada...
TAMAT BAB BONUS
Maaf atas kelewatan Bab Bonus ni. Insya Allah, ada rezeki kita jumpa Ashraf dan Lara lagi! :)
Share this novel