Bab 13

Romance Completed 159812

Jam sudah menunjukkan hampir ke pukul sepuluh malam. Keadaan di Karjis Studio pada malam itu sungguh bingit. Suara orang menyanyi, bunyi gitar dan pukulan drum jelas kedengaran di segenap ruang studio. 

Kelihatan Ashraf duduk di satu sudut sambil memukul drum. Kepalanya terangguk-angguk mengikut irama lagu Vociferation Eternity yang sedang mereka mainkan. Lagu yang pernah menjadi fenomena di kalangan peminat muzik black metal di Malaysia. Ini kerana standard lagu tersebut sama dengan lagu-lagu black metal luar negara sedangkan ahli kumpulan Vociferation Eternity itu semuanya berasal dari Tambun, Perak!

"Have you ever... Stood alone...

Among the mountains,

And breathe,

And scream,

As loud as the universe could hear...?!"

Di hujung rangkap tersebut, kedengaran Jijoy, si vokalis menjerit nyaring diikuti dengan petikan gitar daripada Ejam selaku lead guitar. Waktu itu juga, tangan Ashraf terus menghayun laju kayu pemukul drum dengan rancak sekali sambil kakinya terhentak-hentak memijak pedal pemukul tong bass drum di atas lantai.

"Well nobody had ever the courage,

To what that I've did...

And never one shall even lurk,

The mysteries,

Not even the illusions..."

Di akhir lagu, Ashraf memukul simbal drum untuk beberapa ketika dan membuat penutup kepada lagu tersebut bersama petikan gitar daripada Ejam. Sedikit demi sedikit, bunyi simbal dan gitar itu hilang perlahan-lahan...

Suasana terdiam seketika. Kesemua mata tertumpu pada Danny di dalam konti dan sebaik sahaja pemuda itu menunjukkan isyarat 'okay' dengan jarinya, barulah kesemua ahli Necromancers itu bersorak sakan.

"Gempak sial recording kita...! Kalau masuk Battle of the Band ni gerenti champion-lah!"

Mereka memberikan fist bump sesama sendiri tanda berpuas hati dengan hasil persembahan tadi!

"Weh! Jom lepak mamak dekat bawah kejap-"

"Eh! Relax dulu... Baru habis recording satu lagu takkan nak terus lepak! Kita jam-lah kejap. Aku dah lama gila tak jamming ni, tak puas lagi siot! Kita layanlah Dewa19 dulu ke..." Potong Ashraf lantas mereka semua pandang-memandang sesama sendiri bersama senyuman di bibir.

“Okay-lah, okay... Dia tak puas lagi! Jomlah kita main Dewa se-round!” Kata-kata Jijoy itu disambut oleh gelak tawa semua orang. Waktu itu juga, kelihatan Danny melangkah masuk ke dalam bilik yang kedap itu.

"Hah, Dan! Kau main keyboard!" Ujar Ashraf sambil mengunjuk ke arah keyboard dengan kayu pemukul drum.

"Keyboard?? Boleh. Tapi korang nak main lagu apa ni?" Wajah Danny blur.

“Dewa lagu apa?” Tanya pemain gitar bass, Eddie kepada Ashraf. 

“Ikut koranglah!” Ashraf tersenyum sambil mengetuk-ngetuk kayu pemukul drumnya. 

“Ah, ikut kaulah… Kau dah lama tak datang jamming, kitorang bagi kau decide lagu apa.” Kata Eddie itu dipersetujui oleh rakan-rakan mereka yang lain. Kelihatan pula Danny sudah bersedia di tempatnya.

“Erm… Risalah Hati??” Ashraf tersengih.

"Pergh! Risalah Hati tu...!" Ejam mengejek lantas disambut dengan gelak ketawa yang lain. "Weh, aku tahu! Mamat ni memang tengah jiwang sekarang siot!" Sampuk Danny sambil ketawa berdekah-dekah.

“Right on…! Black metal pun ada hati dan perasaan jugak bro! Selagi dia tak mintak lagu Jamal Abdillah, belum cukup jiwang lagi tu...” Serentak itu, tawa mereka gamat kedengaran daripada bilik recording tersebut...

“Hidupku tanpa cintamu,

Bagai malam tanpa bintang…

Cintaku tanpa sambutmu,

Bagai panas tanpa hujan…"

Suara Jijoy kedengaran lunak. Walaupun band mereka sering memainkan lagu dan muzik yang bergenre keras seperti rock dan metal, tetapi suara serak-serak basah Jijoy kedengaran sangat merdu mendendangkan apa saja lagu!

"Jiwaku berbisik lirih,

'Ku harus milikimu..."

Sebaik sahaja mendengarkan bait lirik tersebut, hati Ashraf bagaikan diramas dengan perasaan rindu yang meluap-luap. Dia segera teringatkan Lara!

"Aku bisa membuatmu,

Jatuh cinta kepadaku,

Meski kau tak cinta kepadaku…

Beri sedikit waktu,

Biar cinta datang,

Kerna telah terbiasa…”

Waktu itu, pukulan drum tiba-tiba terhenti dan Ashraf segera bangun meninggalkan tempatnya. Mata mereka semua terarah kepada Ashraf.

"Woi...! Kau nak pergi mana??" Jerit Jijoy dan serentak itu juga alunan muzik terhenti.

"Aku rasa aku nak baliklah."

"Balik??!" Semua orang ternganga!

"Korang nak pergi lepak mamak, korang pergilah. Aku nak balik sekarang. Wa chow dulu!" Lantas, Ashraf terus berlalu pergi.

"Woi! Apa punya anginlah kau ni!"

Kedengaran rakan-rakan Necromancers itu semua mengomel sesama sendiri seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan Ashraf. Ashraf hanya tertawa sambil membuat lambang 'peace' kepada mereka daripada jauh...

Calling… Ashraf SIA

Darah Lara berderau saat terbaca nama itu di skrin telefonnya. 

“Eh, korang! Ashraf call-lah!” Mata Lara bersinar memandang ke arah dua rakannya itu. 

“Hah! Cepatlah angkat!” Sambut Khyra pula, lantas Lara terus menekan butang ‘Answer’. Panggilan yang dia nanti-nantikan selama ini!

“Hello…”

“Hei…” Kedengaran suara Ashraf seperti orang yang sedang tersenyum.  Lara terus meluru keluar daripada bilik dan menuju ke satu ‘spot’ yang terletak di hujung blok.  Liputan rangkaian TimeCel di situ lebih bagus berbanding di dalam biliknya.

“You dekat mana ni?” Kedengaran suara Ashraf bertanya lembut. Saat itu dia baru sahaja tiba di rumah daripada studio.

“Dekat luar bilik. TimeCel punya coverage tak dapat sangatlah dalam bilik I.”

“Oh…” Kening Ashraf terangkat lalu menyambung, “Pakailah Maxis. Line dia okay apa.”

“Hmm…” Lara membalas acuh tak acuh. Sebenarnya, nombor 012 itu selalu dianggap sebagai 'nombor orang kaya' di kalangan pelajar universiti. Bukan setakat starter pack-nya saja mahal, dua ratus ringgit lebih tetapi kadar caj panggilan telefon pun lebih tinggi daripada rangkaian telefon yang lain.

“You tengah buat apa? I kacau you ke?” Ashraf menyoal. Walaupun bibirnya menguntum senyum, tetapi sebenarnya dia berasa kekok sedikit setelah hampir seminggu tidak bersembang dengan Lara!

“Oh, tak kacau pun. I tengah relax-relax je dengan roommates. Petang tadi kitorang baru habis paper.” Nada Lara dingin lantas membuatkan hati Ashraf terdetik sesuatu.

“Ha... How was your paper?” 

“Hmm… Okay.”

Mendengarkan jawapan Lara yang acuh tidak acuh itu, Ashraf mula berasa gelisah. Kini dia sedar akan sikap dingin dan hambar Lara terhadapnya. Hatinya mula berasa resah.

“So… You ada exam lagi ke lepas ni?” Soal Ashraf lagi. Dia terus memancing Lara untuk berbual.

“Hmm, ada… Paper AOM.”

“AOM? Paper apa tu?”

“Administrative Office Management.”

“Oh...!” Ashraf tertawa lalu menyambung, “Kalau pada I pulak, AOM tu ‘Aircraft Operating Manual.’ Buku manual kitorang!” Kata Ashraf masih lagi tertawa tetapi Lara hanya mendiamkan diri.

“Ash… I really need to ask you something.”

'Ah, okay! There you go baby!’ Bisik hati Ashraf. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan Lara sejak daripada tadi!

“Yes, tanyalah. Anything, just shoot!” Ashraf tersenyum. Suaranya kedengaran tenang tetapi dalam hati, Ashraf rasa dia sudah tahu apakah soalan yang bakal Lara ajukan kepadanya. Jantung Ashraf mula berdegup laju. 

“You kenal Reza tak?” 

Dengan tidak semena-mena dahi Ashraf berkerut! ‘Aikk?? Ingatkan nak tanya siapa yang bagi nombor telefon dia dekat aku!’ Hati Ashraf terus berasa lega!

“Reza???” Dahi Ashraf berkerut.

“Yups.” 

“Tak kenal. Siapa tu?” Tanya Ashraf kembali.

Lara menjelingkan anak matanya ke atas... ‘Kita tanya dia, dia tanya kita balik pulak!’ Getus hati Lara. Dalam pada masa yang sama, Lara cuba meneliti gaya intonasi suara Ashraf untuk dia mengesan lakonan lelaki tersebut.

“So, you memang tak kenal Rezalah?” Soal Lara lagi.

“Tak...!” Ashraf mencerunkan keningnya.

“Ash… Pleasee…?? You jawablah betul-betul… You kenal ke tak Reza tu…??" Suara Lara yang merayu-rayu itu terus mencairkan hati lelaki Ashraf secair-cairnya! Ashraf menelan liur. "I tak nak syak yang bukan-bukan pada you... So you please be truthful to me. Please....?” Rayu Lara lembut.

Demi tuhan, Ashraf sanggup berbuat apa sahaja untuk Lara sekarang ini bagi memenuhi segala permintaan gadis itu. Kalau dia perlu terbang ke KL sekarang sekalipun, Ashraf sanggup!  Tetapi sejujurnya dia memang tidak mengenali sama sekali siapakah lelaki yang bernama Reza itu, jadi bagaimana lagi dia harus katakan untuk meyakinkan Lara?!

“Lara, listen up okay..." Kata Ashraf dengan lembut. "I am NOT lying to you, and I'm not kidding. And seriously I really don’t know who this Reza is…! And why would you think I’d know??” Suara Ashraf sungguh serius membuatkan Lara tergamam seketika.

Lara menarik nafas dan mengeluh panjang. Dia seolah-olah mati akal! Dia sudah tidak tahu bagaimana lagi untuk mendesak Ashraf supaya berlaku jujur. 

"Betul ni?? You tak ada kawan nama Reza??"

"Betul, memang tak ada...! Kalau ada dah lama I mengaku." Pintas Ashraf dengan nada yang tegas tetapi lembut. Kedengaran ada tawa kecil di hujung suaranya.

Lara semakin keliru. Separuh hatinya mempercayai kata-kata Ashraf, tetapi yang separuh lagi masih berbelah bahagi!

“Hmm… Okay-lah. Kalau you tak kenal, takpelah.” Ucap Lara. Kata-kata itu membuatkan Ashraf tarik nafas lega!

“So, kalau you tak kenal Reza… Siapa bagi nombor telefon I pada you??! Jawab!”

Dum!

Terasa dada Ashraf seakan dihempap batu! Dia tidak menyangka soalan cepu emas itu pula yang menyusul keluar selepas soalan mengenai pemuda yang bernama Reza itu! Ashraf terus ketawa namun dadanya sudah berdebar-debar.

“Err… By the way, Lara… Siapa Reza–”

“Ashraf…!! Kali ni, you takkan boleh lari daripada soalan I ni! I tahu, you saja je tukar topik setiap kali I tanya soalan ni, kan?? Hari ni I tak kira! I nak you jawab jugak soalan I ni! I tak peduli!” Bebelan Lara itu sedikit pun tidak menakutkan Ashraf malah dia terus-terusan ketawa! Ashraf rasa gadis itu sangat cute bila membebel.

“Uish… You ni garanglah Lara…” Kata Ashraf dalam sisa tawanya. 

“No! Jangan 'corner' benda lain! Cepat jawab soalan I ni...!” Lara tersenyum kelat. Tawa Ashraf itu sebenarnya mencuit hati tetapi Lara mahu tunjukkan pada Ashraf yang dia betul-betul sedang serius!
 
“Okay, macam ni lah, Lara…” Akhirnya Ashraf bersuara apabila tawanya reda. Lara terus memasang telinga. 

“I janji I akan ceritakan macam mana I dapat nombor you bila kita jumpa nanti. Boleh?”

“Jumpa??” Mata Lara membulat!

“Yups. Kita jumpalah. Kenapa? Tak boleh ke?”

“Kenapa kena jumpa dulu baru boleh cerita?” Lara mencerunkan keningnya. Pertanyaan itu membuatkan Ashraf terkaku.

“Kenapa tak boleh bagi tahu je sekarang? Tak boleh bagi tahu dalam phone ke?” Soal Lara bertubi-tubi.  Dia betul-betul tidak faham dengan permintaan Ashraf itu.

“Ala… Bagi tahu face to face-lah, lagi honest.” Pujuk Ashraf.

“Kalau you betul-betul honest, you boleh bagi tahu je sekarang – tanpa syarat untuk berjumpa!”

Ashraf rasa kerongkongnya tersekat!  ‘Bijak betul minah ni… Dah macam lawyer pulak aku dengar.’ Getus hati Ashraf.  Dia menelan liurnya. 

“Erm… I bukan kenakan syarat pada you, Lara. Cuma… I rasa… Biarlah I sendiri tengok reaksi you bila I ceritakan semua pada you nanti.” Ashraf tersekat-sekat menyusun ayat dengan harapan dapat memancing persetujuan daripada Lara.

“Ha?? Reaksi I?? Kenapa nak tengok reaksi I pulak? Apa you cakap ni? I tak fahamlah!” Pintas Lara. Fikirannya semakin berserabut.

“Okay, okay… I tahu you tak faham sekarang ni. So, let’s plan bila kita nak jumpa. I sanggup turun KL dari Singapore. Lepas tu nanti, I akan ceritakan semuanya pada you sampai you faham. Okay?” Pujuk Ashraf sambil menguntumkan senyum.

“Huh??” Muka Lara berkerut. Ayat Ashraf yang berbunyi ‘turun KL dari Singapore’ itu betul-betul mengingatkan Lara kepada Reza. Lelaki yang dia benci!

Entahlah, si Ashraf ini terus-menerus mengatakan yang dia tidak ada kena-mengena dengan Reza tetapi kadang-kala, kata-kata lelaki itu seolah-olah ada bersangkut-paut dengan Reza! Lara mula berasa tidak sedap hati.

“Kenapa you tak nak jumpa I?” Tanya Ashraf pula. Sekali lagi, Lara mengeluh buat sekian kalinya di hujung talian.
 
“Erm… Entahlah. I tak selesalah nak jumpa stranger.” Jawapan Lara itu membuatkan Ashraf tertawa kerana ia seolah-olah cerminan kepada diri Ashraf sendiri. Tetapi dengan Lara, Ashraf tidak berasa strangers langsung malah, dia berasa sangat selesa bersama Lara!

“Habis tu, kalau tak jumpa… Sampai bila-bila pun kita jadi stranger-lah.” Kata Ashraf spontan. Dia tersengih sendirian. Dia rasa, skil mengayatnya kini telah diasah semakin baik! 

Ashraf bingkas bangun daripada sofa di dalam biliknya itu lantas merebahkan badannya ke atas tilam. Buat sekian kalinya, Ashraf terdengar lagi suara Lara mengeluh di talian.

“Apa yang you takut sangat nak jumpa I ni? Sebab si Reza tu ke?” Tanya Ashraf dengan nada yang serius.  Dia yakin pasti ada sesuatu yang dia tidak tahu. 

“No-lah. Bukan sebab si Reza tu lah–”

“Dah, habis tu? Sebab apa?” Soal Ashraf lagi.

Suasana terdiam seketika.

“Lara, I’m not trying to be pushy, just concerned. Siapa Reza tu sebenarnya?” Soal Ashraf dengan lembut. 

Lara menarik nafas panjang, seakan hilang kata-kata. 

“You ni daripada tadi I tengok asyik mengeluh je. Must be something wrong. Minggu lepas you tak macam ni.” Ashraf terus memujuk tanpa berputus asa.

“Okay-lah, I bagi tahu you… Actually, Reza is my ex-boyfriend.”

“Hmm, okay…” Kata Ashraf.  Dia langsung tidak terkejut. Sejak dari awal lagi Ashraf sebenarnya sudah dapat mengagak. Cuma dia ingin mendengar pengakuan daripada mulut Lara sendiri sahaja. ‘Sounds like a complicated relationship.’ Bisiknya.

“So? Kenapa you fikir I kenal Reza pulak?” Ashraf kehairanan.

“Sebab korang berdua daripada Singapore! Lepas tu, si Reza tu pulak psycho semacam…! I ingatkan dia gunakan you untuk stalk I…! I tak sukalah! I benci!” Mendengarkan penjelasan Lara itu, Ashraf dengan tak semena-mena ketawa besar!

Sebenarnya tawa Ashraf itu hanya untuk menyembunyikan rasa cuak dan gementarnya.  Perkataan ‘pyscho’ dan ‘stalk’ yang Lara sebutkan tadi seolah-olah dilemparkan ke mukanya.  Ashraf pasti cara dia dapatkan butir peribadi Lara pun lebih kurang sama seperti ‘stalking’ juga! Ashraf harap Lara tidak fikir yang dia pun psiko seperti Reza! 

“Jangan gelakkan I, lah! Lagi satu yang buatkan I terfikir korang ni kenal each other… Lepas you telefon I minggu lepas, you terus hilang. Lepas tu, Reza pulak contact I balik! I dah warning dia supaya jangan ambik tahu pasal I lagi. Sekarang ni, tengok-tengok you pulak muncul balik! Manalah I tak syak yang korang ni related…!” Ujar Lara.

"Hilang? I hilang??" Perkataan itu sangat mencuit hati Ashraf.

"Yelah!"

“La… I bukan hilanglah… I pergi kerja. I kena fly minggu lepas. Bukannya saja-saja nak hilangkan diri daripada you…” 

“Huh...? Fly...? You kena fly??” Kening Lara mencerun. 

“Ye. I baru balik daripada Los Angeles pagi tadi. Sebab tu I baru call you malam ni.” Senyum Ashraf sudah hampir ke telinga.

Dahi Lara berkerut. Dia semakin tidak mengerti dengan pekerjaan si Ashraf ini. 

“Hari tu you kata you kerja technical crew, kan?”

“Aha.”

“Technical crew pun kena fly?”

Mata Ashraf membulat. Dia cepat-cepat menahan tawa. Barulah dia perasan yang gadis itu tidak tahu akan pekerjaannya yang sebenar. 

“Ehem! Memang... Memanglah kena fly. Kalau tak fly macam mana I nak buat kerja?” Suara Ashraf kedengaran seperti orang sedang menahan tawa tetapi kerutan di wajah Lara pula semakin bertambah.

"Habis tu... You duduk dekat mana dalam kapal terbang tu? Duduk sekali dengan passanger ke?” Sebaik sahaja mendengarkan pertanyaan Lara itu, tawa Ashraf terus terhambur!

“Ashraf…!!” Lara meninggikan suaranya sambil tersenyum kelat tetapi lelaki itu terus-menerus mengetawakannya. 

“You ni asyik gelakkan I je lah malam ni! Bencilah!” Rungut Lara. Hatinya sakit tetapi tawa Ashraf yang ‘infectious’ itu menyebabkan dia juga ikut ketawa. 

“Lara, Lara…” Sahut Ashraf lalu menyambung tawanya. 

“Technical crew tu maknanya pilot… I ni pilot-lah, takkan I nak duduk dengan penumpang sekali! Hahaha!” Serentak itu, tawa Lara juga turut pecah kedengaran. Kini, barulah dia faham kenapa Ashraf ketawa beria!  Muka Lara sudah merah menahan malu.

“You ni pun! Cakap je lah pilot! Kan senang! Manalah I tahu technical crew tu apa benda…! I ingatkan macam technician!” Bebelan Lara itu membuatkan Ashraf tertawa lagi.

“Eii… You ni kan Ashraf, kalau ada depan I… I cubit-cubittttt you, tau tak?!”

“Ha, kalau you nak cubit I, kenalah jumpa. Nak tak?!” Balas Ashraf dengan tawa yang masih tersisa.

“Tak nak!" Serentak itu, mereka berdua tertawa lagi!

"Haih, you ni lawaklah Lara. Sebab tu I suka bersembang dengan you..." Gelak tawa mereka mula reda. Ashraf yang sedang berbaring itu memetik satu per satu tali gitar di sebelahnya dengan menggunakan jari tangan kirinya.

"Eh, kenapa I dengar macam ada bunyi gitar?" Tanya Lara.

"Sebelah I ada gitar."

"Wah, you pandai main gitar?" Pertanyaan itu membuatkan Ashraf tersenyum lebar! Dia segera bangun dari pembaringannya.

"I boleh main gitar, drum dengan keyboard."

“What?? Wow! Talented-nya!” Teriak Lara.  Pujian dari Lara itu membuatkan Ashraf tersenyum bangga.

"I ada band. Nama band kitorang Necromancers. Kalau dalam band, I main drum.”

"Ohh..." Kening Lara terangkat.

"Lara... I nak mainkan satu lagu untuk you, boleh??" Tanya Ashraf dalam senyumannya yang manis sekali.

"Ha? Lagu untuk I?? Lagu apa??" Suara Lara kedengaran girang!

"Tunggu kejap." Kata Ashraf.

Saat itu, Lara mula terdengar pergerakan Ashraf dan kedengaran juga seakan-akan lelaki itu meletakkan telefon bimbitnya di atas permukaan yang keras.

“Lara?”

“Yes.” Jawabnya.

“Okay, I'm on loudspeaker. Dengar tau, jangan tidur pulak."

"Ish, I tepi tembok dekat luar ni nak tidur apanya!" Mereka berdua ketawa serentak!

"Oh! Sorry, sorry! I lupa you dekat luar..." Ashraf menepuk dahinya lantas menyambung, "But this song is for you, okay..." Ujarnya.

GRENGG!

Kedengaran bunyi gitar dipetik serentak dan selepas itu, satu alunan yang lebih lembut mula kedengaran. Ashraf memetik satu per satu tali gitar tersebut dan akhirnya terciptalah satu irama yang indah.

“Hidupku tanpa cintamu, bagai malam tanpa bintang…

Lara senyum lebar hingga ke telinga saat mendengar getaran suara Ashraf dalam nyanyiannya. Suara garau itu kedengaran sungguh lembut melenturkan setiap tangga nada irama lagu tersebut!

"Cintaku tanpa sambutmu, bagai panas tanpa hujan…

Jiwaku berbisik lirih… Ku harus milikimu…”

Ashraf yang sedang menyanyi pula tiba-tiba rasa meremang. Untuk pertama kali dalam hidupnya, setiap baris lirik yang dia nyanyikan itu masuk menusuk, tepat ke dalam hatinya.

Greng Grengg Grengg!

“Aku bisa membuatmu jatuh cinta kepadaku,

Meski kau tak cinta,

Kepadaku…

Beri sedikit waktu… Biar cinta datang karna telah terbiasa…”

Lara yang masih lagi tersenyum lantas menekup muka! Suara Ashraf itu terasa sungguh menawan hatinya ditambah pula dengan susunan lirik yang begitu indah.

"Sudikah dirimu untuk... Kenali aku dulu...

Sebelum kau ludahi aku... Sebelum kau robek hatiku...!"

Dalam lentokan kepalanya, Lara tertanya-tanya sendiri. Adakah nyanyian itu hanya sekadar lagu atau... Adakah itu bisikan hati lelaki Ashraf terhadapnya...??

Perasaan Lara terus terbuai-buai bersama angin malam yang bertiup lembut…

"Sudikah dirimu untuk... Kenali aku dulu... Sebelum kau ludahi aku... Sebelum kau robek hatiku...!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience