SETERIKA berjenama 'Panasonic' itu diletakkan pada jejalur besi yang melengkung di sebelah papan gosok. Ashraf tersenyum sendirian sambil menyangkutkan seluar kerjanya pada penyangkut baju. Terasa kain seluar itu suam-suam kuku, baru Ashraf gosok. Selepas itu dia tersengih lagi sambil tangannya mencapai kemeja putih kerjanya pula.
"Jambu dengan rock star takde kena-mengenalah!"
Suara Lara malam tadi terngiang-ngiang di telinga Ashraf. Senyumannya makin lebar. Walaupun gadis itu tidak ada di depan matanya, tetapi Ashraf dapat membayangkan bagaimana gadis itu dengan senyuman yang lebar menuturkan ayat tersebut. A smiling voice! Ashraf rasa dia tahu bagaimana raut wajah Lara ketika itu. Ashraf sudah melihatnya beberapa kali sewaktu di KLIA dan sewaktu mereka berada di dalam pesawat.
Sedang dia menggosok baju sambil mengelamun di ruang tamu kondo tersebut, tiba-tiba kedengaran tombol pintu masuk dipulas seseorang pada tengahari itu.
"Assalamualaikum!"
Ashraf terdengar suara ibunya memberi salam. Selang beberapa saat kemudian, bayang ibu dan abangnya muncul daripada balik dinding.
"Waalaikum salam." Jawab Ashraf sambil menyengih.
Zelda terhenti melangkah sebaik sahaja melihat Ashraf. Wanita itu seperti terpaku. Kelihatan Azril yang berpakaian seragam juruterbang serba lengkap itupun turut sama terpempan. Mata mereka memerhatikan seterika di tangan Ashraf dengan pandangan yang tidak percaya.
"Oh wow. Somebody just made up his mind to be an adult today." Kata-kata Azril itu menyebabkan Zelda ketawa!
Ashraf buat selamba dan terus menggosok. Dia tahu, mereka berdua daripada Changi Airport. Ibunya menghantar ayahnya bekerja dan sekali gus mengambil Azril yang kebetulan baru sahaja pulang dari penerbangannya pada tengahari itu. Si Haris pula awal-awal pagi lagi sudah terbang ke Sydney untuk bercuti. Dan petang ini, dia pula akan terbang ke Los Angeles untuk bekerja!
Melalui ekor matanya, Ashraf dapat lihat yang ibunya itu perlahan-lahan semakin menghampiri.
"Kenapa you tiba-tiba iron uniform sendiri ni?" Zelda memandang Ashraf dengan pandangan yang takjub.
"Sejak bila kau boleh iron uniform sendiri?" Tanya Azril pula sambil meletakkan topi pilot-nya di atas sebuah meja konsol di ruang tamu tersebut. Sekali lagi Zelda tertawa. Ashraf pura-pura tidak mendengar.
"Do you do laundry as well?" Azril tersengih nakal sambil menolak beg bagasinya ke arah Ashraf, seolah-olah menyuruh Ashraf mencuci baju kotornya. Empat hari stopover di San Francisco, kesemua baju-bajunya di dalam bagasi tersebut sudah habis dipakai.
"Azril, can you please stop mocking Ashraf?!" Zelda tersenyum lebar dan menjeling Azril. Dia kemudiannya melabuhkan punggung ke sofa dan menghidupkan televisyen manakala Azril pula langsung masuk ke dalam biliknya sambil tertawa.
Ashraf masih buat bodoh. Dia tahu, ini kali pertama dia menggosok baju kerjanya sendiri dan sebab itulah semua orang berasa hairan. Kebiasaannya, Ashraf akan menghantar pakaian seragamnya ke dobi atau tidak lain tidak bukan, akan digosok oleh ibunya.
Sebenarnya, Ashraf sendiri pun berasa hairan. Pagi tadi, saat dia membuka mata daripada tidur, hatinya bagaikan transponder pesawat yang memberi 'ping' gembira ke otak. Lantas, fikirannya segera 'menangkap' detik perbualannya bersama Lara Rizman pada malam tadi dan serentak itu juga, Ashraf terasa seolah-olah sistem badannya mengaktifkan hormon dopamine yang membuatkan dia berasa gembira! Saat dia membuka jendela biliknya dan menyingkap bidai, sinaran matahari pada pagi itu dia lihat lebih indah daripada biasa dan kicauan burung umpama alunan melodi alam yang ceria!
Ashraf gembira bukanlah semata-mata kerana dia dapat menjejaki dan bercakap di telefon dengan gadis 22B tersebut. Tetapi juga kerana dia merasakan wujudnya keserasian antara dia dan Lara pada pertama kali perbualannya bersama gadis itu. Unsur keserasian inilah yang amat bermakna bagi dirinya kerana ianya sesuatu yang belum pernah lagi Ashraf temui pada gadis-gadis sebelum ini! Kini, Ashraf rasa bukan sahaja dia menemui erti cinta tetapi juga memperoleh keserasian dalam sosok diri gadis yang bernama Lara Rizman itu. Tanpa Ashraf sedari, bibirnya mengukirkan senyuman lagi untuk kali yang ke entah berapa...
Ashraf menutup suis seterika sebaik sahaja selesai menggosok. Dia mengambil baju seragamnya lalu dibawa masuk ke dalam bilik. Ashraf lihat ibunya itu sedang leka menonton drama bersiri telenovela di kaca televisyen.
"Ash, you nak pergi kerja pukul berapa?!" Suara ibunya kedengaran dari luar.
"Empat!" Suara Ashraf meninggi sambil dia mencapai tuala.
"Okay... Mama hantar you. Lepas tu nak ambik Martin dari football training."
"Alright ma!" Balas Ashraf...
Setengah jam kemudian, Ashraf keluar dari bilik tidurnya sambil mengenakan tali leher berwarna hitam. Rambutnya sudah tersisir rapi dan baju seragamnya juga sudah tersarung di tubuhnya yang lampai dan sasa. Bau minyak wangi Azzaro Chrome sungguh semerbak mengikuti jejak dan langkah Ashraf.
Ashraf menuju ke meja konsol di ruang tamu lantas mengambil lencana sayap berwarna emas, lalu dikepilkan pada helai baju di dada kiri. Lencana sayap emas berlambangkan logo Singapore Airlines itu menjadi kebanggaan buat setiap si pemakainya, nakhoda si burung besi!
Selepas memakai lencana tersebut, Ashraf mencapai pula sepasang epaulet miliknya yang terletak bersebelahan dengan epaulet Azril. Dia perlahan-lahan berjalan menghampiri ibu dan abangnya di meja makan sambil terkial-kial mengenakan epaulet yang bergaris tiga di bahu.
Kelihatan Azril sedang makan dengan berselera sekali ditemani oleh ibu mereka. Aroma sambal sotong dan ayam goreng yang dibawa oleh ibunya daripada rumah Taman Serene mencucuk-cucuk hidung membuatkan Ashraf juga turut berasa lapar.
"Nak makan tak sebelum pergi kerja?" Zelda memandang wajah anaknya.
"Nak. Lapar." Jawab Ashraf masih lagi mengenakan epauletnya. Dia terus beredar ke dapur untuk mengambil pinggan.
Ketika Ashraf kembali ke meja makan, tangan kirinya memegang sebiji pinggan manakala di tangan kanannya pula terdapat satu jug air kordial root beer yang dibancuh sendiri. Dia meletakkan jug tersebut di atas meja, tanpa menyedari Azril dan ibunya itu sedang terpinga-pinga memandangnya.
"This is not you. Kenapa kau weird sangat hari ni??"
Ashraf tergelak besar mendengar kata-kata abangnya itu.
"Apa lagi Ril? Kau makan jelah." Kata Ashraf sambil tersengih.
"Gosok baju sendiri, buat air sendiri... Selalunya kau tunggu mama buatkan air –"
"Mama tengah makanlah...!" Ashraf memotong kata-kata abangnya. Zelda yang sebenarnya bersetuju dengan Azril hanya tersenyum.
"Selalunya kau tunggu mama buatkan air, atau kau minum air sejuk kosong!" Balas Azril.
Ashraf tertawa kecil.
"Okay, memang hari ni mood aku baik. So aku jadi rajin sikit. Kau nak tambah nasi? Aku boleh tolong cedokkan. Tapi untuk hari ni je." Zelda terus ketawa mendengarkan kata-kata Ashraf manakala Azril pula memandang tajam ke arah Ashraf umpama mata helang yang hendak mencangkuk mangsa!
"Give me some!" Zelda mengunjukkan pinggannya yang sudah kosong, lantas Ashraf terus mencedok nasi daripada mangkuk besar di sebelahnya.
"Sikit je Ash, I tak nak banyak. Tengah diet!" Kata Zelda. Dia memerhatikan Ashraf mengurangkan nasi di dalam senduk. Ashraf hanya mencebikkan bibir apabila mendengar perkataan 'diet' tersebut.
"You nak naik pangkat Kapten ke apa ni?" Zelda bertanya ingin tahu. Kelihatan wanita itu tersenyum di sebalik kerutan di dahi.
"Taklah."
"Eh, mana boleh dia nak naik Kapten. Orang punya flying hours pun baru cecah tujuh ribu jam!" Celah Azril. Air wajahnya serius memikirkan kelakuan pelik adiknya itu.
"Ke... Sebab kau beli kereta baru?" Teka Azril.
"Ah, hampir betul. Tapi tak beli lagi. Dan bukan pasal kereta baru."
"Habis tu...? Kau nak pergi surfing dekat California?" Azril masih tidak putus asa meneka. Dia tahu, Ashraf sudah lama berhasrat untuk wave surfing di California bersama rakan-rakan seuniversitinya dulu. Ketika Ashraf belajar di flying school di Arizona, Amerika Syarikat.
"Nope. Takde plan lagi."
"Huh? So? Kau happy semacam ni sebab apa?"
Ashraf hanya tersenyum lebar mendengarkan pertanyaan Azril sambil mencedok lauk. "Ala, takde apalah!" Getusnya sambil menyuap nasi. Zelda hanya tersenyum sinis.
"Hmm, yeah. Weird..."
Nada suara Zelda perlahan. Naluri keibuannya seolah-olah memberitahu sesuatu pada dirinya!
Tepat pukul empat petang, Ashraf menarik beg bagasinya masuk ke dalam kereta Range Rover yang akan dipandu oleh ibunya. Dan ketika dia memasuki ke tempat duduk penumpang hadapan, telefon bimbitnya tiba-tiba bergetar. Ashraf menutup pintu kereta lantas memeriksa telefon.
1 New Message... 'Read'.
'How's last night bro?' – Danny.
Mesej itu membuatkan Ashraf tersengih. Semestinya 'tuan penasihat dua puluh lima percent' bak kata cerita P. Ramlee itu ingin tahu bagaimana pengalaman Ashraf pertama kali menelefon Lara. Mana tidaknya, Dannylah orang di sebalik tabir yang merangka plot buat Ashraf! Malah, sebaik sahaja Lara menyuruh Ashraf menelefonnya pada sebelah malam, mereka berdua terus mengadakan perbincangan tergempar.
Ashraf tekan butang 'Reply'.
'The best in my life brah! And you know what... She's single because she mentioned about her ex-boyfriend last night! Line clear, bro! ;) Haha! Gotta go now! Text you later.'
Ashraf memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket sambil tersenyum. Setiap kali dia teringatkan Lara, hatinya pasti terasa girang. Entah apalah agaknya gadis itu sedang buat ketika ini, fikir Ashraf. Dia sudah tekad untuk menelefon Lara lagi sebaik sahaja dia pulang dari Los Angeles nanti.
Kereta Range Rover berwarna hitam itu meluncur laju menyusuri Lebuhraya Rentas Pulau. Perjalanan untuk ke Changi Airport daripada kondominium abangnya itu tidak lama, hanya memakan masa sepuluh hingga lima belas minit sahaja jika tiada trafik.
Ashraf melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Telinganya menangkap alunan suara merdu Hetty Koes Endang melalui lagu 'Kasih' di dalam kereta itu. Penyanyi kesukaan ibunya. Ashraf ingat lagi, ayahnya pernah menghadiahkan ibunya tiket VIP ke konsert Hetty Koes Endang di Jakarta sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke tujuh belas. Walaupun dia seorang 'metal head', tetapi Ashraf akui kebanyakan lagu-lagu penyanyi wanita Indonesia itu memang sedap didengar.
'Seandainya mungkin ku mampu terbang ke awan,
Detik ini juga ku akan melayang ke sana...
Kan ku bawa pulang dirimu yang selalu ku sayang...
Bersama... Berdua... Kita Bahagia...'
Telinga Ashraf menangkap bait lirik lagu yang menyebabkan dia tersenyum sendirian! Dia terus menghayati irama indah dan syahdu lagu tersebut...
'Kasih... Dengarlah... Hatiku berkata...
Aku cinta kepada dirimu sayang...
Kasih... Percayalah kepada diriku....
Hidup matiku hanya untukmu...."
Tiba-tiba, wajah Lara menyelinap masuk ke dalam kotak fikiran Ashraf lalu membuatkan hati dan perasaannya bergelojak! Ashraf mengetap bibir sambil menarik nafas dalam-dalam...
Selama ini, bukannya Ashraf tidak biasa mendengar lagu tersebut. Malah, setiap kali ibunya memandu, setiap kali itulah juga lagu-lagu dari album Hetty Koes Endang itu akan berkumandang. Tetapi mengapa hari ini lagu itu seolah-olah menikam hati lelakinya?? Ashraf betul-betul tidak mengerti. Namun, gelojak perasaan itu membuatkan dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya lantas menaip sesuatu di ruangan SMS...
'Hi Lara. On my way to work now and somehow... I got you on my mind. You take care!'
Ashraf tekan butang 'Send'.
Dia tersenyum sendirian. Belum pernah lagi dia menghantar mesej sedemikian rupa sepanjang dia bercinta sebelum ini! Inilah pertama kali dia menghantar SMS sebagai tanda ingatan ikhlas buat seorang gadis. Betapa istimewanya gadis witch itu di hati Ashraf sekarang. Opss...! Bukan witch, tetapi cupid!! Kini, gadis itu telah menjadi sang cupid yang membuatkan perasaan Ashraf sentiasa terbuai-buai di awangan semenjak dari perkenalan mereka di telefon semalam...
Kereta mewah pacuan empat roda itu terus meluncur laju menuju ke destinasi...
* * * * *
"Ish... Ra, aku rasa fishy-lah dengan mamat Ashraf ni." Kata Khyra ketika mereka bertiga minum petang di dewan makan Kolej Teratai. Lara baru sahaja habis bercerita tentang lelaki misteri yang menelefonnya malam tadi.
"Yelah, aku pun rasa macam tu!" Ujar Zieta pula.
Lara menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapat mereka berdua. Sambil itu, dia membuka SMS di telefon bimbitnya yang baru sahaja menerjah masuk...
'Hi Lara. On my way to work now and somehow... I got you on my mind. You take care!' - Ashraf SIA
Lara tersenyum sendirian.
Panjang umur si Ashraf ini. Macam tahu-tahu saja yang namanya sedang disebut-sebut, fikir Lara. Dia tidak membalas mesej tersebut malah terus keluar daripada aplikasi SMS itu dan meletakkan telefonnya ke tepi. Dia ingin menumpukan perhatiannya terhadap perbualan mereka mengenai Ashraf!
"Aku rasa ini kerja si Rezalah." Kata Zieta.
"Hmph! Yelah! Siapa lagi!" Suara dan senyuman Khyra sungguh sinis. Riak wajahnya itu penuh dengan api kebencian terhadap Reza!
"Betul. Aku pun fikir benda yang sama. Bila mamat tu kata dia kerja dengan Singapore Airlines, aku terus terfikir yang dia ni tali barut si Reza." Lara menarik nafas dan mengeluh panjang.
"Iyalah! Kalau tak, macam mana pulak nombor telefon kau boleh tercampak jauh sampai ke Singapura sana?? Siapa lagi yang ada dekat sana kalau tak si biawak hidup tu! Dia ingat kau ni bodoh sangat ke?" Bebel Zieta lalu menghabiskan air tehnya. Dia meletakkan gelas tersebut ke dalam tray makanannya yang telah kosong. Lara tertawa apabila mendengarkan perkataan 'bodoh' itu. Memang perkataan yang sama dia gunakan malam tadi! Good friends think alike!
"Aku rasalah kan... Si Ashraf ni sebenarnya spy kepada Reza. Ayah Reza kan kerja dekat SIA. Jadi, mestilah Reza pun kenal dan ada kawan-kawan staff SIA. Kau kan dah totally block biawak hidup tu dalam hidup kau. So, aku rasa dia gunakan si Ashraf ni untuk ambil tahu pasal kau." Khyra mempersembahkan teorinya sendiri.
"Betul, betul! Aku setuju!" Sampuk Zieta
Lara mengangguk lagi. Teori yang dikemukakan oleh rakannya itu sangat masuk akal baginya. Ini mengukuhkan lagi syak wasangkanya terhadap lelaki bersuara garau itu.
"Kau tak tanya ke siapa nama kawan yang pass nombor kau dekat mamat tu?"
"Itulah pasal! Aku lupa nak tanya semula sebelum hang up semalam." Getus Lara. Khyra dan Zieta menepuk dahi!
"Kau hati-hati, Ra. Aku risaulah. Aku takut kalau-kalau si Reza tu tak puas hati atau sakit hati dengan kau je. Takut nanti, dia apa-apakan kau pulak." Mendengarkan kata-kata Khyra itu, wajah Lara semakin berkerut.
"Aku rasa bahayalah, Ra. Ish! Ataupun kan... Kau tak payah layanlah si Ashraf ni. Kalau dia call nanti kau tak payah angkat. Menakutkanlah! Cuba kau tengok dalam berita sekarang ni... Ada kes perempuan kena simbah asidlah, kena rogollah... Ada sampai kena bunuh! Semuanya sakit hati dan cemburu punya pasallah tu!" Kata-kata Zieta itu lantas membuatkan hati Lara terasa kecut!
Air wajah Lara kelihatan kusut.
"Hmm... Tapikan... Malam tadi, si Ashraf tu ada bagi tahu aku yang dia memang takde kena-mengena dengan ex-boyfriend aku. Daripada cara percakapan dia tu... Nampak macam dia betul-betul takde kena-mengena dengan Reza."
"Kau percaya ke cakap lelaki yang entah mana-mana tu?"
Soalan Zieta itu membuatkan Lara terkedu.
"Hmm... Betul jugak." Lara mengangguk perlahan.
"Oh ye, dia kerja apa dekat SIA tu? Pramugara ke?" Sampuk Khyra pula. Lara hanya mencebikkan bibir menyebabkan Khyra dan Zieta pandang-memandang sesama sendiri.
"Hmm... Dia kata dia technical crew."
"Technical crew...?" Wajah Zieta dan Khyra berkerut.
"A'ah..."
"Apa benda tu?"
"Entah, aku pun tak tahu...!" Lara tertawa sendiri.
"Ala, kenapa kau tak tanya? Kau ni semua soalan-soalan penting kau tak tanya!"
"Koranglah datang sergah aku masa tu! Aku dah nak tanya dah, tapi lepas tu terus terlupa!" Kata-kata Lara itu disambut dengan gelak tawa mereka bertiga. Lantas, mereka segera bangun dari meja sambil membawa tray makanan dan gelas masing-masing menghala ke satu sudut di dewan makan itu.
"Kalau ayah si Reza tu, dia engineer... So, aku rasa technical crew tu macam mekanik kot..." Kata Lara.
"Aku rasa technician-lah... Dah nama pun technical crew!" Ujar Zieta pula. Lantas, Lara dan Khyra menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Zieta. Mereka terus berjalan keluar daripada dewan makan tersebut untuk pulang ke bilik dan menyambung ulangkaji pelajaran bersama-sama...
Ashraf tekan butang 'Reply'. 'The best in my life brah! And you know what... She's single because she mentioned about her ex-boyfriend last night! Line clear, bro! ;) Haha! Gotta go now! Text you later.'
Share this novel