Lara telan liur.
Malam itu dia bersendirian di Sri Mahligai Condominium. Kotak-kotak yang berisi barangannya sudah pun tersusun, menunggu masa untuk berpindah masuk ke Kolej Mawar bagi semester yang akan dibuka.
Jari-jemarinya tergesa-gesa memeriksa satu demi satu lembaran SMS di dalam telefon bimbit Nokia N73 berwarna hitam miliknya. Nafas diatur perlahan tetapi dia sudah berasa tidak sedap hati…
Usai solat Isyak sebentar tadi, Lara terus mengaktifkan kad sim yang baru dia beli bersama Khyra dan Zieta di KLCC siang tadi. Dia mula menghantar SMS untuk memberitahu tentang nombor barunya kepada semua penghantar SMS dalam inbox tersebut (kecuali kepada Huzaimi) tetapi Lara dapati bahawa SMS Ashraf tidak ada dalam senarai SMS di situ! Inilah punca dia tidak sedap hati.
Kening berkerut. Fikirannya menangkap sesuatu yang kurang enak tetapi dia abaikan dahulu segala tanggapan.
"Okay, takpe… Relax… Kita cuba check nombor dia dalam call register pulak. Hopefully ada… Come on, Blackie! Please…!" Lara bercakap sendirian dengan telefon bimbitnya.
Jarinya laju menekan butang masuk ke dalam aplikasi ‘Call Register’, tempat di mana senarai panggilan masuk dan keluar tersimpan. Matanya liar meneliti baris demi baris nombor telefon yang tertera tetapi nombor Ashraf tiada juga di situ!
Nombor telefon yang berada di baris paling akhir dalam senarai tersebut adalah nombor telefon ibu. Tarikhnya adalah semalam dan waktu yang tertera adalah pukul 6.50 petang. Ashraf menelefonnya pada pukul 4.30 petang sebelum penerbangan, dan ini bermakna... Nombor telefon Ashraf sudah terkeluar daripada senarai ini!
"Oh, shit..." Bisiknya.
Waktu ini juga Lara tersedar bahawa kesemua SMS Ashraf selama ini tersimpan di dalam kad sim TimeCel yang dia patahkan dan buang di taman KLCC petang tadi. Sebab itulah ia tidak ada di dalam telefon bimbit ini!
Gulp. Air liur ditelan keras.
Namun begitu Lara masih tidak berpuas hati. Dia terus mengimbas satu demi satu senarai nombor telefon di situ...
Memang Lara tidak ingat nombor telefon si Ashraf sepenuhnya tetapi dia tahu nombor tersebut dengan sekali pandang. Ia ada angka 2,0,4 dan 7 tetapi susunannya saja yang Lara tidak ingat!
Bibir diketap. Perasaan Lara bertukar cemas tetapi dia masih tidak mahu berputus asa.
"Ya Allah, please… Tolonglah. Bagilah nombor Ashraf ada terselit dekat mana-mana dalam telefon ni…" Bisiknya lagi.
Entah apa-apa aplikasi dan folder lagi yang Lara buka untuk mencari nombor telefon Ashraf. Dia kenal nombor tersebut! Nombor telefon yang hanya terkandung angka 2, 0, 4 dan 7!
Lara terus mencari tanpa berputus asa tetapi dia masih tidak menemui yang seakan-akan dengan nombor telefon Ashraf! Adakah ini bermakna mereka sudah terputus hubungan? Tidak mungkin, bukan?
'No, no, no...! Tak kan lah jadi macam tu pulak!' Hati Lara menafikan sekeras-kerasnya. Dia berasa panik tetapi cuba untuk berfikiran positif.
Pasti ada... Nombor Ashraf pasti ada di mana-mana dalam telefon bimbit ini... Lara terus mencari.
"Hhah!"
Lara menekup muka dan satu nafas panjang dilepaskan. Setakat ini, semuanya seperti menemui jalan buntu! Dia termenung seketika tetapi fikirannya rancak memikirkan sesuatu.
‘Okay, ingat balik betul-betul, berapa nombor telefon Ash…’
Bibir diketap dan matanya mengecil. Fikirannya jauh menyelam ke dasar kotak ingatan, cuba mencongak turutan nombor telefon si 'My MWB'.
‘012… 270…’
Dia terhenti sebentar.
Tidak. Rasanya nombor tujuh dalam turutan nombor telefon Ashraf ada di belakang, bukan di depan. Dan seingat Lara ada dua angka 2 di hadapan.
Lara cuba mencongak sekali lagi…
‘012… 2240, 7074.’
Hmm. Kali ini dia rasa yakin sedikit.
Lantas Lara terus membuka satu lembaran di aplikasi SMS dan mula menaip sesuatu…
‘Ash, is this your number? Ini nombor baru I, Lara.’
Jari menekan butang 'Sent'.
Dia mengangguk kepala tanda puas hati dan benar-benar berharap nombor yang dia congak itu betul. Hati berdoa tanpa henti agar mesej tersebut sampai kepada Ashraf.
Sementara itu di London…
Kening Ashraf sekali lagi berkerut. Dia berasa sungguh hairan. Semenjak tiba di bumi London, sudah berkali-kali dia cuba menghantar SMS kepada Lara tetapi kesemuanya tidak lepas.
‘Ada problem ke Maxis ni?’ Bisiknya sendirian.
Ashraf yang baru sahaja mandi terus duduk di birai katil sambil membelek SMS yang dia hantar kepada Lara.
Ada empat kesemuanya dan keempat-empat SMS itu gagal dihantar dan tersimpan di dalam folder 'Outbox' telefonnya.
Lalu Ashraf membuka satu lembaran SMS yang baru dan menaip sesuatu.
‘Ma, orang dah sampai London.’
Dia cuba menghantar SMS tersebut kepada ibunya bagi memeriksa sama ada liputan Maxis benar-benar sedang mengalami masalah tetapi beberapa saat selepas itu tertera notifikasi yang bertulis ‘Message sent’ di skrin telefon.
“Hah, lepas je SMS ke nombor mama!” Ashraf berkata sendirian.
Hmm. Ini bermakna... Telefon atau liputan rangkaian Lara yang sedang bermasalah sekarang ini. Ashraf segera mendail nombor Lara...
'The number you have dialled cannot be reached at the moment.'
Kedengaran suara operator menjawab panggilannya.
'Yes. Her phone is off.' Bisik hati Ashraf sambil memutuskan talian. Mungkin telefon Lara kehabisan bateri, fikirnya lagi. Mungkin Lara sedang berada di luar dan telefonnya kehabisan bateri.
Tetapi kalau gadis itu sedang berada di luar, pukul berapa di Malaysia sekarang? Rasa-rasanya sudah agak lewat malam. Ashraf mencapai jam tangan G-Shock miliknya yang terletak di atas meja kecil bersebelahan katil.
23:40
Pukul sebelas empat puluh minit malam waktu Malaysia. Dengan siapa agaknya Lara keluar? Dengan Zieta? Mereka ke kelab malamkah?
Ataupun Lara keluar bersama Mr CEO?
Dengan tak semena-mena hati Ashraf terasa perit pula bila mengingatkan tentang lelaki itu.
'Ah, lantaklah. Malas nak fikir.' Bisik hati Ashraf. Dia baring memeluk bantal hotel yang empuk di sebelahnya tetapi waktu itu juga notifikasi SMS kedengaran.
Harap-harap SMS daripada Lara. Ashraf mencapai telefonnya dan menekan butang 'Read'.
‘Sampai London? So??’ - Mama
Sebaik sahaja membaca mesej mamanya itu Ashraf tertawa sendirian. Dia menggeleng kepala sambil mencampak telefon ke tepi.
‘Yeah. Thanks for showing your ‘concern’ ma…’ Bisik hati Ashraf berbaur sinis. Sebuah senyuman terukir bersama pejaman matanya...
Mata Lara yang sudah merah dan basah menatap balasan-balasan SMS yang diterimanya satu per satu...
'Sorry, wrong number.' - 012 2240 7074
'Ashraf? Tak ada orang nama Ashraf dekat sini.' - 012 2240 7070
'I think you have a wrong number.' - 012 2204 7200
'Lara? Sorry, takde kawan nama Lara.' - 012 2240 7047
'Hai Lara... Awak hantar dekat salah nombor ni. Ashraf takde, tapi Azfar ada. Boleh jugak kan? ;)' - 012 2204 7700
“Arghh!!” Lara memegang kepala. Dia betul-betul tidak ingat berapa turutan nombor telefon si Ashraf yang sebetulnya!
Yang dia ingat, nombor telefon Ashraf bermula dengan angka 2, dua kali. Dan selepas itu ada nombor tujuh… Dan empat… Dan kosong… Tetapi susunannya Lara sama sekali tidak ingat! Urgh!!
“Macam mana sekarang ni...? Ish, tak sangka pulak nak jadi macam ni!" Sambil berkata, Lara terbayang-bayang kad sim yang dia baling siang tadi.
Ia jatuh di celah-celah rumput tidak jauh daripada gazebo yang dia dan rakan-rakannya duduki. Lara rasa dia boleh cari semula kad sim tersebut tetapi ia sudah rosak akibat terpatah dua! Bagaimana? Aduh!
"Macam mana lagi aku nak cari nombor Ashraf ye?” Dia termenung seketika.
Saat ini Lara yakin yang Ashraf ada menghantar SMS buatnya… Dan pasti Ashraf juga hairan mengapa Lara hanya diam membisu tanpa balasan.
Perasaan semakin kacau-bilau dan dia seakan ingin menjerit. Fikirannya masih menerawang mencari jalan kalau-kalau ada cara lain untuk mendapatkan semula nombor telefon si Ashraf Zildan tetapi semuanya terasa seolah-olah menemui jalan buntu!
“Ya Allah, tolonglah…! Bagilah nombor telefon Ashraf semula padaku…” Lara merintih sendirian sambil menekup muka. Hati kecilnya menjerit nama Ashraf seolah-olah berharap agar ‘jeritan’ itu boleh menghantar signal telepati kepada lelaki tersebut. 'Huh. If only it could...!' Getus Lara. Perasaan semakin tidak enak dan wajah Ashraf terbayang di fikirannya...
Tidak lama selepas itu, Lara mendapat notifikasi SMS dan dengan tergesa-gesa, dia membukanya.
‘Kenapa tiba-tiba you tukar phone number? Dah tidur ke? Boleh I call?’ – Fahd YM.
Telefon di tangan sudah melayang ke atas sofa!
"No!! I don't want his reply!!"
Lara menekup muka dan menangis teresak-esak, tidak dapat menerima kenyataan terhadap apa yang sedang terjadi sekarang ini.
Pasti ada caranya untuk dia dapatkan nombor Ashraf kembali. Tetapi bagaimana??
Dunia terasa gundah-gulana. Lara menghamburkan segala kerisauannya dalam suara tangisan yang amat sayu. Dan pada saat ini, dia sudah tidak sabar menunggu Zieta pulang...
Tak berani nak janji kombo semalam sebab takut tak dapat tunaikan. So kiranya miss buat surprise sikitlah yea ;D Harap terhibur!
Share this novel
Hehehe....bukn zaman dulu je... Now pn jadi
Aduuhhh...no ilang pula