Bagaimana cara yang terbaik untuk putuskan hubungannya dengan Huzaimi?
Inilah yang bermain-main di fikiran Lara seminggu kebelakangan ini, iaitu semenjak dia pulang daripada Amsterdam.Â
Kalau beritahu ibu pasti banyak bunyi. Tak boleh! Dia tak boleh babitkan ibu dalam hal ini.
Tetapi bila mengenangkan ibunya, perasaan Lara menjadi hiba. Dia sebenarnya tidak sanggup menerbitkan keresahan di hati wanita itu. Ibu pasti terluka dengan keputusannya tetapi apa boleh buat, cintanya terhadap Ashraf semakin menunjang malah kini... Dua kali dia mengkhianati Huzaimi ketika di Amsterdam. Walaupun ia bukanlah seperti perbuatan terlanjur, tetapi Lara tidak mahu terus menipu Huzaimi. Hatinya tidak tenteram.
Namun begitu, ia tidaklah bermakna bahawa tidak ada langsung cintanya terhadap lelaki itu. Huzaimi tidak pernah 'buat taik' seperti Reza. Lara rasa sangat bersalah untuk mengakhiri perhubungan ini. Walaupun Huzaimi pernah hilang berhari-hari... Entahlah. Dia tidak pernah rasa syak wasangka terhadap lelaki itu kerana Lara tahu, Huzaimi memang sibuk dengan perniagaannya. Dan kini Lara berasa sedih dan kesal kerana Huzaimi menjadi korban keadaan...Â
Wajarkah dia meninggalkan lelaki itu? Kerana kalau diajukan persoalan 'patut' atau tidak, dia memang patut. Tetapi adakah tindakan ini wajar? Lara tidak mahu membuat keputusan membabi buta. Â
Namun perkara yang paling jelas sekali, Ashraf lebih banyak menunjukkan kesungguhan berbanding Huzaimi. Itu adalah hakikat yang tiada siapapun dapat menyangkal.Â
Apa usaha Huzaimi sepanjang dua tahun lebih mereka bersama?
Fikiran Lara samar-samar. Dia tidak dapat menjawab dengan jelas.Â
USAHA.Â
Adakah keluar makan bersama itu dianggap 'usaha'? Tak. Semua orang keluar makan bersama, tak kiralah sama ada dengan kawan atau kekasih. Malah, keluar makan dengan Huzaimi umpama lunch atau dinner appointment sahaja. Paling lama dua jam, selepas itu lelaki itu harus bergegas pergi.Â
Jadi apa lagi? Apa lagi usaha Huzaimi? Lara harus tahu sebelum dia memutuskan hubungan ini.Â
Adakah Huzaimi seorang pendengar yang baik? Tidak juga. Pendengar ya. Pendengar yang baik... Lara tidak pasti. Baginya, Ashraf mendengar lebih baik daripada Huzaimi selama ini. Dan Lara rasa ini bukan termasuk dalam salah satu cabang usaha. Sesiapa pun akan jadi pendengar kepada orang sekeliling tidak kiralah sama ada kita mendengar luahan daripada kawan, keluarga ataupun pasangan.
Jadi apa usaha Huzaimi?
Fikiran Lara berputar laju. Rokok disedut dan asap berkepul-kepul keluar naik ke udara di ruangan 'open air' kafe Gloria Jean's Coffee, Plaza Alam Shah.
Erm... Mungkin datang menemui ibu. Dan ambil hati ibu. Tapi itu yang melibatkan ibu. Yang hanya untuk dirinya sendiri, apa? Ashraf juga pasti akan datang menemui ibu suatu hari nanti dan yang pasti sebelum lelaki itu bertentang empat mata dengan ibu, bermacam-macam benda Ashraf telah lakukan dan korbankan untuknya.Â
Jadi, apa bahagian Huzaimi pula?Â
Lara mahu tahu; jika dia perlu bersama Huzaimi atas kehendak ibu nanti, apa usaha atau inisiatif lelaki ini untuknya?Â
Rantai emas yang dibeli di Jakarta?
Tidak, itu bukan usaha. Itu pemberian atau hadiah. Jikalau hendak dibandingkan dengan hadiah, Ashraf sudah habis berbelas ribu ringgit untuknya dengan dua trip ke Los Angeles dan Amsterdam.
Jadi apa usaha Huzaimi terhadap dirinya? Fikir Lara. Bibir diketap.
Fikir.
Fikir.
Dan fikir lagi.
Oh. Taiping! Huzaimi mengetepikan jadual padatnya pada hari Sabtu untuk membawa Lara ke Taiping. Itupun setelah kena bebel.
Ada tak perkara yang dilakukan Huzaimi tanpa Lara menyuruh? Seperti Ashraf. Dia hendak tinggalkan Huzaimi untuk bersama Ashraf. Maka dia harus membuat perbandingan antara keduanya sebelum keputusan muktamad dicapai.Â
Hmm... Ada dua kali mereka menonton wayang di mana salah satunya Lara ditinggalkan pada separuh waktu kedua kerana Huzaimi pergi berjumpa dengan kontraktor M&E di Starbucks. Selepas tamat cerita, Lara datang berjumpa Huzaimi di kafe tersebut.
Jadi apa lagi? Hmm...
Rasanya itu sahaja. Sepanjang dua ke tiga tahun hubungan cinta mereka, itu sahaja yang Huzaimi lakukan untuknya. Selain daripada itu, Huzaimi sibuk dengan halnya sendiri. Kerana itu juga perhubungan mereka tidak begitu akrab. Mereka mesra tetapi tidak akrab. Kerana 'bonding session' mereka hanya setakat lunch, dinner, dan tengok wayang... Dua kali. Mereka tidak pernah bercerita dari hati ke hati. Ini situasi paling ketara yang Lara sendiri sedari.Â
Berbanding dengan Ashraf, kali pertama berjumpa di Dome KLCC dulu pun hampir empat jam bersembang! Kemudian sambung pula makan aiskrim di McDonald's. Sembang lagi macam-macam pasal diri mereka sendiri. Pasal zaman kanak-kanak, sekolah di mana, membesar di mana, cerita pasal emak dan ayah, adik-beradik...Â
Selepas daripada pertemuan itu, jangan ceritalah. Kebanyakan perbualan mereka mengenai hati dan perasaan masing-masing walaupun kadang-kala bertikam lidah. Dari Zouk ke Genting Sempah, dari Colmar Bukit Tinggi ke Genting Highland dan sekarang, sampai ke Los Angeles dan Amsterdam... Sejauh itu Ashraf lakukan demi merebut hati dan perhatiannya. Bagaimanalah untuk tidak jatuh cinta pada lelaki seperti ini?
Tetapi bagaimana untuk dia beritahu semua kesungguhan Ashraf ini pada ibu? Mampus! Nanti ada pula emak yang tak mengaku anak! Habis kain bajunya dicampak ke luar rumah! Aduh...Â
Tiba-tiba kedengaran bunyi SMS masuk mematikan lamunan Lara. Ada dua SMS tertera.
'Ra, aku baru habis kelas. Dah nak gerak dah. See you!' - Zieta 016
Lalu Lara membuka satu lagi mesej. Rasa-rasanya daripada Ashraf.
'Hai Lara! Fahd ni. Ini nombor handphone I. I dah dapat resume yang you email tu, tadi dah forward to HR. Fuiyoo! Cun giler you ni!! Ha ha! Sorry, I ambik nombor telefon you daripada resume you :D' - 019 6*29 9099
"Huh?! Fahd?! Ah, aku dah agak dah... Mesti mamat ni ambik contact number aku bila dia dapat resume tu." Bisik Lara sendirian.Â
Semalam, Lara baru sahaja mengemaskini resumenya dan mengambil gambar passport untuk diemelkan kepada Syed Al-Fahd, rakan 'chatting' yang bekerja sebagai jurutera Petronas di Paka dan Kerteh. Waktu itu Lara sudah mengagak, pasti lelaki itu akan mengambil nombor telefonnya kerana Fahd sudah berkali-kali meminta sebenarnya.Â
Jari Lara menekan butang 'Save' untuk menyimpan nombor telefon lelaki itu di dalam telefon bimbit. 'Fahd YM' tulisnya. YM yang bermaksud Yahoo Messenger.Â
Selepas itu, Lara membuka pula satu lembaran mesej yang baru. Mesej Fahd tadi dibiarkan tanpa berbalas. Jarinya laju menaip di papan kekunci.
'Ash... You tengah buat apa?'
Lantas mesej itu dihantar dengan perasaan yang sarat dengan rindu. Sejak daripada tadi Ashraf senyap sahaja. Selalunya setiap jam mereka akan berbalas mesej.Â
Selang beberapa minit kemudian, telefon Lara berbunyi semula. Pasti balasan mesej si Ashraf.
'Princess, I was just thinking of you! :) Baru habis jamming, tengah lepak dengan budak-budak Necro dekat mamak bawah ni.' - My MWB
'Oh okay. I pun tengah lepak sorang-sorang dekat Gloria Jean's, tunggu Zieta datang.' - Princess
'You know what, my band nak masuk competition next year. Battle of the bands. This time it's gonna be held in SG. Nanti you datang tengok I perform nak? :D' - My MWB
Lara tertawa sendirian lalu membalas.
'OMG! NAKKK!!' - Princess
'Kalau I ada peminat nanti you jealous tak? ;) Hehe.' - My MWB
'What?! Huh~ Kalau you tak layan, I tak jealous. Lagi satu peminat tu nanti tak peluk you kan?? So I tak jealous... Hmph!' - Princess
"Hoi!"
Bahu Lara terjungkit dan kedengaran suara Zieta ketawa mengekek serta diikuti dengan suara bebelan Lara!
Tidak jauh daripada situ, ada sepasang mata sedang memerhatikan kedua-dua gadis itu. Sudah agak lama sebenarnya tetapi sebaik sahaja Zieta tiba di situ, sosok itu berlalu pergi...
*Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *
"Oh, Zieta. Kawan baik dia." Ujar Huzaimi yang sedang duduk di kerusi pejabat yang empuk.Â
Pak Samad segera mengangguk. Wajah Huzaimi yang sedang termenung jauh sambil memerhatikan kenderaan lalu-lalang daripada dinding kaca pejabat itu ditenung Pak Samad agak lama. Sudah seminggu dia memerhatikan gerak-geri Lara seperti yang diarahkan Huzaimi. Namun begitu, ada satu perkara yang Huzaimi tidak sedar; bahawa Pak Samad sebenarnya berada di pihak Lara! Oleh itu, Pak Samad mengiyakan sahaja dengan mengatakan Lara ada turun bersama rakan pramugarinya daripada penerbangan Amsterdam pada malam tersebut!Â
"Erm... Saya rasa, encik... Tak adil kalau encik terus-menerus intip dia macam ni. Seolah-olah macam sengaja mencari kesilapan dia seorang, encik." Kata-kata ini menyebabkan satu renungan tajam ditusukkan ke pandangan matanya.Â
"Che Mat, kunci kereta yang saya bagi tu untuk Che Mat bergerak ke sana-sini, bukan untuk Che Mat bukak mulut!" Bentak Huzaimi.Â
Pak Samad hanya menundukkan kepala sambil mengangguk perlahan. Dia sudah tidak sanggup sebenarnya untuk mengintip Lara kerana bimbang jika gadis itu didapati berlaku curang. Dia boleh menipu dengan mengatakan melihat Lara di KLIA pada minggu lepas, tetapi jika terang-terangan Lara bermesra bersama lelaki lain, sudah pasti dia tidak boleh mengatakan yang sebaliknya.Â
Hati Pak Samad berasa gelisah pula mengenangkan perkara yang bakal berlaku antara majikannya dan gadis manis itu nanti apatah lagi jikalau-
BAM!
Pintu bilik pejabat Huzaimi ditolak kuat membuatkan kedua-dua lelaki itu menoleh.
"Kenapa you buat keputusan untuk Renong Berhad shares tu tak consult I dulu?!!"
Seorang wanita yang menjinjit beg tangan Chanel menempelak. Pak Samad cepat-cepat berlalu keluar.
"Benda tu dah collectively agreed by all Board members. Dah dapat majority votes dah pun, Rin!"
Belum sempat Huzaimi mengulas dengan lebih lanjut, segala fail dan buku-buku di atas meja ditolak jatuh ke atas lantai oleh wanita tersebut.
Pintu segera ditutup kasar dan serentak itu juga, kedengaran suara wanita itu bersama Huzaimi menempelak sesama sendiri.
Pak Samad yang tercegat di luar bilik terkulat-kulat, saling bertukar pandang dengan Khairul, pembantu peribadi Huzaimi. Selepas itu masing-masing buat muka.
Perlahan-lahan, lelaki tua itu menghampiri Khairul yang sedang menaip.
"Rul... Kamu boleh tolong acik tak?"
Khairul berhenti menaip lalu memandangnya. Dia agak rapat juga dengan Pak Samad. Mana tidaknya, jika bos mereka bermesyuarat hingga ke malam hari, merekalah yang sama-sama akan menunggu di pejabat.
"Tolong apa Che Mat?"
Pak Samad tersengih.
"Kamu boleh simpan rahsia? Kamu boleh tak bekerjasama dengan acik?" Sengih lagi.
"Ha?? Kerjasama apa ni?"
"Pasal budak perempuan ni ha..."
Sekeping kertas dihulurkan kepada Khairul. Wajah pemuda itu berkerut memerhatikan gambar yang tertera pada kertas hitam putih tersebut.
"Eh? Kenapa dengan minah ni Che Mat?"
"Syhh... Jangan cakap kuat-kuat... Kamu ni! Nanti staff lain dengar!"
"Takde siapa dengarlah. Jawablah Che Mat, kenapa dengan dia ni? Nama dia Lara, kan?"
Mata Pak Samad buntang memandang wajah Khairul kerana terkejut.
"Kamu kenal dia??"
Reaksi Pak Samad itu menyebabkan Khairul ketawa gelihati...
Sorry, lambat sikit publish malam nie :) Terima kasih sebab sudi tunggu MWB <3
Share this novel