LARA duduk sendirian di satu kawasan berbukit-bukau pada petang yang hening itu. Bangunan Kolej INSPENS di Seksyen 7 yang terletak bertentangan dengan kawasan bukit tersebut samar-samar kelihatan di celah-celah pepohon yang tinggi...
"Bahawasanya saya, Lara binti Rizman mengaku bahawa segala yang akan saya nyatakan dalam perbicaraan ini adalah benar, tidak ada yang tidak benar melainkan yang benar-benar belaka."
     Momen Lara mengangkat sumpah di dalam kamar perbicaraan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pagi tadi masih terbayang-bayang dalam ingatannya. Otaknya tidak henti-henti memutarkan semula segala peristiwa yang terjadi hari ini. Semuanya bagaikan satu klip video yang ditayang berulang kali walaupun jiwanya sudah tidak tertanggung. Lara lelah! Airmatanya jatuh satu per satu...
'Sial betul hari ni...!' Bisik hati kecil Lara.
     Dia mengesat matanya. Di jarinya pula terselit sebatang rokok yang sedang menyala dan pada batang rokok itu, terdapat perkataan 'Family' yang ditulis dengan menggunakan ball pen biru. Lara menyedut rokok itu dalam-dalam sehingga matanya mengecil. Kedengaran bunyi dedaun lalang menari-nari ditiup angin...
"Cik Lara, sila beritahu kepada mahkamah ini nama penuh, umur dan pekerjaan anda."
     Itulah kata-kata yang dilontarkan oleh peguam ayahnya yang bernama Kamaruzzaman Zulkifli sebagai indikasi bahawa perbicaraan sudah bermula. Lelaki itu berbadan kurus dan tinggi lampai, berkulit cerah serta berkaca mata. Dek kerana iras wajahnya yang tenang dan lembut, Lara benar-benar sangkakan yang proses perbicaraan hari ini akan berjalan dengan mudah dan lancar.
     "Nama saya Lara binti Rizman, berumur 21 tahun. Saya tidak bekerja dan saya adalah pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam jurusan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat." Jawab Lara dengan tenang dan di akhir ayatnya itu, Lara memandang sekilas lalu ke arah ayahnya yang duduk sendirian di bangku ruangan hadirin tanpa ditemani isterinya. Baguslah, Lara memang tidak mahu melihat sosok perempuan puaka itu. Melihatkan ayahnya sahaja pun sudah terasa perit di hati namun, Lara berlagak tenang di hadapan puluhan mata yang memandang di dalam kamar penghakiman tersebut...
     Angin sepoi-sepoi bahasa di bukit itu menyapa lembut wajah Lara yang sugul. Jarinya mengetuk perlahan puntung rokok untuk membuang abu yang sudah memanjang. Kemudian, Lara menghidupkan iPod putih miliknya untuk memasang lagu daripada playlist kegemarannya. Ketika Lara mengetap batang rokok di bibirnya yang mungil itu, kelihatan perkataan 'Family' tadi sudah terbakar separuh. Suasana sepi di bukit itu mula bersulam dengan alunan muzik...
     Lara masih ingat pandangan mata ayahnya ketika lelaki itu melihat dia berdiri di dalam kandang mahkamah pagi tadi. Pandangan yang selamba. Yang tiada belas kasihan dan rasa bersalah. Dan tiada langsung rasa kesal sebagai seorang ayah yang sepatutnya menjadi tempat Lara berlindung. Hati Lara sedih dengan perasaan kecewanya membuak-buak!
     "Selain daripada pinjaman PTPTN dan kemudahan tempat kediaman yang di sediakan oleh pihak UiTM seperti yang Cik Lara beritahu tadi, Cik Lara juga mengaku yang kolej kediaman Cik Lara ada menyediakan makan sebanyak empat kali sehari. Jadi kenapa Cik Lara masih perlukan tiga ratus ringgit tersebut?"
     Hati Lara bagaikan disengat. Raut wajah lembut Kamaruzzaman yang Lara sangkakan penawar gelisahnya sebelum perbicaraan bermula tadi rupa-rupanya meleset sama sekali! Peguam itu sungguh licik memainkan peranannya dan memerangkap Lara dengan setiap informasi yang diberikan pada awal perbicaraan.
     "Saya jarang makan di kolej." Jawab Lara dengan muka selamba. "Hmmph! Sebab??" Peguam itu tersenyum sinis memandang Lara yang berdiri di dalam kandang membuatkan hati Lara bertambah sakit.
     "Timing. Selalunya saya memang tak sempat makan di dewan makan. Most days saya tidur lewat sebab buat assignment atau study group. Jadi selalunya saya akan bangun cukup-cukup masa untuk mandi dan bersiap pergi ke kelas. Waktu lunch pulak saya di kampus. Memang tak sempat nak balik ke kolej dalam masa satu jam, melainkan kalau ayah saya sanggup bagi kereta pada sayalah." Perli Lara lantas menjeling sekilas ke arah ayahnya. Lelaki itu kelihatan tenang sahaja sambil berpeluk tubuh.
     Kemudian Lara menyambung, "Dan untuk makan malam pun kadang-kadang saya missed sebab rushing nak pergi siapkan assignment di cybercafé. Kadang-kadang tu habis je kelas pukul lima atau enam petang, saya terus pergi ke cybercafé untuk siapkan assignment. Bila sampai ke kolej, waktu dah pukul lapan atau sembilan malam. Dewan makan dah tutup." Terang Lara lagi.
     "Baiklah, saya ambil maklum. Berbalik kepada pinjaman PTPTN tadi... Berapakah jumlah yang Cik Lara terima?" Soal peguam lelaki itu. Lara terdiam sebentar sambil mengerutkan kening seolah-olah sedang berfikir sesuatu. "Erm... Saya tak ingat the exact amount sebab setiap semester jumlah yang masuk tu tak sama dan bukan dalam amount yang genap. Tapi anggaran dia lebih kurang dalam dua ribu dua ratus ringgit hingga dua ribu setengah untuk satu semester."
"Berapa yuran per semester Cik Lara?"
Mata mereka bertembung.
"Hmm... Lebih kurang dua ribu ringgit satu semester."
"Oh. Jadi wang PTPTN Cik Lara itu sebenarnya ada bakilah?"
Lara mencerunkan keningnya seraya menjawab, "Ya."
"Dan Cik Lara masih perlukan wang belanja tiga ratus ringgit daripada anak guam saya walaupun Cik Lara ada extra cash daripada PTPTN untuk belanja?"
     Muka Lara berkerut seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dia dengar pada saat itu! 'Balance duit PTPTN aku yang tak sampai lima ratus ringgit tu bahagi dengan lima bulan per semester?! Seriously?!!'  Hati Lara panas.
     "Memanglah tuan peguam. Baki wang PTPTN tu pula untuk top-up perbelanjaan lain sepanjang semester. Contohnya macam duit untuk buat assignment. Saya tak ada komputer peribadi ataupun laptop, jadi hampir setiap hari kalau nak buat assignment, saya kena pergi ke cybercafé. Nak ke sana pun kena ada duit untuk transportation lagi. Lepas tu, duit printing lagi... Itu belum termasuk duit untuk aktiviti-aktiviti fakulti macam annual dinner ke, aktiviti kelas ke, dan event yang lain-lain." Kedengaran ada sedikit getaran pada tona suara Lara tetapi bukan kerana dia menahan sebak sebaliknya menahan amarah yang sudah hampir memuncak.
     Saat itu, peguam lelaki itu melontarkan satu senyuman yang paling sinis seolah-olah mempersendakan keterangan Lara. "Saya hairan... Dengan keadaan kekangan kewangan Cik Lara ni pun, Cik Lara masih fikir yang Cik Lara perlu menghadiri event dan aktiviti-aktiviti tersebut?? Sebagai pelajar universiti... Cik Lara sepatutnya sudah pandai untuk membuat priority kepada perbelanjaan Cik Lara, bukan?"
Hati Lara terus melonjak kepanasan!
     "Tuan peguam, are you for real?? Some if not most activities held by my faculty are compulsory. Do you mean I should isolate myself and live my life in my own bubble and ignoring the world around me?! Kalau betulpun saya tak perlu join aktiviti-aktiviti semua tu, seratus ringgit sebulan saya nak makan apa??" Lara rasa mulutnya sudah bertukar menjadi 'automatic weapon mode', menembak keluar semua peluru-peluru amarah yang terkumpul semenjak tadi.
     Kata-kata Lara itu membuatkankan suasana manjadi gamat. Ada hadirin yang tertawa dan berkata-kata sesama mereka dan ada juga yang menepuk tangan beberapa kali. Lara malu sebenarnya! Malu apabila masalah keluarganya dipertontonkan di hadapan orang ramai yang sedang menunggu giliran perbicaraan mereka di dalam kamar mahkamah itu tetapi bukankah itu apa yang ayahnya mahu??
     Lara memandang ibunya yang juga duduk di ruangan hadirin. Kelihatan mata dan hidung wanita itu sudah merah akibat menangis. Malah, mata Puan Asyirah yang duduk di sebelah juga turut merah! Hakim mula mengetuk palu beberapa kali menyuruh hadirin yang lain senyap dan berhenti daripada membuat bising...
'You fight about money, bout me and my brother
And this I come home to, this is my shelter
It ain't easy growin' up in World War III
Never knowin' what love could be, you'll see
I don't want love to destroy me
Like it has done to my family....'
     Kedengaran lagu Pink, 'Family Portrait' dimainkan daripada iPod yang berada di sisi Lara lantas menyebabkan air matanya berpusu-pusu keluar. Lara menangis dan meratap sendirian. Mental dan jiwanya dirasakan amat penat!
     Sebaik sahaja esakannya reda, Lara menyalakan sebatang lagi rokok. Di atas tanah sudah ada lima puntung rokok yang telah habis dia hisap semenjak dia sampai tadi. Lara menyedut rokok itu dalam-dalam sehingga mata bundarnya itu mengecil, penuh asyik. Kemudian, dia menghembus segerombolan asap yang berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Perlahan-lahan kepulan asap itu hilang dibawa angin petang yang bertiup lembut...
     "Cik Lara adalah pelajar tahun akhir, bukan? Maknanya dalam masa kurang daripada empat bulan, Cik Lara akan tamat belajar dan boleh mula bekerja. Ini juga bermakna, dalam masa kurang empat bulan, anak guam saya sudah tidak perlu memberi belanja kepada Cik Lara. Betul?"
     Lara teringat akan kata-kata Kamaruzzaman itu pagi tadi. 'Hmmph! 'Anak guam' konon! Anak guam kau tu ayah akulah bodoh!' Bentak hati Lara sambil menghembus asap rokoknya. Walaupun matanya memandang jauh ke arah pokok-pokok dan dedaun lalang yang menghijau di bawah sana, tetapi pandangannya masih lagi berkanvaskan suasana mahkamah pagi tadi...
"Betul, saya akan tamat belajar tapi saya ada apply untuk sambung pengajian."
"Kenapa?"
Lara terkedu apabila mendengarkan pertanyaan tersebut.
"Sebab saya nak sambung degree..."
"Cik Lara tahu yang Cik Lara sepatutnya sudah perlu berdikari bukan?"
     Lara terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dia balas, seolah-olah pertanyaan itu akan menjerat dirinya kalau dia menjawab. Sudah berapa kali dia 'diserang' bertalu-talu!
"Saya–"
     "Cik Lara masih nak mengharapkan duit perbelanjaan daripada anak guam saya? Sedangkan Cik Lara tahu yang anak guam saya memerlukan wang belanja yang lebih untuk bayi yang akan lahir, bukan?"
Hati Lara bagaikan dihiris tetapi dia segera membalas, "Tapi tuan peguam–"
"Cik Lara sudah ada diploma, kan? Jadi saya andaikan Cik Lara sudah boleh bekerja sendiri dan mendapat pekerjaan yang bagus, bukan?!"
"Tapi ayah saya–"
"Jawab pertanyaan saya...! Dengan diploma Cik Lara tu, Cik Lara sudah boleh dapatkan pekerjaan yang bagus, bukan...?!!"
     Lara terkaku apabila dibentak sedemikian rupa. Matanya dan mata peguam lelaki itu bertembung dan mereka bertukar pandang buat seketika. Keadaan menjadi sepi buat seketika.
"Ya."
     Lara akhirnya mengalah... Saat itu, hatinya sudah hancur berkecai akibat diperlakukan oleh seorang ayah. Dunia ini Lara rasakan direntap keras darinya sehingga tiada apa lagi yang tinggal. Segalanya kosong dan malap... Dan oleh kerana terlalu sakit, perasaan Lara jadi pegal sehinggakan hatinya sudah tidak boleh merasakan apa-apa lagi... Numb!
Iskk! Iskk!
     Lara segera mengeluarkan tisu daripada beg sandangnya yang terdampar di atas pasir tanpa beralas. Dia menghembus hingusnya dan ketika dia menenyeh tisu itu, hidungnya sudah merah menyala!
     'Sial punya Kamaruzzaman... Kalau kau fikir apa yang kau buat pada aku ni betul, mampuslah kau menjawab dekat akhirat nanti!' Getus hati Lara. Dia terasa matanya sudah bengkak dan sepet akibat terlalu banyak menangis.
'In our family portrait, we look pretty happy
Let's play pretend, let's act like it comes naturally...'
     Jari Lara segera menekan butang 'switch off' iPod-nya. Lagu Pink itu sungguh meruntun hatinya, dia sudah tidak sanggup untuk dengar...
"HEI!"
     Jeritan keras Lara di kawasan lobi mahkamah sejurus selepas perbicaraannya tamat membuatkan langkah ibu tirinya itu terhenti seraya menoleh ke arahnya. Wanita itu mengepit kemas beg tangan Prada di celah ketiak. Rizman pada ketika itu masih lagi belum keluar bersama peguamnya di dalam kamar perbicaraan.
"Apa kau dah buat pada ayah aku hah??"
Wajah wanita itu berkerut.
"Apa you cakap ni?"
"Ayah aku dulu tak macam ni lah! Apa yang kau dah buat pada dia?!"
"Akak...!" Zuraidah yang baru tiba di sisi Lara menarik lengan anaknya yang berbaju kurung tetapi Lara cepat-cepat merentap.
     "Apa hal ni?" Tiba-tiba, bayang Rizman muncul di hadapan mereka semua. "You tengoklah anak perempuan you ni, darling! Serang-serang I pulak..." Lara rasa dia ingin tumbuk sahaja muka wanita di hadapannya itu.
"Apa hal ni akak??" Tanya Rizman dengan wajah yang ketat.
"Ayah ni sekarang kenapa macam lembu kena cucuk hidung?? Perempuan ni dah bagi nasi kangkang ke apa?!"
"LARA!"
     Saat itu satu penampar hinggap ke pipi Lara. Lara terpempan sambil memegang pipinya dan perasaannya mula memberontak. Matanya memandang tajam ke dalam anak mata Rizman dengan perasaan yang penuh benci dan dendam.
     "Ini mak tiri you...! Sama je darjat dia dengan emak kandung...! Tolong respect sikit dan jangan nak tunjuk kurang ajar macam anak derhaka...!" Suara Rizman perlahan tetapi keras. "Emak?! Apa emak macam ni?! Dan apa yang ayah buat pada akak hari ni, ini ke seorang ayah?! Akak ni masih anak ayah ke sampai bangsat sangat kena merayu duit belanja tiga ratus ringgit dalam mahkamah?!"
"Lara!!"
"Apa?!! Ayah tengok!! Handbag perempuan ni tiga ribu ringgit ayah boleh kasi, kan?!!"
     Bentak Lara lalu terus meninggalkan mereka semua dengan langkah yang deras. Ketika itu, Lara perasan dua orang pekerja sekuriti sudah mula mahu meleraikan mereka bersama mata-mata orang sekelilling yang sedang memandang. Zuraidah terus mengejar anaknya dari belakang.
     Sebaik sahaja Lara masuk ke dalam kereta ibunya, mereka terus menangis berpelukan. Suara esak tangis bergema di segenap ruang kereta Perodua Kancil yang kecil dan sempit itu.
     "Akak sabarlah, akak..." Suara Zuraidah sungguh sayu dalam esakannya. "Akak sabar ye sayang... Akak doa banyak-banyak sebab doa orang yang teraniaya ni sangat makbul... Insya Allah, Allah akan tolong kita..." Zuraidah mengerlus belakang badan anaknya yang sedang menangis dan meratap dalam pelukannya.
"Akak... Akak... Dah tak tahan dengan semua ni ibu..."
     "Ibu tau, nak... Ibu faham perasaan akak... Akak sabar ye..." Zuraidah mempereratkan lagi pelukannya. Dia membiarkan saja Lara menangis semahu-mahunya. Sudahlah dihentam teruk dengan peguam bekas suaminya tadi, malah ditampar pula. Zuraidah sudah tidak tahu bagaimana lagi untuk menenangkan Lara!
     "Ibu nak pesan pada akak... Kalau nak cari suami nanti, akak carilah yang ada agama... Yang tahu hukum-hakam... Akak tahu ayah tu memang jahil, kan...? Akak tahu ayah tu tak pernah solat apatah lagi nak ambil tahu tentang hukum dan tanggungjawab dia pada anak-anak... Pada akak..." Tangisan Zuraidah makin pilu.
      "Itu memang silap ibu dari awal, nak... Ibu dah salah pilih suami... Tapi ibu harap akak jangan buat kesalahan macam ibu ni, ye sayang..." Saat mendengarkan kata-kata ibunya itu, bayangan Huzaimi si cinta hati muncul dalam pejaman mata Lara. Perlahan-lahan, dia mengangguk lembut bersama juraian air mata yang belum reda...
"Ra..."
     Lamunan Lara terus lesap dan dia cepat-cepat menoleh ke arah suara yang sangat dia kenali. Kelihatan Zieta dan Khyra sudah tercegat di belakangnya. Serta-merta, Lara mencampak rokoknya dan terus menerpa ke arah Zieta dan Khyra. Tangisannya mula bergema semula.
"Sabar, Ra..." Kata Zieta.
     Zieta dan Khyra menepuk-nepuk dan mengelus lembut bahu Lara. "Syhh.... Dah, dah... Jangan sedih, okay. Kitorang ada..." Pujuk Khyra pula. Mereka memeluk Lara dengan lebih erat.
     "Kenapa ayah aku buat aku macam ni..." Kedengaran tangis Lara mendayu-dayu. Mata Khyra dan Zieta hampir berkaca!
"Kitorang faham... Kau sabar ye..."
     "Teruk sangat hari ni korang... Dekat mahkahmah tadi... Teruk sangat...! Aku rasa... Trauma... Kena hentam..." Suara dan nafas Lara terputus-putus akibat esak tangisnya menyebabkan kedua-dua rakannya itu turut menangis sama. "Dah lah tu, tak payah cerita sekarang. Kau nangis je okay... Kasi lepas semua sedih kau tu..." Kata Khyra lagi. Mereka mempereratkan pelukan masing-masing...
     Setelah tangisan Lara reda, ketiga-tiga gadis tersebut duduk melunjur kaki di tebing bukit sambil menikmati pemandangan petang daripada puncak bukit tersebut. Waktu itu, matahari sudah memancarkan cahaya jingganya. Burung-burung sudah mula berterbangan pulang ke sarang.
     "Thanks korang sebab datang cari aku dekat sini." Kata Lara sambil tersenyum kecil. Perasaannya sudah semakin stabil. Manakan tidak, di tangannya sudah terdapat satu bar besar coklat Cadbury's yang dibawa oleh Khyra dan Zieta. Itulah gunanya kawan!
     "Takde apalah... Best jugak dapat lepak dekat sini sambil makan coklat. Best-kan, berangin-angin! Bak sikit coklat tu!" Kata Zieta sambil menghulurkan tangannya. Lalu, coklat tersebut bertukar tangan.
     "Mana korang tau aku dekat sini?" Tanya Lara. Mulutnya penuh berisi coklat. Salah satu contoh emotional eater!
     "Hmm... Masa aku dengan Khyra sampai bilik tadi, kitorang tengok barang kau macam bersepah. Kitorang tahu mesti kau tengah bad mood. Lepas tu bila call, out of coverage. So kitorang tahulah nak cari dekat mana!" Kata-kata Zieta itu mengundang tawa mereka bertiga. Memang benar, kesemua rangkaian telefon bimbit memang tidak boleh dicapai di atas puncak bukit tersebut.
     "Ra... Kitorang nak bagi hadiah dekat kau... Saja nak buat kau happy..." Kelihatan Zieta tersenyum lebar. Dia dan Khyra bertukar-tukar pandangan seraya menganggukkan kepala.
     "Hadiah?!" Mata Lara yang bengkak itu dibesarkan. Dia lihat air wajah Zieta dan Khyra sudah teruja. "Aku tahu!" Potong Lara sebelum sempat kedua-dua rakannya itu berkata apa-apa. "Korang nak pergi club, kan?!" Lara menyambung katanya. Serentak itu juga mereka bertiga ketawa bersama.
     "Memang kitorang nak ajak kau pergi club malam ni. Korie main dekat Nouvo, dia bagi kita free pass!" Jawab Zieta. Korie adalah teman lelaki Zieta yang juga merupakan Top 5 DJ Turntable di Malaysia! Malah, perkenalan Lara dan Reza dahulu pun bermula ketika Lara mengikuti Zieta dan Korie ke Asia's DJ Competition di mana Korie telah memenangi tempat pertama manakala Reza pula hanya di tempat saguhati.
"Tapi hadiah kau ni bukannya pas Nouvo malam ni." Sambung Zieta.
Kening Lara berkerut sambil tangannya mematahkan coklat.
     "Hmm... Korang nak bawak aku pergi party ye?" Teka Lara lagi lantas menyebabkan Zieta dan Khyra mengekek. Betullah tu agaknya! "Tak nak lah! Kalau korang nak ke party aku tak nak... Nanti korang semua enjoy-enjoy mabuk, 'high' menari apa semua, aku sorang je yang sober! Tak nak lah! Kalau pergi Nouvo malam ni okay."
     Memang benar. Sungguhpun Lara sering ke kelab malam, tetapi dia tidak pernah 'minum' atau mabuk. Lara tidak suka! Pertamanya, dia memang membataskan sendiri perkara yang satu itu walaupun cara pemakaiannya seksi menggila. Dan kedua, Lara tidak tahu kenapa tetapi dia cukup tidak tahan dengan perangai-perangai pelik orang mabuk! So damn annoying! Selain itu, Lara juga tidak ambil 'bijik', 'mushroom', 'happy pills' atau entah apa-apa lagi jenis drugs yang rakan-rakannya selalu ambil.
     Lara hanya suka menari dan mendengar muzik, itu sahaja. Kerana itulah setiap kali ke kelab malam, Lara boleh pergi ke kelas seawal keesokan paginya kerana dia tidak ada proses hangover. Malah, Lara rasa setiap kali dia puas menari pada sebelah malamnya, otaknya terasa ringan dan boleh menyerap segala pembelajaran dalam kelas seperti span yang menyerap air! Mungkin itulah rahsia pelajar four flat gila seperti dirinya!
     "Bukan party-lah! Kenapa kau fikir party pulak!" Ujar Khyra sambil dia memandang Zieta. Mereka berdua bertukar senyuman. "Habis tu kalau bukan party, apa?" Lara semakin tidak faham.
"Macam ni... Apa kata kalau kita semua pergi bercuti ke Sabah masa gap dua minggu study week nanti?"
"Huh? Bercuti ke Sabah?!" Mata Lara terbeliak.
Khyra dan Zieta tersengih lebar sambil menganggukkan kepala mereka.
"Err... Nak buat apa dekat Sabah?"
     "You know... Kita boleh buat bodoh!" Jawab Zieta selamba. Buat sekian kalinya puncak bukit itu riuh dengan suara gelak ketawa mereka semua. "Betul-betullah, korang! Aku nak tahu apa kita nak buat dekat Sabah nanti!" Lara sudah menggigit cebisan coklat yang terakhir bersama tawanya yang belum reda.
     "Macam ni... Korie menang DJ competition last week. Dia dapat hadiah dua tiket flight pergi balik ke Sabah dengan penginapan hotel tiga hari dua malam dekat Pulau Mabul. Masalahnya sekarang, dia tak boleh pergi sebab tengah busy. So, dia pass hadiah tu dekat aku." Terang Zieta panjang lebar.
"Oooo...." Lara memanjangkan muncung bibirnya sambil tersenyum.
     "So, dekat Pulau Mabul tu nanti kita buatlah aktiviti macam-macam! Kau nak berenang ke, snorkelling ke, diving ke, memancing, mengorat jantan, semua boleh! Suka hati kau!" Gelak tawa mereka pecah berderai lagi.
     "Jadi sekarang ni, kita dah ada dua return ticket free. Untuk satu lagi flight ticket tu, kau jangan bimbang. Aku dengan Khyra boleh share dua orang belikan untuk kau. Kau cuma bawak duit belanja je." Terang Zieta.
     "Hah?! Free flight ticket untuk aku?? Korang biar betul!" Mulut Lara ternganga akibat terkejut tetapi dia tahu kedua-dua orang kawannya itu anak orang ada-ada.
     "Ala, don't worry-lah. Hadiah birthday kau tahun ni, okay? Kitorang nak kau happy-happy je untuk final exam nanti. Jangan risau, tiket tu tak jadi masalah pun."
     Tiba-tiba Lara menekup mukanya dan menangis semula tetapi apa yang pasti kali ini dia menangis kerana gembira! Tawa Zieta dan Khyra terus pecah kedengaran sambil mereka memeluk Lara.
"Ala... Kenapa menangis lagi pulak ni!" Jerit Zieta dalam tawanya.
"Kalau kau menangis, kau beli sendirilah!" Usik Khyra pula. Gelak tawa mereka bertiga semakin gamat.
     "Thanks korang... Aku tak tahu macam mana nak balas budi korang... Koranglah sahabat aku..." Lara menyeka air matanya. "Sudahlah tu! Jangan nangis! Kau suka ke tak suka??"
"Sukalah, samdol!" Jerit Lara dan ini diikuti dengan tawa riang mereka semua.
"PULAU MABUL! HERE WE COME!!"
Jeritan ceria mereka bergema dan memantul-mantul di atas puncak bukit tersebut...Â
Share this novel