PROLOG

Romance Completed 159812

September 1983


MALAM sudah larut. Zelda tergesa-gesa menuruni tangga rumahnya sambil menggendong Haris di pinggangnya yang ramping. Tubuh kecil Haris yang berbahang itu melekap erat sambil kedua-dua belah tangannya memeluk kemas leher emaknya yang jinjang. Mata Haris tertutup rapat tidak bermaya. Suhu badan Haris dirasakan semakin panas.


“Tuti! Saya nak bawa Haris ke klinik…!” Jerit Zelda sambil menggapai kunci kereta di atas meja konsol di ruang tamu. “Iya buk…!” Kedengaran suara pembantu rumahnya sayup-sayup menyahut dari bilik yang terletak di hujung dapur.


“Mana pulak purse mama ni, sayang…” Bisik Zelda seolah-olah sedang bercakap dengan si kecil Haris. Anaknya yang baru berumur dua tahun itu hanya diam membungkam. Matanya tertutup rapat dan nafasnya turun naik.


Seharian ini suhu badan Haris panas tak reda-reda. Siang tadi, anak bongsunya itu hanya terkulai layu di atas sofa sepanjang hari sambil memerhatikan kedua-dua abangnya berlari dan bermain girang di depan mata. Pilu sungguh hati Zelda melihat keadaan Haris.


Sebaik sahaja dompetnya ditemui, Zelda terus bergegas keluar menyarung kasut sambil diperhatikan oleh pembantu rumahnya. Hatinya semakin risau apabila Haris tiba-tiba sahaja muntah sebentar tadi. Dia tahu dia harus bawa anaknya ke klinik dengan segera.

“Mama!”


Zelda menoleh ke belakang. Kelihatan Ashraf, anaknya yang nombor tiga terpusu-pusu turun dari tangga dengan baju tidur dan rambut yang kusut masai. Mulut Ashraf mencebik seakan-akan mahu menangis. ‘Aduh, dah datang budak bertuah ni pulak…’ Desis hatinya.


Beberapa saat menuruni anak tangga, Ashraf sudahpun tercegat di muka pintu sambil mendongak memandang ibunya. Bibirnya masih lagi mencebik dan dia buat muka kasihan. Comel. Tetapi Zelda tidak ada masa untuk melayan karenah Ashraf kerana dia harus bergegas segera.


“Ash… Please. Go back to your room. Sleep!” Zelda menarik muka. Sebelah tangannya dihalakan ke arah anak tangga.

“No! Can I follow you?” Lembut sahaja nada suara anaknya itu bertanya.

“No, cannot Ashraf. Mama in hurry. Haris sakit. Kesian adik!”


Serentak itu juga, Tuti memegang lembut tangan Ashraf untuk mendukungnya. “Ash, mari kita tidur ya–” “NO!!!” Ashraf menjerit lantang sambil menarik tangannya. Dia mula menggelupur dan meronta-ronta di atas lantai.

“Ash nak ikut mama!! Ash tak nak tinggal!! Huwaaaa!!!”


“Ashraf Zildan! Listen to me!” Zelda meninggikan sedikit suaranya. Dia mencangkung di sebelah Ashraf sambil memegang tangan Ashraf. Haris di bahu kirinya hanya terlekap dan membungkam, sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang sedang berlaku.

“Dah tengah malam sekarang ni. You cannot go out. I call Sofie to bring you up, okay? You sleep with kakak, okay?”

Ashraf menggeleng kepala sambil teresak-esak menangis!


“Ma… Don’t let go of my hand. Bagi… Ash ik…uttt…” Suara Ashraf terputus-putus akibat esak tangisnya. Zelda menghela nafas panjang. Dia kalah!


“Okay-lah, okay… Cepat pakai selipar!” Zelda menarik tangan Ashraf sambil menyuakan sepasang selipar kecil buat Ashraf. Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata ibunya itu, Ashraf cepat-cepat bangun dari lantai dan drama air matanya tadi terus hilang!


“You know, I can look after Haris while you’re driving…” Kata Ashraf sambil kakinya menyarung selipar manakala tangannya pula menyapu hingus menggunakan lengan panjang baju tidurnya. Zelda tersenyum sinis dan menjeling anaknya sambil berjalan ke arah kereta. Begitulah keletah si Ashraf Zildan. Bijak berkata-kata dan pandai mengambil hati.


“Tuti, kamu jaga Sofie dan Azril ya. Kunci rumah baik-baik.” Pesan Zelda. Tuti hanya mengangguk seraya berlari-lari anak untuk membuka pintu pagar utama rumah berkembar dua tingkat tersebut.


Ashraf duduk di tempat duduk belakang bersama Haris yang terbaring lemah. Dia memerhatikan sahaja Haris yang sedang tidur. Sekali-sekala, dia mendekatkan mukanya ke muka Haris sambil jari kecilnya mencuit-cuit bahu adiknya. Mengacau!


Kereta pacuan empat roda Range Rover Classic yang berwarna putih itu perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman rumah ketika jam menunjukkan pukul 12.05 tengah malam. Ashraf duduk tersandar sambil matanya ralit memerhatikan deretan lampu jalan di luar.

“Ash.”


Apabila terdengar namanya dipanggil, Ashraf bangun dan menyelitkan dirinya di antara tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu. Kelihatan mamanya perlahan-lahan memberhentikan kereta apabila lampu trafik bertukar merah.

“Ye?” Jawab Ashraf sambil memandang mamanya.

“Kenapa Ash tak suka stay dengan Bik Tuti tu?”

Diam.


Ashraf buat muka selamba apabila terdengar pertanyaan daripada mamanya itu. Dia hanya menggigit jari. “Hmm? Jawablah.” Tanya mamanya lagi. Kali ini, Zelda memalingkan kepala untuk memandang wajah Ashraf. Kelihatan Ashraf tersengih lebar sambil mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Bik Tuti tu garang ke?”

“No.”

“Then? Has she ever scolded you?”

“Nooo…” Bibir kecil itu memuncung panjang.

“Habis tu?” Zelda senyum sambil menukar gear kereta apabila lampu trafik sudah berwarna hijau.


“Tell me... Bik Tuti tu jahat ke?” Mendengarkan pertanyaan tersebut, Ashraf dengan tidak semena-mena ketawa besar. Entah apa yang menggelikan hatinya. Zelda hanya mengherotkan bibirnya melihat keletah si Ashraf.

“Taklah!” Jawab Ashraf ringkas.

“Habis tu kalau tak jahat, kenapa Ash tak nak tinggal dengan dia? Dia dah kerja dengan kita lama tau, and you’re still like this.” Kening Zelda berkerut. Dia berasa amat hairan. Dalam keempat-empat anaknya, Ashraf seorang sahaja yang tidak boleh berenggang dengannya. Manja lain macam! Kalah Haris si adik yang bongsu. Ashraf juga langsung tidak mahu dikelek Tuti walaupun untuk seketika. Jika tidak, jadilah keadaannya seperti tadi. Dia akan menangis dan menjerit melolong seperti kena dera.


Kadang-kala ada juga terlintas di fikiran Zelda, mungkin kalau dia masih terbang bekerja Ashraf akan terbiasa tinggal bersama Tuti. Dalam pada masa yang sama, Zelda yakin yang Tuti tidak pernah berbuat kasar terhadap anak-anaknya kerana Sofie dan Azril tidak pernah mengadu apa-apa kepada dia ataupun suaminya. Malah, kedua-dua anaknya itu agak mesra dengan Tuti. Zelda rasa Ashraf sahaja yang terlebih mengada-ngada!


“Ash tak nak Bik Tuti… Ash nak papa…” Kata-kata Ashraf itu mematikan lamunannya yang sedang memandu. Ashraf sudahpun melangkau ke tempat duduk hadapan meninggalkan Haris yang sedang tidur di belakang. Zelda mencebikkan bibir.


“Papa kan kerja, sayang…” Zelda mengusap rambut Ashraf dengan tangan kirinya manakala tangan kanannya mengemudikan ‘steering’ kereta.

“Papa fly pergi mana, ma?”


“Papa ada dekat Germany sekarang.” Mata Zelda dihalakan ke arah jalanraya yang sunyi dan suram. Jalan Eunos yang terletak di daerah Geylang, Singapura itu memang kebiasaannya menjadi sangat sunyi selepas tengah malam.

“Papa tau ke Haris sakit?” Tanya Ashraf lagi.

“Tau…”

“Macam mana papa tau?”

“Mama called hotel papalah.”

“Mama cakap macam mana?”


‘Aduh…’ Zelda tertawa kecil. Nasib baiklah yang seorang lagi sedang tidur di belakang. Kalau tidak, ada lagi yang menjadi tukang sambung dengan segala pertanyaan yang perlu dijawab.


Zelda menyambung, “Mama cakap… Hello, boleh saya bercakap dengan Kapten Zamani?” “Tak boleh!” Ashraf memintas sambil tertawa.


“Tak boleh? Habis tu macam mana saya nak bagi tahu dia yang Haris sakit?” Zelda melayan. “Eh? The hotel worker doesn’t know Harislah…” Mendengarkan jawapan si Ashraf, Zelda terus ketawa.


“Oh… Dia tak kenal Haris ye? Okay-lah… Saya nak bagi tahu yang Ashraf hari ni naughty!” Ashraf terus ketawa sebaik sahaja terdengar kata-kata mamanya.

“Taklah!” Ashraf melebarkan senyumannya.

“Siang tadi you bergaduh dengan abang, kan?”

“No! Abang yang naughty! Dia kedekut! Dia tak kasi Ash pinjam mainan kapal terbang dia!” Ashraf mula mencebik.

“Kan papa ada belikan Ash lori? Ash mainlah lori Ash tu…”


“Ash nak kapal terbang!” Ashraf sudah merengek. Dia meliut-liutkan badannya di tempat duduk tersebut. Zelda senyum dan membiarkan sahaja gelagat anaknya yang seorang itu. “Papa selalu belikan Aril kapal terbang… Ash pun nak kapal terbang jugak!” Sambung Ashraf.

“Mainlah sama-sama. Share.”

“Abang tak nak share dengan Ash!” Sambut Ashraf yang sudahpun terjelepuk di ruang lantai kereta.

“Hei, bangun! Sit properly…” Mendengarkan arahan mamanya itu, Ashraf akur lalu kembali ke tempat duduknya.


“Mama… Mama belikanlah Ash kapal terbang….” Kata Ashraf sambil mengamati sebuah papan tanda iklan yang sangat besar di tepi jalan. Kelihatan gambar seorang lelaki sedang minum secawan teh sambil sebelah tangannya lagi membuat isyarat ‘bagus’. Ashraf cuba meniru isyarat ‘bagus’ tersebut dengan jarinya. Zelda hanya membisukan diri. Dia membiarkan sahaja si Ashraf leka dengan papan tanda-papan tanda iklan yang bermacam rupa di sepanjang jalan…


Tidak lama kemudian, kereta pacuan empat roda itu tiba di sebuah bangunan rumah kedai menandakan mereka sudahpun sampai di klinik Doktor Ng. Ashraf segera menjenguk adiknya di bahagian belakang kereta. Kelihatan Haris tidur nyenyak dengan mulut yang separuh ternganga…


Setelah hampir sepuluh minit mereka berada di dalam bilik doktor, Zelda mendukung Haris keluar. Patutlah si Haris muntah. Suhu badannya sudah mencecah 40 darjah celcius! Doktor Ng memberikan satu suntikan buat Haris dan jika demamnya tidak berkurangan sehingga esok pagi, Zelda disarankan agar membawa Haris ke hospital.


Ashraf menbuntuti ibunya keluar daripada bilik doktor tersebut sambil tangannya memegang sebiji gula-gula. Doktor Ng yang beri. Zelda merenung tajam pada Ashraf yang sedang terkial-kial membuka balutan gula-gula tersebut. “Ash, remember to brush your teeth when we get home.” Suara Zelda tegas. Ashraf hanya memandang ibunya sambil mengangguk kepala.


Keadaan di ruang menunggu itu sunyi sepi, hanya sesekali terdengar suara Doktor Ng di sebalik dinding plywood itu berkata sesuatu dengan pembantu kliniknya. Sementara menunggu nama Haris dipanggil untuk pemberian ubat, Zelda duduk bersama Ashraf di sebuah sofa. Dia mengusap lembut rambut Haris yang berada dipangkuannya. ‘Kesian anak mama sorang ni…’ Ujar Zelda dalam hati.


“Ma… Kenapa papa belikan Aril semua mainan kapal terbang? Tapi bila Ash, papa selalu belikan baslah, lorilah…” Tanya Ashraf dengan mulutnya yang sarat dengan gula-gula. Zelda tertawa memandang Ashraf. Tak habis-habis lagi si Ashraf dengan mainan kapal terbangnya itu!


“Sebab papa nak Aril jadi pilot macam papa bila dia besar nanti. Ash pulak, papa nak Ash jadi engineer…” Mendengarkan jawapan ibunya itu, Ashraf terdiam seperti memikirkan sesuatu. “Engineer tu apa?” Mulut Ashraf terlopong. Sekali lagi, Zelda tertawa kecil.

“Kalau pilot tu kerja dia bawa kapal terbang, engineer pulak orang yang buat kapal terbang.”

Ashraf terdiam sebentar.

“Esok mama belikan Ash aeroplane-lah… Ash tak nak jadi engineer, Ash nak jadi pilot jugak macam papa…”


“Ash pun nak jadi pilot??” Zelda buat-buat terkejut manakala si Ashraf pula menganggukkan kepala. “Abang nak jadi pilot, Ash pun nak jadi pilot. Dah tiga orang kerja pilot ni mana boleh! Ash kerjalah engineer… Kesian mama tau. Ramai-ramai pilot nanti mama asyik kena tinggal je.” Zelda cuba memancing simpati dari anaknya itu. Tiga orang pilots dalam satu family – NO!


“Takpelah… Ash jadi pilot tapi Ash tak payahlah tinggalkan mama.” Kata-kata Ashraf itu membuatkan Zelda ketawa geli hati.

“Haris Zikri bin Zamani..”


Kedengaran suara pembantu klinik dengan lembut memanggil nama Haris, lantas Zelda bergegas bangun menuju ke kaunter ambil ubat sambil menggendong Haris.


Setelah semuanya selesai, ketiga-tiga beranak itu keluar daripada klinik tersebut lalu berjalan ke arah kereta mereka...


Beginilah kehidupan Zelda sebagai isteri kepada Kapten Zamani, seorang juruterbang di Singapore Airlines. Segalanya harus ditanggung sendiri apabila suaminya itu terbang bekerja. Anak sakit, anak demam atau meragam semuanya dia hadapi seorang diri. Malah ketika melahirkan Azril, anaknya yang nombor dua itupun dia bersalin di hospital seorang diri kerana Azril lahir dua minggu lebih awal dari tarikh yang sepatutnya. Dan ketika itu, suaminya sedang dalam penerbangan ke Los Angeles, dua puluh satu jam merentasi benua. Tetapi apa boleh buat, itulah harga pengorbanan seorang isteri si nakhoda burung besi…

Kereta Range Rover Classic berwarna putih itu perlahan-lahan meninggalkan klinik tersebut. Zelda memandu dengan berhati-hati. Cuaca malam sudah menjadi semakin sejuk sementelah jam sudahpun menunjukkan ke pukul satu pagi.

“Ash, you sleep okay. Sampai rumah nanti mama kejutkan.”


Ashraf hanya menganggukkan kepala tanda akur. Dia menyandarkan badannya di tempat duduk penumpang yang telah dibaringkan oleh mamanya ketika mereka masuk ke dalam kereta tadi. Haris di belakang sudah mula berdengkur kecil.
“Ma…” Suara halus Ashraf memanggil Zelda di sebelahnya.

“Yea…”

“Esok mama belikan aeroplane…”


“Hish, tak habis-habis dengan aeroplane…! Tidurlah!” Suara Zelda sudah kedengaran tegas. Tangan kirinya menepuk-nepuk peha Ashraf supaya anaknya itu lekas lena.


Ashraf memejamkan matanya sebaik sahaja dimarahi oleh mamanya. Tak mengapa, mungkin esok dia boleh ingatkan mamanya semula untuk membeli mainan aeroplane kesukaannya. Selagi tidak dapat apa yang dia hajati, Ashraf tidak akan sekali-kali berputus asa!

Kereta mewah pacuan empat roda itu terus meluncur laju membelah kesunyian malam…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience